Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Keanggotaan JPAM, Persiapan JPAM Hadapi Banjir, dan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA)
Nilai,
12 November 2011
Saya ingin memaklumkan bahawa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hari ini telah mempunyai seramai 1,280 orang penjawat awam tetap dengan disokong 394,347 anggota sukarela di seluruh negara yang terlatih dan memiliki kemahiran dalam operasi bencana, kecemasan dan khidmat kemanusiaan. Jumlah 394,347 ini turut melibatkan 70 pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) dengan kekuatan 2,015 anggota di kilang-kilang dan syarikat swasta.
Selain 394,347 anggota sukarela ini, JPAM turut melatih 48,242 orang pelajar Kadet Pertahanan Awam (KAPA) di sekolah menengah, 7,625 orang pelajar Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA), 2,016 orang pelajar Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), 14,591 mahasiswa di 25 buah Institut Pengajian Tinggi dengan ko-kurikulum Pertahanan Awam; dan sejumlah 236,959 orang awam tentang kesedaran dan kemahiran bagi menghadapi kecemasan dan bencana setempat.
Dengan kekuatan ini (394,347 anggota sukarela, lebih 72,474 orang pelatih dan lebih 236,959 orang awam yang didedahkan dengan ilmu pertahanan awam), maka terbukti JPAM merupakan salah sebuah pasukan sukarelawan rakyat terbesar yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana, baik bencana semula jadi mahupun akibat perbuatan manusia di negara ini.
Dalam konteks kesediaan untuk menghadapi bencana banjir yang diramalkan akan berlaku tidak lama lagi, JPAM kini berada dalam keadaan siap sedia dan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Malah, JPAM sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mengetahui perkembangan terkini khususnya mengenai ramalan kaji cuaca.
Berhubung perkara ini, seramai 11,800 anggota JPAM telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan dan ditugaskan ke lokasi banjir di seluruh negara dalam tempoh masa 3 jam pertama banjir berlaku.
Selain itu, JPAM juga telah bersiap sedia dengan kemudahan logistik seperti bot, lori, jaket keselamatan dan kelengkapan menyelamat mangsa banjir.
Ketika ini, JPAM sedang giat melaksanakan latihan fasa akhir untuk anggota-anggota di negeri-negeri yang berisiko menghadapi banjir seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Sementara itu, berhubung Perhimpunan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan pada hari ini, ia adalah medan penting bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan di kalangan generasi muda khususnya pelajar universiti yang mempunyai kemahiran mengenai soal keselamatan, pengurusan bencana serta cara rawatan ketika berlaku kecemasan.
Pihak kerajaan sememangnya amat menggalakkan penglibatan golongan mahasiswa dalam aktiviti dan pertubuhan berteraskan kesukarelawanan seperti Kor SISPA. Ini kerana ia merupakan salah satu teras penting dalam proses pembangunan sosial negara khususnya dalam soal pemupukan semangat patriotisme yang tinggi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment