GMUKM 19...ASPIRASI 9 : Apa maknanya?
Tanggal 25 September (selasa) lalu, selesailah satu episod pendidikan demokrasi dalam kalendar tahunan kehidupan pelajar di UKM. Pelajar UKM telah menerima pendedahan menjadi pengundi pilihanraya kampus dan ada yang menerima latihan sebagai calon pilihanraya kampus. Sebagai pengundi, pelajar telah berpeluang melalui satu tempoh masa kurang lebih 4 hari menerima 'asakan kempen' dari jentera GMUKM dan ASPIRASI UKM.
Anda didesak bertalu talu menerima maklumat, rayuan, paksaan, pujukan dan segala macam usaha yang dinamakan sebagai 'kempen pilihanraya'. Anda 'di sumbat' dengan pelbagai maklumat, fakta atau nista dalam tempoh berkempen ini. Pada pengundi atas pagar pula, anda akan terasa seperti keliru manakah satu calon pilihan yang anda harus undi. Anda semua telah melalui satu 'pembelajaran politik' yang bukan sahaja 'hands on' malah sangat interaktif.
Pada calon dan jentera GMUKM serta ASPIRASI, anda juga melalui satu pengalaman pembelajaran yang tidak akan anda lalui dalam dewan dewan kuliah. Anda juga tentunya telah diasak oleh pimpinan yang lebih tinggi dengan paluan semangat untuk terus konsisten berjuang memenangkan kumpulan anda. Pada calon yang bertanding, anda juga belajar memotivasikan diri anda sendiri untuk menjayakan pencalonan anda sebagai pemimpin.
Saya percaya pilihanraya kampus adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Biarpun banyak belanja yang harus dikeluarkan oleh pihak UKM untuk menjalankan proses pendidikan ini. Biarpun begitu banyak insiden, peristiwa dan episod yang kadang kala agak membimbangkan. Kata-mengata, provokasi, tempik sorak dan sebagainya adalah lumrah dalam berpolitik, bukan sahaja di negara ini malah diseluruh dunia. maka harus kita raikan proses pendidikan ini.
Tahun ini saya dapat ikuti sepenuhnya pelaksanaan PRK UKM. Tidak seperti tahun lalu kerana terlibat dalam seminar yang menyebabkan saya berada di luar UKM dalam tempoh masa kempen dijalankan. Maka untuk tahun ini, saya dapat membuat beberapa rumusan yang jelas berkaitan PRK UKM.
Mula mula mari kita tinjau persediaan kedua kumpulan (parti) yang bertanding iaitu ASPIRASI UKM dan GMUKM. Dari segi calon, ketiadaan calon di lima kerusi dari ASPIRASI dan kesilapan teknikal di dua kerusi semasa proses penamaan sudah cukup membuktikan jentera ASPIRASI tidak membuat persediaan yang mencukupi. Malah inilah kali pertama bilangan kerusi menang tanpa bertanding paling banyak sejak 10 tahun yang lalu.
Malah semasa tahun 2000, ketika TSB kalah teruk 51-1 kepada MAMPU, hanya empat kerusi sahaja yang TSB gagal kemukakan calon mereka. Maka sangat ketara bahawa persediaan calon tahun ini gagal disempurnakan dengan baik oleh jentera ASPIRASI. Malah meletakkan calon yang tidak 'winable' juga menambahkan lagi keperitan ASPIRASI untuk memenangi kerusi PRK UKM. Politik kampus UKM sama seperti di luar kampus masih taksub dengan poltik etnik. Apabila ASPIRASI meletakkan calon bukan Melayu di fakulti yang hampir 75% pengundi adalah pelajar Melayu, itu bolehlah dianggap sebagai satu tindakan cubaan 'membunuh diri'?
Hampir semua calon ASPIRASI dan GMUKM sebenarnya tidak tergolong dalam kalangan calon yang popular kecuali beberapa orang calon yang merupakan pimpinan sediaada GMUKM dan juga pelapis ASPIRASI dan ISIUKM. Selain itu hampir kebanyakan calon tidak dikenali oleh kebanyakkan pengundi atas pagar di UKM. Paling menarik, hampir tidak ada calon di kalangan JAKSA KOLEJ atau PC PC MMP yang jauh lebih popular pada para pelajar. Secara strategis, jika jentera ASPIRASI berjaya menyakinkan JAKSA JAKSA kolej bertanding sebagai calon mereka, peluang untuk menang akan jauh lebih cerah.
