Tuesday, July 15, 2014

8 sebab kenapa umat Melayu dan Islam WAJIB tolak deraf #AktaKeharmonian MKPN


Nota: Kenyataan Perdana Menteri melegakan ramai umat Islam. Begitupun selagi anggota MKPN masih terdiri dari komposisi yang sama, tiada jaminan bahawa percubaan untuk `menyuapkan' input yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan, pegangan sebenar agama Islam sebagai `ad-diin' dan ideologi sosialisme-liberalisme-sekularisme dapat dihentikan.

Di bawah adalah pandangan peguam MuslimUPro tentang deraf Rang Undang-undang yang disediakan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang didakwa telah di`outsource'kan secara sepenuhnya kepada Majlis Peguam.



8 sebab mengapa RUU Harmoni harus diwaspadai kandungannya
9 Jun 2014
Azril Mohd Amin

Tiga deraf rang undang-undang yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948,  iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill) telah dikemukakan dan kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara. Selepas artikel ini ditulis, nama-nama RUU tersebut telah dipinda dan sekarang dikenali sebagai RUU Jenayah kebencian (Hate Crime) Kaum dan Agama, RUU Harmoni dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.

8 sebab mengapa RUU Harmoni tersebut perlu diwaspadai:- 

1. Engagement & Konsultansi berpilih: Penggubalan RUU tidak dibincangkan dengan teliti dan dirujuk kepada pihak berkepentingan terlebih dahulu seperti Majlis Raja-raja, Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama (JMPKPA). Sebaliknya, badan-badan yang kurang kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates dibiarkan memonopoli perbincangan. RUU disediakan oleh Majlis Peguam, sebagai sebuah badan sekular, yang mengenepikan khususnya institusi-institusi keagamaan yang bakal terjejas secara langsung oleh penguatkuasaannya kelak. 

2. Mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri

3. Percubaan mengubah Perkara 153: RUU Perpaduan Nasional (“National Unity Bill”) dalam seksyen 7 melalui penggunaan istilah seperti ‘racial superiority”, “exclusivity based on religion, belief, race…” dan “…maintaining exclusive control by persons of a particular religion, belief, race…” pada hakikatnya merupakan kritikan dan percubaan merubah Perkara 153.  

4. Penggubal yang terlibat adalah Majlis Peguam, sebuah organisasi sekular: Hanya 3 orang pemain utama terlibat di dalam penggubalan deraf rang undang-undang tersebut dan kesemua ahli-ahli lain di dalam MPKN tidak dirujuk secara sepenuhnya. Majlis Peguam mempunyai kira-kira 12, 000 ahli dan tidak mewakili kelompok majoriti umat Islam Malaysia yang akan menerima kesan langsung dari peruntukan-peruntukan RUU tersebut. Majlis Peguam mengisytiharkan organisasinya sebagai badan sekular justeru tidak berkelayakan menyentuh isu-isu keagamaan. 

5. Niat RUU untuk menjulang hak kesamarataan: Tumpuan hanya kepada prinsip hak kesamarataan (‘equality’) yang bersifat mutlak dan mengenepikan prinsip “positive discrimination” yang merupakan kekecualian Perlembagaan Perlembagaan itu sendiri yang dimaktubkan pada Perkara 8(2) dan menjunjung secara melulu konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular. 

6. Menjunjung kesamarataan kepercayaan, termsuk kepercayaan tidak bertuhan: Tafsiran ‘belief’ dan “religion” atau kepercayaan dan agama pada seksyen 4 (1) RUU Perpaduan Nasional dinyatakan sebagai “any religious or philosophical belief and a reference to belief includes a reference to a lack of belief” dan “any religion and includes any belief or lack of a religious belief“. Tafsiran ini membuka ruang yang boleh termasuk di dalam tafsirannya golongan yang tidak percaya Tuhan (atheist) dan kebebasan meninggalkan agama. 

7. Pengambil alihan peranan Institusi Kehakiman, Pihak Berkuasa dan Raja-raja Melayu: Isu-isu di sekitar keharmonian antara agama dan kaum adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada sebuah tribunal yang dicadangkan di dalam deraf rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional. Kuasa dan fungsi tribunal mirip cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Comission atau IFC) yang telah ditolak sekeras-kerasnya cadangannya oleh pelbagai pihak khususnya NGO Melayu Islam dan kerajaan Pusat. Bahagian 4 RUU mengenepikan peranan pihak berkuasa sedia ada oleh kerana seksyen 15 (3) membolehkan Suruhanjaya tersebut melakukan penyiasatan sendiri apa-apa keadaan yang difikirkan sebagai diskriminasi tidak adil. 

8. Bidang kuasa Tribunal yang terlalu luas: Seksyen 23 di dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan integrasi Nasional tersebut memperuntukkan kuasa tribunal yang sangat luas tersebut termasuklah untuk memanggil mana-mana individu untuk memberikan keterangan apabila sesuatu perbicaraan sedang dijalankan oleh tribunal. 

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan di dalam Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

1 comment:

Zharif Badrul said...

salam sdr tun faisal

Saya sudah menjawab kelapan-lapan sebab tersebut di sini: http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/akta-harmoni-nasional-menjawab-lapan-unsur-mkpn

terima kasih

Popular Posts