Thursday, August 27, 2009

Permatang Pasir - harapan yang terlalu tinggi

Sejak kematian wakil rakyat PAS di Permatang Pasir, kita sudah merasakan yang kita tidak akan menang jika bertanding di kubu kuat Anwar Ibrahim ini. Begitu pun semangat yang dibawa dari Manek Urai mungkin menyebabkan kita menaruh sedikit harapan, mana tahu keajaiban yang serupa akan berulang. Tambahan pula jumlah pengundi Melayu di sini adalah sekitar 73 peratus dan jumlah pengundi muda pula sekitar 40 peratus. Jadi apa salahnya membina sedikit harapan, lebih-lebih lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, selera pengundi Melayu nampaknya semakin berubah.

Kenapa kita kalah di Manek Urai? Jika diberi tiga punca utama, saya akan menyatakan pertama, faktor calon; kedua – pengundi hantu; ketiga – pengurusan dan pentadbiran jentera.

Kedua-dua calon sebenarnya bukan calon yang kuat dan kedua-duanya bermasalah. Calon BN, Rohaizat Othman, 38 tidak memegang jawatan yang membolehkan beliau menonjolkan diri dalam Bahagian. Sedangkan, Mohd Salleh Man, 52 merupakan Persuruhjaya PAS Negeri. Namun, biarpun berjawatan tinggi, tidak banyak yang boleh dipromosikan oleh PAS tentang calon ini. Beliau mempunyai isu integriti apabila khabarnya pemimpin PAS Pulau Pinang sendiri yang meyebut bahawa beliau terlibat dalam penyalahgunaan wang. Beliau disaman kerana hutang bank dan masih belum melangsaikan hutang Tekun.

Oleh kerana calon ini tidak kuat, PAS telah mengambil tindakan utama untuk meyerang peribadi calon BN yang nampaknya tidak bersedia untuk menjawab pelbagai persoalan mengenai dirinya. Terlampau banyak tumpuan media terhadap beliau berbanding Salleh Man. Jika beberapa hari sebelum pengundian, tinjauan mendapati 53 peratus responden melihat beliau sebagai bermasalah dan hanya 6 peratus percaya Salleh Man terlibat dalam penyelewengan, maka dari segi pengurusan persepsi, BN telah kalah. Begitupun setidak-tidaknya Rohaizat berusaha turun menjelaskan kedudukannya dan mungkin sedikit sebanyak simpati pengundi dapat diraihnya.

Kedua, `pengundi hantu’ adalah satu faktor yang signifikan, jika jumlahnya sebanyak 3,696, iaitu sekitar 18.2 peratus dari jumlah keseluruhan 20,350 orang pengundi. Biarpun ada penganilisis yang menyatakan mereka ini bukan pengundi hantu dan SPR sendiri menafikannya, bagi kita ia memang wujud dan mereka ini dikenal pasti sebagai pengundi yang mendaftar mengundi di Permatang pasir, tetapi dari segi alamat, ianya amat meragukan. Contohnya, seramai 10 atau lebih pengundi Melayu yang didaftarkan menggunakan alamat rumah pengundi Cina yang tidak tahu menahu mengenai mereka (sama ada sebagai penyewa atau sebagainya) ataupun mereka yang didaftarkan bukan atas alamat kediaman tetapi di atas nama jalan utama. Walaupun ada penafian daripada Pengarah SPR namun dari segi kaedah pendaftaran pun kita tahu terdapat kelemahan yang memungkinkan pendaftaran individu yang bukan penduduk tempatan. Apa lagi jika ia disengajakan oleh petugas dalaman. Lagipun kita tahu, ketika membuat penafian, beliau bukannya turun dari rumah ke rumah untuk menyemak sendiri alamat setiap pengundi.

Ketiga, walaupun kesatuan jentera nampaknya lebih baik kali ini, namun dari segi pengurusan dan pentadbiran masih banyak kelemahan. Tidak perlu saya menghuraikan dengan lebih mendalam, cukup sekadar menyatakan bahawa, ada sejumlah kelemahan yang ketara berbanding Manek Urai.

