Thursday, April 2, 2009

Kutipan PIBG membebankan?


Seorang bapa yang merupakan pegawai kerajaan bergred M48 paling banyak menentang di dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, dia memberikan gambaran seolah-olah kerajaan langsung tidak membantu persekolahan anaknya. Dia juga membantah jumlah kutipan yang dicadangkan oleh sekolah dan akhirnya mesyuarat dipaksa bersetuju untuk hanya mengutip RM 20 setahun bagi satu keluarga; satu jumlah yang sangat menyedihkan bila bercakap tentang pendidikan anak-anak, lebih-lebih lagi bila mengambil kira gred jawatan bapa tersebut, iaitu M48 dan penempatan anaknya di sebuah sekolah yang terpilih di persekitaran Putrajaya.

Ini adalah salah satu masalah utama berikutan pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengenai sumbangan PIBG. Disebut dalam pekeliling tersebut, walaupun kutipan ini dibenarkan, namun ia hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh semua ibu bapa dan pihak sekolah semasa Mesyuarat Agung PIBG. Hasrat KPM adalah mulia kerana mahu memberi lebih ruang kepada PIBG dan pihak sekolah untuk menentukan sendiri sebarang bentuk dan jumlah kutipan bagi memenuhi keperluan persekolahan murid di sekolah mereka. Malangnya sikap ibu bapa yang terlalu berkira menyulitkan keadaan.

Bagi bapa gred M48 ini, saya suka memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah, Biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makan Khas Prasekolah, Bantuan Jaket Keselamatan Murid dan Bantuan Pengangkutan Murid, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Pada tahun 2007, KPM juga telah memansuhkan semua yuran peperiksaan awam. Sebanyak RM 93.5 juta telah diperuntukkan bagi mengganti semula hasil kutipan bagi yuran peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Manakala sebanyak RM12.87 juta telah dibelanjakan untuk peperiksaan STPM.
Pada tahun yang sama, KPM telah mengadakan pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga dan jenis sekolah pada tahun 2008. Sebanyak RM 139,784,051 diperuntukkan bagi mengadakan Skim Pinjaman Buku Teks ini yang memberi manfaat kepada 4.5 juta murid, iaitu 81.5 peratus daripada jumlah pelajar di semua sekolah KPM. Pada tahun 2008, KPM juga telah memansuhkan yuran khas sekolah sebanyak RM 4.50 untuk sekolah rendah dan RM 9.00 untuk sekolah menengah telah dimansuhkan.

Pada tahun 2006, kerajaan telah menaikkan peruntukan kokurikulum dari RM 2.56 setahun kepada RM 10 setahun bagi setiap pelajar di sekolah rendah dan RM 12 setahun bagi setiap pelajar di sekolah menengah. Jumlah ini memadai untuk melaksanakan sejumlah aktiviti kokurikulum di sekolah dan jangan pula dibazirkan untuk membeli yang bukan-bukan.

Pada tahun 2009 pula, KPM telah mengadakan geran per kapita untuk tabung PIBG, iaitu RM 8 bagi seorang pelajar di sekolah rendah dan RM 10 bagi seorang pelajar di sekolah menengah. Ini bermaksud jika sebuah sekolah menengah mempunyai 1000 orang pelajar, peruntukan geran per kapita bagi PIBG sekolah tersebut adalah sebanyak RM 10,000 yang boleh digunakan untuk menampung pelbagai aktiviti pelajar. Jumlah ini tidak termasuk geran per kapita yang diperuntukkan untuk membeli buku-buku di pusat sumber.

Apalah nilai RM 20 setahun per keluarga bagi seorang bapa bergred M48 di Putrajaya? Di sekolah luar bandar pun, berdasarkan maklum balas yang saya terima, ada PIBG yang mengutip sehingga RM 50 setahun bagi setiap orang anak. Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tertentu, selain kutipan PIBG, ada sekolah yang mengutip RM 150 hingga RM 200 SEBULAN untuk melaksanakan pengajaran sukatan pelajaran luar negara di waktu petang, termasuk mengadakan kelas tuisyen.
Mungkin sudah sampai masanya, pihak sekolah mengenakan syarat bagi ibu bapa yang hendak menghantar anak mereka ke sekolah yang terpilih. Mungkin elok ditanda tangani persetujuan bahawa ibu bapa perlu bersedia menyumbang untuk kemajuan anak-anak mereka di sekolah tersebut atau anak mereka tidak akan terima untuk belajar di situ.

Jika ibu bapa mahu memilih sekolah, mungkin elok juga sekolah diberi pilihan untuk memilih ibu bapa yang sesuai untuk mereka. Dalam kes bapa bergred M48 yang sangat berkira ini, mungkin elok anaknya dihantar ke sekolah lain sahaja.


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 1 April 2009

3 comments:

Nazrul Hilmi said...

Salam....

