Wednesday, April 29, 2009

KPI yang berkait


Seperti yang saya sebutkan, Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) adalah ukuran yang digunakan bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana kejayaannya dalam memenuhi matlamat organisasinya. KPI adalah salah satu dari bahagian utama objektif yang boleh diukur yang terdiri daripada hala tuju, KPI, tanda aras, sasaran dan jangka masa pencapaian.

Misalnya KPI seorang guru sains adalah “untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar (BBM) yang disediakan dan Bayaran Insentif Subjek Pembelajaran (BISP) ke tahap 100 peratus agar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dalam bahasa Inggeris dalam kelas dapat dinaikkan ke tahap 70 peratus menjelang tahun 2010”. Dalam contoh ini, meningkatkan P&P dalam bahasa Inggeris ke tahap 70 peratus dan penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar dan BISP ke tahap 100 peratus adalah KPI nya.

Meningkatkan tahap P&P dalam bahasa Inggeris bukan perkara yang sukar dicapai oleh guru tersebut kerana ia adalah di bawah kawalannya. Jika ada pun hambatan bagi mencapai KPI tersebut, ia mungkin disebabkan oleh perbezaan tahap kefahaman murid di dalam kelas. Ada kalanya bukan guru yang tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris secara sepenuhnya di dalam kelas, tetapi mereka terpaksa menyesuaikan P&P dengan tahap keupayaan murid. Walaupun mahir berbahasa Inggeris, ada kala guru perlu mengurangkan peratus penggunaannya di dalam P&P jika didapati ada murid yang ketinggalan.

Sebaliknya KPI untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian dan BBM berbeza. Ia tidak berada di dalam kawalan guru semata-mata tetapi berkait dengan KPI beberapa pihak yang lain. Contohnya dalam mencapai KPI dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) fasa VI, guru perlu menunggu sehingga perkakasan (komputer bimbit, projektor), perisian dan BBM (pakej latihan kendiri) dibekalkan serta latihan yang bersesuaian disempurnakan.

Ini bermaksud jika KPI guru sains tersebut perlu dicapai pada bulan Februari 2008, maka perkakasan, perisian, BBM dan latihan perlu disediakan beberapa bulan lebih awal sebelum itu. Di sini, KPI seorang guru sains tidak lagi bergantung pada dirinya sahaja, tetapi juga bergantung kepada keupayaan pegawai-pegawai bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan menepati KPI masing-masing, terutamanya dari segi pelaksanaan perolehan perkakasan yang berkaitan serta penyediaan perisian dan kepakaran latihan.

Jika pegawai di bahagian-bahagian ini tidak dapat melaksanakan tugas perolehan ini dalam tempoh masa seperti yang ditetapkan dalam KPI, maka guru di sekolah juga akan gagal menepati KPInya.

Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa KPI digunakan untuk menilai prestasi bukan sahaja Menteri dan Timbalan Menteri, tetapi juga pegawai kanan kerajaan. Maka dalam hal ini mungkin ada kewajaran bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersegera meneliti dan membangunkan KPI pegawai-pegawai kanan di kementerian-kementerian secara objektif dan bermakna.

Pelaksanaan projek di peringkat kementerian tidak seharusnya dilihat hanya sebagai soal proses, prosedur atau sistem penyampaian sahaja. Ia wajar dilihat sebagai amanah yang dipikul oleh pegawai kanan kerajaan untuk menambah aliran tunai dalam kitaran ekonomi seterusnya merancakkan ekonomi negara. Lebih utama lagi, ia dilihat sebagai amanah yang perlu dilunaskan untuk memastikan anak-anak kita menerima hak mereka memperoleh ekuiti dan kualiti dalam pendidikan. Dalam hal ini, ia bukan sekadar soal pelaksanaan projek dan meransang ekonomi semata-mata, tetapi soal pembangunan modal insan dan masa depan negara.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 29 April 2009

Thursday, April 23, 2009

Tinjauan suara tentang PPSMI

Saya telah mengikuti lima persidangan meja bulat mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kecuali dua persidangan, dalam tiga persidangan yang lain, pihak yang bersuara telah menyampaikan pandangan mereka berdasarkan kepentingan yang mereka wakili. Sememangnya itu yang dihasratkan dalam persidangan meja bulat.

Bagaimanapun membuat desakan memang senang kerana kita hanya mewakili satu kepentingan. Sebaliknya membuat keputusan sebenarnya cukup susah kerana terpaksa mempertimbangkan banyak kepentingan.

Disebabkan itu saya telah membuat tinjauan suara mengenai tiga perkara berkaitan PPSMI menerusi blog saya, http://www.tunfaisal.blogspot.com.