Calon ASPIRASI juga sangat lambat 'memanaskan badan' berbanding calon GMUKM. Calon GMUKM awal awal lagi sudah menonjolkan diri dalam beberapa program forum dengan mengemukakan soalan pada panel dan sebagainya. Ada calon yang awal awal lagi menonjolkan diri dalam facebook dengan membawa isu isu kecil seperti 'perang dectar'. Saya pasti 'perang dectar' bukan satu isu pun, kerana tujuan utama ialah untuk mempromosikan bakal bakal calon GMUKM dengan menggunakan isu remeh sebegini. Menariknya pendekatan ini telah berjaya menarik perhatian pelajar senior terutamanya. Ada juga calon GMUKM sudah mula bergerak di surau surau memberikan tazkirah di kolej kolej terutama di kolej yang besar. Ini juga banyak memberikan undi pada calon GMUKM dari pelajar senior.
Bagi calon ASPIRASI, kelibat mereka hanya mula kelihatan pada malam penamaan calon. Itu pun kehadiran mereka sangat 'defensive' dalam berkempen di kolej kediaman. Sepatutnya oleh kerana tempoh masa berkempen tahun ini berlaku pada hujung minggu, mereka harus segera menggunakan waktu Jumaat petang (di dewan kuliah) dan waktu malam di kolej kediaman untuk menjalankan kempen. Hari Sabtu ramai pelajar yang mula meninggalkan kampus untuk pulang ke rumah atau keluar ke bandar. Begitu juga dengan hari Ahad sebelah siangnya.
Satu perkara yang harus calon ASPIRASI pelajari ialah dalam politik, seperti juga bisnes, sifat 'aggresiveness' atau kesungguhan yang membuak buak harus ada dalam diri untuk berkempen, begitu juga dengan agen dan penyokong calon mereka. Ini adalah politik, bukan aktiviti makan malam!
Maka apa yang telah dilakukan oleh GMUKM harus diteliti oleh bakal bakal calon ASPIRASI untuk pengajaran pada masa hadapan. Oleh kerana sistem piliharaya UKM tidak memerlukan seseorang calon petah berpidato untuk menarik sokongan maka perancangan jauh lebih awal perlu dilakukan supaya pengundi mengingati nama anda semasa mereka mengundi. Dalam sistem pengundian UKM juga harus diingat bahawa mengingati nama calon jauh lebih penting dari mengingati rupa calon!
Kita lihat pula tentang isu PRK UKM. GMUKM yang merupakan kerajaan yang menguasai PMUKM sesi lalu sangat beruntung kerana walaupun banyak isu yang boleh digunakan oleh jentera ASPIRASI untuk menunjukkan kelemahan GMUKM, semua isu isu ini gagal digunakan sepenuhnya oleh jentera ASPIRASI. Jika semua isu ini berjaya digunakan sepenuhnya, GMUKM akan menghadapi kesukaran yang sangat besar untuk menang piliharaya kali ini.
Isu kegagalan Pesta KONVO sesi lalu adalah salah satu contohnya. Pesta KONVO adalah lambang dan maruah aktiviti pelajar UKM selama ini. Kegagalan Pesta Konvo adalah sesuatu yang sukar diterima. Pesta Konvo di bawah GMUKM sesi lalu bukan sahaja gagal menarik ramai pengunjung, mereka juga gagal meraih keuntungan, gagal memuaskan hati pengerai dan sebagainya.
Isu PMUKM sesi lalu tidak menjaga kebajikan pelajar bukan Melayu-Islam juga sangat ketara. Isu kronisme dalam berpersatuan, isu gagal wujudkan hubungan rapat dengan pengurusan UKM, dengan JAKSA kolej kediaman, isu gagal perjuangan kawalan harga makanan dan sebagainya juga boleh digunakan oleh jentera ASPIRASI. Tentunya dengan kesilapan ini, GMUKM tahun ini akan sesegera mungkin mengemaskinikan kembali cara kerja PMUKM dan tentunya jentera ASPIRASI tidak mungkin akan dapat lagi menggunakan isu isu sebegini pada masa hadapan.
