Saya tidak pernah pernah kisah untuk menjadi ahli UMNO sebelum tahun 2001 kerana bagi saya, tidak perlu jadi ahli UMNO jika hendak berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Saya sudah berjuang demi perjuangan ini sejak di Matrikulasi lagi. Bagaimanapun, saya merasa WAJIB untuk menjadi ahli UMNO apabila melihat gelagat dan daya kepimpinan Ketua-ketua Pemuda Bahagian UMNO di dalam satu Kursus Perdana pada tahun 2003. Saya merasa risau dan saya percaya saya perlu berada di dalam sistem, untuk memastikan saya mempunyai UNDI untuk menempatkan pemimpin yang saya percayai dapat memperjuangkan perjuangan yang saya yakini ini.
Hari ini, saya melihat semakin ramai ahli UMNO di peringkat akar umbi mempunyai kuasa undi ini. Jika dulu hanya perwakilan seramai 800 orang sahaja yang mempunyai hak mengundi bagi memilih kepimpinan Pemuda UMNO pusat, tetapi hari ini, ia ditentukan oleh hampir 80,000 orang ahli. Jika dulu hanya 2,800 orang perwakilan yang menentukan pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi, tetapi kali ini ia akan ditentukan oleh 150,000 orang ahli UMNO.
Pengundian kali ini juga akan lebih menggambarkan kehendak akar umbi. Tidak seperti sebelum ini, undi akan ditentukan oleh perwakilan bahagian. Undi ini mungkin lebih menggambarkan pilihan peribadi perwakilan tersebut atau ia boleh berubah di saat akhir akibat pelbagai rayuan dan godaan sehingga mengenepikan kehendak ahli akar umbi.
Misalnya, walaupun semasa pencalonan dalam pemilihan yang lepas, Datuk Mukhriz Mahathir memenangi undi paling tinggi semasa pencalonan di Bahagian Putrajaya, mengalahkan Datuk Seri Khir Toyo dan sdr Khairy Jamaluddin, namun dari segi undi perwakilan, Datuk Mukhriz tidak mendapat sebarang undi dari Putrajaya kerana Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan dua orang perwakilan (G2) memang diketahui tidak akan memberi undi kepada beliau. Akhirnya di PWTC, seperti dijangkakan, dua undi adalah untuk KJ dan dua lagi diberikan kepada Khir.
Dalam pemilihan kali ini, hasil pindaan perlembagaan UMNO, akar umbi mempunyai LEBIH KUASA undi untuk menentukan kepimpinan pusat dan bahagian. KUASA ini akan menentukan UMNO akan berubah atau tidak, menang atau akan terus kalah di Parlimen dan DUN di dalam PRU-14.
Walaupun transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak sedikit sebanyak telah mengubah UMNO, tetapi ia tidak mencapai kejayaan sepenuhnya kerana UMNO tidak mungkin dapat diubah secara top - bottom, sebaliknya UMNO hanya akan berubah jika Bahagian dan akar umbi berubah.
Transformasi Datuk Seri Najib tidak mungkin berjaya sepenuhnya dengan kepimpinan bahagian yang usang, tidak diterima oleh rakyat, tidak prihatin dan bekerja untuk rakyat, mempunyai banyak isu yang tidak menyenangkan rakyat dan korup.
Akibatnya, UMNO Bahagian ditolak oleh rakyat, seterusnya kalah kerusi Parlimen dan DUN berkaitan.
Sebab itu saya tidak terkejut jika seorang blogger-blogger muda dari Selangor, iaitu Shah Alam rebels mencadangkan perubahan yang begitu drastik di peringkat bahagian di Selangor. Tulisan beliau secara berani mencadangkan agar sejumlah Ketua Bahagian UMNO di dalam Selangor untuk tidak lagi menawarkan diri dalam pemilihan akan datang. Baca tulisan beliau di bawah -
PEMILIHAN UMNO 2013: SENARAI KETUA BAHAGIAN DI SELANGOR YANG WAJIB BERUNDUR!!!
Kepimpinan UMNO di Selangor mesti diubah. Itu sahaja harapan yang tinggal untuk memikat semula hati rakyat bagi memenangi semula negeri Selangor dalam PRU-14.
Justeru menjadi tanggungjawab perwakilan di UMNO bahagian supaya berfikir panjang dan beri peluang kepada muka-muka baru dalam pemilihan di peringkat bahagian akan datang.