Saya bertanya tiga soalan, pertama; jika anda merupakan Menteri Pelajaran, adakah anda akan meneruskan PPSMI, kembali ke polisi asal, kembali ke polisi asal di sekolah rendah tetapi PPSMI diteruskan di sekolah menengah, memulakan PPSMI di Tahap Dua, atau meneruskannya dalam dwibahasa? Soalan kedua adalah; jika anda adalah ibu bapa dan ada dua buah sekolah yang sama dari segi kualiti, sebuah mempraktikkan PPSMI, satu lagi tidak, yang mana satu yang akan anda pilih? Soalan ketiga pula adalah; perjuangan bahasa lebih penting daripada perjuangan bangsa, kestabilan ekonomi dan kestabilan politik, setuju atau tidak?

Bagi soalan pertama; 46 peratus menjawab mereka akan meneruskan PPSMI, 42 peratus mahu berpatah semula ke polisi asal, enam peratus mahu meneruskan dalam dwibahasa, empat peratus mahu kembali ke polisi asal di sekolah rendah tetapi PPSMI diteruskan di sekolah menengah dan dua peratus mahu memulakan PPSMI di Tahap Dua.

Sebenarnya bagi soalan ini, saya mengharapkan setiap yang menjawab dapat meletakkan diri mereka di tempat Menteri Pelajaran dan menghayati kesukaran beliau untuk membuat keputusan dalam keadaan terpaksa mempertimbangkan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan. Walaupun saya percaya tidak semua yang menjawab soalan ini benar-benar meletakkan diri mereka di tempat Menteri Pelajaran, tetapi itulah dapatannya.

Bagi soalan kedua; sebanyak 57 peratus akan menghantar anak mereka ke sekolah yang melaksanakan PPSMI, hanya 43 peratus akan menghantar ke sekolah yang tidak melaksanakan PPSMI.

Sebenarnya pihak berkepentingan yang benar-benar terlibat secara langsung dengan PPSMI adalah, pertama; pelajar kerana mereka yang terpaksa melaluinya dan ia melibatkan masa hadapan mereka. Kedua; ibu bapa mereka kerana mereka sepatutnya diberi seluas-luas ruang untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka; dan ketiga; guru kerana mereka adalah penggerak di barisan paling hadapan untuk memastikan kejayaan program ini.

Saya pernah mengulas tentang persidangan meja bulat ketiga yang membabitkan pandangan pelajar dan guru mengenai PPSMI. Bagaimanapun dalam hal ibu bapa saya tidak nampak wakil persatuan ibu bapa nasional benar-benar mewakili kepentingan keseluruhan ibu bapa yang masih mempunyai anak-anak di sekolah. Tidak ada sebarang soal selidik dibuat secara serius dan kemas untuk menanyakan ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara tentang keinginan mereka.

Sebaliknya Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Mengenai Pendidikan atau Parents Action Group on Education (PAGE) lebih menonjol dalam hal ini. Mereka telah berusaha untuk mendapatkan pandangan seramai mungkin ibu bapa yang masih mempunyai anak yang bersekolah dan sebanyak mungkin PIBG serta telah mengemukakan fakta, bukti dan hujah yang mengesankan dalam setiap persidangan yang mereka hadiri.

Saya adalah antara bapa yang akan menghantar anak-anak saya ke sekolah yang melaksanakan PPSMI kerana saya percaya tidak ada salahnya mereka diajar bersusah payah di sekolah demi mengejar ilmu pengetahuan. Saya yakin inilah pendirian datuk nenek kita di kampung-kampung dahulu apabila mereka sanggup menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris walaupun anak mereka terpaksa belajar dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka. Ini jugalah pendirian ibu bapa pelajar bukan Cina yang menghantar anak mereka belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Soalan ketiga hanya untuk melihat sejauh mana responden rasional dalam isu PPSMI dan perjuangan bahasa. 66 peratus responden tidak bersetuju bahawa perjuangan bahasa lebih penting daripada perjuangan bangsa, kestabilan ekonomi dan kestabilan politik. Begitu pun, saya dikejutkan kerana masih ada 34 peratus yang beriktiqad bahawa perjuangan bahasa jauh lebih penting daripada perjuangan bangsa dan kestabilan negara!

Saya berdoa mudah-mudahan 34 peratus ini tidak hilang pedoman sehingga sanggup menjadi penunjuk perasaan di jalan raya; menjadi samseng bahasa; sampai sanggup bersekongkol dengan kumpulan yang mengorbankan perjuangan bangsa serta memperjudi kestabilan ekonomi dan kestabilan politik di dalam negara.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 22 April 2009

Tuesday, April 21, 2009

BN tidak perlu bertanding di Penanti

Saya faham kenapa Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Barisan Nasional (BN) bertanding di Penanti. Saya bersetuju dengan sebahagian daripada pandangan beliau, tetapi saya juga mempunyai pandangan yang berbeza.

