Saturday, December 3, 2011

Usul Ekonomi Perhimpunan Agung UMNO 2011 #PAUmno


MENYEDARI bahawa keadaan ekonomi global terus tidak menentu di tambah dengan krisis kewangan di negara-negara Eropah yang mengancam pertumbuhan ekonomi dunia secara menyeluruh.

MENGINSAFI bahawa Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada ekonomi luar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, di sebaliknya perlu meningkatkan permintaan domestik khususnya pelaburan domestik supaya pertumbuhan ekonomi terus kukuh dan mampan.

MENGHAYATI bahawa pembangunan ekonomi yang berketerangkuman dan inklusif adalah begitu penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang aman dan stabil, yang mana kesejahteraan negara dapat dikongsi bersama oleh rakyat semua kaum secara adil dan saksama.

MEYAKINI bahawa UMNO adalah tunjang utama kepimpinan negara melalui Barisan Nasional yang telah dan sentiasa melaksanakan dasar serta visi yang menjurus ke arah meningkatkan tahap penguasaan ekonomi yang seimbang dan menguntungkan semua kaum.

MAKA
Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini membuat ketetapan seperti berikut:

1. MENYOKONG penuh usaha Kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi, pada masa yang sama memastikan agenda ekonomi Bumiputera terus diperkasakan melalui strategi dan pendekatan yang lebih berkesan dan pencapaian yang lebih berkekalan;

2. MENYOKONG usaha Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan TERAJU dalam membantu meningkatkan pencapaian usahawan Bumiputera melalui pelbagai kaedah baru, supaya matlamat mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Industri Bumiputera (BCIC) benar-benar berjaya;

3. MENGGESA Kerajaan supaya memberi tekanan kepada syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat berkaitan pelaburan Kerajaan (GLICs) supaya melaksanakan sepenuhnya agenda pembangunan Bumiputera termasuk menswastakan atau memindahmilik syarikat berkaitan kepada usahawan Bumiputera yang berdaya maju dan berkeupayaan;

4. MENGGESA Kerajaan supaya pelan tindakan dan pelaksanaan Projek Peringkat Permulaan (Entry Point Projects) dan peluang-peluang Perniagaan di bawah Program Transformasi Ekonomi memberi peluang secara meluas dan berkesan kepada Bumiputera di semua peringkat, termasuk kontraktor dan usahawan kecil Bumiputra, dalam mempertingkat dan memperkukuhkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi;

5. MENGHARGAI komitmen Kerajaan untuk memastikan penyertaan Bumiputera dalam projek MRT terjamin pada tahap yang tinggi, pendekatan ini hendaklah dijadikan contoh penyertaan Bumiputera yang berkesan dalam projek-projek mega dalam negara di masa-masa akan datang;

6. MENDESAK Kerajaan mengambil tindakan bijaksana dan berhati-hati dalam merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas yang melibatkan liberalisasi tarif, perkhidmatan dan pelaburan, perolehan Kerajaan, dasar persaingan, tenaga kerja dan alam sekitar agar tidak menjejaskan hak dan kepentingan masyarakat Bumiputera;

7. MENCADANG “Wakaf Korporat” sebagai satu wadah baru untuk melibatkan penyertaan orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan, sekali gus mewujudkan penyertaan mereka yang lebih bermakna, kekal dan berterusan dalam sektor korporat; dan

8. MENYOKONG Kerajaan mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat, terutamanya oleh golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, semoga kebajikan mereka terus dijaga dan dibela.

No comments:

Popular Posts