Wednesday, April 8, 2009

Kutipan PIBG - Kenapa? Tak Percaya?


Ada dua e-mel menarik yang saya terima selepas artikel minggu lepas. Pertama, daripada earl yang tidak bersetuju bila saya menyatakan bahawa mungkin elok ditanda tangani persetujuan agar ibu bapa perlu bersedia menyumbang untuk kemajuan anak mereka di sekolah tersebut atau anak mereka tidak akan terima untuk belajar di situ. Bagi earl jika itu berlaku, sekolah terpilih hanya akan menjadi tempat anak-anak orang berada sahaja.

Sebenarnya earl, perkara itu tidak akan berlaku. Saya pernah menyatakan dalam kolum ini bahawa dalam hal kutipan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekiranya ibu bapa mempunyai kemampuan, maka sebagai golongan yang rasional dan bertimbang rasa, sewajarnya mereka memberikan sumbangan seperti yang dipersetujui seawal mungkin. Mereka tidak perlu menunggu sehingga pertengahan tahun untuk menyumbang kerana mereka sepatutnya memahami bahawa untuk memastikan PIBG dapat berperanan secara efektif, PIBG bukan sahaja perlu bermesyuarat awal tetapi perlu mempunyai dana yang mencukupi, seawal mungkin.

Bagi ibu bapa yang kurang bekemampuan, mereka boleh memberikan sumbangan apabila sudah terasa ringan bebanan atau buatlah sumbangan secara ansuran. Pengerusi PIBG dan pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara dalam menentukan hal pentadbiran sebegini.

Bagi ibu bapa yang miskin dan langsung tidak berkemampuan, mereka perlu memastikan anak-anak mereka berada di dalam senarai bantuan. Jika mereka layak dibantu, pentadbir sekolah dikehendaki menyenaraikan nama mereka untuk bantuan-bantuan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Terdapat juga sejumlah pengetua dan guru besar yang sangat proaktif dan berusaha untuk membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat, biarpun ia di luar bidang tugas mereka.

Seperkara lagi earl, persetujuan untuk menyumbang tidak semestinya di dalam bentuk wang ringgit sahaja. Saya bernasib baik berkesempatan melawat beberapa buah sekolah di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura dan ada amalan-amalan tertentu yang kita boleh pelajari daripada pentadbir sekolah-sekolah ini.

Di sekolah-sekolah di UK dan Australia, ibu bapa digalakkan menyumbang apa sahaja kepada sekolah. Dalam kes sekolah-sekolah yang saya lawati, ada yang membantu memotong rumput, membaiki paip, membuat kerja-kerja pembaikan dan pertukangan, mengajar kemahiran termasuk seni bela diri, menjadi pustakawan dan ada juga yang secara sukarela menjadi warden trafik, membantu anak-anak melintas jalan ke sekolah di waktu pagi!

Di sebuah sekolah indepedent terpilih di Singapura, ibu bapa berada akan diminta oleh pihak sekolah untuk menyumbang sejumlah wang bagi membantu pembayaran yuran pengajian atau program murid yang tidak berkemampuan atas premis kemanusiaan serta tanggung jawab sosial. Saya yakin, sekolah-sekolah terpilih di dalam negara kita boleh melakukan perkara yang sama.

E-mel kedua adalah daripada wanie yang mendakwa saya mengada-ngadakan cerita tentang sekolah luar bandar yang mengutip RM 50 bagi setiap anak sebagai kutipan PIBG.

Kapada wanie, saya suka menyatakan bahawa saya tidak perlu menipu untuk menegakkan sesuatu hujah. Kalau sudah salah, saya tidak akan berbohong, memanipulasi atau menunjuk perasaan di jalanan semata-mata untuk menegakkan benang yang basah.

Sebenarnya saya dimaklumkan tentang kutipan PIBG sebanyak itu di sebuah sekolah di luar bandar semasa berkempen di daerah Muar. Cuma saya tidak bertanya nama sebenar sekolah tersebut sebab saya tidak fikir ia penting pada ketika itu. Jadi saya tidak dapat menamakan sekolah tersebut dalam artikel minggu lepas.

Alhamdulillah Jumaat lalu semasa berkempen di Bukit Selambau, saya sempat bertanya dengan ibu bapa di daerah mengundi Batu Belachan tentang kutipan PIBG dan pandangan mereka mengenainya. Saya mendapat maklum di Sekolah Kebangsaan Sri Wangsa, Batu Belachan, kutipan PIBG (seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat agung PIBG sekolah tersebut) bagi murid sekolah rendah di peringkat Tahun Satu sehingga Tahun Lima adalah sebanyak RM 50 seorang setahun, manakala bagi murid di Tahun Enam adalah sebanyak RM 120 seorang.

Apa yang menakjubkan saya adalah reaksi ibu bapa yang rata-rata bekerja kampung dan menoreh getah ini. Nyatanya, mereka tidak membantah seperti bapa gred M48 di Putrajaya. Sebaliknya menerimanya dengan baik dan menganggapnya sebagai satu tanggung jawab terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Biarpun penerimaan ibu bapa di sini positif, namun saya berharap para pentadbir sekolah dan pengerusi PIBG di kawasan Kampung Pokok Machang dan Batu Belachan ini menggunakan budi bicara semasa membuat kutipan. Almaklumlah, sekarang musim hujan. Ramai yang tidak menoreh dan harga getah pula sedang rendah. Jangan pula dipaksa pembayaran penuh sedangkan mereka dikehendaki menggunakan budi bicara.

Apapun saya memuji sikap orang kampung di kawasan ini kerana nampaknya mereka lebih mengerti tentang tanggung jawab dan pengorbanan demi pendidikan anak-anak berbanding bapa gred M48 di Putrajaya. Kenapa? Tak Percaya?

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 8 April 2009

No comments:

Popular Posts