Friday, January 30, 2009

Samseng Bahasa dan Pejuang Bahasa


Saya menghormati para pejuang bahasa yang berjuang dengan cara bekerja keras memartabat dan memperkasa bahasa Melayu; yang faham tentang pentingnya disemarakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; yang faham bahawa banyak yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa bahasa Melayu bukan setakat bercakap, berslogan dan bersorak semata-mata; yang faham bahawa perjuangan bangsa perlu diutamakan kerana daripada bangsa baru wujudnya bahasa; yang berhujah dengan rasional dan di dalam lingkungan tradisi ilmu; yang kenal yang mana musuh bahasa dan yang mana satu hantu raya yang pandai mengambil kesempatan semata-mata.

Kalau yang berhujah secara emosional di luar batasan tradisi ilmu; yang berhujah dengan kasar; yang menipu dan memanipulasi data kajian; yang mengugut dan membentak; yang keliru tentang yang mana lebih utama bahasa atau bangsa; yang bersikap double standard dan berkompromi dengan puak yang mengenalkan papan tanda pelbagai bahasa; yang merendah-rendahkan perjuangan murni memartabat bahasa Melayu menjadi perilaku tidak rasional di jalanan; itu bukan Pejuang Bahasa. Itu mungkin Samseng Bahasa.

Tuesday, January 27, 2009

Fanatik Bahasa - Gerakan Anti PPSMI


Dahulu saya sebenarnya selalu tertanya-tanya sampai ke tahap mana sifat fanatik pejuang bahasa Melayu dan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk perjuangan memperkasa kedudukan bahasa Melayu.

Hari ini jawapannya jelas di depan mata. Pertama, mereka sanggup menjual perjuangan bangsa. Kedua, mereka sanggup menjual agama.

Kesanggupan menjual perjuangan bangsa boleh kita lihat dengan jelas apabila mereka bersekongkol dengan pembangkang demi menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Walaupun Menteri Pelajaran telah berjanji bahawa pandangan mereka akan diambil kira dan ketika ini pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran sedang di peringkat akhir penyiapan cadangan kepada Jemaah Menteri, nampaknya seolah-olah, mereka ini terlalu terdesak. Akhirnya mereka melutut kepada pembangkang, walaupun mereka tahu BANGSA lebih utama dari BAHASA; walaupun mereka tahu pembangkang sebenarnya tidak begitu kisah sangat pun tentang perjuangan bahasa Melayu, sebaliknya hanya mahu menentang parti pemerintah.

Pakatan pembangkang sememangnya tidak pernah kisah sangat pun tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. PAS misalnya, antara parti yang paling banyak mencemarkan bahasa Melayu dengan pelbagai istilah bahasa Arab. DAP hanya mementingkan bahasa Cina. PKR langsung tidak ambil peduli. Lihat sahajalah papan tanda pelbagai bahasa yang pakatan pembangkang perjuang dan promosikan di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.

Tidakkah pejuang bahasa Melayu ini sedar bahawa, di tangan PKR dan DAP (dalam kes negeri Perak, dengan restu PAS), dengan adanya papan tanda pelbagai bahasa, kedudukan bahasa Melayu sudah diletakkan sama taraf dengan bahasa Cina dan Tamil?

Malangnya, ada dalam kalangan orang Melayu masih tidak sedar dan turut terikut-ikut dengan permainan politik pembangkang. Tidakkah orang Melayu ini sedar bahawa bagi pembangkang, yang penting adalah mereka mesti memperjuangkan sesuatu yang bertentangan Kerajaan. Contohnya, ada sumber yang menyebut bahawa Ainon Mohd, isteri kepada Profesor Abdullah Hassan merupakan seorang anggota Muslimah PAS. Kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya, tetapi jika ini benar, sebagai Muslimah PAS, kita sedia maklum bahawa, agenda yang paling utama mereka adalah untuk memastikan penentangan terhadap UMNO.

Jika itu hakikatnya, maka sebab itu tidak menghairankan jika ada kompromi di antara parti pembangkang apabila timbul isu bahasa Melayu dalam kalangan mereka. Mungkin disebabkan ini kita melihat tidak ada sebarang perarakan keranda yang digerakkan di Perak dan Pulau Pinang bagi menentang penggunaan papan tanda pelbagai bahasa, biar pun secara simboliknya, kedudukan bahasa Melayu telah diperlekeh dan dihina. Malah tidak ada usaha oleh Ainon dan PKPIM untuk menggerakkan Gerakan Anti Papan Tanda Pelbagai Bahasa di dalam blog mereka? Tidakkah ini menghairankan?

