Wednesday, November 2, 2011

#TeaterJutaJutaPutrajaya pelopor usaha merakyat dan menjenamakan teater alternatif di Putrajaya





[Nota: Semalam Majlis Belia Kawasan Putrajaya (MBKPj) bersama MASK Team telah mengadakan sidang media bagi mengumumkan secara rasmi tentang pementasan ‘Teater Juta Juta ke Putrajaya’ pada 10 hingga 13 November 2011 di Panggung Eksperimen, Mawar Sari, Precint 3, Putrajaya. `Teater Juta Juta ke Putrajaya' ini merupakan inisiatif MBKPj dan MASK Team dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya.

Teater Juta Juta Ke Putrajaya merupakan projek kedua MBKPj yang berkaitan seni teater. Sebelum ini MBKPj telah melaksanakan Pertandingan Teater 10 minit melibatkan golongan belia di Putrajaya. Sebanyak dua siri pertandingan ini telah berlangsung dan siri terakhir dan yang juga merupakan kemuncak pertandingan akan berlangsung pada bulan Disember nanti.

Teater Juta Juta ke Putrajaya merupakan karya asal dan arahan Fasyali Fadzly Saiful Bahri dan ia dibarisi oleh tiga penggerak teater berbakat Fazleena Hishamuddin, Aloy Paradoks dan Anas Ridzuan. Karya asal Teater Juta-Juta telah dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 hingga 26 September yang lalu dan mendapat sambutan dan maklum balas yang baik daripada penggiat teater dan media.

Hasrat membawa Teater Juta-Juta Ke Putrajaya amat selari dengan hasrat Perdana Menteri yang ingin menjadikan Putrajaya sebagai ’Bandar Mesra Belia’. Melalui pementasan Teater Juta-Juta Ke Putrajaya, MBKPj dan MASK Team berharap merakyatkan lagi seni teater seterusnya mendukung hasrat menjadikan Putrajaya sebagai satu lagi hab seni persembahan kesenian yang dikenali ramai. Walau bagaimanapun perjalanan ini bukan mudah dan MBKPj dan MASK Team amat mengharapkan segala sokongan, bantuan dan sumbangan yang boleh mempercepatkan dan melicinkan lagi proses ini.

Melalui sidang media dan sneak preview pada petang ini, MBKPJ ingin menjemput seramai mungkin pencinta seni teater untuk menonton Teater Juta-Juta Ke Putrajaya. Pada waktu yang sama MBKPj dan MASK Team berharap agar sneak preview pada petang ini dapat menarik minat lebih ramai dermawan, syarikat swasta dan badan koperat untuk memberi sokongan dan penajaan agar pementasan teater Teater Juta Juta Ke Putrajaya ini dapat berjalan dengan lebih lancar, meriah dan melibatkan khalayak yang lebih besar lagi. Berikut adalah rencana mengenai Teater Juta Juta Ke Putrajaya yang disiarkan oleh Metro sebelum ini.]



Teater Juta-Juta hebat
Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my

SIAPA sangka, lebih sejam duduk menonton teater kecil tanpa publisiti meluas, Teater Juta-Juta, ia sebuah pengalaman baru yang begitu menyeronokkan.

Meskipun bersandar pada barisan pelakon tidak komersial dan hanya semata-mata memperdagangkan bakat dan jiwa seni, Teater Juta-Juta adalah sebuah persembahan seni yang hebat dan berbaloi.

Dipersembahkan pada 21 hingga 26 September lalu dan hanya terperuk dipersembahkan di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka, Teater Juta-Juta jelas memberikan sebuah dimensi persembahan seni teater yang berbeza dengan nafas gerak lakon yang jauh menceritakan senario sebenar.

Plot ceritanya yang realistik dan lakonan yang ditampilkan begitu kemas dan sempurna, teater terbitan MASK Team ini kini berjaya dipimpin ke peringkat lebih tinggi lagi.