Adakah isu yang dibawa oleh BN mempunyai masalah? Pada pandangan saya tidak. BN sentiasa konsisten dengan agenda pembangunan. Ini ditunjukkan melalui janji BN untuk menjadikan Permatang Pasir sebagai Anak Emas kerajaan Pusat. Adakah janji ini untuk orang Melayu sahaja atau untuk bukan Melayu juga? Ia adalah janji untuk kedua-duanya dan memberi keuntungan kepada semua pengundi di Permatang Pasir. Adakah PAS melaksanakan tanggungjawab tersebut sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu? Tinjauan rambang terhadap penduduk menunjukkan sumbangan PAS nampaknya tidak dirasai.

Adakah hasrat untuk menjadi suara yang lebih kuat dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan Islam di Permatang Pasir dan Pulau Pinang menjadi masalah kepada 73 peratus orang Melayu? Saya rasa tidak. Lebih-lebih lagi dalam keadaan PAS dipinggirkan dan gagal melaksanakan tanggungjawab itu di Pulau Pinang.

10 tahun di bawah wakil rakyat PAS, apakah yang pengundi katakan? Anak muda dahagakan perubahan dan lebih banyak program, termasuk dalam bidang ekonomi. Pengundi yang dewasa juga begitu. Cuma mereka mempunyai memori indah tentang Anwar Ibrahim dan sejarah kelam dengan kepimpinan BN, lebih tepat lagi UMNO tempatan.

10 tahun di bawah PAS adalah satu tempoh yang kosong tanpa sebarang perubahan yang benar-benar dapat dirasai oleh majoriti orang Melayu dan bukan Melayu. Namun, jika ramai yang bahagia begitu, BN tidak boleh melakukan apa-apa.

Apa yang pasti kita tidak dapat meyakinkan yang mereka akan menerima perhatian yang lebih baik daripada kerajaan pusat. Kita masih belum boleh meyakinkan pengundi bahawa BN lebih berkemampuan mewakili suara mereka di Permatang Pasir berbanding BN. Kita tidak dapat meyakinkan pengundi bahawa perubahan di Permatang Pasir akan memberi mesej yang kuat kepada pemerintah Pulau Pinang yang semakin bongkak. Mungkin mesej ini tidak benar-benar sampai kepada pengundi disebabkan kelemahan jentera kita.

Bagi saya ini adalah satu tapak yang baik untuk menguji perubahan sikap pengundi dan melatih jentera bagi menghadapi pilihan raya ke-13. Selepas 10 tahun di bawah PAS, Ini adalah satu tempat yang menarik untuk melihat bagaimana golongan muda (yang tiada memori tentang Anwar), golongan dewasa (yang masih bernostalgia tentang Anwar), 73 peratus pengundi Melayu dan Bukan Melayu berreaksi terhadap tawaran BN.

Ia bukan satu kekalahan yang memalukan kerana kita sememangnya datang dengan peluang yang tipis untuk menang. Begitu pun kita mampu mengurangkan undi majoriti sebanyak 8 peratus.

Perlukah kita kecewa. Tidak sama sekali.

Patutkan kita gembira? Tidak sama sekali. Sebaliknya kita kena bekerja lebih keras lagi. Strategi dan pendekatan kena tepat. Pemilihan calon perlu lebih teliti. Apakah pengajarannya untuk UMNO dan BN?

Kita sekarang di dalam mode peperangan. Jentera dan resources seharusnya dipersiapkan 5 bulan yang lepas!

Monday, August 24, 2009

Melayu Permatang Pasir kena bijak berpolitik...

