Monday, July 23, 2012

Forum Antara Pos : @tunfaisal - PR kena senaraikan dasar dan program agenda Melayu, jika ada


Post Pic

Pemuda Umno: Pakatan tiada program bangunkan Melayu



pada 23-07-2012 11:07 Ditulis Oleh  Syed Mu'az Syed Putra



SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz mencabar Pakatan Rakyat agar membentangkan perancangan atau program yang akan dilaksanakan gabungan tiga parti komponen itu untuk membangunkan orang Melayu sekiranya berhasrat mengambil alih pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.


Tegas Tun Faisal, kepentingan dan kedudukan orang Melayu harus diberi keutamaan dalam mana-mana polisi kerajaan, lebih-lebih lagi, Pakatan yang dianggotai PAS-PKR-DAP tidak pernah membentangkan sebarang perancangan untuk pembangunan orang Melayu, yang merupakan kaum terbesar.


"Dalam konteks ini pada saya bukan soal batang tubuh Melayu itu tapi soal polisi yang hendak dipertahankan dan dikeluarkan, kalau betul pembangkang ada polisi untuk bangunkan orang Melayu, di mana polisi ini?


"Adakah polisi ini jauh sangat berbeza dengan apa yang kita ada? Ini yang perlu kita soal kepada pakatan pembangkang.


"PAS misalnya kata tidak gila kuasa, kalau gila kuasa tentu bergabung dengan Umno maka terbentuk satu kuasa Melayu. Maksudnya PAS buat keputusan untuk bergabung dengan DAP dan PKR dalam keadaan yang merugikan mereka...mereka tidak dapat apa-apa, lagi teruk," katanya pada program Diskusi Meja Bulat "Melayu Pasca PRU 13?" anjuran Antarapos.


Selain Tun Faisal, turut menjadi ahli panel untuk program ini adalah Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khalid Abdul Samad.


Menurut Tun Faisal, perjanjian pengisytiharan dibuat Pakatan boleh menimbulkan pelbagai keraguan dan persoalan terutamanya tentang alasan parti-parti tersebut untuk menjalinkan kerjasama politik.


"Akhinya bila PAS buat perjanjian yang merugikan mereka, kalau katalah ada wakil dalam Parlimen yang batang tubuhnya Melayu, pegangannya belum tentu Islam, dasar yang dibawa mungkin sosialis, bentuk macam manakah dasar yang akan dibawa dalam Parlimen?


"Ini kita kena persoalkan kepada PAS dan PKR, mungkin dia nak bawa dasar Islam tapi kalau didominasi dengan orang yang bawa dasar sosialis di mana pertemuan dalam Parlimen nanti," katanya.


Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepanjang tempoh tiga tahun pentadbirannya telah membawa pelbagai program transformasi untuk meringankan beban rakyat.


Antaranya, dengan penubuhan 50 Klinik Rakyat 1Malaysia dengan kos RM10 juta.


Tun Faisal yang juga Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Pakatan seolah-olah membayangkan keyakinan mereka namun keadaan sebenar adalah sebaliknya.


"Kalau dalam pakatan pembangkang dia punya cerita di atas kertas nampak menyakinkan tapi sebenarnya bila lihat pemimpin seorang demi seorang nampak tidak menyakinkan dan pemimpin dalam Pakatan ada masalah moral yang tersendiri.


"Yang kedua kita dalam kerajaan BN apa yang dilakukan selain 50 tahun itu adalah kebajikan secara menyeluruh sebab itu dalam rakyat Malaysia kita lihat pembangunannya nampak setara, ada negara-negara yang merdeka lebih awal tidak mencapai kemajuan seperti kita," katanya.


Beliau menambah pelan transformasi yang dilaksanakan pentabiran Najib telah memberikan kesan positif terhadap perubahan yang ingin dibawa parti pemerintah itu.


"Transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib dirasa sampai ke bawah, macam sekarang bermula dengan Umno sendiri, NKRA terhadap rasuah ini antara perkara yang menunjukkan kerajaan komited untuk mengambil tindakan terhadap pesalah kes rasuah.


