Tuesday, May 7, 2013

Analisis awal PRU13 - @NajibRazak lulus ujian, 1Malaysia wajar diteruskan


Dalam pelbagai wawancara di media tradisi dan media siber, apabila ditanya tentang adakah media baru merupakan SATU faktor yang boleh menentukan kemenangan sesuatu parti dalam PRU13, saya sering menjawab bahawa media baru hanyalah suatu `enabler' yang penting dalam pembentukan persepsi kerana ia merupakan saluran yang paling mudah diakses oleh rakyat, bagaimanapun faktor utama yang akan menentukan kemenangan masih PRODUK YANG BAIK.

PRODUK YANG BAIK ini adalah pertama, pemimpin yang diyakini; kedua, dasar dan program yang baik dan ketiga, calon yang diterima pengundi.

Jadi apakah yang menyebabkan pencapaian BN hanya sekadar mencapai 133 kerusi parlimen berbanding 140 pada sidang yang lepas? Pada waktu yang sama, BN hanya dapat memenangi semula Kedah, dan gagal menawan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Sekiranya kita hanya mengambil keputusan akhir sebagai kayu pengukur, maka kesimpulan kita akan tersasar. Konteks yang menghasilkan keputusan tersebut juga penting.

Konteksnya, pada hemat saya adalah, pertama; sepanjang tempoh empat tahun selepas PRU12, Najib Razak merupakan pemimpin yang diyakini, bukan sahaja di dalam parti tetapi juga di luar parti. Beliau mempunyai gagasan dan program yang diterima baik oleh majoriti rakyat Malaysia dan beliau menunjukkan teladan dan kesungguhan dalam melaksanakan segala janji dan gerak kerja bagi memenangi hati rakyat. 

Kedua, kerajaan yang dipimpin Najib, adalah kerajaan yang paling produktif dan banyak menyampaikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh empat tahun ini. Transformasi, `islah', perubahan atau apa sahaja istilahnya, paling banyak berlaku dalam tempoh empat tahun kepimpinan beliau. Ekonomi negara terus bertumbuh pada kadar 5.2% ke 6.4%, inflasi terkawal pada kadar 1.6% dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 %. 

Bandingkan apa yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Pembangkang (PR) dalam tempoh lima tahun di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah; dan 23 tahun PAS di Kelantan. Adakah PR  benar-benar berjaya menyampaikan khidmat lebih baik daripada apa yang telah disampaikan oleh Najib dan BN kepada rakyat?

Ketiga, tawaran dan akujanji BN, biarpun tidak bersifat populis, bersifat praktikal dan boleh diterima rakyat terbanyak, lebih-lebih lagi jika rakyat mengambil kira track record Najib yang walk the talk, berbanding pemimpin PR yang sudah berulang kali tidak menunaikan janji termasuk janji-janji dalam manifesto PRU 2008.

Jadi, apa masalahnya?

Najib adalah pemimpin yang diyakini, menepati janji, bekerja kuat dan berjaya mengetengahkan dasar dan pelbagai produk yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Ramai yang telah menyebut tentang faktor calon. Jadi saya tidak mahu mengulas mengenainya lagi.

Kedua, Chinese Tsunami. Realitinya ia berlaku. Bagaimanapun kita tidak boleh menafikan bahawa BN masih mendapat sokongan sejumlah rakyat berketurunan Cina yang meyakini Najib berbanding Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang. 

Sejumlah rakyat berketurunan Cina ini dan rakyat bukan Melayu yang lain juga gembira dengan engagement, agenda transformasi dan gagasan 1Malaysia dan produk-produknya yang dilaksanakan oleh Najib.

Walau bagaimanapun, segala yang dilaksanakan oleh Najib dan BN ini tidak mungkin dapat meneutralkan kebencian akibat permainan politik cauvinis oleh parti politik tertentu yang sudah dilakukan selama tempoh puluhan tahun. Selain agenda cauvinisme, baru-baru ini, kita menyedari sentimen keagamaan, terutama agama Kristian turut dimainkan oleh kumpulan yang sama dengan hasrat untuk menanam kebencian penganut agama tersebut terhadap BN.

Gagasan `1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', produk-produk 1Malaysia dan agenda Transformasi mesti diteruskan kerana ia berjaya menawan hati ramai rakyat Malaysia meretasi kaum tanpa menjejaskan kedudukan agama Islam, kaum Melayu, Institusi Raja dan hak-hak kaum dan penganut agama lain di dalam negara ini.

Majoriti rakyat Malaysia masih rasional dan mengundi berdasarkan fakta, manifesto dan track record. Bagaimanapun tidak dinafikan, masih ada yang mengundi berdasarkan emosi dan kebencian. Ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang dan salah satu medium yang digunakan adalah media baru.

Apakah Najib gagal?

TIDAK. Najib LULUS UJIAN YANG GETIR dan Putrajaya berjaya kita dipertahankan.


2 comments:

Anonymous said...

This General Election 13 held on 2013 May 5 is the most interesting event cause this year they DAP PKR PAS already force the majority Chinese to try changing the government with their votes but they seem to forget that it's impossible because you need all 14 states to get the whole picture of who will be the central government. Thus, DAP PKR PAS has failed and they want to start riot very soon after General Election 13.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

indeed, it is a sore losers' game

Popular Posts