Tuesday, August 30, 2011

Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri Dan Hari Kemerdekaan Datuk Seri @NajibRazak

29 Ogos 2011

PERUTUSAN KHAS HARI RAYA AIDILFITRI DAN HARI KEMERDEKAAN OLEH
YAB. DATO’ SRI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri serta Salam Kemerdekaan,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Pertamanya, segala ucapan tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT justeru selesai sebulan kita melaksanakan ibadah puasa dalam satu perjalanan spiritual mentarbiyyah rohani dan menguji fizikal. Maka, dengan tibanya fajar Syawal yang mulia, umat Islam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran menyambut satu kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan oleh Rasulullah SAW yakni jihad bagi melawan nafsu.

2. Pada tahun ini, ditaqdirkan sesuatu yang bitara dan unik, sebagai rakyat Malaysia kita bertuah dapat menyambut gema Aidilfitri berselang sehari dengan ulangtahun sambutan kemerdekaan negara yang ke lima puluh empat. Kedua-dua perayaan ini mempunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi.

3. Pucuk pangkalnya, rakyat Malaysia yang berlainan agama, anutan dan kepercayaan mempunyai banyak sebab untuk bersyukur dan berterima kasih. Hakikat bahawa, Malaysia telah dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak. Jelas sekali, kita ibarat sebuah oasis di tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik dan kegoncangan ekonomi yang bertali arus.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4. Hari ini, seperti yang kita maklum, ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan juga beberapa negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan penyelamatan atau “bailout”, sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan setengah bulan bonus kepada satu perpuluhan empat juta kakitangan awam yang menelan belanja dua bilion ringgit menjelang sambutan istimewa perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan.

5. Sungguhpun yang demikian, kita tidak boleh sekali-kali terbuai dan berpuas hati dengan ehwal kejayaan tersebut. Untuk itu, sepanjang tempoh dua tahun yang lepas, pancang-pancang telah dipasak oleh kerajaan bagi memastikan penciptaan kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat. Apa yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera dimana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu cicit kita kelak.

6. Peri pentingnya, setiap seorang daripada kita hendaklah mengetahui bahawa, matlamat tertinggi kerajaan adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional semenjak negara mencapai kemerdekaan. Dari itu, sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, lagi prihatin terhadap kegundahan serta resah gelisah warganya dan memahami kebimbangan mereka, kita sedar tentang fenomena kos kehidupan semakin meningkat sekaligus kita maklum terhadap harga bahan makanan yang semakin naik. Lantaran itu, kerajaan telah dan akan terus mengambil tindakan memperbaiki dan memperelok keadaan ini secara berperingkat serta menyeluruh demi kepentingan rakyat.

7. Pokoknya di sini, sekalipun fenomena kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab kita tidak akan berpaling daripada menghadapi sebarang cabaran. Misalannya, sebagai langkah awal kita telah menjadikan matlamat menangani kos kehidupan yang semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang terbaru. Satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang juga telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri. Sememangnya, langkah-langkah ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu membantu rakyat.

8. Selain daripada itu, kerajaan akan meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung. Ini terutamanya, subsidi bahan makanan yang terpilih seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula. Begitu juga bahan bakar seperti Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fiskal negara dengan mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan akan didahului serta diutamakan.

9. Sehubungan itu, baru-baru ini saya telah mengumumkan beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung. Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia di mana barang-barang keperluan berjenama 1Malaysia mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Di Klinik-Klinik 1Malaysia pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran seringgit dan yang mutakhir melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau singkatannya KAR1SMA sejumlah 1.4 Bilion akan diperuntukan kepada lima ratus ribu warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal serta balu polis atau tentera yang berkelayakan.

10. Sesungguhnya, usaha kerajaan tidak terhenti sekadar itu sahaja. Selanjutnya, insyaAllah melalui Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada awal Oktober nanti, saya akan mengumumkan pula langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

11. Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. Beringatlah yakni semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal lestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara. Oleh yang demikian, kita dengan ini menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka. Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan, anti agama dan anti Nasional.

12. Jadi, di atas segala-galanya, bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap nubari kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

13. Bertolak dari situ, pada hemah saya, dua sambutan yang bersesekali ini sewajarnya membawa permaknaan dan pengertian yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga disamping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan.

14. Kata orang dulu-dulu, sempena hari baik bulan baik ditambah pula hembusan Merdeka, kita buanglah yang keruh, kita ambillah yang jernih. Di musim perayaan ini, marilah kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar Malaysia supaya dapat menjadi contoh kerukunan hidup kepada seantero dunia.

15. Lantas, sempena bulan yang mulia dan semangat sambutan Hari Kebangsaan ini, ayuhlah kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing. Di sinilah tergubah dan terlukisnya sebuah citra Malaysia yang kita damba-dambakan.

16. Akhir kata, saya dengan rasa kerendahan hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Turut dihulurkan salam istimewa Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dimana jua Tuan-Tuan dan Puan-Puan berada. Semoga Tuhan sentiasa merahmati kita semua.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Popular Posts