Tahniah atas pendedahan berani (tapi bukan baharu) tuan. Hakikatnya beginilah sikap tipikal (tak semua tapi kebanyakan) ibu-bapa Melayu, tak kira pegawai elit kerajaan, korporat swasta, peniaga, mahupun yang marhaen (kais gaji makan gaji, kais OT makan OT, kais part-time makan part-time). Untuk perkara-perkara lain, mereka sanggup berhabis-habisan biar papa asalkan bergaya, tetapi bila kena keluar duit sedikit untuk tujuan pendidikan anak-anak, Ya Rabbi Ya Salam... BERKIRA bukan main!

Jiran sebelah rumah saya (si suami seorang staf sokongan di sebuah IPTA berdekatan, si isteri seorang minah kilang) pun sama. Di rumahnya macam-macam ada, perabot, permaidani, hi-fi, sebut sajalah! Tapi untuk senaskhah buku bacaan wajib Bahasa Melayu PMR anaknya, sanggup tebalkan muka minta pinjam yg adik saya punya (adik saya sekarang di tingkatan 4, Alhamdulillah PMRnya 8A). Bukan itu saja, setiap kali anaknya perlu menyiapkan tugasan dalam bentuk bertaip (folio atau kerjakursus), si bapa akan bawa pulang laptop milik jabatan yg diamanahkan kepadanya untuk kegunaan berkaitan tugas atau disimpan (bukan untuk disalahguna untuk kegunaan peribadi dan anak-pinak). Perabot dan permaidani yg kalau dicampur harganya boleh mencecah berbelas ribu boleh beli, tapi sebuah komputer asas semurah RM1,000-1,500 dan buku yg tak berapa ringgit itu tak mampu beli??? Terdetik dalam hati saya... “Masya-Allah, benda lain semuanya boleh beli, tapi...”

Bila tuan sebut si bapa itu "M48" dan bukan secara umum "gred 48", dah terang lagi bersuluh si bapa itu pegawai apa. Kalau orang lain bersikap begitu agaknya boleh tahan lagi, tapi tampaknya amat memalukan kalau seorang penjawat awam skim "M" (yg dikatakan paling elit dalam sektor awam di mana-mana negara pun) pun ada mentaliti seperti ini. Apatah lagi sebagai seorang pegawai "M" sepatutnya dia lebih tahu betapa kerajaan telah banyak berusaha dan berbelanja untuk pendidikan rakyat. Don’t tell me an “M” officer doesn’t know “dasar-dasar kerajaan”! Takkanlah dia sebagai seorang pegawai "M" tidak tahu betapa besar peratusan daripada KDNK negara dibelanjakan untuk bidang pendidikan?

”Dalam kes bapa bergred M48 yang sangat berkira ini, mungkin elok anaknya dihantar ke sekolah lain sahaja.” Maaf yg ini saya kurang setuju. Yang bermasalah bukan si anak tapi si bapanya. Bukan si anak yg patut ditukar ke sekolah lain, tetapi si bapa itu yg patut ditukar skim lain dan diturunkan gred. Si bapa M48 ini tidak layak jadi pembuat dasar kerajaan... ngabihkan boreh pembayar cukai aje!

Itulah, kadang-kadang terfikir pula.... nak salahkan guru-guru dan pihak sekolah/sistem pendidikan pun tak boleh juga... macam manalah nak dapatkan komitmen 100% dari semua pihak lebih-lebih lagi kalau berhadapan dengan mentaliti ibubapa yg seperti itu! Mereka selalu berkehendakkan orang lain memberi komitmen 100% tetapi di pihak mereka sendiri...???

p/s Ada harapan artikel tuan kali ni meletup satu Putrajaya, hehehe...!!!

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Terima kasih saudara Nazrul Hilmi,

Sengaja saya sebut M48 sebab di Putrajaya ni lebih 90 peratus pegawai kerajaan. Jadi mungkin lebih mudah golongan tertentu terasa, jika mereka termakan cili. Ada sebabnya. Tafsirlah sendiri. :)

FND said...

Isu golongan mana tidak memberikan signifikan sangat..tetapi pegawai kerajaan sendiri..yang tidak menyokong dasar dan sistem yang diperkenalkan oleh golongan mereka sendiri.. hairan kerana pegawai kerajaan bersikap sedemikian..pastinya ada sesuatu yang tidak kena...sama ada mereka memberontak kerana beberapa keputusan atau dasar itu bertentangan dengan pandangan kumpulan mereka atau menjejaskan kepetingan mereka. Sebab itulah pegawai yang sedemikian perlu mengenepikan prinsip peribadi dan mengutamakan kepentingan masyarakt dan negara. Teruskan bro memberikan pandangan dan ide demi kepentingan dan kemajuan negara kita khususnya mengenai isu untuk memajukan sistem pendidikan negara. jangan kecewa kerana hanya sato golongan yang begitu menyebabkan keseluruhan tergendala..kita sama-sama berusaha untuk memajukan dan membangunkan negara kita macam Korea, Jepun yang bergerak pantas jangan terperanjat jika Vietnam, Cambodia, Thailand akan meninggalkan jauh kita dalam tempoh terdekat ini.

Popular Posts