Wednesday, February 11, 2009

Agenda Memperkasa Bahasa Kebangsaan


Sejauh mana kesungguhan kita untuk memperkasa bahasa kebangsaan? Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), fokus yang PERTAMA sekali disebut di dalam Teras Pertama PIPP, Membina Negara Bangsa adalah usaha Memperkasa Bahasa Kebangsaan. Ini menunjukkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyedari akan kepentingan bahasa kebangsaan dalam usaha membina sebuah masyarakat Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Sebenarnya, tidak ada sebuah negara di dalam dunia ini yang begitu komited untuk memartabat dan mengangkat kedudukan bahasa kebangsaannya seperti negara kita. Di negara lain tidak ada organisasi yang diwujudkan oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM); dan tiada dasar khusus seperti Dasar Buku Negara.

Dari segi perlembagaan dan perundangan pula, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Akta Pendidikan 1996 sekali lagi telah menegaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan dan mengkehendaki agar ia diajar sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah di dalam negara.

Hasrat ini telah diterjemahkan dengan tindakan apabila bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib yang perlu diajar bukan sahaja di sekolah kebangsaan, tetapi juga sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Bukan sahaja ia menjadi bahasa pengantar utama di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas seperti di dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum. Ini tidak termasuk pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusateraan yang dianjurkan oleh KPM sepanjang tahun baik di peringkat sekolah, daerah mahupun nasional.

Begitu pun, sejak lebih 10 tahun yang lalu, penggunaan bahasa kebangsaan seolah-olah semakin merosot. Misalnya, dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum terutama di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan. Malah ada dalam kalangan ibu bapa Melayu ada yang menggunakan bahasa Inggeris sewaktu bercakap dengan anak-anak mereka. Pada waktu yang sama, peranan buku, majalah, akhbar dan media berbahasa Melayu sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan budaya rakyat Malaysia sudah semakin kurang menyerlah.

Pada tahun 2004, walaupun kita menyedari terdapat pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan yang dilaksanakan di dalam negara merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya di dalam kurikulum dan juga kokurikulum, aktviti pembangunan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan serta aktiviti kesusasteraan seperti sayembara puisi, pertandingan berbalas pantun, syarahan, pertandingan menulis cerpen dan puisi serta banyak lagi, namun ia hanya kelihatan seperti aktiviti rutin semata-mata. Kelemahan dari aspek koordinasi pula menyebabkan setiap organisasi yang terbabit dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan seperti DBP, ITNM, MBKM dan PNM, kelihatan seperti membawa arah dan haluan sendiri.

Dalam konteks Dasar Buku Negara pula, jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Statistik PNM pada tahun 2003, misalnya menunjukkan negara kita Cuma menerbitkan sekitar 6,500 judul buku pelbagai bidang dan hanya kira-kira 500 darinya merupakan judul buku bacaan umum. Sedangkan Korea Selatan yang mempunyai penduduk berjumlah lebih kurang 40 juta orang, dilaporkan menerbitkan sebanyak lebih kurang 40,000 judul buku setiap tahun. 70 peratus darinya adalah judul untuk bacaan umum!

Manakala usaha penterjemahan dari bahasa asing ke Bahasa Kebangsaan juga masih terlalu kecil dan perlahan. Ini tidak termasuk isu-isu seperti masalah penerbitan, penterjemahan, perbezaan pendapat dalam kalangan penulis muda dan lama serta pertelingkahan dalam kalangan persatuan-persatuan penulis.

Disebabkan itu, pada tahun 2004, Menteri Pelajaran telah berusaha menggerakkan satu gelombang gerakan Memperkasa Bahasa Kebangsaan dengan nafas dan hala tuju baru, satu sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh dan koordinasi di antara penggerak utama bahasa, iaitu di antara DBP, ITNMB, MBKM, bahagian-bahagian tertentu Kementerian Pelajaran serta kerjasama pihak di luar KPM seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Penerangan dan KeKKWA. Dalam gerakan ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan Bahasa Malaysia kerana ia merupakan identiti unik Bangsa Malaysia. Usaha juga akan diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden.

Matlamat akhir gerakan ini adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bahasa ini, sedia memberikan penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya kepadanya serta gembira mempromosikannya di mana sahaja mereka berada di dalam dunia.

Adap @ Utusan Malaysia
4 Februari 2009

2 comments:

hasANah haLim said...

*Out of topic comment*

Salam...

What a surprised to find out that u're a blogger too. =)

Well, I'm not so sure if u remember me (or is Pekan Layang-layang/Segamat remind u of anything?.hehe) but I do remember u... So I just wanna say hi Abg Tun. U've changed a lot...

Good luck with you career.. ^__^

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

ya, takkan lupa kot.. :).. yup, the look hv changed, getting old and round.. ha ha ha. send my regards to abah, mak, along, angah, ateh, ajoi...

Popular Posts