Hujah saya mudah, sebagai seorang ahli sukan, saya berpegang kepada satu prinsip, dalam semua sukan, jika kita bermain mengikut permainan atau rentak atau game lawan maka kekalahan sudah pasti. Begitu juga jika kita bermain permainan komputer Warcraft ataupun membaca novel 'Romance of Three Kingdom' ataupun menganalisis seni peperangan Sun Tzu, sekiranya kita berperang di gelanggang lawan, maka bersedialah kita untuk kalah sebahagian daripada peperangan.

Bukan soal BN takut atau tidak; kita tidak pernah takut pun untuk berdepan dengan pakatan pembangkang di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Cuma saya mempersoalkan kenapa kita perlu bermain game lawan? Game BN bukan berpolitik sepanjang masa seperti pakatan pembangkang. Game BN adalah memberi khidmat untuk rakyat. Game BN adalah memastikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat. Game BN adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat terjamin. Game BN adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi, politik dan negara. Game BN adalah untuk mempertahankan tiang-tiang seri, termasuk Institusi Raja, Rukunegara dan perlembagaan negara.

Bayangkan masa yang terpaksa dihabiskan kerana persiapan pilihan raya. Bukan soal DUIT. Kami exco-exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua-Ketua Pemuda Bahagian berjuang di Bukit Selambau dan Bukit Gantang tanpa sebarang peruntukan malah mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk memastikan tugas-tugsa teras Pemuda dilaksanakan dengan lancar dan gerak kerja Pemuda dapat berjalan dengan berkesan.

Soalnya - berpolitik sepanjang masa bukan permainan kita. Sebaliknya berkhidmat untuk rakyat dan menunaikan janji adalah tugas kita. Jadi jangan buang masa - laksanakan tugas kita dan insya-Allah pada Pilihan Raya Umum ke-13, kita akan melihat hasilnya.

Berkhidmat kepada rakyat bukan kekuatan pakatan pembangkang. Lihat sahajalah nasib rakyat di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Rasanya dalam sejarah politik Malaysia, hanya wakil rakyat pakatan pembangkang sahaja yang meminta wang daripada rakyat untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Lihatlah nasib rakyat di negeri Perak akibat kekacauan yang sengaja ditimbulkan di negeri itu. Hitunglah pula berapa banyak janji-janji yang gagal ditunaikan di negeri Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Malah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, sudah hilang jati diri dan hala tuju perjuangan bila bersekongkol dengan Penipu Rakyat.

Hari ini dalam pakatan pembangkang - seorang demi seorang pemimpin mereka disabitkan dengan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan perlakuan tidak moral. Mungkinkah akan ada banyak lagi kes jika siasatan dibuat tentang hasil-hasil pembalakan di negeri-negeri pakatan pembangkang?

Dalam sukan ada tindakan untuk merosakkan rentak atau game lawan walaupun terpaksa menerima amaran daripada pengadil atau mengorbankan satu atau dua orang pemain. Dalam politik saya percaya BN perlu melakukan perkara yang sama.

Dalam berperang ada istilah berundur. Berundur bukan bererti kalah. Dalam berperang kadang-kadang telinga tidak boleh nipis bila diprovokasi lawan. Bukan kerana takut. Bukan kerana kita bukan anak jantan. Bacalah Romance of Three Kingdom dan seni peperangan Sun Tzu; berperang perlu ada matlamat; ada tujuan. Ada tempat, tidak perlu berreaksi bila dimaki atau dicaci; ada tempat jangan main-main dengan kita. Jangan kerana hendak menunjukkan kita anak jantan, kita terpedaya dengan perangkap, umpan atau game lawan.
Apakah pandangan saya untuk pemimpin tempatan dan BN yang begitu bersemangat; mahu BN bertanding di Penanti? - Alihkan semangat, tenaga, wang ringgit dan kemarahan yang ada dalam diri masing-masing menjadi semangat dan kesungguhan untuk bekerja meyakinkan rakyat agar mereka memilih BN pada pilihan raya akan datang. It's ok to give out a battle, but not the war. Pertarungan sebenar kita adalah Pilihan Raya Umum ke-13. AYUH, JANGAN BUANG MASA. BEKERJA BERMULA DARI TIGA MINGGU YANG LALU, BUKAN HANYA AKAN BERMULA ESOK!

Mungkin ada pengajaran yang boleh kita ambil dari kata-kata Sun Tzu dalam Art of War;
  • "When a chieftain is fighting in his own territory, it is dispersive ground. On dispersive ground, therefore, fight not."

  • "Move not unless you see an advantage; use not your troops unless there is something to be gained; fight not unless the position is critical."