Imam Man merupakan imam solat terawih di salah sebuah surau di Kampung Paya, dalam daerah mengundi Kg Cross Street, Permatang Pasir. Surau itu tidak begitu besar; jemaahnya hanya sekitar 60 orang, lelaki dan wanita. Solat terawih hanya lapan rakaat dan sebelum witir, Imam Man minta masa selama 10 minit untuk memberi tazkirah. Dalam tazkirah, disebut bagaimana orang kampung seharusnya menjaga kampung masing-masing dan jangan biarkan orang kampung berpecah dan bermasam muka kerana orang luar dan perbezaan fikiran politik.

Imam Man adalah antara Imam yang faham tentang keburukan berpolitik dan kesannya kepada perpaduan dan masalah ummah. Apa yang mengejutkan semasa berbual-bual, Imam menyebut orang Melayu Permatang Pasir kena pandai berpolitik. “Lihat orang Cina Permatang Pasir berpolitik. Semalam sewaktu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin turun ke peti undi Kg Cross Street untuk bertemu pengundi Cina, kehadiran mereka hampir dua ribu orang.”

Soal beliau, “adakah orang Cina akan memberi undi kepada BN?”. Beberapa orang kampung lain menggeleng, tetapi mengejutkan, Imam Man kata kemungkinan besar `ya’. Sebabnya, kerana memberi kerusi ini bukan memberi kerusi orang Cina. Kedua kerana kemenangan BN di sini tidak akan menjejaskan kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dikuasai oleh orang Cina. Dengan memberikan kemenangan kepada BN di sini, penduduk tempatan akan mendapat perhatian Kerajaan Pusat. Lagipun selepas 10 tahun Pas memenangi kawasan ini, tidak ada satu apa pun yang dilakukan untuk orang Cina.”

“Orang Melayu kena pandai berpolitik,” ulang Imam Man. “Kita kena berani membuat perubahan,” katanya lagi. Selepas 10 tahun di bawah wakil rakyat Pas, memang tidak banyak perubahan. Lebih malang lagi, selepas pilihan raya 2008, suara Pas, suara orang Melayu dan Islam dipinggirkan oleh pemerintah Pulau Pinang.

“Wakil rakyat Pas tidak pun diangkat menjadi Exco dan penduduk Permatang Pasir terus ketinggalan. Dari segi orang Melayu dan Islam Pulau Pinang pula, suara kita tidak didengari oleh pemerintah Pulau Pinang.”

Kenyataan Imam Man ini sebenarnya mengejutkan kerana sepanjang 10 minit pertama berbual dengan orang-orang kampung, beliau melihat Anwar Ibrahim sebagai orang baik yang dianiaya. Bagi beliau Anwar adalah tokoh Melayu yang nampak serba bersih walaupun ramai yang tahu sikap Anwar semasa dalam UMNO.



Cuma dalam kes Permatang Pasir kali ini, beliau lebih melihat kepada maslahat penduduk setempat dan Pulau Pinang. Kemenangan kepada Pas, tidak memberi makna kepada apa-apa.
Hakikat itu sebenarnya konsisten dengan hasrat anak-anak muda di kawasan yang sama. Dalam sesi dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, jelas nampak anak-anak muda yang dahagakan program. Begitu pun, kalau sampai gelanggang sepak takraw atau soal meningkatkan ekonomi mereka, wakil rakyat Pas dan PKR tidak ambil peduli, apakah harapan mereka.

Sebab itu kata Imam Man, Melayu Permatang Pasir kena pandai berpolitik. Jika tidak siapa yang akan ambil peduli tentang nasib dan masa depan mereka.

Memberi undi kepada BN, walaupun sekadar menurunkan majoriti Pas, akan membuka mata DAP yang begitu angkuh dan berkuasa. Memberi kemenangan kepada BN, bermaksud memberi satu lagi kerusi DUN kepada BN menjadikannya 12 kerusi; bermaksud memberi lebih kuasa kepada rakyat untuk menyuarakan hasrat mereka.

Mudah-mudahan hasrat Imam Man terlaksana, ibarat kata Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, kemenangan BN di Permatang Pasir akan menjadikan mereka Anak Emas, sedangkan kemenangan Pas akan tetap menjadikan mereka Anak Tiri DAP.

Friday, August 21, 2009

Dialog TPM - Satu lagi pengiktirafan kepada golongan blogger

Mereka hanya golongan blogger. Menggelarkan diri mereka sebagai blogger jalanan. Ada yang mempunyai latar belakang kewartawanan; ramai yang tidak.
Begitupun, kewujudan mereka amat dirasai; dan kesudian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdialog dan mendengar pandangan mereka menunjukkan mereka diiktiraf sebagai golongan yang signifikan, biarpun ramai yang tidak mahu dikenali.
Sessi yang bermula pukul 5 petang itu tamat pada jam hampir 7.30 malam. Walaupun kedinginan disebabkan oleh pendingin hawa dan hujan lebat, namun perbincangan di dalam `marque' terus hangat. Bloggers memerhati prestasi pemimpin negara. Mereka sayangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, begitupun mereka tidak dapat menerima sikap tidak bersunguh-sungguh, lambat bertindak, lalai, politically incorrect dan kegagalan menguruskan kerajaan oleh sejumlah pemimpin BN.
Mereka mengharapkan `wow factor' yang masih tidak dapat dirasa selepas hampir lima bulan bertukar kepemimpinan. Ada pandangan yang mahu kabinet dirombak segera kerana masih ramai menteri dan timbalan menteri yang tidur. Ada yang tidak nampak perubahan dari segi pemimpin kanan parti mengurus jentera kerajaan dan jentera parti.
Ada kementerian yang masih lambat melaksanakan projek - mungkin kerana ketidak cekapan, integriti dan korupsi. Pelaksanaan pakej rangsangan masih belum dapat dirasai oleh rakayat terbanyak.
Ada pemimpin yang menang pemilihan, dilantik menjadi menteri, tetapi begitu sukar untuk meluangkan masa bertemu jentera parti. Selepas menang dan dilantik menjadi menteri, jentera parti terpaksa beratur panjang, menunggu giliran, ibarat peminta sedekah kepada pemimpin yang diundi.
Segalanya memerlukan jawapan daripada orang nombor dua kepercayaan Perdana Menteri. `Seladang' pastinya mempunyai semua jawapan, walaupun bukan semua dapat dijelaskan di pentas terbuka. Walaupun sukar, Tan Sri Muhyiddin berusaha menjawabnya. Selebihnya, mungkin wajar diselesaikan di sidang yang lain, mungkin seenaknya bersama teh tarik dan sebungkus nasi kandar.
Bagi blogger jalanan, dialog dan pertemuan membolehkan mereka mengulas peristiwa dengan lebih berkesan; menjadikan mesej yang disampaikan lebih bermakna. Mereka bukan perlukan wang upahan kerana bagi mereka integriti dalam perjuangan lebih diutamakan. Hari ini, Tan Sri Muhyiddin cuba memberikan ruang itu. Walaupun tidak memadai, namun janji untuk menganjurkan pertemuan dan mekanisme bertindak yang lain sudah memadai.
Pastinya blogger akan menagih janji. Terserah kepada pejabat beliau untuk mentafsirkan kesungguhan Timbalan Perdana Menteri. Apa pun, kesungguhan dan keterbukaan Timbalan Perdana Menteri untuk mendengar pandangan yang bukan `kenyataan membodek' para pegawai menteri dan pandangan sebenar rakyat wajar dipuji. Mudah-mudahan lebih ramai menteri yang berani untuk turun dan mendengar sendiri dari mulut blogger mengenai kekhilafan dan kelemahan diri.
Bagi saya, lebih elok mendengar suara para blogger dari terpaksa berhadapan dengan penanya.... !

Saturday, August 15, 2009

Satu undi untuk PAS, dua undi untuk DAP

Perkembangan terkini menunjukkan bahawa satu undi yang diberi kepada Pas bermaksud kita memberi dua undi DAN dua kali kuasa kepada DAP. Ini amat jelas di Perak dan Selangor; dan menjadikan DAP berkali-kali ganda berkuasa di Pulau Pinang.

Di Perak, walaupun takhta Menteri Besar dianugerahkan kepada PAS, tetapi PAS tidak mempunyai kuasa sebaliknya menjadi boneka dan sentiasa diperkudakan. Di Selangor, PAS mempunyai 8 kerusi DUN, PKR 15 kerusi dan DAP 13 kerusi, namun dalam kes penjualan arak, nampaknya kuasa DAP mengatasi kuasa Menteri Besar PKR.

Di Pulau Pinang, kedudukan PAS lebih buruk lagi. Jika wakil rakyat PAS tidak meninggal dunia dan Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan, kita mungkin tidak sedar atau sudah lupa bahawa PAS ada memenangi satu kerusi di Pulau Pinang.

Apakah maksudnya kedudukan PAS ini? Ia bermaksud jika Pakatan Pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, maka PAS tidak mungkin akan menjadi kuasa yang dominan dalam parti pembangkang. Hakikat ini akhirnya akan menyebabkan PAS terpaksa melunakkan konsep negara Islam yang diperjuangkan selama ini.

Di Perak misalnya, bekas Menteri Besar, Nizar dalam sidang Dewan Undangan Negeri terpaksa menyebut bahawa "tidak ada dalam mana-mana transkrip, manifesto dan memorandum PAS, bahawa PAS hendak menegakkan negara Islam." Rakyat serta ahli dan penyokong PAS mengetahui ini tidak benar kerana PAS sangat mendukung kehendak untuk menegakkan negara Islam tafsiran mereka di Malaysia.

Bagi mereka, Malaysia bukan sebuah negara Islam tetapi hanya sebuah negara orang Islam. Dalam negara Islam yang dihasratkan mereka, mereka mahu hukuman hudud dilaksanakan, penjualan arak, perniagaan judi dan hiburan diharamkan sama sekali. Bagi mereka hiburan itu haram; memainkan alatan-alatan muzik adalah sesuatu yang tidak dibenarkan dalam Islam dan perlu disekat.

Begitupun menyedari bahawa mereka hanya mempunyai jumlah kerusi tercorot di dalam negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang hasrat ini terpaksa dipendamkan dan mereka akhirnya bersubahat dengan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dalam apa yang mereka labelkan sebelum ini sebagai `menganjurkan maksiat' dan `menghukum bukan dengan hukum Allah'.

Hari ini, PAS di Selagor juga tidak mampu berbuat apa-apa bagi mencapai hasrat negara Islam ekstrem tafsiran mereka. Pemimpin PKR dan DAP nampaknya tidak akan membenarkan sama sekali PAS melaksanakan semua ini. Golongan sosialis Melayu dalam PKR dan DAP tidak akan membenarkannya. Apa lagi Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang sudah pasti akan menentangnya sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dalam usaha menjelekkan untuk mengekalkan kuasa, wakil rakyat PAS sampai sanggup mengelurkan fatwa, membenarkan gereja menggunakan perkataan Allah sedangkan mereka tahu, ia akan menyebabkan lebih ramai umat Islam terjebak ke dalam kekeliruan, kekufuran dan kemurtadan.

Di Pulau Pinang, suara PAS langsung tidak didengari. PAS hanya melukut di tepi gantang, kehadirannya tak memberi makna, tiada pun tidak mendatangkan apa-apa mudarat. Segala ini membuktikan PAS dalam Pakatan Pembangkang, tidak mampu menjadi representation yang berkesan bagi orang Melayu dan umat Islam.

Memberi undi kepada PAS hanya ibarat memberi lebih kuasa kepada DAP untuk melaksanakan agenda mereka!!!!

