Monday, May 4, 2009

Bermulanya perekayasaan Pemuda UMNO

Semalam, 3 Mei telah berakhir Khemah Kerja Perdana Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Latihan UMNO, ILMU, Janda Baik, Pahang. Khemah kerja ini telah dirasmikan oleh Y.B. Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan telah disempurnakan penutupannya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO.

Dalam khemah kerja ini, Khairy telah menzahirkan beberapa perkara penting bagi menentukan hala tuju Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Pertama; MISI yang jelas daripada Presiden Parti, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu "untuk mengembalikan sokongan golongan muda, tanpa mengira Melayu atau kaum lain terhadap Barisan Nasional (BN)." Kedua, lima TERAS atau perjuangan Pemuda UMNO, iaitu berprinsip, relevan, pro-aktif, inklusif dan bersatu.

Berdasarkan kefahaman saya, lima TERAS ini boleh diterjemahkan sebagai;

Berprinsip - dalam usaha mengembalikan sokongan golongan muda, Pemuda UMNO tidak akan sekali-kali menggadai perjuangan mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara, perlembagaan negara, kontrak sosial dan perjuangan memartabat agama, bangsa dan tanah air.

Relevan - bahawa Pemuda UMNO perlu mendengar suara hati rakyat, menjadi mata, telinga dan juru bicara mereka. Pendekatan dan program Pemuda UMNO perlu memenuhi aspirasi rakyat dan selari dengan minat, trend serta keinginan rakyat.

Pro-aktif - bahawa Pemuda UMNO perlu bertindak sebelum masalah berlaku; merancang ke hadapan bukan bertindak secara ad-hoc, berinisiatif bukan bersifat reaktif.

Inklusif - perjuangan, aktiviti dan program yang dirancang perlu melibatkan bukan hanya ahli UMNO tetapi semua golongan muda, bukan hanya orang Melayu tetapi juga bukan Melayu, termasuk mereka yang kelihatan bersikap anti-establishment, sinis, pesimistik mahupun penentang (jangan buat program syok sendiri!!!!).

Bersatu - hanya Pemuda UMNO yang bersatu dapat melaksanakan amanah agama dan bangsa dengan cemerlang.

Bagi menterjemahkan hasrat yang dibawa oleh MISI dan LIMA TERAS ini, Khairy juga telah memperkenalkan sejumlah perubahan dan apa yang saya istilahkan sebagai melaksanakan perekayasaan (reengineering) dalam membentuk struktur organisasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baru.

Perubahan yang saya maksudkan adalah pertamanya apabila beliau membentuk 28 biro, sekretariat dan unit berbanding amalan tradisi, 10 atau 12 biro sebelum ini. Khairy juga telah memperkenalkan beberapa biro baru sebagai tambahan kepada biro tradisi organisasi UMNO di samping memperkenalkan sekretariat dan unit tertentu bagi membantu pelaksanaan misi yang ditetapkan. Rasionalnya - tugas kita terlalu banyak dan kita perlukan seramai mungkin tenaga bagi memastikan misi kita terlaksana. Ini juga selaras dengan hasrat Khairy untuk melakukan transformasi; iaitu menjadikan Pemuda UMNO bukan sahaja berperanan sebagai sayap parti politik semata-mata, sebaliknya turut menjadi satu gerakan sosial.

Kedua, dari segi melantik kesemua Ahli Jawatankuasa (Exco) sebagai pengerusi kepada biro, sekretariat dan unit yang ditubuhkan. Melalui langkah ini, setiap anggota Exco telah diberi pengiktirafan sewajarnya sebagai pemimpin yang akan mengetuai fungsi masing-masing dan bukan lagi sebagai orang nombor satu dan nombor dua di dalam melaksanakan fungsi mereka. Melalui langkah ini juga pengupayaan dan kepercayaan telah diberi kepada setiap Exco bagi membuktikan keupayaan masing-masing di samping membentuk pasukan yang terbaik bagi melaksanakan tugasan mereka.