  • "No ruler should put troops into the field merely to gratify his own spleen; no general should fight a battle simply out of pique. Anger may in time change to gladness; vexation may be succeeded by content. But a kingdom that has once been destroyed can never come again into being; nor can the dead ever be brought back to life."
Kesilapan kepemimpinan BN yang lalu adalah kerana terlalu banyak mengikut game lawan. We did not stick to BN game plan for the past 50 over years. Kita bukan hilang sokongan rakyat kerana kita tidak berubah; sebaliknya kita kehilangan sokongan rakyat kerana kita mahu melaksanakan perubahan yang tidak kena pada masa dan keadaan. 2008 adalah bukti bahawa sekiranya kita bermain mengikut rentak atau game lawan, kita sebenarnya telah memastikan bahawa kita tidak akan menang selesa; mujurlah kita tidak kalah!

Thursday, April 16, 2009

Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

Hari ini Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) menjadi bualan ramai berikutan hasrat Perdana Menteri Malaysia yang baru Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menggunakannya bagi memantau prestasi para Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan.

KPI adalah ukuran atau metrik yang digunakan bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana kejayaannya dalam memenuhi matlamat organisasinya. KPI adalah salah satu dari bahagian utama objektif yang boleh diukur yang terdiri daripada hala tuju, KPI, tanda aras, sasaran dan jangka masa pencapaian. Misalnya, “meningkatkan jumlah pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR daripada 5 orang kepada 25 orang menjelang tahun 2011.” Dalam contoh ini, jumlah pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR kepada 25 orang adalah KPI nya.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sarat dengan KPI yang perlu dicapai oleh warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Misalnya, dalam program Pembestarian Sekolah, antara perancangannya adalah untuk menyediakan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi, membangunkan capaian internet jalur lebar dan rangkaian setempat yang berkesan di dalam sekolah, menyediakan perisian yang lengkap serta mengadakan latihan dan bimbingan serta mengadakan program pengurusan perubahan yang mencukupi. Petunjuk dan KPI yang perlu diukur juga ditetapkan. Misalnya dari segi infrastruktur; jumlah pusat akses yang perlu dibangunkan, jumlah komputer di dalam makmal komputer yang perlu diganti, jumlah sekolah yang telah dilengkapkan dengan capaian jalur lebar dan rangkaian setempat, nisbah komputer kepada guru dan nisbah komputer kepada murid menjelang tahun 2010.

KPI bukan suatu benda yang baru. Di Pekham Academy, sebuah sekolah di pinggir bandar London, KPI digunakan bagi menentukan prestasi pengajaran guru. Guru dan pentadbir akan berbincang tentang matlamat jangka panjang sekolah dan sejumlah set KPI yang perlu dipersetujui. Jika KPI ini dipenuhi maka Guru akan mendapat imbuhan yang setimpal, tetapi jika tidak, guru perlu bersedia untuk dikeluarkan dari sekolah tersebut.

Kita menyokong penuh hasrat Perdana Menteri untuk menggunakan KPI bagi mengukur prestasi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan. Bagaimanapun ada sedikit persoalan mengenai KPI ini yang memerlukan pertimbangan.

Pertama, KPI ini akan dinilai setiap enam bulan sekali. Tempoh enam bulan pertama secara relatifnya agak pendek bagi seorang Menteri dan Timbalan Menteri yang baru untuk memahami sesebuah kementerian, isu dan kehendak pihak berkepentingan.

Kedua, KPI berbeza bagi setiap kementerian dan jika tidak didefinisi dengan baik ia mungkin boleh memberi impak negatif kepada kerajaan. Misalnya, agak pelik jika KPI polis trafik ditetapkan berdasarkan jumlah saman yang perlu dikeluarkan setiap hari. Walaupun ada kebaikannya, namun ada kekurangannya.

Ketiga, jangan sampai terlalu banyak masa dihabiskan misalnya untuk mendefinisi KPI ataupun untuk membuat laporan KPI, sehingga perlu berseminar ke sana sini sampai tugas teras terabai. Atau, jangan juga sampai laporan tersebut dikosmetikkan bagi menampakkan yang indah-indah sahaja sedangkan pelaksanaannya tidak dirasai oleh rakyat. Kadang-kadang kita tertanya-tanya juga apakah kaedah penarafan bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), penilaian prestasi tahunan penjawat awam, Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) dan pelbagai kaedah lain yang pernah digunakan untuk menilai prestasi kerajaan mencerminkan pelaksanaan sebenar di peringkat rakyat.