MPP ASPIRASI sesi lalu juga tidak berjaya menonjolkan kewibawaan mereka memenangi hati pelajar dengan memperjuangkan isu kebajikan pelajar. Mereka sepatutnya agresif memperjuangkan isu air, isu harga makanan di kolej, isu kemudahan universiti untuk pelajar, isu gangguan monyet, isu bas, isu PTPTN, isu perpaduan, isu meningkatkan sahsiah dan moral pelajar, isu kemudahan dewan kuliah dan sebagainya.
Sebaliknya MPP ASPIRASI mengambil sikap defensif dengan menjadi 'suara' pengurusan UKM. Mereka harus sedar bahawa yang harus dijaga kebajikan ialah pelajar UKM dan bukannya pengurusan UKM! Mereka harus berdiri dan turut memperjuangkan kebajikan pelajar dengan cara yang bijaksana dan berunding untuk selesaikan masalah kebajikan pelajar. Jika GMUKM mengambil sikap provokatif dengan pihak pengurusan, ASPIRASI sepatutnya mengambil sikap diplomasi. Yang penting tujuan menjaga kebajikan pelajar berjaya mereka laksanakan. Mereka tidak perlu menjadi jurucakap kepada pengurusan UKM. mereka harus menjadi pemimpin pelajar. bangunkan slogan seperti "Kami dari pelajar dan kami untuk pelajar".
Pada masa yang sama, GMUKM juga tidak mempunyai banyak isu besar untuk menyerang ASPIRASI. Oleh itu mereka menggunakan perang saraf dengan mengaitkan ASPIRASI dengan UMNO, sedangkan semua orang tahu GMUKM juga mempunyai kaitan rapat dengan PAS, Keadilan dan DAP. Permainan sentimen ini bertujuan menimbulkan rasa simpati pelajar kepada GMUKM kerana pelajar akan berpersepsi seolahnya GMUKM terpaksa berjuang untuk berhadapan dengan ASPIRASI dengan bantuan UMNO seorang diri. Sebenarnya tidak, mereka juga dibantu oleh PAS, Keadilan dan DAP. Kerana kelemahan jentera ASPIRASI dalam menangkis perang saraf ini, GMUKM berjaya menyakinkan pelajar untuk bersimpati dengan kempen persepsi mereka. Ini satu bentuk perang saraf yang sangat agresif dan telah berjaya melemahkan jentera ASPIRASI khususnya di kalangan pengundi atas pagar tahun dua dan tahun tiga.
GMUKM juga berjaya menimbulkan kemarahan dan undi protes pelajar bila mereka berjaya menguasai persepsi pelajar bahawa ASPIRASI dibantu oleh pengetua kolej dan pihak pengurusan UKM. Ini adalah persepsi yang juga telah menimbulkan simpati pelajar pada GMUKM. Hakikatnya, bila pelajar boleh berfikir secara objektif, jika benarlah ASPIRASI dibantu oleh pengetua dan pengurusan UKM, bagaimana pula GMUKM boleh menang sesi lalu dan sesi ini? Apapun atas nama 'seni berkempen' dan permainan politik, kempen persepsi ini juga telah berjaya digunakan sepenuhnya oleh GMUKM dan gagal dijawab oleh jentera ASPIRASI.
GMUKM juga telah berjaya menggunakan sepenuhnya ruang maya khususnya Facebook. Ini sangat ketara berbanding dengan ASPIRASI yang hampir tiada strategi memenangi hati pengundi melalui facebook. Jelas pendekatan ASPIRASI berkempen masih konvensional, berbanding GMUKM yang agresif dan terancang (hasil bimbingan mentor yang berpengalaman dari luar kampus). Oleh itu, ini satu pengajaran yang sangat berguna dalam politik era siber, kerana kempen melalui FB menyebabkan komunikasi dua hala berlaku secara spontan dan ini memgembirakan pengundi berbanding cara lama seperti ceramah dan sebagainya. FB juga memberikan ruang privasi, seolah olah calon sedang berinteraksi terus dengan pengundi secara 'one to one'. Pengundi akan merasakan begitu dan itu mengembirakan mereka. Maka mereka pasti memberikan undi mereka kepada calon yang 'ada masa' berkomunikasi secara terus dengan mereka. Itulah tanggapan mereka, sedangkan calon tidak langsung mengenali siapa mereka..
