Monday, November 7, 2011

#BNbagus Negara luar iktiraf kejayaan Malaysia turunkan jenayah


KESUNGGUHAN polis membolehkan indeks jenayah jalanan berjaya diturunkan

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

KESUNGGUHAN polis membolehkan indeks jenayah jalanan berjaya diturunkan.

BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan antara bidang keberhasilan yang menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang bimbang dengan kadar jenayah di sekeliling mereka.

Walaupun sebahagian besar rakyat negara ini mengakui Malaysia adalah antara tempat paling selamat untuk membina keluarga dan kerjaya, peningkatan kadar jenayah terutamanya jenayah keganasan dan kebanjiran warga asing tetap menimbulkan kegusaran anggota masyarakat.

Menurut kenyataan terkini KDN, Indeks Keamanan Global (GPI) oleh Institut Ekonomi dan Keamanan di Sydney dan New York menunjukkan Malaysia kini berada pada prestasi membanggakan untuk berada di tangga ke-19 antara 153 negara paling selamat tahun ini berbanding tangga ke-22 tahun lalu dan ke-26 pada 2009.

GPI dinilai dari segi kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan polis, kesan jenayah terancang terhadap perniagaan, kesan jenayah dan keganasan terhadap perniagaan.

Projek Keadilan Sejagat (WJP) pula melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan pertengahan serta di kedudukan ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.

Sementara itu, kaji selidik Indeks Kebimbangan Jenayah (Fear of Crime Index) melaporkan berlaku penurunan sebanyak 9.6 peratus dari segi perasaan takut terhadap jenayah, daripada 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 48.9 peratus pada Mei tahun ini.

Pada masa sama, kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan bahawa kebimbangan orang ramai terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus pada tahun ini.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula melaporkan berlaku penurunan 9.4 peratus terhadap tuntutan kes berkaitan kenderaan antara tahun 2010 berbanding 2009.

Secara keseluruhannya, kadar indeks jenayah antara Januari hingga September tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 9.8 peratus, daripada 132,355 kes antara Januari hingga September 2010 berbanding 119,376 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Kadar jenayah jalanan pula mencatatkan penurunan sebanyak 40.6 peratus, dengan 29,596 kes jenayah jalanan dicatatkan antara Januari hingga September 2010 berbanding 17,591 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Ini hasil usaha gigih dan kesepaduan daripada semua pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), agensi-agensi lain di bawah kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan (GLC), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat setempat.

Antara pendekatan bersama yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan-kawasan 'panas'; meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti rondaan serta melatih ahli-ahli Rela dan anggota JPAM sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditugaskan bersama pihak polis di kawasan panas.

Selain itu, bilangan balai polis bergerak dan motosikal polis di kawasan panas turut ditambah; memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas serta memperhebatkan penyertaan dan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti mencegah jenayah melalui RakanCop, Kepolisan Komuniti, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Bandar Selamat dan sebagainya.

NKRA ini juga bukan hanya melibatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan semata-mata malahan merangkumi usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman.

Ini termasuk yang melibatkan elemen pendakwaan (mahkamah malam dan J-Code untuk jenayah jalanan); hukuman di peringkat mahkamah dijalankan dengan pantas serta usaha menjayakan inisiatif pemulihan dalam penjara.

Untuk 2012, sejumlah RM11.311 bilion diperuntukkan kerajaan kepada KDN untuk pembangunan dan pengurusan di samping peruntukan khas berjumlah RM200 juta untuk PDRM bagi penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lebih moden.

Sebanyak RM249.85 juta juga disediakan untuk pembangunan bandar selamat, pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor, sistem penggera, cermin keselamatan, pembersihan semak samun dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk pemetaan berasaskan kejadian jenayah.

Selain itu, sebanyak RM7.56 juta lagi diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkasakan operasi Unit Khas Bergerak (UKB) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menangani masalah pemprosesan pendaftaran dan permohonan penduduk khususnya dari kawasan pedalaman dan pesisir pantai sekali gus memudahkan penduduk pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Dengan segala usaha, inisiatif dan pendekatan yang dilakukan KDN dan pihak-pihak yang berkenaan ini, diharapkan NKRA Mengurangkan Jenayah mampu mencapai sasaran penurunan indeks jenayah sehingga lima peratus dan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Lebih penting lagi, usaha tersebut diharap dapat memastikan rakyat di negara ini sentiasa berasa dan berada dalam keadaan selamat dan tenteram dalam menjalani kehidupan harian mereka.

No comments:

Popular Posts