Keempat, KPI perlu ada impak terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kelemahan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara. Pendekatan yang berbeza amat diperlukan bagi melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri. Misalnya, kita tidak mampu menunggu sehingga enam bulan ke satu tahun bagi sesuatu dokumen tender disediakan, tiga hingga enam bulan untuk keputusan dibuat dan enam bulan ke bertahun-tahun untuk sesuatu projek dilaksanakan. Kesemua ini akan menjejaskan aliran wang yang masuk ke dalam kitaran ekonomi negara!


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), 15 April 2009
Utusan Malaysia

Friday, April 10, 2009

Berikan kami seminggu lagi, kita mungkin menang...


Hampir semua Exco Pemuda Malaysia bergegas ke Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO 2009. Saya bukan dalam kalangan mereka ini kerana batuk dan demam kuat akibat hanya dapat tidur sejam atau dua sahaja sepanjang tempoh seminggu sebelum dan ketika perhimpunan agung kerana membantu penyediaan ucapan sambil mencuri-curi masa mengejar perwakilan sehingga jam 630 pagi sebagai usaha terakhir berkempen sebelum pemilihan. Saya percaya ramai exco dan perwakilan pun belum begitu sihat, tetapi mungkin badan mereka masih kuat bertahan. Walaupun tidak begitu sihat, alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan untuk berjalan kaki hampir sejauh 4 kilometer dan sempat hadir sewaktu penamaan calon.

Saya diberi tugas untuk menjaga tiga peti undi, iaitu Taman Bandar Baru, Batu Belachan dan Kampung Pokok Machang. BN kalah di ketiga-tiga peti undi ini pada Pilihan Raya Umum 2008. Taman Bandar Baru, kalah 126 undi; Batu Belachan, 4 undi, Kampung Pokok Machang, 3 undi. Kami mempunyai hanya seminggu untuk menyelaras, menyusun jentera dan memperbetulkan sikap pengundi-pengundi muda. Bukan satu tugas yang senang, lebih-lebih lagi bila masalah-masalah yang asas belum selesai!

Dalam keadaan peruntukan terhad, saya memuji Ketua Pemuda Baling, Ketua Pemuda Padang Serai, Ketua Pemuda Kulim-Bandar Baharu, Ketua Pemuda Arau, Ketua Pemuda Nibong Tebal, Ketua Pemuda Batu Kawan, Ketua Pemuda Balik Pulau dan Ketua Pemuda Bayan Baru yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menjadikan gerak kerja Pemuda di peti-peti undi ini lebih berkesan.

Alhamdulillah, saya telah menyaksikan sendiri pengorbanan bukan sahaja dari segi harta benda, wang ringgit, masa dan tenaga yang dicurahkan atas dasar perjuangan oleh Ketua-ketua Pemuda ini dan saya percaya sekiranya semangat ini berterusan UMNO akan dapat kita perkukuhkan dengan lebih cepat.

Semangat ini adalah seperti semangat para sahabat yang sanggup menderma dan menumbang tenaga dan kepakaran semasa umat Islam menghadapi Perang Badar. Ketika itu, sahabat-sahabat yang berada seperti Abdul Rahman Auf menderma harta dan ternakan beliau. Sahabat-sahabat lain membantu dari segi kepakaran, termasuk menempa pedang dan sebagainya. Inilah juga semangat perjuangan dan pengorbanan orang Melayu yang sanggup menderma banrang kemas dan harta semasa hendak menghantar rombongan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada Inggeris.

Saya bersyukur, dengan niat yang betul, semangat juang dan pengorbanan yang tinggi, gerak kerja yang jelas dan tepat dan semangat kerja berpasukan yang mantap antara semua peringkat - cawangan/bahagian/negeri, wanita, pemuda dan puteri, di peti undi Batu Belachan, kita menang 80 undi, di Kg. Pokok Machang, kita menang 30 undi dan di Taman Bandar Baru, kita berjaya mengurangkan majoriti kepada 111 undi.

Saya percaya jika kita ada satu minggu lagi, keputusan mungkin berbeza - jentera kita mungkin akan berjaya membongkar satu persatu temberang dan penipuan pembangkang serta merayu undi untuk calon BN - kita mungkin menang di Bukit Selambau.

Wednesday, April 8, 2009

Kutipan PIBG - Kenapa? Tak Percaya?


Ada dua e-mel menarik yang saya terima selepas artikel minggu lepas. Pertama, daripada earl yang tidak bersetuju bila saya menyatakan bahawa mungkin elok ditanda tangani persetujuan agar ibu bapa perlu bersedia menyumbang untuk kemajuan anak mereka di sekolah tersebut atau anak mereka tidak akan terima untuk belajar di situ. Bagi earl jika itu berlaku, sekolah terpilih hanya akan menjadi tempat anak-anak orang berada sahaja.