Kepada perwakilan, formulanya mudah. Ketua-ketua UMNO bahagian yang parlimen-nya tewas pada PRU-13 wajar berundur dan janganlah menawarkan diri lagi dalam pemilihan kali ini.
Bagi ketua bahagian yang tewas semua kerusi di parlimen dan Dun pula, sewajarnya turut angkat kaki dan berundur. Mereka ini patut berasa malu dengan kegagalan mereka dan menyedari isyarat bahawa rakyat sudah muak dan menolak kepimpinan mereka.
Penulis angkat topi kepada Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato Bushro Mat Johor yang telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian yang sedang disandangnya.
Tabik spring Dato'! Banyak Ketua Bahagian takde telor, tak macam Dato'.
Bushro sedar di atas kegagalannya menerajui bahagian. Maka UMNO Bahagian Subang memerlukan muka baru yang boleh memberi kemenangan kepada parti, negeri dan parlimen.
Jadi jawatan itu janganlah pula diisi oleh mereka yang tidak berwibawa pula. Contoh seperti di Subang, jawatan ketua bahagian jangan pula diganti oleh Dato' Zein Isma yang tidak relevan lagi sebagai pemimpin di situ. Beliau juga tidak berupaya menarik minat pengundi di parlimen Subang. Semua mengakui hakikat itu.
Dato' Zein Isma bin Ismail bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Subang menawarkan diri bertanding Ketua UMNO Bahagian Subang. "Wahai Dato' Zein, sudah tiba masanya kamu pun berundur" - ahli akar umbi.
Justeru bukanlah sesuatu yang luar biasa, jika pemimpin muda turut menjadi pertimbangan perwakilan. Peralihan kuasa di bahagian-bahagian di Selangor adalah perlu demi mengimbangi kelahiran pemimpin-pemimpin baru di dalam UMNO. Supaya tiada lagi isu ketandusan pemimpin di Selangor.
Perwakilan yang sayangkan parti dan mahukan parti menang pada PRU-14, mesti gunakan kuasa dan undi mereka untuk keluarkan pemimpin yang tidak lagi boleh bawa kemenangan kepada parti di DUN dan Parlimen.
Baca lagi untuk lihat senarai Ketua Bahagian yang dicadangkan untuk tidak menawarkan diri lagi dalam pemilihan akan datang di http://shahalamrebels.blogspot.com/2013/07/terkini-pemilihan-umno-2013-senarai.html
Baca juga
PEMILIHAN UMNO 2013: AHLI UMNO SELANGOR LANCAR KIBAR BENDERA UMNO SEPARUH TIANG!!?
mengenai gerakan ahli UMNO Selangor yang mahukan perubahan melalui tuntutan-tuntutan seperti di bawah -
1. Mendesak KUB yang telah berkhidmat lebih dua penggal supaya melepaskan jawatan dan tidak mempertahankannya.
2. KUB yang kalah pada pilihanraya yang lepas digesa berundur serta merta dan melupakan hasrat untuk bertanding pada pemilihan kali ini.
3. Para perwakilan diminta supaya melaporkan segala kegiatan rasuah dan beli undi yang melibatkan calon-calon bertanding. Jika calon ditangkap, pengadu akan diberi ganjaran RM1000.
Apa kata anda sebagai ahli UMNO?
Ini masa untuk anda buktikan, adakah anda betul-betul mengundi kerana sayangkan UMNO atau kerana kepentingan peribadi? Adakah anda mahukan UMNO dan BN menang atau anda lebih pentingkan manfaat peribadi yang bakal anda terima daripada calon atau pemenang?
KUASA di tangan anda, atau adakah anda juga SAMA SAJA seperti sejumlah perwakilan sebelum ini yang tergoda dengan `rayuan' saat akhir di PWTC sehingga mengenepikan kehendak akar umbi?
3 comments:
Sekarang tak perlu risau. Siapa fikir dia layak, calonkan diri. Ahli-ahli mengundi menentukan nasib mereka yang benar stau yang bathil.
Kita harapkan perbezaan gerak kerja yang berhemah dan jujur kali ini.
Insya Allah.
maae
amiiin, mudah2an. tapi realiti di bawah, kdg2 kuasa undi itu tidak digunakan kerana sayangkan umno, tp sebab sayangkan diri sendiri
Seperti yg kita bbm tu tun.di peringkat cawangan & bahagian yg perlu mula berubah
Post a Comment