"Ini menunjukkan BN berubah dan kita punya masalah sekarang adalah menguruskan kejayaan-kejayaan kita sebab dalam kejayaan ada individu yang tamak, individu yang melanggar peraturan tapi secara keseluruhanya kita berjaya," katanya.


Krisis keyakinan


Tun Faisal turut mendakwa Pakatan kini berdepan dengan masalah untuk menguruskan keyakinan susulan daripada tindakan beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar kerana tidak yakin dengan kepimpinan sedia ada termasuk bekas Pesuruhjaya PAS Datuk Hasan Ali yang dipecat keanggotaannya.


"Masalah dalam pakatan pembangkang adalah masalah untuk menguruskan keyakinan, dalam Pakatan sendiri dah berapa ramai pemimpin keluar kerana tidak yakin dengan pemimpin sedia ada... Dr Hasan Ali tidak berapa yakin sebab dalam negeri Selangor dia rasa apa yang diperjuangkan PAS tidak boleh dibawa dalam dasar, pelaksanaannya dan sebagainya.


"Yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ramai yang sudah keluar, ini menunjukkan Pakatan hadapi krisis keyakinan yang hebat," katanya.


Beliau berkata Pakatan perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada sebelum menyatakan hasrat untuk menawan Putrajaya.


"Jadi kalau kita nak bergandung harap kepada Pakatan pada waktu ini saya rasa belum lagi. Pakatan kena betulkan dulu rumah ii, kena ada polisi yang kuat dan menyakinkan orang Melayu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang barulah bila rasa nak beri kuasa baru kita berikan," katanya.





PKR, PAS dakwa mampu pertahan kuasa Melayu

pada 23-07-2012 02:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra



Post Pic
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat menegaskan kedudukan dan kuasa politik orang Melayu di negara ini tidak akan terjejas walau apa jua keputusan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Sebaliknya, kata  Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, jika tiga parti komponen itu mengambil alih pemerintahan negara, mereka akan melaksanakan prinsip keadilan dalam pentadbiran baru.

"Yang menarik perhatian dalam parti-parti komponen ini asas kita adalah keadilan, bahawa sesiapa yang memerintah BN atau Pakatan... Melayu tidak akan hilang tapi saya yakin keadaannya akan lebih baik kerana kita cuba untuk melaksanakan prinsip keadilan sebaik yang mugkin.

"Melayu yang adil akan berikan impak yang baik dan keyakinan kepada lain-lain bangsa kerana tunjang kita adalah keadilan, Melayu yang adil tidak akan melakukan kezaliman kepada bangsa lain," katanya  pada program Diskusi Meja Bulat "Melayu Pasca PRU 13?" anjuran Antarapos.

Justeru beliau berkeyakinan rakyat negara ini terutamanya masyarakat Melayu telah membuat keputusan untuk memilih parti mana yang akan menerajui kepimpinan negara.

"Saya optimis bahawa rakyat Malaysia sekarang termasuk masyarakat Melayu terutamanya generasi muda Melayu sudah membuat perhitungan yang cukup matang untuk memilih parti mana yang boleh lindungi mereka pada masa akan datang kerana mereka nak lihat sebuah pemerintahan yang adil, amanah, telus dan bertanggungjawab.

"Kerana masyarakat hari ini sudah puas dan mual dengan kebenjatan moral yang sedang berlaku, sumbangan PKR bersama PAS dan DAP kerana kita sudah menandatangani pengisytiharan Pakatan bahawa ketiga-tiga parti bersetuju mempertahankan kedudukan Melayu dan Bumiputra tetapi akan melakukan satu perubahan anjakan untuk memberi keadilan kepada kaum-kaum lain," katanya.