Tidak pernah terlintas di fikiran pengarah juga penulis skripnya, Fasyali Fadzly bersama tiga pelakonnya, Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin dan Anas Ridzuan, akhirnya pementasan ringkas dengan kos pembikinan yang rendah itu mendapat perhatian ramai hingga terpaksa dilanjutkan atas permintaan ramai.

Fasyali, graduan Pengarahan Teater dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ini adalah cenderahati terbaik buatnya dan tiga teman baiknya atas segala kesungguhan, komitmen dan ikhlas dalam menzahirkan apa yang dicuba disampaikan.

“Alhamdulillah kami berjaya meraih sambutan positif meskipun selama ini terikat dengan pelbagai masalah dalam menerbitkan teater ini. Maklumlah, tanpa publisiti meluas dan dana yang besar dalam pementasan teater yang mampu dipersembahkan di gelanggang prestij seperti Istana Budaya, apa yang disampaikan bagai tiada nilai.

“Bagaimanapun, Teater Juta-Juta berjaya juga dipersembahkan di hadapan hampir 100 penonton setiap malam sepanjang enam hari pementasan. Itu sudah cukup mengundang rasa puas dan senyum lebar kepada kami semua kerana setidak-tidaknya perjuangan kami terlaksana dengan adanya penonton yang cuba mendalami,” katanya.

Teater Juta-Juta mengangkat subjek semasa secara santai. Kisahnya berkaitan industri seni itu sendiri. Kononnya, tiga sahabat baik bercadang mementaskan karya mereka di sebuah pentas agung, Keraton Seni namun impian itu tidak semudah seperti ketika ia dibincangkan. Pelbagai masalah dihadapi mereka dalam usaha mementaskan karya itu.

Bukan menyindir atau sengaja mempersendakan sesiapa, Juta-Juta bersifat telus dengan membangunkan 12 watak menerusi hanya tiga tunjang lakonan saja.

Lebih menariknya, teater yang jelas mengungkap kelainan dalam seni lakon terutamanya pada ekspresi wajah dan mainan emosi setiap pelakonnya, Juta-Juta dipersembahkan sekali lagi di Putrajaya pada 10 hingga 13 November depan.

Menurut pelakon utama juga satu-satunya pemain wanitanya, Fazleena, pemegang Sarjana Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), undangan untuk melanjutkan pementasan di Putrajaya ini bagai bulan jatuh ke riba.

Mana tidaknya, nawaitu asalnya hanya untuk berkongsi perjuangan seni teater saja dan tidak pula terfikir dibawa pula ke panggung berbeza bagi meneruskan lagi pementasan.

Namun, itulah hakikatnya apabila sekumpulan Persatuan Belia Putrajaya yang sempat datang menyaksikannya sebelum ini tertarik dan ingin ia diteruskan lagi di lokasi berbeza.

“Tenaga produksi dan saya sendiri memang terkejut, namun begitu seronok apabila ada pihak yang menghargai hasil seni kami. Walaupun hanya dipentaskan kecil-kecilan bulan lalu, tiada siapa menduga ia masih mampu menarik perhatian segelintir belia hingga ingin di dipentaskan sekali lagi untuk tontonan Putrajaya pula.

“Alhamdulillah, kali ini kami bekerjasama dengan Majlis Belia Kawasan Putrajaya untuk mengangkat hasrat Perdana Menteri Malaysia yang ingin menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Mesra Belia serta hab seni persembahan terbaru selain Kuala Lumpur.

“Plot cerita dan pembangunan watak masih lagi sama cuma bezanya, peralatan persembahan dan set pentas akan lebih canggih dan kemas,” katanya.

Teater Juta-Juta Putrajaya akan dipentaskan di Panggung Eksperimen Mawar Sari, Presint 3, Putrajaya (berhadapan Istana Kehakiman) bermula 10 hingga 13 November depan. Pas masuk berharga RM20, keterangan lanjut layari www.facebook.com/teaterjutajuta.


Tempah tiket #teaterjutajutaPUTRAJAYA di 019-3572093. Bercakap dengan @hilalazmi

No comments:

Popular Posts