Tuesday, February 14, 2012

[Kisah dulu-dulu] Malaysiakini wajar diajar



Nota: Dalam beberapa wawancara sebelum ini saya sering menyebut tentang templat perang siber yang salah sejak tahun 1998. Ini merupakan salah satu contoh perbuatan tidak bertanggung jawab sebuah portal media pada ketika itu. Ini juga adalah salah satu contoh di mana self-censorship tidak diamalkan oleh editorial portal terbabit.


Malaysiakini wajar diajar

‘Pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk walau sesaatpun’. Mungkin itulah perumpamaan yang paling tepat untuk mengibaratkan situasi Malaysiakini ketika ini.

Malaysiakini mungkin lupa bahawa tiada sesiapapun yang boleh melanggar peruntukan undang-undang. Bagaimanapun undang-undang tidak pernah melupakan Malaysiakini.

Kita berpendapat Pemuda UMNO selama ini tidak mempunyai sebarang niat untuk menutup Malaysiakini, malah Pemuda UMNO tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya. 

Selama ini Pemuda UMNO dan orang Melayu banyak bersabar dengan apa saja yang disiarkan oleh Malaysiakini, walaupun terdapat isi kandungan Malaysiakini yang tidak tepat, berat sebelah, terpesong faktanya, berunsur spekulasi dan menghasut rakyat mempertikaikan segala keputusan kerajaan. 

Bagaimanapun keputusan editorial Malaysiakini menyiarkan surat seorang penulis yang bernama Petrof, akhirnya mengundang padah. Ini bukan kali pertama Malaysiakini menyiarkan surat-surat berbau perkauman dan mencabar maruah orang Melayu.

Sebelum surat yang bertajuk ‘Similarities between ‘new Americans’ and bumiputera’ oleh Petrof ini, Malaysiakini telah menyiarkan dua lagi surat yang membawa nada yang sama.  Salah satunya adalah ‘Time to end the bumi/non-bumi divide’ oleh penulis yang menggunakan nama Joe Fernandez, pada 12 Disember 2002. 

Terdapat satu lagi surat yang penulisnya menggunakan nama samaran India. Dia menulis tentang `kesengsaraannya’ menjadi warga Malaysia berketurunan India. Kononnya diskriminasi berlaku ke atas warganegara India di Malaysia, sehingga hendak menelefon sanak saudara di India pun, dia terpaksa membayar bil telefon yang lebih tinggi kerana mengikut kadar yang sengaja dikenakan oleh kerajaan. Baginya, itulah harga yang terpaksa dibayar kerana menjadi warganegara Malaysia berketurunan India.

Perbuatan menyiarkan surat-surat sebegini adalah melampau. Kita tidak tahu atas pertimbangan apakah editorial Malaysiakini menyiarkan surat sebegini. Menurut editor Malaysiakini, Steven Gan, di dalam reaksinya terhadap laporan Pemuda UMNO, `surat-surat ini telah menjalani proses pemilihan yang ketat’  dan `surat-surat ini disiarkan kerana mempunyai fakta kajian perbandingan’. 

Sekiranya kita meneliti kualiti dan fakta surat yang disiarkan, dan merujuk kembali kenyataan Steven Gan tadi, pasti, kita pasti akan berasa amat hairan, bagaimanakah Malaysiakini boleh diberikan anugerah di peringkat  antarabangsa. Sekiranya diteliti surat-surat yang disiarkan, kita akan dapati, ianya hanya luahan emosi tanpa bersandarkan fakta sebenar.

Orang Melayu dengan mudah boleh mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh penulis-penulis surat tersebut. Kita boleh menghuraikan dengan jelas fakta-fakta sejarah dan pengiktirafan-pengiktirafan yang telah diberi oleh masyarakat dunia terhadap Kesultanan Melayu dan masyarakat Melayu. Malah sekiranya mahu, kita juga boleh mewujudkan laman web untuk memperdebatkan perkara ini dengan orang bukan Melayu.

Walaubagaimanapun, apakah yang mahu kita capai dari perdebatan ini? Apakah integrasi kaum dapat dicapai dengan cara sebegini? Perdebatan dalam isu ini hanya akan menyakitkan hati pelbagai pihak dan merosakkan lagi keharmonian di antara kaum.

Apakah keputusan editor Malaysiakini menyiarkan surat-surat sebegini adalah untuk mencabar maruah orang Melayu? Perbuatan Malaysiakini ibarat cacing yang telah naik ke mata. Kenapakah Malaysiakini menjadi terlalu berani? Apakah editorial Malaysiakini merasa yang mereka kebal dari undang-undang?

Malaysiakini tidak akan menjadi terlalu berani sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau setiap berita, rencana dan surat-surat yang telah disiarkan. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung sewajarnya lebih peka terhadap anasir-anasir sebegini, dan mengambil tindakan sebelum ia berlarutan sehingga menyebabkan pendapat-pendapat berbau perkauman ini mempengaruhi tindak tanduk orang ramai.

Biarpun Malaysiakini tidak memerlukan lesen dari KDN, KDN tidak boleh sama sekali mengabaikan tanggungjawab dari memantau perkara yang boleh menggugat keharmonian kaum. 

Tidak sukar untuk melakukan itu semua kerana Malaysiakini bukan merupakan organisasi maya. Malaysiakini mempunyai pejabat. Penyunting orang Malaysia dan berada di Malaysia. Wartawan-wartawannya juga berkeliaran di sana sini. Mereka juga mempunyai akaun-akaun dengan bank-bank di dalam negara. Sekiranya KDN teliti, KDN tentunya dapat menghidu tingkah laku Malaysiakini dan bertindak terhadap organisasi tersebut tanpa perlu menunggu sehingga laporan polis dibuat oleh Pemuda UMNO.

Malaysiakini ketika ini cuba memutarbelitkan isu ini dengan mengaitkannya tindakan Pemuda UMNO adalah kerana dikaitkan dengan isu Ku Klux Clan. Bagaimanapun sekiranya kita membaca surat tersebut, kita tahu surat tersebut menyebut lebih banyak lagi perkara yang boleh menyakitkan hati orang Melayu. Pemuda UMNO hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang Melayu. Siapa lagikah yang mahu mempertahankan orang Melayu kalau bukan UMNO.

Tidak mungkin kita dapat mengharapkan Pas untuk mempertahankan maruah orang Melayu. Ahli-ahli Pas sendiri keliru dan tidak dapat memastikan sama ada mereka berketurunan Arab atau Melayu. Mungkin mereka takut hendak mempertahankan Melayu – kononnya takut jadi `assabiyah’, takut jadi sesat atau takut jadi `kafir’ semata-mata kerana mahu mempertahankan maruah Melayu.

Kita bangga kerana Pemuda UMNO telah melakukan apa yang sepatutnya. Kita juga berterima kasih kepada pasukan polis kerana telah bertindak pantas menahan bahan-bahan bukti untuk membantu siasatan terhadap Malaysiakini. 

Bagaimanapun kita tahu Pemuda UMNO tidak terbabit dalam proses perlaksanaan undang-undang. Terpulanglah kepada pihak polis dan KDN untuk menegakkan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Semoga pihak polis dapat mengumpulkan bukti secukupnya dan dapat mengelakkan segala kesilapan dari segi prosedur kerana kita mahu individu terbabit dijatuhi hukuman sewajarnya.





No comments:

Popular Posts