Tuesday, July 2, 2013

Pertandingan tidak dapat dielakkan lagi? Siapa calon pemilihan UMNO?


Tun M sokong pertandingan untuk raikan semangat demokrasi, tetapi jika berlaku pertandingan, UMNO akan berpecah, jadi dalam konteks UMNO, Tun M tak sokong pertandingan untuk elak perpecahan. 
KESIMPULAN - Tun M tidak sokong pertandingan


Blogger RBF tidak mahu jawatan Presiden dipertandingkan


Blogger Syed Akhbar Ali mahu pertandingan diadakan dan buat tafsiran semua kenyataan Tun M untuk beri justifikasi kepada pertandingan


Nampak gayanya seolah-olah pertandingan semua peringkat di dalam UMNO sudah tidak  dapat dielakkan lagi.

Khabarnya, kerusi Presiden mungkin akan ditandingi oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Berdasarkan bisik-bisik di peringkat akar umbi pula, dikhabarkan ada penyokong pemimpin-pemimpin tertentu yang telah merisik-risik penerimaan akar umbi untuk kerusi Naib Presiden, misalnya penyokong Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Tan Sri Annuar Musa.

Di peringkat Majlis Tertinggi juga, ada ramai yang nampaknya menunjukkan minat kerana berpandangan, ada di kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang tidak memainkan peranan dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada kekuatan parti pada sidang yang lepas.

Bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, nampak gayanya sudah sah bahawa Datuk Seri Azalina Othman Said akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil. Ada khabar bahawa Datuk Halimah Sadique sedang dipujuk untuk turut bertanding.

Di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, nampak gayanya pertandingan untuk kerusi Naib Ketua Pemuda sudah pasti. Antara calon yang disebut-sebut adalah Exco Pemuda UMNO iaitu Nazir Husin Akhtar dan Jamawi Jaafar. Selain itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak Khairul Azwan Harun juga dikatakan telah menunjukkan minat untuk turut serta.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, walaupun Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk terus menjadi ketua pergerakan itu, namun sudah ada khabar angin di bawah bahawa ada pihak yang sedang mengusahakan agar pertandingan berlaku.

Kalau di peringkat tertinggi sudah ada gerakan begini, sudah tentu diperingkat akar umbi lebih hebat lagi kerana selain mahu mengekalkan kedudukan diri atau untuk menggantikan kepimpinan yang tidak efektif, para penyokong pemimpin yang bertanding di peringkat tertinggi juga perlu menyusun kedudukan diri.

Bagi mereka yang AHLI UMNO dan pernah terlibat PEMILIHAN PARTI, saya yakin mereka faham tentang baik buruk pertandingan dalam UMNO. Biasanya, jika ia melibatkan jawatan tertinggi di peringkat mana sekali pun, baik cawangan, bahagian, apa lagi di peringkat tertinggi, Presiden dan Timbalan Presiden, ia akan mengakibatkan perpecahan.

Pengalaman yang sudah-sudah telah membuktikannya.

Pertandingan pertama, Hj Ahmad Fuad mencabar Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951, mengakibatkan pihak yang kalah, iaitu Ahmad Fuad menubuhkan parti serpihan UMNO yang pertama, iaitu Pas.

Pertandingan kedua, Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir pada tahun 1987, mengakibatkan pihak yang kalah, iaitu Ku Li, menubuhkan parti serpihan UMNO yang kedua, Semangat 46. Ia bukan sahaja mengakibatkan tokoh-tokoh UMNO meninggalkan parti, tetapi turut mengakibatkan UMNO diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah pada tahun 1988.

Pertandingan juga telah mengakibatkan perpecahan dalam pergerakan sayap-sayap UMNO. Misalnya pertandingan dalam tahun 2009, mengakibatkan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO berpecah kepada tiga kumpulan, penyokong Khairy Jamaluddin (KJ), Mukhriz Mahathir dan Khir Toyo. Pergerakan Puteri UMNO pula berpecah kepada 6 kumpulan.

Selepas pemilihan, Pemuda UMNO terus berpecah, tetapi kepada dua kumpulan, iaitu penyokong KJ dan anti-KJ. Walaupun Pemuda UMNO telah berjaya merapatkan saf sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. namun bara dari kesan pemilihan 2009, masih ada sehingga hari ini. Kumpulan KJ dan bukan KJ, masih wujud walaupun tidak begitu nyata seperti pada tahun 2009 sehingga 2012.

Pertandingan memang memberi kesan kepada UMNO, jelasnya kesan yang buruk dan ia akan mengambil masa untuk mengembalikan perpaduan di dalam UMNO. Persoalannya, adakah kita mempunyai begitu banyak masa untuk menyatu padukan kembali ahli, sedangkan peperangan yang lebih besar adalah dengan parti pembangkang di luar sana.

Dalam pertandingan tinju, yang sakit dan cedera adalah peninju; yang turut merasa kesakitannya adalah anggota keluarga peninju tersebut.

Siapa yang berseronok dan bersorak sambil makan pop-corn? Penonton di luar gelanggang.

Siapa yang berseronok dan bergembira? Pihak yang membuat keuntungan seperti penganjur, promoter, penjual tapak iklan, penjual makanan di dalam dan luar tempat pertandingan dan yang menang pertaruhan.

Keadaan yang hampir sama berlaku di dalam pertandingan UMNO. Pihak yang cedera parah nanti adalah mereka yang bertanding, yang turut menerima kesan adalah penyokong pemimpin yang bertanding dan ahli UMNO; dan yang rosak adalah parti. 

Pihak yang bersorak pula adalah golongan pemerhati.

Pihak yang beruntung adalah pihak yang menerima manfaat dari pertandingan, iaitu mereka yang masyuuuuk setiap kali ada pertandingan, jurukempen dan jentera yang akan jadi promoter, termasuk penulis, editor, wartawan dan para blogger; dan tentu sekali pembangkang yang akan mengambil peluang untuk merosakkan lagi imej UMNO.

Slogan "pertandingan akan mengukuhkan UMNO" hanya retorik kosong pihak di luar UMNO yang tidak memahami konteks dan impak pertandingan di dalam UMNO pada ketika ini dan kesannya terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya ke-14 nanti.

Slogan ini juga datang dari pihak sedang menunggu peluang untuk mengambil keuntungan politik dan material akibat pemilihan ini.

Dengan jumlah perwakilan yang layak mengundi menghampiri jumlah 150,000 orang dan perwakilan sayap yang mencecah 80,000 orang, pemilihan UMNO kali ini kemungkinan besar akan turut dipengaruhi oleh permainan media, termasuk media siber.

Adakah kesan pertandingan terhadap UMNO akan menjadi lebih buruk apabila blog dan media sosial turut menjadi medan pembentukan persepsi dalam pemilihan parti?

Pedulikan sorakan orang luar yang bukan ahli parti. 

Sebagai ahli parti, secara jujurnya apakah niat sebenar anda - keuntungan peribadi atau kekuatan parti?

No comments:

Popular Posts