Sunday, October 2, 2011

Najib nafi hapus kuota Bumiputera. Propaganda media pembangkang GAGAL!


Najib sangkal hapus kuota bumi
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyangkal dakwaan portal berita dan blog pro pembangkang bahawa beliau pernah menyebut untuk menghapuskan kuota bumiputera dalam perniagaan.

Sambil menyifatkan portal dan blog itu tidak jelas dengan kenyataan beliau, Perdana Menteri menegaskan, apa yang disebut adalah peringatan kepada peniaga bumiputera supaya lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

''Saya kata, jangan terlalu bersandarkan kepada kuota, peniaga bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

''Dalam kata lain, ia akan menjadikan masyarakat bumiputera khususnya peniaga akan lebih dihormati.

''Tapi, saya tidak sebut sama sekali kuota itu akan dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas mepengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Najib berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan portal pembangkang Malaysia Insider yang menyebut beliau membuat kenyataan akan menghapuskan kuota bumiputera dalam perniagaan satu hari nanti dalam satu sesi soal jawab pada majlis Forum Khazanah Megatrends 2011, Selasa lalu.

Berhubung isu hudud pula, Najib berkata, Pas sepatutnya berhenti menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebaliknya meneruskan hasrat perlaksanaan undang-undang hudud itu kerana ia telah lama diperjuangkan.

"Kita nak (mahu) tengok serius atau tidak serius (Pas) dalam isu ini kerana ia bukan perkara baru tapi lama dahulu Pas sudah menyebut untuk melaksanakan undang-undang hudud," tegas beliau.


Kuota dan realiti
Bisik-Bisik Mingguan

AWANG lega dengan kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang menyangkal dakwaan bahawa beliau mahu menghapuskan kuota bumiputera dalam perniagaan.

Penjelasan tersebut menamatkan salah faham dan ketidaktentuan ekoran laporan kurang tepat portal berita dan blog pro pembangkang.

Apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Perdana Menteri adalah peringatan kepada bumiputera supaya lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

Ketika Perdana Menteri menyentuh isu tersebut pada Forum Khazanah Megatrends 2011, dari awal lagi tafsiran Awang, mudah. Najib menekankan meritokrasi di kalangan bumiputera. Dengan kata lain, kita harus mengangkat usahawan bumiputera yang terbaik, berkebolehan dan berbakat dengan budaya niaga yang betul, terlebih dahulu. Berbanding mereka yang mahu untung atas angin, bersekongkol dalam ketirisan dan tidak beretika.

Kita harus berani dan terbuka dalam menjayakan pembaharuan menerusi meritokrasi. Ia mesti bermula sesama bumiputera. Pada masa ini, Awang mendokong agar kuota bumiputera perlu dipertahankan kerana majoriti kaum itu masih ketinggalan dan miskin. Lagipun rangkaian perniagaan, bekalan dan bahan mentah dalam semua sektor dimonopoli oleh bukan Melayu. Pemilikan modal bumiputera jauh lebih rendah berbanding usahawan Cina misalnya, yang budaya niaga mereka sudah sebati beratus tahun. Itu belum menyentuh banyak aspek lain termasuk simpanan tunai dan aset kaum Cina yang berlipat ganda tingginya. Persekitaran niaga yang ada tidak memihak kepada bumiputera.

Itulah realitinya hari ini. Namun, sampai bila bumiputera mesti bergantung kepada sistem kuota? Persiapan mesti diperhebatkan agar kita tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk membuktikan kemampuan dalam persaingan sebenar.

Inilah yang telah diasak oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir terhadap perubahan sikap bumiputera. Beliau banyak melakukan provokasi bahkan pernah berdoa dan menangis kerananya di hadapan ramai.

Sebagai Perdana Menteri, Najib meneruskan misi untuk melonjakkan pencapaian bumiputera. Maka sebarang teguran oleh beliau ke atas bumiputera, harus diambil dengan semangat yang betul dan positif. Adakalanya kita memerlukan ubat pahit untuk mujarab.


No comments:

Popular Posts