Apabila pejuang bahasa Melayu sampai sanggup merayu dan memeluk pembangkang yang di dalam perlembagaan mereka secara terang-terangan menolak semangat dan perjuangan memartabatkan BANGSA MELAYU, maka itu lah sebenarnya nilai dan harga sebuah perjuangan bahasa dan bangsa para pejuang bahasa. Begitu murah. Begitu menjelekkan. Apa guna perjuangan BAHASA, jika perjuangan BANGSA tidak didahulu dan diutamakan?

Kesanggupan sesetengah pejuang bahasa Melayu menjual agama Islam pada harga yang murah pula cukup memualkan. Dalam kefanatikan yang amat sangat (assabiah) ada individu di dalam kelompok ini menyebut “ini adalah sunnah pemerintahan nabi dan rasul dalam pendidikan dan ajarannya ke atas umat itu. Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul mengikut bangsa dan bahasa dalam kalangan mereka sendiri agar penganutnya dapat memahami ilmu yang disampaikan oleh para nabi. Malahan kufur nikmat jika mengabaikan anugerah Allah ini sebagaimana dinyatakan dalam Quran surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Rum ayat 22. Apa lagi bahasa Melayu bukan saja alat perpaduan kaum sebaliknya wahana pengucapan dan budaya ilmu tinggi dan sendi pembinaan tamadun negara Malaysia.”

Saya yakin ada golongan yang kurang pendidikan agama yang akan terpengaruh dan meng`imani’ kenyataan ini. Bagi golongan yang sanggup menjual ayat Allah SWT dengan harga yang murah ini, nasihat kita, janganlah mempergunakan agama demi menegakkan pendirian yang sempit. Janganlah kita menggunakan ayat al-Quran jika tidak benar-benar faham asbabul nuzulnya.

Sedarlah bahawa 24 rasul diutus untuk membawa perintah Allah SWT kepada kaumnya sahaja dan dengan itu diterima akal fikiran jika perintah tersebut diturunkan di dalam bahasa kaum tersebut. Sebaliknya, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia pelbagai keturunan. Seperti yang kita semua sedia maklum juga, al-Quran, biar pun menjadi pedoman untuk semua bangsa di dunia, tidak diturunkannya dalam pelbagai bahasa, sebaliknya diturunkan di dalam bahasa Arab.

Kalaulah mengikut logik golongan ini, jika Allah SWT hendak kita mempelajari al-Quran dalam bahasa ibunda, kenapakah tidak diturunkan al-Quran ini dalam pelbagai bahasa ibunda agar semua umat manusia dapat memahaminya dengan mudah? Kenapa tidak diutus lebih ramai rasul agar dapat membimbing manusia pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa kaum dan suku mereka sendiri? Tidakkah jika mengikut logik kumpulan ini, Allah SWT zalim kerana menyusahkan anak-anak daripada pelbagai kaum untuk mempelajari al-Quran dan ajaran Islam itu sendiri?

Malah kenapa pula Allah SWT menurunkan al-Quran kepada umat manusia bukan dalam bahasa Arab harian yang biasa sebaliknya di dalam bahasa Arab yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi? Orang badawi biasa tidak mungkin dapat memahami al-Quran dengan baik, walaupun bahasa Arab itu bahasa ibunda mereka. Malah orang-orang kita di Malaysia terpaksa belajar cabang ilmu bahasa Arab seperti `balaghah' untuk memudahkan kita memahami maksud tersirat dan keindahan bahasa al-Quran.

Janganlah menjadi emosional dan bersifat assabiah sehingga sanggup menggunakan agama untuk menakut-nakut orang supaya menyokong pendirian kita. Ingatlah, dalam berhujah pertama kita perlu berilmu, kedua, perlu bertaqwa kepada Allah SWT agar yang keluar dari mulut kita adalah kebenaran bukan kebatilan. Ketiga, bagi mereka yang berkedudukan, perlu bersifat wara’ (berhati-hati), jika tidak pengikut kita yang jahil agama akan beriman dengan kenyataan kita. Bila prinsip ini tidak dipegang, maka tidak hairan ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa 'tuhan juga mencarut' dan malangnya, ramai pula yang bertaklid buta dengannya.