Sebenarnya earl, perkara itu tidak akan berlaku. Saya pernah menyatakan dalam kolum ini bahawa dalam hal kutipan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekiranya ibu bapa mempunyai kemampuan, maka sebagai golongan yang rasional dan bertimbang rasa, sewajarnya mereka memberikan sumbangan seperti yang dipersetujui seawal mungkin. Mereka tidak perlu menunggu sehingga pertengahan tahun untuk menyumbang kerana mereka sepatutnya memahami bahawa untuk memastikan PIBG dapat berperanan secara efektif, PIBG bukan sahaja perlu bermesyuarat awal tetapi perlu mempunyai dana yang mencukupi, seawal mungkin.

Bagi ibu bapa yang kurang bekemampuan, mereka boleh memberikan sumbangan apabila sudah terasa ringan bebanan atau buatlah sumbangan secara ansuran. Pengerusi PIBG dan pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara dalam menentukan hal pentadbiran sebegini.

Bagi ibu bapa yang miskin dan langsung tidak berkemampuan, mereka perlu memastikan anak-anak mereka berada di dalam senarai bantuan. Jika mereka layak dibantu, pentadbir sekolah dikehendaki menyenaraikan nama mereka untuk bantuan-bantuan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Terdapat juga sejumlah pengetua dan guru besar yang sangat proaktif dan berusaha untuk membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat, biarpun ia di luar bidang tugas mereka.

Seperkara lagi earl, persetujuan untuk menyumbang tidak semestinya di dalam bentuk wang ringgit sahaja. Saya bernasib baik berkesempatan melawat beberapa buah sekolah di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura dan ada amalan-amalan tertentu yang kita boleh pelajari daripada pentadbir sekolah-sekolah ini.

Di sekolah-sekolah di UK dan Australia, ibu bapa digalakkan menyumbang apa sahaja kepada sekolah. Dalam kes sekolah-sekolah yang saya lawati, ada yang membantu memotong rumput, membaiki paip, membuat kerja-kerja pembaikan dan pertukangan, mengajar kemahiran termasuk seni bela diri, menjadi pustakawan dan ada juga yang secara sukarela menjadi warden trafik, membantu anak-anak melintas jalan ke sekolah di waktu pagi!

Di sebuah sekolah indepedent terpilih di Singapura, ibu bapa berada akan diminta oleh pihak sekolah untuk menyumbang sejumlah wang bagi membantu pembayaran yuran pengajian atau program murid yang tidak berkemampuan atas premis kemanusiaan serta tanggung jawab sosial. Saya yakin, sekolah-sekolah terpilih di dalam negara kita boleh melakukan perkara yang sama.

E-mel kedua adalah daripada wanie yang mendakwa saya mengada-ngadakan cerita tentang sekolah luar bandar yang mengutip RM 50 bagi setiap anak sebagai kutipan PIBG.

Kapada wanie, saya suka menyatakan bahawa saya tidak perlu menipu untuk menegakkan sesuatu hujah. Kalau sudah salah, saya tidak akan berbohong, memanipulasi atau menunjuk perasaan di jalanan semata-mata untuk menegakkan benang yang basah.

Sebenarnya saya dimaklumkan tentang kutipan PIBG sebanyak itu di sebuah sekolah di luar bandar semasa berkempen di daerah Muar. Cuma saya tidak bertanya nama sebenar sekolah tersebut sebab saya tidak fikir ia penting pada ketika itu. Jadi saya tidak dapat menamakan sekolah tersebut dalam artikel minggu lepas.

Alhamdulillah Jumaat lalu semasa berkempen di Bukit Selambau, saya sempat bertanya dengan ibu bapa di daerah mengundi Batu Belachan tentang kutipan PIBG dan pandangan mereka mengenainya. Saya mendapat maklum di Sekolah Kebangsaan Sri Wangsa, Batu Belachan, kutipan PIBG (seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat agung PIBG sekolah tersebut) bagi murid sekolah rendah di peringkat Tahun Satu sehingga Tahun Lima adalah sebanyak RM 50 seorang setahun, manakala bagi murid di Tahun Enam adalah sebanyak RM 120 seorang.

Apa yang menakjubkan saya adalah reaksi ibu bapa yang rata-rata bekerja kampung dan menoreh getah ini. Nyatanya, mereka tidak membantah seperti bapa gred M48 di Putrajaya. Sebaliknya menerimanya dengan baik dan menganggapnya sebagai satu tanggung jawab terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Biarpun penerimaan ibu bapa di sini positif, namun saya berharap para pentadbir sekolah dan pengerusi PIBG di kawasan Kampung Pokok Machang dan Batu Belachan ini menggunakan budi bicara semasa membuat kutipan. Almaklumlah, sekarang musim hujan. Ramai yang tidak menoreh dan harga getah pula sedang rendah. Jangan pula dipaksa pembayaran penuh sedangkan mereka dikehendaki menggunakan budi bicara.