Ketiga, melaksanakan perekayasaan organisasi Pemuda UMNO. Dari segi kefahamannya, perekayasaan bermaksud usaha mereka bentuk semula secara radikal proses-proses di dalam organisasi. Selalunya dalam melaksanakan perekayasaan, organisasi tidak disusun mengikut pengkhususan fungsi sebaliknya disusun dengan membentuk pasukan yang berkeupayaan menyempurnakan sesuatu tugasan secara lengkap. Dalam perekayasaan, pasukan merentasi fungsi atau cross functional team akan dibentuk terdiri daripada ahli yang berbeza kepakaran dari segi fungsi bagi mencapai matlamat organisasi dan dalam keadaan tertentu akan terdapat ahli-ahli yang datang daripada luar organisasi.

Senarai Pengerusi dan Biro, Sekretariat dan Unit adalah seperti berikut;
Biro Politik - Y.B. Khairy Jamaluddin
Sekretariat Pengurusan - Y.B. Datuk Razali Ibrahim
Sekretariat Penerangan - Datuk Reezal Merican Naina Merican
Biro Perhubungan NGO - Sdr Mohd Suffian Awang
Sekretariat Profesional Muda - Sdr Shafiqurrahman Shamsuddin
Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan - Sdr Sohaimi Shahadan
Biro Pelajaran - Sdr Gasing Saling
Biro Agama - Sdr Ustaz Mohd Affendi Yusof
Biro Hal Ehwal Luar Bandar - Y.B. Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak
Biro Kebudayaan dan Kesenian - Sdr Jamawi Jaafar
Biro Hal Ehwal Bandar - YM Tengku Azman Tengku Zainol Abidin
Biro Antarabangsa/AMAN Malaysia - Datuk Ahmad Zaki Zahid
Biro Sukan - Datuk Ahmad Darus
Biro Pendidikan Politik - Sdr Ali Mazat Salleh
Biro Putera UMNO - Sdr Hj Megat Zulkarnain Hj Omardin
Biro Pertanian & Industri Asas Tani - Sdr Zubir Zabidi
Sekretariat Pekerja Muda - Sdr Nazir Hussin Akhtar Hussin
Unit Pidato & Penghujahan Umum - Sdr Lokman Noor Adam
Biro Pendidikan Tinggi - Sdr Ustaz Syahrin Jamaluddin
Unit Media Baru - saya la .. :)
Biro Aduan Komuniti - Datuk Mohd Khairun Tan Sri Aseh
Biro Keahlian dan Pemilih - Sdr Mohd Hishamuddin Yahaya
Biro Sosial-Etika - Sdr Mohd Iruan Zulkefli
Unit Perang Saraf - Sdr Anis Hisham Abdul Aziz
Tugas-Tugas Khas - Abdul Razak Abdul Rahman
Akademi Pemuda - Khairul Azwan Datuk Harun
Sekretariat Pemuda BN dan 1Malaysia - Sdr Faizal Hj Ramli
Sekretariat Perhubungan Kerajaan - Sdr Badrol Hisham Zaki
Dari pemerhatian saya sepanjang kursus, saya dapati semangat masing-masing, termasuk Ketua-ketua Pemuda Negeri, amat tinggi untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan. Dibantu dengan latar belakang dan pengalaman yang baik, saya percaya kita mempunyai barisan yang berwibawa.

Segala perancangan telah diturunkan ke atas kertas, kini masa untuk melaksanakan tindakan. Doakan kami. Kami akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan pengundi muda dapat dikembalikan ke pangkuan UMNO dan BN, insya-Allah.

4 comments:

Generasi Muda Tikam Batu said...

Salam.
Semoga berjaya bro dan kawan-kawan. Tunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberi.
Cg Zam, ex G2 Sg Petani.

Anonymous said...

Tahniah Bro
- KP Bunga Mawar

Panglima Perang Cyber said...

salam tuan blog.

terima kasih membuat link blog saya di blog tuan.

semoga jaringan pejuang akan lebih gemilang lagi dengan kerjasama sesama kita di dalam membasuh minda rakyat agar setia dan menyokong kebenaran yang kita bawa.

salam perjuangan!

Anonymous said...

Tahniah saudara Tun,
Semoga dengan perlantikan ini akan menguatkan lagi semangat saudara untuk memperkuatkan pemuda umno melalui biro saudara.Buktikan saudara mampu melaksanakan amanah yang telah diberikan walau dalam apa jua keadaan.

Ketua Pemuda Orkid

Popular Posts