Ku Li Calon Bebas?
Khabarnya ada pertemuan di Langgak Golf yang berakhir dengan cadangan YBM Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa orang cendikiawan Melayu akan bertanding sebagai calon Bebas di dalam Pilihanraya Umum ke 13.
Selepas itu timbul desas-desus akibat tulisan oleh mereka yang ada hubungan dengan pejabat Perdana Menteri Malaysia, bahawa YBM Tengku akan menubuhkan satu parti politik baru. Desas-desus itu terbukti tidak benar bila sidang akhbar yang didakwa untuk Ku Li mengumumkan parti politik barunya tidak berlaku. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pengumuman mengenai NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang mana Tengku selaku Presidennya.
Menerusi pengumuman oleh Tengku juga kita diperkenalkan kepada barisan kanan Amanah yang semuanya adalah nama-nama besar di dalam politik Malaysia satu ketika dulu.
Sesungguhnya banyak perkara yang berlegar disekitar YBM Tengku sejak setahun dua ini. Antaranya ialah cadangan daripada beberapa pihak untuk Ku Li tinggalkan UMNO dan menjadi sebuah entiti penting di dalam pakatan pembangkang. Bagaimanapun realitinya, jika Ku Li tinggalkan UMNO untuk menyertai pakatan pembangkang, Ku Li didakwa oleh pihak tertentu di dalam pakatan pembangkang sebagai ‘tidak berupaya to deliver the numbers’ bagi menumbangkan Kerajaan Najib Razak.
Seterusnya ada usaha bahawa Ku Li adalah pengganti semulajadi kepada Anwar Ibrahim yang diyakini oleh pihak tertentu dalam pakatan pembangkang sebagai sudah pasti akan ke penjara. Ku Li didakwa sebagai pengganti semula jadi kerana lebih dua dekad dahulu Tengku sendiri pernah mengetuai dua pakatan pembangkang iaitu Gagasan Rakyat dan juga Angkatan Perpaduan Ummah.
Tetapi sudah tentu Tengku Razaleigh sendiri sedar bahawa laluannya sebagai ketua pakatan pembangkang kali ini tidak semudah dahulu kerana dia sendiri tidak mempunyai parti dan pengikut yang meluas seperti 1990. Seandainya dia diterima pun sebagai ketua pakatan pembangkang, dan seandainya dia berjaya membawa mereka merampas Putrajaya, bukankah tindakan pertama yang akan dipaksa ke atasnya ialah mencari usaha membebaskan Anwar. Dan bila Anwar kembali bebas, apa pula nasib Ku Li?
Ramai tidak yakin dengan alasan ketidakmampuan bersuara di dalam UMNO sebagai alasan kukuh untuk Tengku Razaleigh mencaturkan sisa-sisa perjalanan politiknya. Satu laluan yang pernah diambil oleh Tunku Abdul Rahman Putra sendiri apabila The Star di haramkan sewaktu operasi lalang dan Tunku kehilangan kolumnnya di dalam akhbar itu.
Kita masih ingat suara Tengku yang lantang mengenai isu tuntutan royalti minyak Kelantan. Ternyata Tengku bersuara tanpa halangan bahkan tidak pula ada sekatan atau tindakan terhadapnya walaupun kenyataannya didakwa setengah pihak bertentangan dengan pendirian rasmi Kerajaan Malaysia dan UMNO.
Tengku Razaleigh akan terus menjadi calon boleh menang jika dia bertanding menentang PAS di Parlimen Gua Musang. Tengku Razaleigh juga mempunyai harapan untuk menang jika dia bertanding sebagai calon bebas menentang BN di Gua Musang dan PAS sudah pasti akan memberi laluan supaya berlaku pertandingan dua penjuru di situ.
Tetapi bagaimana dengan kerusi-kerusi lain dan sahabat-sahabatnya yang lain? Apakah mereka akan mendapat laluan satu lawan satu dengan BN juga? Bagi tokoh-tokoh ‘has been’ dalam Amanah, laluan mereka tidak mungkin secerah Tengku Razaleigh. Tetapi jika sekadar mahu ‘kacau daun’ mungkin boleh.
Nasiblah Malaysia. Semua pihak mengakui sayangkan Malaysia. Semua tindakan kerana sayangkan Malaysia. Akhirnya…
No comments:
Post a Comment