Thursday, March 12, 2009

PPSMI - Kesediaan Guru


Saya percaya ketika Tun Dr Mahathir hendak melaksanakan program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dahulu, faktor kesediaan guru sememangnya menjadi kegusaran utama beliau. Saya percaya beliau sedar bahawa sebahagian besar guru di dalam negara dilatih di dalam bahasa Melayu dan disebabkan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk menggerakkan dasar yang baru.

Beliau juga sedar, untuk kita mendapatkan khidmat guru-guru dari luar negara, ianya bukan mudah dan murah. Ia akan merugikan aliran tunai negara dari segi jangka masa panjang. Mereka juga tidak boleh didapati dalam masa yang cepat dan tidak semestinya mereka ini guru yang berkualiti.

Maka difikirkan beberapa kaedah untuk membantu para guru kita. Pertama, disediakan bahan-bahan pembelajaran kendiri agar guru-guru dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Kedua, disediakan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), agar melaluinya guru-guru kita dapat mencari sendiri kaedah lain, termasuk mengikuti kursus untuk meningkatkan keupayaan berbahasa mereka. Ketiga, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sendiri ada mengadakan kursus persediaan setahun lebih awal, iaitu menerusi kursus English for the Teaching of Mathematics and Science (ETEMS) dan Kursus Orientasi Sains dan Matematik (KOSM).

Keempatnya, profesional pendidikan memikirkan ada kemungkinan guru-guru ini boleh dibantu dengan menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Disebabkan itu guru-guru kita dibekalkan dengan komputer bimbit, bukan komputer meja.

Kenapa bukan komputer meja? Bukankah lebih elok dan lebih senang diletakkan komputer di dalam kelas dan kemudiannya guru boleh menggunakannya dengan mudah, tanpa perlu mengangkutnya dari satu tempat ke satu tempat? Dibekalkan pula dengan `teaching courseware’ (perisian pengajaran) bukan 'learning courseware' (perisian pembelajaran)? Apa beza antara keduanya?

Guru dibekal dengan komputer bimbit sebenarnya untuk membolehkan mereka mempersiapkan diri di rumah atau di mana-mana sahaja sebelum kelas keesokan harinya. Jika dibekalkan dengan komputer meja di kelas atau di bilik guru (itu pun jika ada ruang lagi), tentulah bukan mudah untuk guru mempersiapkan diri.

Guru dibekalkan dengan perisian pengajaran agar mereka boleh menggunakannya untuk memperbaiki pengajaran mereka di dalam kelas dari segi menerangkan konsep-konsep matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Berlatihlah berulang kali sehingga fasih. Kandungan yang interaktif dan beranimasi pula boleh dijadikan panduan kepada guru untuk menjadikan pengajaran mereka di dalam kelas lebih menarik dan mudah difahami pelajar. Dalam perisian ini pula, jika guru rajin menerokanya, dapat dilihat bahawa guru-guru dibantu dari segi telah tersedia ruangan latihan untuk guru dan murid, ringkasan mengajar dan kerja rumah. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, beban tugas guru sebenarnya akan menjadi ringan sedikit.

Jika guru menganggap kandungannya terlalu susah atau terlalu mudah untuk murid mereka, maka terserah kepada kebijaksanaan guru untuk mengolah semula bahan-bahan di dalamnya untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih sesuai untuk keupayaan pelajar mereka. Lagipun di dalam komputer bimbit yang diberikan terdapat aplikasi yang dibekalkan untuk tujuan.

Dalam latihan perkakasan PPSMI Fasa Empat, perubahan dilakukan dalam modul latihan bagi membolehkan guru-guru memanfaatkan sepenuhnya komputer bimbit dan perisian yang diberi, membina dan mencari sendiri bahan bantu mengajar menggunakan ICT, seterusnya membolehkan mereka memperoleh dan berkongsi bahan-bahan tersebut dengan ramai melalui internet.

Saya percaya Tun Dr Mahathir, Menteri Pelajaran dan profesional pendidikan ketika itu sedar bahawa guru-guru kita memang belum bersedia tetapi disebabkan keperluan untuk menguasai subjek ini dalam bahasa Inggeris dilihat amat mendesak dalam konteks globalisasi, maka diusahakan pelbagai kaedah untuk membantu guru-guru kita.

Cuma, sama ada dari segi pelaksanaan ia berlaku seperti yang dirancang, itu adalah pertanyaan yang perlu dijawab oleh pengetua, guru besar, guru penolong kanan dan guru yang terlibat. Itu juga soalan yang perlu dijawab oleh pegawai pelaksana yang berada di sejumlah bahagian di KPM dan Kementerian Kewangan.

Dari segi kajian yang dibuat, saya berpandangan masyarakat tidak boleh memandang rendah kesungguhan guru kita untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Berdasarkan nota saya dalam Persidangan Meja Bulat Pertama, dapatan Ujian Penilaian Tahap Profesiensi (PTP) ke atas guru Bahasa Inggeris yang dibentangkan menunjukkan bahawa peratus guru yang berada di tahap profisien pada tahun 2007 adalah sebanyak 32 peratus manakala yang berada di bawah tahap profisien adalah sebanyak 68 peratus, tetapi pada tahun 2008 peratus yang berada di tahap profisien ini sudah meningkat ke tahap 64 peratus dan yang berada di bawah tahap profisien pula menurun kepada 36 peratus.


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 12 Mac 2009

No comments:

Popular Posts