'Tak pernah kata C4 diguna bunuh Altantunya'
June 24, 2014
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu tidak pernah dalam kes pendakwaan mengatakan bahawa bahan letupan C4 digunakan untuk pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah pihak pendakwaan tidak pernah mengatakan bahan-bahan yang ditemui di tempat kejadian adalah bahan letupan C4.
"Kami tidak pernah berkata, bahan letupan itu adalah C4. Tetapi mereka ini sejak hari pertama berkata ia adalah C4.
"Kami tidak tahu bagaimana Mahkamah Rayuan boleh menyatakan ia adalah bahan letupan C4," katanya pada pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan Altantuya.
Tun Majid berkata, UTK tidak pernah menggunakan bahan letupan C4.
Bercakap kepada pemberita kemudian Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup yang membantu Tun Majid berkata bahan yang ditemui di tempat kejadian adalah bahan letupan PETN dan RDX.
Pihak pendakwa (Tun Majid) berkata Mahkamah Rayuan terkhilaf berhubung fakta itu kerana gagal memanggil pakar bahan letupan C4 apabila saksi pendakwaan (bekas Timbalan Komander UTK Bukit Aman Deputi Superintendan Mastor Mohd Ariff) memberi keterangan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi bahawa UTK tidak menggunakan bahan letupan C4.
Beliau berhujah Mahkamah Rayuan sekali lagi terkhilaf dalam undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa tiada bukti Azilah mempunyai jagaan dan kawalan terhadap bahan letupan itu pada sebarang masa sebelum dia ditangkap tanpa mengaitkan keterangan Mastor bahawa Azilah dan Sirul Azhar mempunyai peluang mencukupi untuk memiliki bahan letupan yang tidak digunakan semasa latihan.
Tun Majid juga berhujah Deputi Superintendan Musa Safri, yang merupakan pengiring timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu (sekarang perdana menteri), tidak dipanggil sebagai saksi kerana peranannya hanya semata-mata memperkenalkan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda kepada anggota polis untuk menjaga keselamatan rumah beliau.
Beliau berkata, pihak pendakwa juga menawarkan Musa sebagai saksi pembelaan tetapi tidak diterima, sambil menambah bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dalam memutuskan isu pihak pendakwaan tidak memanggil Musa sebagai saksi pada peringkat perbicaraan.
Sementara itu, peguam Azilah J Kuldeep Kumar berhujah diari Balai Polis Bukit Aman menunjukkan Azilah berada di ibu pejabat polis semasa pembunuhan Altantuya.
"Diari ini jelas menimbulkan keraguan yang munasabah kerana ia adalah bukti yang menyokong alibi Azilah bahawa dia berada di (ibu pejabat polis) Bukit Aman dan bukan di tempat kejadian," katanya dan menambah Mahkamah Rayuan adalah betul untuk mencelah dan menerima diari balai itu sebagai bukti.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa diari balai itu tidak boleh diterima sebagai bukti.
Sementara itu, peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin berhujah bahawa adalah tidak selamat untuk menerima masuk sebagai bukti berhubung dakwaan penemuan barang kemas Altantuya di rumah anak guamnya.
Beliau berkata, pihak pendakwa telah mengetepikan hakikat tentang wujudnya satu lagi set kunci rumah Sirul Azhar.
Beliau berkata, Sirul Azhar tidak mengetuai polis ke rumahnya untuk menunjukkan barang kemas itu, dan menambah Sirul Azhar diminta tunggu di luar rumah dan dia hanya dipanggil untuk masuk ke rumahnya selepas pihak polis menemui barang kemas tersebut.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28.
Mereka didakwa membunuh wanita itu di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Abdul Razak, 50, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Perbicaraan di hadapan lima anggota panel diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, bersambung esok. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Gaya hidup pemimpin Pas hari ini. Hebat! Tidak termasuk Mercedez Benz dan pelbagai kereta mewah lagi. Bezanya mereka bijak berpura-pura di d...
-
KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA Dan PERSATUAN KELUARGA JAMALULLAIL PERAK Mewakili Waris dan Kerabat D...
-
Blog-blog UMB kuasai 20 tempat teratas ranking 30 blog pro-BN. Paling menarik dua di antaranya adalah blog yang baru meningkat dan sal...
-
Saya dok perhati saja video wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid ni. Pada saya dia ni terlalu obsessed dengan data, sampai cara dia mentaf...
-
Jangan lupa dalam sejarah Islam, 3 orang khulafa' ur-rashidin sahabat Rasulullah saw, iaitu Khalifah Umar Al-Khattab r.a, Khalifah...
-
1. PM10 tidak perlulah terlalu beriya 'claim credit' berhubung perlepasan kapal tangki minyak Malaysia melepasi Selat Hormuz keran...
-
Saya telah mengikuti lima persidangan meja bulat mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kec...
-
Mungkinkah ini akan terjadi? Siapa Ku Li sebenarnya? Di mana bukti kesetiaannya? Pada tahun 1998, dalam usaha untuk membela Anw...
-
31 Disember 2009, tarikh bermulanya segala kegilaan ini. KUALA LUMPUR, Dec 31 (Bernama) -- The Catholic weekly magazine, Herald, can use the...
-
Apabila Tony Pua, melalui twitter , mempersoalkan semangat Malaysia Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyatakan be...

No comments:
Post a Comment