Tidak ada masalah untuk berjuang memperkasa kedudukan bahasa Melayu. Saya juga berjuang untuk memperkasa kedudukannya. Cuma dalam keghairahan berjuang, jangan pula kita sampai sanggup menjual agama dan perjuangan memartabat bangsa.

Wednesday, January 21, 2009

PPSMI – Antara yang emosional dan rasional (Bahagian 2)




Saya telah menjangka bahawa saya akan mendapat respons yang agak banyak selepas menulis mengenai tajuk ini minggu lepas. Salah satunya adalah daripada seorang yang menggunakan nama maya Ata Bakar, seorang kakitangan kerajaan yang menjelajah ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Beliau banyak merisik tentang kesan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap pelajar luar bandar dan bagi beliau dasar ini banyak merugikan pelajar. Nasihat beliau, janganlah saya menyokong dasar ini semata-mata kerana kajian dan laporan yang nampak cantik di atas kertas.

Sebenarnya saya terpanggil untuk mengulas tentang isu rasional dan emosional kerana golongan tertentu kelihatan melampau dalam penentangan mereka terhadap PPSMI sehingga tidak lagi berpegang kepada kematangan tradisi intelektual dan budaya ilmu.

Jika mahu berhujah tentang kesan PPSMI terhadap bahasa, berhujahlah mengenainya berlandaskan tradisi ilmu dan budaya intelektual. Itu rasional. Lagipun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memberi jaminan bahawa pandangan mereka akan diambil kira dalam kertas laporan dan cadangan kepada Jemaah Menteri. Yang tidak rasional adalah apabila golongan ini mula bercakap kasar, menipu, mengugut, berhujah tanpa fakta dan data yang kukuh serta sibuk hendak mengusung keranda walaupun jelasnya bahasa Melayu tidak akan mati semata-mata kerana PPSMI.

Disebabkan itu saya mempersoalkan tindakan golongan muda tertentu yang menurut rentak golongan ini secara membuta tuli tanpa benar-benar mendalami tentang dasar, usaha dan isu di sebalik perjuangan memperkasakan Bahasa Kebangsaan sepanjang tempoh 20 tahun ini. Lebih-lebih lagi apabila sesetengah kelompok di dalam gerakan ini langsung tidak menyokong perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Sedangkan tanpa perjuangan memartabatkan bangsa, tiadalah erti perjuangan bahasa. Apakah motif mereka?

Saya tidak perlu menjawab Ata Bakar kerana seorang lagi pengirim e-mel, danebopt, seorang guru bahasa Inggeris (BI) yang pernah mengajar di SK Ulu Lubai di kawasan pedalaman Sabah ada berkongsi pengalamannya.

Menurut danebopt, beliau mahu PPSMI diteruskan agar golongan guru dan murid dapat meningkatkan penguasaan BI di samping memantapkan penguasaan ilmu matematik dan sains. Beliau yakin PPSMI akan berjaya lebih-lebih lagi jika semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dijalankan secara komited dan ikhlas.


Menurut danebopt lagi, beliau juga dapat melihat kesan positif ini di SK Tanjung Aru, sebuah sekolah di kampung nelayan di Sandakan yang tidak pernah melahirkan pelajar yang mencapai keputusan 5A dalam UPSR sepanjang tempoh 52 tahun sekolah itu beroperasi. Apabila beliau berpindah ke sekolah tersebut dalam tahun 2007, beliau terperanjat kerana murid sekolah ini dapat memahami dan menguasai istilah Matematik dalam BI dengan baik. Misalnya, istilah "round off" dapat difahami dengan baik berbanding perkataan "bundarkan" walhal mereka terdiri daripada anak-anak nelayan. Baru-baru ini salah seorang pelajarnya berjaya memperolehi 5A dan jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran matematik dan sains pula melebihi 80 peratus. Kesimpulannya, beliau mahu dasar ini diberi ruang dan peluang mencukupi agar lebih banyak kejayaan diperolehi.