ASPIRASI sebenarnya mempunyai agenda besar yang diterima oleh semua pelajar jika jentera mereka bijak mengaturkan strategi kempen. ASPIRASI sepatutnya menggunakan sepenuhnya agenda dan gagasan 'Demi UKM' sebagai teras perjuangannya. Semua pengundi adalah pelajar UKM. Semua pengundi sayangkan UKM. Semua pengundi ingin melihat UKM maju dan cemerlang. UKM adalah mereka dan mereka adalah UKM. Malangnya kekuatan agenda ini tidak digunakan sepenuhnya oleh jentera ASPIRASI. Tiada manifesto berkaitan agenda 'Demi UKM' atau 'Kami Sayang UKM' disajikan pada para pengundi.
Isu pimpinan GMUKM memburukkan nama UKM juga tidak digunakan oleh ASPIRASI semasa berkempen, Apatah lagi berusaha untuk menjuarainya untuk mendapat perhatian pelajar. Malah manisfesto ASPIRASI juga tidak disebarluaskan kepada para pengundi, selain agak terlewat sampai ke tangan para pelajar.
GMUKM juga menyediakan manifesto mereka. Kali ini agak ringkas dan tidak menarik seperti tahun tahun yang lalu. Malah kali ini perkataan 'ISLAM' digugurkan dari manifesto GMUKM. Tidak ada satu pun perkataan ISLAM tercetak dalam manifesto GMUKM sesi ini. Mungkin ini satu keputusan bagi menghormati persefahaman politik luar kampus yang menggugurkan 'negara Islam menjadi negara berkebajikan?
Apa pun, keputusan PRK tahun ini menunjukan politik di UKM ini telus dan amalan demokrasi berjalan sepenuhnya. Apa juga yang berlaku semasa kempen adalah 'urusan untuk mendapatkan undi'. kata orang 'nothing personal'. Siapa yang berjaya menyakinkan pengundi, kemenangan akan memihak kepadanya. Tapi belum tentu apa yang berjaya diyakinkan itu benar benar betul. "Politik adalah persepsi". Mana mana kumpulan yang berjaya membina persepsi yang kuat pasti akan berjaya menguasai pemikiran pengundi. Pengundi yang lemah fikiran akan lebih mudah ditawan undi mereka. Manakala pengundi yang kritikal memerlukan lebih dari persepsi. Mereka inginkan bukti, fakta dan hujah yang konsisten dari calon.
PRK UKM telahpun selesai. semuanya berjalan lancar. Ada beberapa insiden kecil yang dapat diselseaikan dengan bijaksana olah pihak SPR dan keselamatan UKM. Secara keseluruhanya PRK UKM 2012 telah berjalan dengan baik. Tetapi laporan menunjukan masih ramai pelajar yang tidak turun mengundi. Hanya sekitar 77% sahaja yang turun mengundi..Ke mana perginya 23% lagi pelajar UKM? Selain yang terpaksa pergi latihan industri dan tugasan akademik di luar kampus UKM, tentu masih ramai yang berada dalam kampus yang tidak mengendahkan tanggungjawab mereka. Sesungguhnya mereka inilah orang yang kalah dalam piliharaya UKM. Mereka kalah kerana tidak tunaikan tanggungjawab mereka. Mereka kalah kerana tidak menerima pengalaman pendidikan politik. Tahniah pada calon yang menang dan tidak menang... Sesungguhnya PRK UKM memberikan pengalaman yang sangat berharga dalam kehidupan anda..
GMUKM 19...ASPIRASI 9, inilah satu pembelajaran, belajar menjadi pemimpin, belajar menjadi pengundi dan belajar tentang politik..
Jumpa lagi di "kuliah pendidikan politik" pada sesi depan...
No comments:
Post a Comment