YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Pembentangan Bajet 2012
Kuala Lumpur, 08 Oktober 2011
Saya amat bersyukur kerana Bajet 2012 oleh YAB. Perdana Menteri. Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah menterjemahkan komitmen kerajaan untuk terus mengutamakan keselamatan negara, membawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke era lebih moden dengan pemikiran baru di samping mengiktiraf jasa-jasa anggota keselamatan yang pernah berkhidmat untuk tanah air.
Saya berharap agar seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya anggota PDRM dapat menterjemahkan Bajet 2012 ini sebagai satu pengiktirafan dan memikul amanah ini dengan bersungguh-sungguh, jujur, dan ikhlas demi agama, bangsa dan negara.
Dengan tema 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara', bajet kali ini secara keseluruhannya dilihat berupaya mengurangkan beban yang ditanggung rakyat akibat ketidaktentuan ekonomi hari ini sekali gus memacu kemajuan negara di tahap yang membanggakan. Malah, 5 fokus yang digariskan iaitu meligatkan pelaburan; mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi; program transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; dan meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat, sememangnya bertepatan dengan hala tuju Pelan Transformasi Kerajaan (GTP, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) yang sedang rancak dilaksanakan sekarang.
Walaupun kerajaan memperuntukkan sebanyak RM230.83 bilion dalam bajet kali ini iaitu tambahan RM1.25 bilion berbanding tahun lalu, namun pendekatan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar fiskal sekali gus memastikan ekonomi negara terus dinamik dan berdaya saing.
Ini adalah bukti pendekatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengurus tadbir kewangan negara dengan baik. Selain itu, saya juga percaya pendekatan berhemah dan inovatif yang dilaksanakan kerajaan telah membuahkan hasil terutama dari segi penjimatan kos. Salah satu inisiatif yang melibatkan KDN adalah pelaksanaan Penjimatan Dalam Pelaksanaan Pengurusan Nilai Bagi Projek Rancangan Malaysia ke-10.
Sehubungan itu, dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan, KDN telah melaksanakan pendekatan inovatif melalui kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengadakan Program Pemulihan Pemasyarakatan (sebuah program pemulihan di luar tembok penjara untuk para banduan yang menepati syarat iaitu di kem-kem tentera). Pelaksanaan Program Pemulihan Pemasyarakatan ini memberi impak yang tinggi bukan sahaja dari aspek pemulihan dan mengurangkan kadar jenayah, sebaliknya secara jelas ia menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Ini kerana, kos pembinaan sebuah kompleks penjara baru adalah berjumlah RM50 juta. Namun kos pembinaan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di kem ATM hanyalah RM4.3 juta. Bermaksud, kerajaan mampu membuat penjimatan bagi pembinaan infrastruktur berjumlah RM45.7 juta ringgit melalui program ini. Sehingga kini, Program Pemulihan Pemasyarakatan dilaksanakan di 5 kem ATM di seluruh negara yang melibat 1106 orang yang diseliakan (banduan).
Pada masa yang sama, pendekataan inovatif ini diperluaskan lagi melalui kerjasama antara PDRM dan ATM melalui latihan asas kepolisan di kem-kem tentera bagi menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat sekali gus mengatasi kekurangan pusat-pusat latihan polis. Langkah ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Ini kerana, pembinaan sebuah pusat latihan polis yang baru memerlukan peruntukan berjumlah RM250 juta.
Melihat pembentangan Bajet kali ini dari sudut keselamatan dan keamanan negara, saya selaku Menteri Dalam Negeri mengucapkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YAB. Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dan pihak kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kewangan yang cukup besar bagi sektor ini. Dalam konteks ini, sejumlah RM11.311 bilion diperuntukkan kerajaan kepada KDN. Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM821 juta untuk Belanja Pembangunan dan RM10.49 bilion untuk Belanja Mengurus. Peruntukan ini jauh lebih besar berbanding peruntukan berjumlah RM10.363 bilion yang diperoleh pada tahun 2011.
Selain itu, sekalung penghargaan juga kepada pihak kerajaan atas peruntukan khas berjumlah RM200 juta untuk PDRM bagi penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lebih moden bagi membentuk pasukan keselamatan yang lebih efisien sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa. Jumlah ini tidak termasuk peruntukan RM442 juta untuk perbelanjaan pembangunan PDRM seperti menaik taraf kemudahan kuarters, pejabat dan ubah suai bangunan di bawah Built, Lease and Transfer (BLT).
Di bawah usaha ini sebanyak 31 projek telah siap dan diserahkan kepada PDRM. Manakala sebanyak 43 projek yang sama dijangka siap pada 2012 dan 2013. Nilai keseluruhannya adalah berjumlah RM7.499 bilion. Ianya melibatkan 5 kuarters/perumahan IPD, 3 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), 13 balai polis, 8 Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), 3 Maktab Polis, 3 Pusat Latihan Polis, 1 Mes Pegawai Kanan PDRM, 3 Pengkalan Marin dan 1 kemudahan PDRM (ada balai, IPD, maktab PDRM atau kem PGA yang mendapat lebih daripada 1 pakej). Projek-projek BLT akan memberi manfaat dan keselesaan kepada lebih kurang 13,000 pegawai PDRM dengan sebanyak 9,225 buah kuarters pelbagai jenis dibina.
Keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan, jasa dan khidmat bakti pasukan polis untuk pembangunan agama, bangsa dan negara begitu terserlah. Buktinya, lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat seperti Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxiliary Police, Women Auxiliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout, akan menerima sumbangan secara one-off berjumlah RM3,000. Selain bekas anggota polis khas dan polis tambahan ini, setiap duda dan balu mereka akan turut menerima bantuan ini. Keseluruhannya seramai hampir 62,000 orang akan menerima bantuan ini.
Selain itu, sebanyak RM7.56 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkasakan operasi Unit Khas Bergerak (UKB) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tujuan memperkasa operasi UKB ini adalah bagi menangani masalah pemprosesan pendaftaran dan permohonan penduduk khususnya dari kawasan pedalaman dan pesisir pantai sekali gus memudahkan penduduk pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM249.85 juta untuk memperhebatkan agenda ini yang melibatkan usaha pembangunan bandar selamat, pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor, sistem penggera, cermin keselamatan, pembersihan semak samun dan GIS crime based mapping.
Saya akan berusaha memastikan pihak KDN memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disalurkan bagi memberi impak yang maksimum kepada usaha memelihara keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara. Malah, saya juga akan memastikan pihak KDN akan terus bergerak, komited dan bekerja keras bagi menjayakan NKRA Mengurangkan Jenayah.
Bagi pihak seluruh warga KDN termasuk agensi-agensi di bawahnya yang berjumlah hampir 165,000 kakitangan di seluruh negara, saya amat menghargai pengenalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Langkah ini sememangnya dinantikan oleh penjawat awam termasuk yang bertugas di KDN, selain para pesara. Pengenalan SBPA ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM275.1 juta untuk tahun 2012 di peringkat KDN.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment