Hal 1: Mukadimah
1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain. Selawat dan
salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad Sollal-Lah-hu-a’laihi-wa-sallam.
2. Saya mulakan dengan memetik tafsir oleh para ulamak merujuk
firman Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah bahawa, pada setiap kesulitan dan
dugaan yang kita hadapi, pasti beriring dengannya kesenangan atau kebahagiaan
yang berhikmah.
3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada dalam diri
kita masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan pentadbiran
dan pengurusan Kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
4. Disebut orang sejak dahulukala, sekali air bah,… sekali
pantai berubah. Kendati itu, tengahari ini, 28 haribulan Januari 2016,
bertepatan 18 haribulan Rabiul Akhir 1437 Hijrah, satu lagi perutusan penting
hendak saya sampaikan, kerana tampaknya Bajet 2016 turut tertakluk kepada
perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.
5. Apa yang saya ingin perkata dan kongsikan hari ini, lebih
bersifat penerangan, perbandingan, penjelasan dan langkah-langkah menangani
situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui dalam pelbagai babak sejak
hampir 2 dekad yang lalu.
6. Lantaran, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana, pada
tengahari Khamis, yang mulia ini, hadirnya di dewan PICC ini, saudara dan
saudari di kalangan pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua
industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para
sukarelawan.
7. Semuanya hadir ke majlis perutusan khas ini, bagi tujuan
mendengar dan memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai dan menstruktur beberapa
perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet 2016.
Saudara-saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan
ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi
mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan
keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
9. Makanya, selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan,
langkah-langkah yang akan saya umumkan sebentar lagi, merupakan rumusan setelah
mengambil kira pendapat dan pandangan secara menyeluruh.
10. Ini turut dilengkapkan lagi melalui sesi – sesi perundingan
dengan pelbagai economic stakeholders, termasuklah juga syarikat-syarikat GLC,
ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar industri.
11. Bahkan, Kerajaan juga telah mendapatkan idea-idea bernas
daripada pihak-pihak NGO, yang mewakili para pengguna, ahli-ahli perniagaan
tersohor serta pengarah-pengarah perbankan runcit dari pelbagai peringkat.
12. Ternyata sebahagian besar daripada mereka, hadir bersama
kita pada tengahari ini. Terima kasih saya ucapkan di atas semua input dan dokongan
anda,…terima kasih,… terima kasih.
Indeed,… we are all doing this together for our nation.
Hal 2: Perbandingan Senario Ekonomi Negara Sejak 1997/98
Saudara-saudari sekalian,
13. Terlebih dahulu, mari kita himbau senario keadaan ekonomi
negara ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 hingga 98.
14. Pada tahun 1997 hingga 98, negara telah mengalami apa yang
disebut sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara
Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4 peratus.
15. Ketika itu, janganlah kita lupa bahawa,… antara kesan besar
kegawatan ekonomi yang berlaku tersebut, telah menatijahkan pemberhentian
pekerja secara mendadak, inflasi meningkat, rizab antarabangsa pula menyusut
kepada 59 bilion ringgit, hatta indeks pasaran saham KLSE jatuh menjunam
sehingga mencecah paras 260.
16. Begitu banyak, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar,
sampaikan segolongan anak-anak kita waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga
pasca sarjana muda, ramai yang hancur luluh hasrat dan impian mereka, untuk
menyambung pengajian ke luar negara terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu
tidak mampu memberi pembiayaan.
Saudara dan saudari serta rakyat Malaysia sekalian,
17. Jadinya, atas situasi yang melanda itu, Kerajaan yang
memimpin pada tempoh itu, telah mengambil langkah-langkah drastik termasuklah
pelaksanaan kawalan modal atau capital control dan tambatan matawang pada 3.8
ringgit berbanding 1 dolar Amerika.
18. Institusi perbankan telah dirasionalisasi, hutang syarikat
swasta distruktur semula melalui penubuhan Danaharta dan Danamodal. Kerajaan
ketika itu juga, telah melaksanakan pakej rangsangan bernilai 7 bilion ringgit
untuk memulihkan kembali ekonomi domestik.
Saudara dan Saudari sekalian,
19. Seterusnya, negara sekali lagi menghadapi kegawatan ekonomi
pada senario 2008 hingga 2009. Ia akibat subprime crisis di Amerika yang
memberi impak kepada ekonomi global, serta kenaikan mendadak harga minyak
dunia, sehingga mencecah 130 dolar Amerika setong, berbanding purata 70 dolar
Amerika setong pada tahun sebelumnya, yakni 2007.
20. Eksport negara pula menyusut lebih 15 peratus. Kesannya,
sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan turut terjejas.
21. Ketika itu, saudara dan saudari, saya baru sahaja dilantik
sebagai Menteri Kewangan dan tanpa berlengah lagi, mengambil langkah segera
dengan membentangkan pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai 7 bilion
ringgit pada November 2008.
22. Beberapa bulan selepas itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan
kedua bernilai 60 bilion ringgit pada Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti
ekonomi domestik. Pakej rangsangan kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan
inisiatif daripada pihak Kerajaan dan swasta.
23. Tidak cukup sekadar pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas
sahaja saya mengambil tampuk kepimpinan negara, pelbagai prakarsa telah
Kerajaan rencana dan laksanakan, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional
atau DTN sehingga kini.
24. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan dan
Ekonomi, demi memacu Malaysia menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi
menjelang 2020.
25. Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan
program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh
dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada
6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.
26. Manakala, kita juga bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah
hampir disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah
berjaya diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1
Malaysia seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik
1Malaysia, juga program perumahan mampu milik.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
27. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup,…
langit pula tidak selalunya cerah. Menjengah senario ekonomi negara pada tahun
lepas, yakni 2015, Malaysia diuji lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak
terduga dan berada di luar kawalan kita.
28. Harga minyak telah jatuh daripada 100 dolar Amerika, kepada
48 dolar Amerika setong. Sejak itu, harga minyak terus turun, hinggakan Bajet
2015 perlu diubahsuaikan.
29. Apa yang berlaku pada tahun lepas, hasil negara daripada
sumber berasaskan minyak, telah jatuh hampir 14 bilion ringgit. Maka, pada 20
haribulan Januari 2015, bagi pihak Kerajaan, saya telah membentangkan
pengubahsuaian ke atas Bajet 2015, dengan merasionalisasi perbelanjaan serta
menyemak semula sasaran defisit fiskal kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada
3.2 peratus.
30. Ingin saya nyatakan bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015
tersebut, turut disokong oleh inisiatif seperti rasionalisasi subsidi minyak
yang telah dilaksanakan terdahulu, walaupun ianya merupakan keputusan yang
tidak popular.
31. Syukur kepada Allah, kesemua langkah ini telah berjaya
mengurangkan kesan akibat daripada kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan
ekonomi global.
32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s,
Standard & Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan
kewangan kita, dengan mengekalkan penarafan yang baik.
33. Dengan semua ini, saya yakin ekonomi akan mencatat
pertumbuhan 5 peratus dan defisit fiskal kepada KDNK pada 3.2 peratus, seperti
yang disasarkan pada 2015. Insya-Allah, laporan sebenar akan diumumkan pada
bulan hadapan.
Hal 3: Senario Ekonomi Terkini
Saudara dan saudari sekalian,
34. Bagi tahun 2016 pula, ekonomi global dijangka lebih
mencabar. Data semasa oleh IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan
lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.
35. Manakala, perdagangan dunia juga dijangka menyusut, daripada
4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara
seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka
berkembang dengan lebih perlahan.
36. Trend ini membuktikan, we are not alone in facing the global
economic challenges. Negara-negara lain juga turut menerima kesan keadaan
ekonomi sekarang yang tidak menentu.
37. Harga minyak mentah dunia pula, terus merudum pada paras 30
dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah
berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding
andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.
38. Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada
hasil negara. Malah, negara-negara pengeluar minyak turut terjejas ekonomi
mereka.
39. Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh
berbanding matawang lain. Antara matawang tersebut adalah, Real Brazil, negatif
23.2 peratus, Renminbi China, negatif 5.7 peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3
peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan Dolar Singapura, negatif 5.6
peratus.
40. Sementara itu, nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar
Amerika sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada
4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.
41. Hakikatnya ringgit kini di rendah nilai daripada yang
sewajarnya, seraya tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara. Oleh itu,
ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila
keadaan pasaran kewangan global kembali stabil kelak, dan harga minyak kembali
kepada paras yang lebih munasabah.
Hal 4: Langkah-Langkah Baru dan Terkini
Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,
42. Kesemua perkembangan yang telah saya nyatakan itu, telah
mengakibatkan ekonomi global menjadi tidak menentu, dan tempiasnya ke atas
ekonomi domestik turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
43. Menyedari hakikat ini, demi menggalas amanah sebagai Ketua
Kerajaan yang bertanggungjawab, bersama Timbalan Perdana Menteri, dan barisan
jemaah menteri, pada hari ini, kita mengambil tindakan proaktif untuk membuat
pengumuman bagi melaksanakan langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet
2016.
44. Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk
mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi
kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi
sekali lagi cabaran ekonomi ini.
We have done it before,… Insya-Allah,… we can do it again.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
45. Seperti mana situasi tahun lalu, sekali lagi saya mahu
tegaskan bahawa,… dengan izin Allah jua,… negara ini tidak dan bukannya berada
dalam kegawatan ekonomi, mahupun technical recession.
46. Malah, dengan berkat usaha dan doa kita bersama,
mudah-mudahan pertumbuhan ekonomi domestik akan terus kekal kukuh, dan berdaya
tahan, serta mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
47. Selain meneruskan dengan langkah-langkah yang dirumuskan
pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu, sukacita saya umumkan pula 11 langkah
penstrukturan dan pengubahsuaian, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara,
kekal berada pada jajaran yang betul.
48. Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan
potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga
Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini,
dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit
setahun.
49. Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai
sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu
ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini,
walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya
dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar
gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.
50. Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan
harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:
Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau
AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi
mempastikan bekalan yang konsisten.
Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging
kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan
keselamatan barangan import akan terus diutamakan.
Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau
MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam,
daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20
peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada
bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain
seluruh negara pada tahun ini juga.
Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang
berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak
kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan.
Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada
seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.
Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk
mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas
peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut
keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.
Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta
meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50
ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input
pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan
pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan
Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang
terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar.
Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar
yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini
merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan
hidup keluarga miskin.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
51. Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek
perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga
sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.
Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah
Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi
negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam
program ini.
Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu
ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional
dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada
kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan
memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.
52. Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada
Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta
ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja
menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah
diberhentikan.
53. Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan
kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:
Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan
terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.
Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan
melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan
pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai
tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan
yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan
menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan
kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja
Malaysia.
Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai
akan diperketatkan di pulau-pulau ini.
Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras
serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di
pulau bebas cukai ini.
Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum
telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan
dilaksanakan dalam masa terdekat; dan
Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan
membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan
proses bidaan.
Saudara dan Saudari sekalian,
54. Langkah ketujuh: Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri,
selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan
sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan
kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.
Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program
Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi
peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit
kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri
serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan
pemantauan keselamatan.
55. Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemat dalam
perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha
merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun
Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti
merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.
56. Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula,
fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan
rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang
rendah.
Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah
mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta
keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di
peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan
pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak
menjejaskan ekonomi dan rakyat.
57. Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI
dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan
mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan
syarikat permulaan atau startup companies; dan
58. Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar
melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan
dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran
melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.
Saudara dan saudari sekalian,
59. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana
peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik,
terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan
diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.
60. Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan
pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara
yang dikenalpasti.
61. Sebagai langkah tambahan, sukacita saya umumkan, bahawa
pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free,
bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang
tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.
Saudara dan saudari sekalian,
62. Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak
mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan 7 hingga
9 bilion ringgit, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak 48
dolar Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang
betul untuk negara dan rakyat.
63. Misalannya, Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan
akan terus dilaksanakan. Di sini juga saya tegaskan, bahawa Kerajaan akan
mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.
64. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan
berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi
berpasakkan falsafah people economy.
65. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen
pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery
mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam,
termasuk lantikan secara kontrak.
Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan
Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang
telah dijanjikan dalam Bajet.
66. Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi,
dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan
pembangunan.
Saudari dan saudari sekalian,
67. Meski apapun yang berlaku, Kerajaan tetap memberi jaminan
dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Dengan
ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun
2016 seperti berikut:
Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik
lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.
Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke
Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk
mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan
Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan
Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan
diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat
Ijazah Pertama Dalam Negara.
68. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion
ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.
69. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus
dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera
dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.
70. Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini sahaja, seramai 25
ribu pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Makanya,
sebagai tambahan, saya mahu menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan
tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk
program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran.
Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.
Saudara dan saudari sekalian,
71. Seterusnya, saya ingin menyatakan bahawa:
Pertama: Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, Kerajaan
telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016,
kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula
pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong;
Kedua: Kerajaan tetap komited mengekalkan langkah konsolidasi
fiskal bagi tahun 2016, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;
Ketiga: Kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak
melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK;
Keempat: Kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan
tambatan ringgit;
Kelima: Dasar monetari yang akomodatif dan kadar faedah
dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri; dan
Keenam: Mempastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan
yang mencukupi. Terbaru, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan penurunan
Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau Statutory Reserve Requirement, daripada 4
peratus kepada 3.5 peratus.
72. Jelasnya, Kerajaan tidak akan berganjak daripada dasar-dasar
fiskal dan monetari, demi keutuhan ekonomi negara.
73. Selain itu, Kerajaan juga bimbang dengan kos gaya hidup
rakyat yang tidak bersesuaian dan melebihi kemampuan mereka. Sehubungan ini,
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan
memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan
obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada. Berita baiknya,
kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.
Saudara dan saudari sekalian,
74. Sebagai tambahan, bagi PKS dan syarikat korporat berdaya
maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa,
Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian
Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.
75. Dari segi pelaburan pula, saya ingin menekankan bahawa,
Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah
215 bilion ringgit tahun ini.
76. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT,
Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID
Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.
77. Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan
luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di
Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau,
Keningau, Seremban dan Kangar.
78. Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi,
Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong,
Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.
79. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan
SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier dan Go-Export. Selain itu, untuk
meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan
menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.
80. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi
terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport. Kita harus meneroka pasaran
baru melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti
ASEAN Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement,
atau TPPA serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan
datang.
Saudara dan saudari sekalian,
81. Berkait isu TPPA ini yang Alhamdulillah telah diluluskan
oleh Dewan Rakyat lewat petang semalam, tidak timbul sama sekali tuduhan oleh
sesetengah pihak, kononnya kita berkompromi tentang soal kedaulatan negara,
apatah lagi bersifat apologetic dalam mempertahankan agenda Bumiputera, ketika
berunding dengan anggota-anggota TPPA.
82. Malah, ketahuilah bahawa hasil kesungguhan dan ketegasan
Kerajaan dalam proses perundingan, akhirnya, anggota-anggota TPPA telah
menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada
terma-terma TPPA di peringkat global.
83. Ertinya, agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda
nasional, sebaliknya kini agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di
persada dunia.
Hal 5: Penutup
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
84. Sesebuah negara maju bukan sahaja kerana dasar-dasar yang
betul dan baik, tetapi juga kerana sumbangan daripada segenap lapisan
masyarakat.
85. Kita semua mempunyai peranan masing-masing, tidak kira
samaada pihak swasta, Kerajaan, NGO, Belia atau Wanita. Tidak kira CEO,
Pengarah, Pegawai Pelaksana, buruh ataupun seorang peniaga kedai.
86. Secara keseluruhannya, dapat saya gariskan lima perkara as
the key salient points:
Pertama: Langkah pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan
langkah proaktif, telus dan realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;
Kedua: Ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berkembang serta
berdaya tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik;
Ketiga: Kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan dan
penyampaian perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;
Keempat: Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi
fiskal; dan
Kelima: Pengubahsuaian bajet ini bertunjangkan kepada prinsip
shared responsibility oleh segenap lapisan masyarakat.
Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
87. Secara kesimpulannya, perutusan penstrukturan dan
pengubahsuaian ini, sama juga seperti perutusan tahun lepas, bukanlah satu
bajet yang baharu. Ia masih di dalam ruang lingkup inisiatif serta peruntukan
yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi Bajet 2016.
88. Apa yang jelas, kita faham bahawa, perihal-perihal
bersangkut ekonomi dan fiskal negara, bukanlah perkara-perkara yang mudah
dihadam, mahupun difahami oleh semua peringkat.
89. Bahkan, ia tidak sekadar terletak kepada tanggungjawab dan
amanah di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan kehidupan
dan dalam negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan peranan,
saling ganding berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing,
pandanglah yang Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada yang Satu,
itulah dia sumber kekuatan.
91. Lantas, sesudah ini, saya berharap tiap lapisan memainkan
peranan masing-masing bagi menerangkan letak duduk keadaan ekonomi dan
ikhtiar-ikhtiar yang tidak kunjung putus diambil oleh Kerajaan yang mentadbir,
bagi terus memperteguhkan keadaan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat,
agar dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban di bahu mereka.
92. Maksud saya, semua golongan dari pentadbiran Kerajaan
hinggalah kepada cendekiawan yang mahir ilmu pengetahuan untuk menjelaskan
dengan lebih lanjut akan ehwal yang berlaku supaya semua pihak dari se-atas
hingga se-bawah-bawahnya, membawa kepada perbualan di gerai gerai mamak dan teh
tarik, mengetahui seboleh mungkin perihal cabaran serta tantangan yang negara
hadapi kini.
93. Dengan itu, moga-moganya, anak cucu kita kelak, akan memberi
rasa hormat atas setiap kebaikan yang kita capai demi kelangsungan Malaysia
yang sebenarnya bukanlah hak kita, namun adalah hak warisan generasi akan
datang.
94. Jelasnya, kita berpegang kepada madah orang-orang tua,
berdiam dirilah daripada berkata yang bukan-bukan, namun bersuaralah kepada
perkara yang berguna. Usah ditanya apakah bakti negara kepada kita, sebaliknya,
tanyalah apakah sumbangan kita kepada nusa dan bangsa.
Saudara dan Saudari,
95. Pucuk pangkalnya, perlu difaham baik-baik, bahawa apa yang
sedang dihadapi, bukanlah kerana kegagalan Kerajaan merancang, tetapi kemelut
ekonomi global yang terus terusan melanda, sememangnya, berada di luar kawalan
tangan tangan kita.
96. Sesungguhnya, setiap keputusan yang kita lakukan hari ini,
adalah yang terbaik untuk rakyat dan pastinya akan terakam dalam sejarah.
Bahawa, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal, seperti yang didakwa dan
dituduh-tuduhkan, jauh sekali menjadi bankrap. Nauzubillah…
97. Bahkan,… realitinya kita masih berada dalam keadaan yang
stabil dengan pertumbuhan yang kukuh, sekaligus mampu bertahan lagi kekal terus
berdaya saing. Insya-Allah.
98. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah yang maha berkuasa,
semoga akan terungkai segala masalah, beroleh berkat dan selamat, serta
sentosalah Malaysia, zahir dan batin.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
1 comment:
Selamat hari semua orang,
Ini untuk memberi tahu masyarakat umum bahwa ONE BILLION RISING FUND saat ini menawarkan Pinjaman jangka panjang dan jangka pendek kepada badan-badan perusahaan dan koperasi yang secara serius memerlukan dukungan finansial untuk meningkatkan bisnis atau kebutuhan keuangan lainnya dengan tingkat suku bunga rendah. untuk segala bentuk pinjaman keuangan, di bagian manapun di dunia Ini terjangkau, dengan suku bunga rendah, fasilitas dijamin, Mari kita memiliki aplikasi Anda sekarang dengan rincian Anda untuk diproses lebih lanjut hubungi kami dengan informasi berikut di bawah ini.
via email: onebillionrisingfund@gmail.com
BBM: D8E814FC
Post a Comment