Ancam kuasa Melayu

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khalid Abdul Samad pula berkata kedudukan dan hak orang Melayu telah terjamin termasuk di Dewan Rakyat di mana masyarakat bukan Melayu sekiranya bergabung sekalipun tetap tidak akan memusnahkan keadaan tersebut.

"Dalam soal kedudukan orang Melayu di Malaysia sama ada sebelum atau selepas PRU13, kedudukan orang Melayu telah terjamin, jumlah kerusi di Parlimen adalah jumlah terbanyak, kuasa politik orang Melayu tidak akan hilang kerana orang bukan Melayu sama ada Cina, India, Iban, Sakai dan semuanya kalau mereka bersatu tidak boleh mengalahkan kerusi orang Melayu.

"Dalam perlembagaan kedudukan orang Melayu terjamin dan tidak ada mana-mana pihak nak jatuhkan Melayu atau musnahkan politik Melayu, apa yang kita nak buat adalah tukar Melayu yang rasuah dan tak amanah dengan Melayu yang bersih," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam ini berkata kuasa politik orang Melayu merupakan satu realiti di mana tidak ada sesiapa yang boleh mengancam kedudukan itu.

"Ia bukan merupakan masalah terbesar, yang terpenting saya nak tegasan bahawa kuasa politik Melayu adalah satu kenyataan, hakikat, realiti politik nefara yang tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengancamnya walaupun dalam Pakatan katakan ada DAP, ada PKR, ada PAS.

"Di kalangan Pakatan itu mungkin ramai orang bukan Melayu, kerusi yang dipegang orang Melayu dalam Pakatan tidak banyak tetapi majoriti dalam Parlimen adalah orang Melayu," katanya.

Bela nasib Melayu

Sementara itu Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz melahirkan perasaan risau dan bimbang terhadap nasib orang Melayu sekiranya Pakatan menawan Putrajaya.

"Bolehkah polisi ini dipertahankan? Ini yang kita risau... bahasa atas kertas PAS dan PKR adalah bahasa keadilan tetapi bila dicampur dalam Pakatan ia jadi bahasa kesaksamaan.

"Bila bahasa kesaksamaan kita lihat dalam perniagaan rangkaian bukan dikuasai orang Melayu, misalnya dalam perniagaan pembangunan, bahan-bahan mentah disediakan bukan Melayu sampai akhirnya yang depan adalah Melayu.

"Banyak perkara yang perlu dilakukan sedangkan yang ini dikuasai orang lain. Macam mana kita nak jadikan benda (jurang) ini sama?

"Kenapa DAP tidak pernah cakap soal kesaksamaan dalam perniagaan tapi ini tidak pernah dipertahankan PAS dan Melayu PKR untuk pastikan tidak ada dominasi begini tetapi berlaku keadilan dalam perniagaan," katanya.

Justeru Tun Faisal menegaskan sukar untuk rakyat negara ini untuk bersama dengan Pakatan  yang didakwa beliau tidak mempunyai perancangan dalam menentukan masa depan orang Melayu.

"Sebab itu kita risau untuk berikan kepada PAS dan PKR sebab akhirnya mereka faham atau tidak isunya adalah isu jurang, dasar yang kata nak rapatkan jurang ada atau tidak?

"Apa program? Kita minta program itu disenaraikan, saya tidak nampak dan kalau tidak nampak saya nak percaya macam mana kepada Pakatan," katanya.




2 comments:

berlapang dada said...

sepatutnya pas mesti ada rancangan yg jelas utk bantu melayu saya pernah tanya beberapa penyokong pas mereka jawab tak tahu .Soalan seterusnya adakah korporat2 melayu yg boleh guide atau jadi front liner mereka jawab kebanyakan ahlim pas makan gaji betul ke?

berlapang dada said...

sepatutnya pas mesti ada rancangan yg jelas utk bantu melayu saya pernah tanya beberapa penyokong pas mereka jawab tak tahu .Soalan seterusnya adakah korporat2 melayu yg boleh guide atau jadi front liner mereka jawab kebanyakan ahlim pas makan gaji betul ke?

Popular Posts