Wednesday, December 28, 2011

[Kisah dulu-dulu] The Economist - Laporan atau Penipuan?


Nota: Christopher Lockwood telah menulis secara biadab terhadap pemimpin negara di dalam majalah The Economist. Ruang ini sengaja digunakan untuk memperlekehkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu hampir bersara. Artikel ini telah disiarkan oleh Laman Web Pemuda UMNO Malaysia pada 30 April 2003.  


The Economist – Laporan atau Penipuan?
http://pemuda.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=1089




Artikel Christopher Lockwood, yang tersiar di dalam majalah The Economist bermula dengan melabelkan Dr Mahathir sebagai `gagal’ jika mengikut piawai Dr Mahathir sendiri. Untuk menunjukkan bahawa kononnya dia menulis secara seimbang, Lockwood turut memuji secara sinis kejayaan Dr Mahathir.

Lockwood adalah ibarat manusia yang terpaksa memuji dalam `keberatan’. Pujiannya tidak ikhlas dan sekali sekala kenyataannya biadab jika diukur mengikut piawai adab dan budaya orang Melayu. Pujian dan kata-kata biadab ini disulam pula dengan penipuan secara halus yang mungkin tidak terlihat oleh pembaca yang kurang teliti dan kurang kritis.

Lockwood tidak ikhlas memuji kerana sengaja menampakkan Dr Mahathir `gagal’ dengan meletakkan frasa tersebut sebagai pembukaannya. Kecetekan pengetahuan Lockwood tentang Islam dan Malaysia, tergambar jelas bila mengatakan yang Malaysia merupakan negara Islam moden yang sekular.

Pada skala adab Melayu, Lockwood berlaku biadap apabila mengatakan `meletakkan Dr Mahathir di Jeddah akan memberi satu kelebihan, setidak-tidaknya kepada Malaysia’ – satu perkataan yang tidak sewajarnya dilemparkan kepada seorang yang dianggap pemimpin agung Bangsa Melayu di Malaysia. Beliau sekali lagi biadab apabila mengatakan yang `khidmat terbesar yang boleh diberikan oleh Dr Mahathir kepada Malaysia adalah dengan bersara.’ 

Dalam keghairahan menulis, Lockwood menipu (sambil berjenaka) apabila mengatakan di Malaysia, `Raja bertukar setiap lima tahun sedangkan Perdana Menteri memegang jawatan seumur hidup.’ Kata Lockwood lagi `terdapat kebenaran tentangnya (jenaka ini)’ kerana sejak kemerdekaan, Malaysia mempunyai 12 Raja sedangkan hanya 4 perdana menteri - satu jenaka yang terpesong realitinya dan boleh mengundang salah faham terhadap sistem pemerintahan negara.

Beginikan contoh sebuah penulisan berkualiti? Beginikah bentuk kebebasan media yang sesetengah pihak mahu pertahankan? 

Meneliti artikel-artikel seterusnya, kita akan dapat lihat lebih banyak penipuan oleh Lockwood. Di antara penipuan tersebut adalah – “Memakai tudung bukan dimestikan, bagaimanapun wanita yang memperlihatkan rambut mereka menghadapi tekanan yang meningkat, malah turut didera,” selain dari `(dalam hubungan di antara kaum Melayu dan Cina), hidup mereka begitu jauh terpisah, belajar di sekolah dan universiti yang berlainan, bercakap bahasa yang berbeza dan bekerja untuk majikan yang tidak sama.”

Membaca frasa ini menampakkan seolah-olah kehidupan wanita tidak bertudung di Malaysia amat menakutkan. Rakyat Malaysia pula tidak bersatu padu dan begitu terpisah. Walhal, pada hakikatnya, tekanan mengenakan tudung hanya wujud di Kelantan dan Terengganu, bukan di seluruh negara. Manakala di dalam aspek hubungan antara kaum, biarpun wujud kelemahan, keadaannya tidaklah seburuk yang digambarkan oleh Lockwood.

