Monday, December 30, 2013

JUAL ASET - Kementerian Kewangan jawab pembohongan PR #FitnahPR

KENYATAAN PENUH KEMENTERIAN KEWANGAN BERHUBUNG PENJUALAN ASET KERAJAAN DAN PENSEKURITIAN HUTANG KERAJAAN

[Nota - Saja keluarkan berita lama sebab nampaknya ramai yang membaca atau maasih gagal mencari jawapan kepada isu ini.]

Kenyataan Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli mengenai maklumat di atas adalah berdasarkan Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM, December 2013) yang dikeluarkan oleh World Bank (WB) pada 1 Disember 2013.

Untuk makluman, sumber maklumat di dalam penerbitan MEM tersebut  diperolehi daripada Laporan Ekonomi 2013/2014 dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Kedua-dua laporan tersebut telahpun dibentang di Parlimen pada 25 Oktober 2013. Oleh itu, cadangan untuk mengadakan satu sidang Parlimen tergempar seperti yang diwar-warkan di dalam media bagi membincangkan isu ini adalah tidak berbangkit.

Pengewangan Aset Kerajaan (Monetization of Assets)

Untuk makluman, penjualan tanah adalah di bawah inisiatif pengewangan aset Kerajaan (monetization of assets) bertujuan bagi memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan sekitarnya.

Inisiatif pengewangan aset Kerajaan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2008. Langkah ini telah merangsang lebih banyak penglibatan agensi-agensi Kerajaan, Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan sektor swasta di dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara.

Aset tersebut dipindah milik pada harga pasaran dengan penilaian dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).

Sebelum sebarang penjualan tanah dilaksanakan, pandangan dan persetujuan daripada agensi pengguna akan diperolehi terlebih dahulu mengenai perancangan penggunaan tanah tersebut. Penjualan tanah ini tidak akan dilaksanakan sekiranya agensi tersebut tidak bersetuju atau mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan tanah tersebut.

Pengewangan aset adalah aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh mana-mana Kerajaan bagi menjana aktiviti ekonomi. Sebagai contoh, tanah Kerajaan UK di Canary Wharf, London yang dijual kepada sektor swasta untuk dibangunkan sebagai hub kewangan antarabangsa. Langkah yang sama juga dilaksanakan oleh Kerajaan Singapura dan Hong Kong.


Pensekuritian Hutang Kerajaan

Pensekuritian hutang Kerajaan dilaksanakan bagi mewujudkan modal pembiayaan tambahan untuk pinjaman perumahan penjawat awam. Hasil pensekuritian hutang Kerajaan bukan merupakan sumber utama hasil Kerajaan Persekutuan kerana ia hanya mencakupi 1.9% daripada jumlah hasil Kerajaan Persekutuan. Pensekuritian hutang adalah satu aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh bank-bank komersil sebagai satu strategi pembiayaan.


Kesimpulan

Dalam RMK-10, Kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit fiskal daripada 5.4% pada tahun 2010 kepada 3.0% pada tahun 2015 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Sasaran ini penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan. Pencapaian sasaran ini bukan bergantung kepada penjualan aset Kerajaan dan pensekuritian hutang Kerajaan, tetapi dirancang menerusi konsolidasi fiskal Kerajaan.


Oleh itu, semua pihak dinasihatkan meneliti laporan yang dibentangkan di Parlimen sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas, demi kebaikan bersama.

Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli adalah tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja telah memutarkan isi kandungan laporan tersebut bagi kepentingan politik.


KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
PUTRAJAYA



KUALA LUMPUR, 25 Dis - Penjualan aset kerajaan dan pensekuritian hutang kerajaan bukanlah satu-satunya cara untuk kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dalam satu kenyataan rasmi hari ini berkata, kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit fiskal daripada 5.4 peratus pada 2010 kepada 3.0 peratus pada 2015 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada 2020.

"Sasaran ini akan dicapai menerusi konsolidasi fiskal kerajaan, kata MoF sebagai membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung penjualan aset kerajaan dan pensekuritian hutang kerajaan," katanya.

MoF juga menjelaskan, penjualan tanah menerusi inisiatif pengewangan aset kerajaan bertujuan memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan persekitarannya.

"Inisiatif pengewangan aset kerajaan ini telah dilaksanakan sejak 2008.

"Langkah ini telah merangsang lebih banyak penglibatan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

MoF juga berkata, aset kerajaan dipindah milik pada harga pasaran dengan penilaian dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah.

Jelasnya, pengewangan aset merupakan aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan bagi menjana aktiviti ekonomi.

"Sebelum sebarang penjualan tanah dilaksanakan, pandangan dan persetujuan daripada agensi pengguna akan diperoleh terlebih dahulu mengenai perancangan penggunaan tanah tersebut.

"Penjualan tanah ini tidak akan dilaksanakan sekiranya agensi tersebut tidak bersetuju atau mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan tanah tersebut.

"Sebagai contoh, tanah kerajaan United Kingdom di Canary Wharf, London yang dijual kepada sektor swasta untuk dibangunkan sebagai hab kewangan antarabangsa.

"Langkah yang sama juga dilaksanakan oleh kerajaan Singapura dan Hong Kong," katanya.

Berkenaan pensekuritian hutang kerajaan pula, MoF berkata langkah ini dilaksanakan bagi mewujudkan modal pembiayaan tambahan untuk pinjaman perumahan penjawat awam.

"Hasil pensekuritian hutang kerajaan bukan merupakan sumber utama hasil Kerajaan Persekutuan kerana ia hanya mencakupi 1.9 peratus daripada jumlah hasil Kerajaan Persekutuan.

"Pensekuritian hutang adalah satu aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh bank-bank komersil sebagai satu strategi pembiayaan," katanya.

Sementara itu, MoF turut menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Rafizi mengenai maklumat di atas adalah berdasarkan Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 1 Dis 2013.

"Untuk makluman, sumber maklumat dalam penerbitan MEM tersebut diperoleh daripada Laporan Ekonomi 2013/2014 dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

"Kedua-dua laporan tersebut telah pun dibentangkan di Parlimen pada 25 Okt 2013.

"Oleh itu, cadangan untuk mengadakan satu sidang Parlimen tergempar seperti yang diuar-uarkan dalam media bagi membincangkan isu ini tidak berbangkit," katanya.

MoF menasihati semua pihak supaya meneliti laporan yang dibentangkan di Parlimen sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas, demi kebaikan bersama.

No comments:

Popular Posts