Apapun saya memuji sikap orang kampung di kawasan ini kerana nampaknya mereka lebih mengerti tentang tanggung jawab dan pengorbanan demi pendidikan anak-anak berbanding bapa gred M48 di Putrajaya. Kenapa? Tak Percaya?

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 8 April 2009

Thursday, April 2, 2009

Terima kasih dan maaf..


Pertamanya saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak ucapan terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah di atas kemenangan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 25 Mac 2009 tempoh hari. Saya ucapkan terima kasih di atas sokongan, bantuan, kata-kata semangat dan doa dari semua pihak.

Sesungguhnya saya melihat jawatan yang dimenangi ini bukan sebagai pangkat kebesaran, tetapi sebagai beban amanah dan tanggung jawab yang berat. Saya tidak mahu berjanji banyak, tetapi dengan sedikit kebolehan dan pengalaman yang ada di peringkat nasional dan bahagian serta di Kementerian Pelajaran, insya-Allah saya akan berusaha melaksanakan yang terbaik mungkin untuk membantu memperkukuhkan barisan Pemuda UMNO bagi menghadapi pembangkang pada pilihan raya akan datang dan membantu memasyarakatkan semula Pemuda UMNO seperti yang pernah kita lakukan sejak tahun 1999 sehingga 2004 dahulu. Peranan saya banyak bergantung kepada Biro mana yang akan dipertanggung jawabkan kepada saya, jika sesuai Bironya, insya-Allah akan lebih berkesan peranan yangboleh saya laksanakan. RAKAN BLOGGERS - TERIMA KASIH, insya-Allah kita akan berjuang seperti masa 2004 dulu, jika kena biro dan tugasannya.

Kedua, saya ingin memohon maaf kerana tidak sempat mengemas kini blog ini. Almaklumlah, sebaik sahaja selesai perhimpunan agung semua Exco telah bergerak ke Bukit Selambau dan Bukit Gantang bagi membantu jentera pilihan raya di sana. Seminggu sebelum itu, saya pula terlibat dengan pelbagai tugas yang diarahkan oleh Y.B. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sambil mencuri masa mengejar perwakilan sehingga ke awal pagi untuk berkempen!

Doakan kejayaan kami di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Mudah-mudahan rakyat dapat disedarkan akan pembohongan dan penipuan pembangkang. Semoga rakyat faham dan sedar, tujuan pihak-pihak tertentu menimbulkan kekacauan dalam negara hanya untuk mengganggu pentadbiran kerajaan BN semata-mata kerana gilakan kuasa.

Petikan ucapan Datuk Seri Hishammuddin dalam ucapan dasar terakhir beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, "Ingatlah, hakikatnya, BARISAN NASIONAL masih kekal diberi mandat oleh rakyat; masih kekal menguasai majoriti di Parlimen selepas Pilihan Raya ke-12. Kita kekal berjaya menubuhkan kerajaan. Keputusan pilihan raya berasaskan prinsip demokrasi masih berpihak kepada kita. Namun ada Petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia. Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan ILAHI menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong. Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul.

Ingatlah saudara, Si Petualang ini, oleh kerana gilakan kuasa, sanggup berbuat apa sahaja. Si Petualang sanggup menyemai benih kebencian; sanggup bersekongkol dengan musuh, tergamak menidakkan hak bangsa sendiri, menghina tanah airnya sendiri di pelbagai forum di serata dunia, bersedia mempersenda Institusi Raja dan sesiapa sahaja untuk memuaskan nafsu rakusnya. Biar apa pun yang hendak beliau lakukan, setiap kata dan setiap perbuatan beliau akan terpahat dalam sejarah bangsa – sejarah negara, sebagai manusia berbagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi, penuh kepura-puraan, melakukan pembohongan – melakukan manipulasi; lain di depan, lain di belakang. Wahai Petualang bangsa, pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat janganlah sama sekali melupakan pelanduk.


Siakap senohong gelama ikan duri
Cakap bohong lama-lama jual negeri

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini. Pemuda berikrar untuk mempertahankan setiap tiang seri yang telah menjadi asas menegakkan kedaulatan negara bangsa selama ini. Pemuda akan mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menegakkan kedaulatan undang-undang, memastikan hak dan kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera, kesucian agama Islam serta Institusi Raja-raja Melayu. Kita tidak akan membiarkan sama sekali, tiang-tiang seri di dalam negara ini dicabut dari bumi negara tercinta .

Sama-samalah kita mengambil peringatan dari apa yang pernah dititah oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah semasa Majlis Penyampaian Hadiah di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 21 Jun 2008, “bisikkan kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia. Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkan mereka akan sejarah bangsanya bernegara, berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja.

Kutipan PIBG membebankan?