Untuk Ata Bakar, saya percaya tentulah pegawai-pegawai KPM lebih terdedah dgn banyak data dan kajian berbanding saudara. Walaupun ada beberapa kajian disebut oleh sejumlah pengirim emel, seperti yang dibuat oleh UPSI dan Pembina, namun dimaklumkan, dalam persidangan meja bulat, terdapat pertikaian mengenai kekuatan instrumen, sampel dan kesimpulan kajian.

Istilah bahasa ibunda bukan lagi istilah yang tepat dalam isu PPSMI dan hujah bahawa pelajar lebih mudah menguasai konsep sains dan matematik menggunakan bahasa ibunda bukan hujah yang begitu kukuh kerana terdapat bukti bahawa anak-anak bukan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dapat mempelajari sains dan matematik menggunakan bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan tanpa sebarang masalah. Begitu jugalah anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Jangan lupa bahawa anak-anak kita lebih accomodative dan mampu beradaptasi dalam menghadapi cabaran-cabaran baru.

Seorang lagi pengirim e-mel, haryati, menyatakan jika di kawasannya ada pilihan, tentulah dia akan menghantar anaknya ke sekolah yang melaksanakan PPSMI. Baginya, tidak mengapa jika anaknya susah sedikit kerana selama ini dalam menghadapi kehidupan, anak-anak perlu diajar susah bukan dimanjakan.

Kata haryati ada benarnya. Belajarlah dari bidalan orang-orang tua, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Jangan terlalu memanjakan anak dan jadilah orang yang berkeyakinan terhadap kemampuan anak bangsa dalam mengharungi sebarang cabaran.

Apa pun saya percaya Menteri Pelajaran akan membuat keputusan yang akan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk pejuang bahasa. Tidak perlu beremosi sehingga mengusung keranda kerana ia hanya manifestasi perilaku tidak rasional, kurang sopan dan bukan dari budaya kita.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 21 Januari 2009

Wednesday, January 14, 2009

PPSMI - Antara yang emosional dan rasional


Emosional. Itu persepsi sesetengah pihak bila melihat cara dan mendengar hujah pihak tertentu yang menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semasa Persidangan Meja Bulat PPSMI kelima.

Sebenarnya tidak perlu mengutarakan hujah dengan nada suara yang keras, mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ugutan. Saya memuji wakil Parent Action Group For Education (PAGE) yang mengemukakan hujah dengan tenang. Yang penting bukan nada suara yang keras, tetapi hujah yang disokong fakta yang kukuh.

Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tujuan siri persidangan meja bulat diadakan adalah untuk menyediakan seluas-luas platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan dan bukan untuk membuat sebarang resolusi. Jadi tidak perlu kita membentak-bentak dan memaksa-maksa pandangan kita terhadap peserta lain. Tidak perlu menipu dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan yang direka-reka.

Seorang profesor, misalnya, mengatakan bahawa PPSMI tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap pencapaian pelajar selepas enam tahun pelaksanaannya sedangkan sewaktu beliau berhujah demikian, tiada sebarang kajian atau data yang dirujuk. Rasionalkah beliau?

Bagi saya, kenyataan itu lahir akibat beliau terbawa-bawa oleh emosi. Dari segi logik dan kebiasaan, semakin terdedah seseorang kepada sesuatu, maka semakin mudah seseorang menguasainya. Tidak mungkin kenyataan ini keluar jika beliau merujuk kepada fakta.

Dari segi fakta, pembentangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR menunjukkan bahawa masa dedahan yang lebih terhadap bahasa Inggeris (BI) menyebabkan pertamanya, tahap keyakinan pelajar untuk menjawab soalan dalam BI semakin meningkat; keduanya, pencapaian pelajar dalam mata pelajaran BI juga meningkat.

Seorang bekas pegawai KPM pula menuduh seolah-olah KPM memanipulasi keputusan UPSR dan menurut cerita pihak tertentu beliau juga turut mengatakan bahawa “dahulu kita juga membuat perkara yang sama.” Hakikatnya bukan mudah untuk memanipulasi keputusan peperiksaan awam kerana standardnya turut ditentukan oleh pihak luar dan jika sebarang pengubahan dibuat, ia bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan pelajar tahun tersebut, malah beberapa tahun yang akan datang.
Rasionalnya; beliau tahu realiti ini dan beliau tahu tidak mudah melakukannya. Malangnya beliau terperangkap dengan emosi untuk menentang dasar PPSMI sehingga sanggup menuduh yang bukan-bukan.