Tuesday, August 11, 2009

PAS yang hilang arah

Apakah nilai sebuah parti yang mendakwa ianya parti Islam di Malaysia? Di Perak, jika bukan kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Pas hanya parti picisan yang mendapat tempat paling corot di negeri Perak. Demi kuasa, Pas Perak rela diperkudakan oleh DAP. Ketakutan Pas Perak nyata apabila pemimpin tertingginya, Nizar membuat `u-turn' 180 darjah mengenai perjuangan Pas dengan mengatakan bahawa "tidak ada dalam mana-mana transkrip, manifesto dan perlembagaan Pas yang menyebut bahawa ia memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam. Hukum Allah SWT dipermainkan terus oleh Nizar, apabila beliau melancarkan mogok lapar 72-jam yang jelas tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak cukup dengan itu, Nizar pula `bermain lilin' dalam upacara `candle virgil' yang sekali lagi jelas tidak Islamik. Apakah yang dibuat oleh Pemuda Pas? Nyatanya di bawah kepemimpinan Ketua Pemuda yang baru, Pemuda Pas tiada arah, hanya mampu menjadi kucing rumah atau kucing siam yang dipelihara oleh DAP.

Di Selangor, jumlah kerusi PAS juga paling corot. Ini menyebabkan Pas hanya dibuli oleh `rakan-rakan' yang bertentangan ideologi di dalam Pakatan Pembangkang. Terbaru, tindakan Ronnie Liu amat digeruni oleh Pas. Suara Pas pula tidak diambil endah sangat oleh teraju kepemimpinan negeri yang diketuai oleh PKR. Sekali lagi, laungan Takbir tidak berkumandang. Hanya ada laungan `take beer', lebih-lebih lagi apabila DAP menyatakan bahawa `beer' tidak sama dengan `liquor'. Sekali lagi Pas terpaksa belajar bahawa pemikiran mereka tentang negeri Islam adalah sesuatu yang `ekstrem' dan tidak dapat diterima oleh `rakan-rakan' sosialis mereka dalam Pakatan Riot. Akhirnya mereka terpaksa menelan hakikat, mereka bukan kuasa yang dominan dalam Pakatan Riot, hanya pemegang kerusi tercorot.

Di Pulau Pinang, Pas hanya parti yang melukut di tepi gantang. Ada pun orang tidak kisah, tiada pun orang tidak ambil peduli. Kalau bukan disebabkan kematian ADUN Pas di Permatang Pasir, orang pun tidak tahu, Pas ada wakil rakyat atau tidak pun di Pulau Pinang.

Hari ini, Pas adalah parti paling lemah dalam Pakatan Riot. Kalau ada pun tempat Pas, ia hanyalah di jalanan; untuk membuat kacau. Itupun kita yakin Pas tidak mampu melakukan perkara yang sama di Shah Alam dan Pulau Pinang.

Jadi apakah nilai Pas sekarang? Mereka tidak mampu menegakkan tafsiran mereka tentang Islam dalam Pakatan Riot kerana mereka adalah parti yang sakit dan paling lemah. Mereka tidak mampu menutup kilang dan premis penjualan arak seperti retorik politik mereka. Mereka tidak mampu mengawal premis-premis maksiat yang tumbuh bagai cendawan. Amalan korupsi dalam kerajaan negeri Selangor. Malah bersengkokol dengan perbuatan tidak bermoral Elizabeth Wong dan kes anak luar nikah.

Maka tidak hairanlah jika salah laku para pemimpin Pas ini ditegur berulang kali oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan pendakwah bebas Dr Redhuan Tee Abdullah.

Jika sesama umat Islam pun, tafsiran mereka sudah dianggap sebagai ekstrem, apa lagi bila mereka diapit oleh dua parti yang mendukung semangat sosialis dan sekularis; jika ada Melayu pun dalam pakatan sosialis ini, hanyalah Melayu dan Muslim yang keliru tentang kedudukan mereka; yang tergagap-gagap membaca surah al-Iqra' sewaktu perasmian majlis; yang terlibat main belakang atau pun yang minum wain di waktu malam!

Popular Posts