Seorang bapa yang merupakan pegawai kerajaan bergred M48 paling banyak menentang di dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, dia memberikan gambaran seolah-olah kerajaan langsung tidak membantu persekolahan anaknya. Dia juga membantah jumlah kutipan yang dicadangkan oleh sekolah dan akhirnya mesyuarat dipaksa bersetuju untuk hanya mengutip RM 20 setahun bagi satu keluarga; satu jumlah yang sangat menyedihkan bila bercakap tentang pendidikan anak-anak, lebih-lebih lagi bila mengambil kira gred jawatan bapa tersebut, iaitu M48 dan penempatan anaknya di sebuah sekolah yang terpilih di persekitaran Putrajaya.

Ini adalah salah satu masalah utama berikutan pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengenai sumbangan PIBG. Disebut dalam pekeliling tersebut, walaupun kutipan ini dibenarkan, namun ia hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh semua ibu bapa dan pihak sekolah semasa Mesyuarat Agung PIBG. Hasrat KPM adalah mulia kerana mahu memberi lebih ruang kepada PIBG dan pihak sekolah untuk menentukan sendiri sebarang bentuk dan jumlah kutipan bagi memenuhi keperluan persekolahan murid di sekolah mereka. Malangnya sikap ibu bapa yang terlalu berkira menyulitkan keadaan.

Bagi bapa gred M48 ini, saya suka memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah, Biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makan Khas Prasekolah, Bantuan Jaket Keselamatan Murid dan Bantuan Pengangkutan Murid, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Pada tahun 2007, KPM juga telah memansuhkan semua yuran peperiksaan awam. Sebanyak RM 93.5 juta telah diperuntukkan bagi mengganti semula hasil kutipan bagi yuran peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Manakala sebanyak RM12.87 juta telah dibelanjakan untuk peperiksaan STPM.
Pada tahun yang sama, KPM telah mengadakan pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga dan jenis sekolah pada tahun 2008. Sebanyak RM 139,784,051 diperuntukkan bagi mengadakan Skim Pinjaman Buku Teks ini yang memberi manfaat kepada 4.5 juta murid, iaitu 81.5 peratus daripada jumlah pelajar di semua sekolah KPM. Pada tahun 2008, KPM juga telah memansuhkan yuran khas sekolah sebanyak RM 4.50 untuk sekolah rendah dan RM 9.00 untuk sekolah menengah telah dimansuhkan.

Pada tahun 2006, kerajaan telah menaikkan peruntukan kokurikulum dari RM 2.56 setahun kepada RM 10 setahun bagi setiap pelajar di sekolah rendah dan RM 12 setahun bagi setiap pelajar di sekolah menengah. Jumlah ini memadai untuk melaksanakan sejumlah aktiviti kokurikulum di sekolah dan jangan pula dibazirkan untuk membeli yang bukan-bukan.

Pada tahun 2009 pula, KPM telah mengadakan geran per kapita untuk tabung PIBG, iaitu RM 8 bagi seorang pelajar di sekolah rendah dan RM 10 bagi seorang pelajar di sekolah menengah. Ini bermaksud jika sebuah sekolah menengah mempunyai 1000 orang pelajar, peruntukan geran per kapita bagi PIBG sekolah tersebut adalah sebanyak RM 10,000 yang boleh digunakan untuk menampung pelbagai aktiviti pelajar. Jumlah ini tidak termasuk geran per kapita yang diperuntukkan untuk membeli buku-buku di pusat sumber.

Apalah nilai RM 20 setahun per keluarga bagi seorang bapa bergred M48 di Putrajaya? Di sekolah luar bandar pun, berdasarkan maklum balas yang saya terima, ada PIBG yang mengutip sehingga RM 50 setahun bagi setiap orang anak. Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tertentu, selain kutipan PIBG, ada sekolah yang mengutip RM 150 hingga RM 200 SEBULAN untuk melaksanakan pengajaran sukatan pelajaran luar negara di waktu petang, termasuk mengadakan kelas tuisyen.
Mungkin sudah sampai masanya, pihak sekolah mengenakan syarat bagi ibu bapa yang hendak menghantar anak mereka ke sekolah yang terpilih. Mungkin elok ditanda tangani persetujuan bahawa ibu bapa perlu bersedia menyumbang untuk kemajuan anak-anak mereka di sekolah tersebut atau anak mereka tidak akan terima untuk belajar di situ.

Jika ibu bapa mahu memilih sekolah, mungkin elok juga sekolah diberi pilihan untuk memilih ibu bapa yang sesuai untuk mereka. Dalam kes bapa bergred M48 yang sangat berkira ini, mungkin elok anaknya dihantar ke sekolah lain sahaja.


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 1 April 2009

Popular Posts