Bagi saya, jika suatu masa dulu, sebagai pegawai KPM beliau gagal berpegang kepada integriti, kenapa sekarang kita perlu menyakini integriti beliau dalam membentangkan sebarang kajian? Tidakkah ada kemungkinan beliau memanipulasi data semata-mata untuk menyokong pendirian beliau?

Satu lagi tindakan yang boleh dianggap emosional adalah apabila sebuah organisasi yang kononnya mewakili sekitar 350,000 orang guru, mendakwa bahawa guru sebulat suara menolak PPSMI. Kenyataan ini disangkal keesokan harinya oleh kesatuan guru yang lain, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Lebih memalukan bukan sahaja kenyataan majlis tersebut dipersoalkan malah mandat bahawa ia benar-benar mewakili golongan guru dan statusnya turut dipertikaikan.

Apabila ada pihak berhujah bahawa subjek sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda untuk memastikan anak-anak kita berjaya menguasai subjek tersebut dengan lebih baik, adakah hujah ini rasional?

Sedangkan kita menyedari sebelum adanya PPSMI, di sekolah kebangsaan (SK) ramai anak-anak etnik bumiputera selain Melayu dan kaum bukan Melayu yang mempelajari kedua-dua subjek ini dan subjek-subjek lain di dalam bahasa kebangsaan; bukan bahasa ibunda mereka, tetapi mereka masih dapat menguasainya dengan cemerlang?

Adakah kita lupa bahawa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Perdagangan diajar dalam bahasa kebangsaan, tetapi masih ada anak-anak kita yang gagal dan gagal menguasai subjek-subjek ini.

Bukankah anak-anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga ada yang cemerlang walaupun dipaksa mempelajari semua subjek kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Mandarin.

Rasionalkah? Sedangkan ada pihak yang berhujah bahawa Mandarin bukan bahasa ibunda orang Cina?

Rasionalkah juga apabila ada yang mahu mengusung keranda bagi memprotes PPSMI. Benarkah bahasa Melayu akan terkubur jika PPSMI diteruskan?

Rasionalnya, masih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan. Ia tidak akan terkubur. Ia mungkin menjejaskan sedikit sebanyak pembangunan bahasa kebangsaan dalam bidang Sains dan Teknologi, tapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesannya.

Lagi pula komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan. Kerajaan tidak mengubah medium di sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu masih merupakan subjek yang wajib bukan sahaja di sekolah-sekolah kerajaan, malah sekolah swasta dan antarabangsa. Majlis rasmi dan aktiviti kokurikulum terus dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Malah di KPM, usaha untuk memartabatkan kegiatan kebahasaan lebih banyak dilaksana dan dianjurkan berbanding jumlah kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang mahu mengusung keranda tersebut!

Apa yang dikesalkan, ada pihak, terutama yang masih muda, tidak benar-benar tahu kenapa mereka perlu mengusung keranda. Saya pernah bertemu dan berbincang dengan sekumpulan anak muda yang begitu bersemangat menentang PPSMI atas dasar memperjuangkan bahasa. Malangnya apabila ditanya sama ada mereka tahu apa yang berlaku dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sepanjang tempoh 20 tahun ini, mereka hanya terpinga-pinga. Ada yang tidak tahu pun apa Dasar Buku Negara dan tidak pernah membaca mengenainya.

Lebih menghairankan, ada yang beriya-iya berjuang mempertahankan bahasa tetapi tidak pula mengambil endah dan menganggap jijik perjuangan mempertahankan bangsa. Apa guna perjuangan bahasa, jika sudah tiada tempat untuk perjuangan bangsa! Ikhlaskah mereka?


Akhbar dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 14 Januari 2009

Wednesday, January 7, 2009

Penggal baru tanpa yuran yang membebankan!


Selamat Tahun Baru 2009! Penggal persekolahan baru sudah pun bermula dan saya percaya ketika ini ramai ibu bapa yang berasa sedikit lega dengan pelbagai langkah yang telah kerajaan usahakan bagi meringankan beban dan mempermudahkan segala urusan ibu bapa.

