Saturday, March 19, 2011

Sejumlah besar peruntukan dari NKRA adalah untuk Sabah dan Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengambil kesempatan berjumpa dengan rakan-rakan dalam talian (online) beliau di Kuching. Ini adalah kali pertama Datuk Seri Najib membuat pertemuan dengan rakan-rakan online beliau di luar Putrajaya.

Menurut Datuk Seri Najib selepas ini, dalam lawatan beliau turun padang ke negeri-negeri, beliau akan mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan rakan-rakan online beliau di negeri-negeri yang lain.

Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Najib juga menyebut pada zaman ini, ramai generasi muda yang lebih selesa menggunakan media sosial. Jadi, beliau merasakan perlu untuk menggunakan media sosial bagi membolehkan beliau merasai denyut nadi golongan ini. Ketika ini, Perdana Menteri mempunyai 590,000 orang rakan facebook dan 90,000 orang rakan twitter.

Datuk Seri Najib menjelaskan bahawa beliau menjawab sendiri twitter beliau, selalunya di tengah malam sebelum tidur. Beliau cuba untuk membaca sebanyak mungkin tweet yang dihantar supaya beliau boleh memahami pandangan rakyat, terutamanya golongan muda. Dengan itu beliau dapat memastikan kerajaan tidak terlalu jauh dengan apa yg dikehendaki oleh rakyat.

Datuk Seri Najib menyebut bahawa beliau percaya setiap orang dalam negara ini perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing. Kerajaan akan berusaha mengadakan peluang tersebut kepada setiap orang.

Seperkara lagi menurut beliau, kerajaan perlu sedar akan kehendak rakyat. Apa yg berlaku di Timur Tengah tidak mungkin berlaku di Malaysia kerana negara kita mengamalkan demokrasi. Jika sebarang perubahan hendak dilakukan, ia perlulah melalui peti undi. Datuk Seri Najib menegaskan "sebagai Perdana Menteri saya komited untuk memastikan transformasi berlaku di dalam kerajaan."

Dalam ucapan, beliau juga menyebut bahawa sejumlah besar peruntukan dalam NKRA adalah utk Sabah dan Sarawak. Beliau berharap rakan-rakan beliau di Sarawak dapat terus memberi kepercayaan kepada beliau dan Barisan Nasional.

Menjawab soalan rakan FB beliau, Azhar mengenai buku yang amat mempengaruhi beliau, Datuk Seri Najib menyebut di antara buku yang dibaca beliau, buku yang ditulis oleh Nelson Mandela sangat bermakna kepada beliau kerana beliau dapat merasai kesengsaraan pemimpin tersebut semasa di dalam penjara. Sepanjang tempoh itu, beliau tidak pernah lari dari perjuangannya untuk membebaskan negara dari sistem apartheid. Beliau juga seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana tidak membalas dendam terhadap orang yang mengurung beliau, sebaliknya berusaha menyatukan semua orang untuk membangunkan negara.

Selain buku itu, buku Blue Ocean Strategy juga mempunyai kesan yang mendalam kepada beliau kerana sebagai Ketua Eksekutif Malaysia, beliau merasakan beliau mesti melihat bukan dengan cara biasa tetapi mesti mampu berfikir secara kreatif dan inovatif. Katanya, "saya selalu bertanya diri saya adakah sesuatu yang dibuat itu satu penyelesaian kreatif. Menurut beliau, "jika kita sentiasa mencari cara yang kreatif, kita akan mendapat penyelesaian yang tidak pernah dijangka."

Menjawab satu lagi soalan mengenai perasaan pertama ketika mula-mula menjadi wakil rakyat, Datuk Seri Najib menyebut beliau mungkin rasa gementar dan rasa 'gabra' sebab tidak pernah menjangka untuk menjadi wakil rakyat dalam usia muda.

Beliau membayangkan seolah-olah seperti dicampak ke dalam air, sama ada beliau berenang dan selamat atau membiarkan diri beliau tenggelam. "Saya tidak boleh bergantung hanya semata-mata kepada nama keluarga. Saya kena bekerja keras sebab saya menjadi YB di atas keyakinan rakyat dan saya ingin memberi khidmat terbaik kepada mereka."
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Popular Posts