Mungkin pada `standard’ Keadilan, Pas ataupun puak pseudo-reformis, laporan Lockwood dapat diterima sebagai laporan beretika dan bertanggungjawab. Itupun kerana berita-berita yang dilaporkan oleh puak-puak tersebut selama ini jauh lebih buruk dari segi mutu dan kredibilitinya. 

Menulis memang mudah lebih-lebih lagi bila tidak berpegang kepada pertimbangan terhadap etika, tanggungjawab, dosa ataupun pahala. Wartawan seperti Lockwood boleh menulis apa saja dan ini bukan kali pertama. 

Rakyat masih ingat segala kritikan dan pandangan keras yang dibuat oleh The Economist pada tahun 1999 apabila Dr Mahathir Mohamad mahu melaksanakan langkah kawalan modal atau `capital control’. Mujurlah pemimpin-pemimpin Malaysia tidak setolol dan senaif itu untuk menerima pakai pandangan `pakar-pakar’ dari The Economist, sebaliknya meneruskan dengan cadangan bijak Dr Mahathir. 

Jika tidak negara kita mungkin hancur dan syarikat-syarikat besar negara telah menjadi milik orang asing. Penulis-penulis The Economist tidak sedikitpun terjejas dan mereka boleh terus bersenang lenang di dalam pejabat mereka di London. Mereka mungkin akan cuba `menunjuk bijak’ dengan mengkritik dan menghentam pemimpin negara lain pula.

Penulis-penulis seperti Lockwood boleh menulis apa saja kerana mereka tidak memikul sebarang tanggungjawab untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan rakyat di dalam negara ini, sedangkan Dr Mahathir memikul tanggungjawab tersebut. Mereka tidak dilantik oleh rakyat, sedangkan Dr Mahathir diundi untuk memimpin negara ini. 

Prejudis ekstrem yang dipegang oleh penulis-penulis seperti Lockwood menjadikan bahan yang tersiar tidak tepat dan tidak adil. Ia juga menafikan hak orang ramai untuk mengetahui fakta yang sebenar, iaitu - kejayaan Dr Mahathir adalah kejayaan di atas par dan kecemerlangannya tidak dapat disangkal sama sekali. 

Penulis-penulis seperti Lockwood sebenarnya telah banyak kali di`senyap’kan oleh kejayaan Dr Mahathir. Jelasnya Dr Mahathir berada di dalam kelas yang jauh lebih tinggi dari Lockwood. Beliau juga seorang penulis, dan yang membezakan beliau dari penulis-penulis seperti Lockwood adalah beliau bukan sekadar menulis tetapi berusaha menjayakan apa yang beliau tulis. 

Penulis seperti Lockwood tidak membina negara. Mereka hanya pandai mengkritik, memburuk-burukkan orang dan melaga-lagakan orang lain dengan menggunakan pelbagai khabar angin, termasuklah yang kononnya dari `sumber dalaman’.

Bagi kita, ini bukan acuan kebebasan media yang diperlukan untuk membina Malaysia yang maju di tahun 2020. Kebebasan media dalam bentuk ini hanyalah manifestasi kepada kebejatan nilai Barat yang cuba diimport ke dalam budaya Melayu-Islam – nilai yang tidak mengerti erti dosa dan pahala, nilai yang sedang hangat diamalkan oleh media pembangkang, termasuklah yang bertopengkan agama.

Rakyat perlu sedar kuasa yang dimiliki oleh pemilik media bukan diperolehi melalui lunas demokrasi. Kerajaan yang tidak disukai rakyat boleh ditukar setiap kali berlakunya pilihan raya. Bagaimanapun bolehkah rakyat menukar pemilik media? Bolehkah kita menukar pemilik The Economist walaupun penulis-penulisnya telah berulang kali menipu, berbohong dan silap dalam pertimbangannya?

Wajarkah rakyat memberikan golongan ini kebebasan seperti yang mereka minta, jika ia hanya menjadi lesen untuk mereka terus menipu?



Tun Faisal Ismail Aziz

No comments:

Popular Posts