Seperti yang kita semua sedia maklum, berdasarkan surat pekeliling dan penerangan yang diberikan, sepatutnya tiada sebarang kutipan dibuat pada minggu dan bulan pertama pembukaan penggal kali ini,. Jika ada sekalipun, ia hanya melibatkan yuran bagi murid warganegara asing, bayaran untuk subjek tambahan peperiksaan, bayaran tambahan bagi subjek Azhari di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), bayaran makanan bagi murid yang tinggal di asrama dan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok demi kebaikan ibu bapa dan anak-anak mereka di sekolah.

Itu pun bagi ibu bapa yang tidak mampu, pengetua dan guru besar perlu menggunakan budi bicara bagi menangani kes sebegini. Malah bagi mereka yang layak dibantu, pentadbir sekolah dikehendaki menyenaraikan mereka untuk bantuan-bantuan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat juga sejumlah pengetua dan guru besar yang sangat proaktif dan berusaha untuk membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat, biarpun ia di luar bidang tugas mereka.

Syabas kepada KPM yang telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan garis panduan yang saya rasakan dapat membantu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mengatasi kekeliruan mengenai pemansuhan pembayaran yuran khas persekolahan tahun lepas.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hasrat beliau adalah untuk memastikan beban yang perlu ditanggung oleh ibu bapa pada setiap kali sesi persekolahan baru bermula diringankan, seringan-ringannya.

Beliau memahami masalah ibu bapa yang sudah mengeluarkan begitu banyak perbelanjaan untuk persiapan sekolah anak-anak mereka di hujung tahun dan beliau tidak mahu ibu bapa ini merasa terbeban di awal tahun pula akibat bayaran-bayaran tambahan yang dikutip sehingga boleh mengakibatkan ibu bapa yang tidak berkemampuan tidak mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah.

Satu lagi jenis kutipan yang dibenarkan oleh Akta Pendidikan adalah sumbangan bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 5(4) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998. Walaupun kutipan ini dibenarkan, namun ia hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh semua ibu bapa dan pihak sekolah semasa Mesyuarat Agong PIBG yang bakal dilangsungkan tahun ini.

Ini adalah berikutan pendekatan baru KPM yang mahu memberi lebih ruang kepada PIBG dan pihak sekolah untuk menentukan sendiri sebarang bentuk sumbangan dan jumlah kutipan persekolahan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan persekolahan murid di sekolah mereka.

Ada PIBG yang aktif dan cekap serta dapat bermesyuarat awal. Ada yang mengadakannya seawal pendaftaran pelajar baru terutamanya bagi sekolah-sekolah yang berasrama bagi memudahkan penglibatan ibu bapa yang tinggal jauh dari sekolah. Ada juga PIBG yang menghadapi pelbagai masalah untuk mengadakan Mesyuarat Agung awal dan hanya dapat mengadakannya di penghujung bulan Mac. Lebih berat masalahnya, lebih lambatlah Mesyuarat Agungnya.

Apa pun, tidak kira bila Mesyuarat Agong ini dijalankan, yang penting keputusan mengenai jenis dan jumlah sumbangan perlu dibuat dan dipersetujui dalam mesyuarat ini.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan, berilah sumbangan seperti yang dipersetujui seawal mungkin. Tidak perlulah menunggu sehingga pertengahan tahun untuk menyumbang. Fahamilah bahawa untuk memastikan PIBG dapat berperanan secara efektif, bukan sahaja ia perlu bermesyuarat awal malah perlu mempunyai dana yang mencukupi, seawal mungkin.

Bagi ibu bapa yang kurang bekemampuan, berilah sumbangan apabila sudah terasa ringan bebanan atau buatlah sumbangan secara ansuran. Kita berharap Pengerusi PIBG dan pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara dalam hal ini.

Bagi ibu bapa yang miskin dan langsung tidak berkemampuan, pastikan anak-anak anda berada di dalam senarai bantuan. Kita juga berharap agar melalui PIBG, ibu bapa yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan bagi membantu persekolahan anak-anak yang tidak bernasib baik ini.

Jadi bagi ibu bapa, pastikan anda melibatkan diri sepenuhnya di dalam Mesyuarat Agung tahun ini kerana input dan penglibatan anda penting bagi menentukan sejauh mana sumbangan PIBG nanti akan memberi menfaat kepada pembelajaran anak anda di sekolah. Jangan sampai rumah sudah siap, masih ada pahat yang berbunyi.


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADAP), Utusan Malaysia
Rabu, 6 Januari 2009

Popular Posts