Thursday, June 25, 2009

Papan putih interaktif - kita masih ketinggalan

Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbagai negara ditanya tentang apa yang mereka harapkan ada di sekolah mereka berdasarkan keutamaan, hampir 70 peratus menyatakan interactive whiteboard atau papan putih interaktif (IWB). Mereka diminta memilih antara akses jalur lebar, `connectivity’, komputer peribadi (desktop dan notebook) dan beberapa item pembelajaran berasaskan teknologi maklumat (IT). Respon ini menunjukkan bahawa peserta-peserta ini melihat kegunaan besar papan putih di dalam kelas di sekolah-sekolah negara mereka.

Direkodkan hampir 600,000 papan putih interaktif dijual di seluruh dunia menghasilkan jualan mencecah US $1 billion dalam tahun 2008. Dianggarkan setiap satu daripada enam kelas di dunia akan mempunyai papan putih interaktif menjelang 2012.

Dikatakan juga dalam tahun 2004, hanya 26 peratus sekolah rendah di British mempunyai papan putih interaktif. Namun dalam tempoh tiga tahun, menurut bancian British Educational Communications and Technology Agency (Becta) 2007, 98 peratus daripada sekolah rendah dan 100 peratus sekolah rendah British telah mempunyai papan putih interaktif.

Bagi golongan yang sinikal terhadap teknologi, papan putih interaktif hanyalah sekadar satu lagi perkakasan dalam pendidikan. Bagaimanapun bagi ramai pihak di seminar para menteri tersebut, ia bukan sekadar perkakasan IT, tetapi apabila digandingkan dengan perisian interaktif yang baik dan mesra pengguna, connectivity, akses jalur lebar yang berkesan serta latihan kepada guru, ia berupaya untuk mengubahkan pendekatan, mood dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

Dengan perisian,`features’ dan aplikasi yang disertakan dengan papan putih interaktif ini, guru-guru boleh membangunkan bahan-bahan P&P dengan begitu mudah dan boleh menambah baikkannya dari semasa ke semasa. Dengan jumlah pengguna (user base) yang tinggi di seluruh dunia, mereka juga boleh berkongsi bahan P&P dan memuat turunkannya dari capaian web tertentu. Ini banyak menjimatkan masa mereka untuk menyediakan bahan P&P.

Pendekatan dengan murid di dalam kelas juga menjadi berbeza. Murid turut dilatih menggunakannya untuk belajar dan membentangkan tugasan. Semua ini akhirnya menjadikan persekitaran P&P dalam kelas amat interaktif dan tidak membosankan walaupun di sekolah tertentu di UK, waktu kelas boleh mencecah sehingga 160 minit!

Justeru tidak menghairankan jika ramai guru di United Kingdom (UK), Australia dan Canada dan begitu teruja menggunakannya di dalam kelas sehinggakan mereka tidak lagi boleh mengajar dengan baik tanpa papan putih interaktif. Lawatan saya ke beberapa buah sekolah di Australia dan UK menunjukkan guru bagi semua subjek amat bergantung pada `features’ yang ditawarkan oleh papan putih interaktif ini.

Di Malaysia, saya difahamkan papan putih interaktif telah diperkenalkan seawal tahun 2002 di Maktab Tentera Di Raja Malaysia (MTD). Mungkin hari ini, MTD adalah satu-satunya sekolah kerajaan di Malaysia yang mempunyai papan putih interaktif di dalam setiap kelas. Ini menjadikan pelaksanaannya efektif kerana guru dan pelajar tidak diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa membudayakan diri menggunakan papan putih interaktif dalam P&P.

Papan putih interaktif telah diperkenalkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2004. Bagaimanapun strategi pelaksanaannya di Malaysia yang agak bercelaru menimbulkan banyak persoalan.

Di peringkat awal, pada tahun 2005, iaitu sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) diumumkan, sejumlah sekolah yang baik telah diberikan papan putih interaktif agar ia dapat digunakan secara rintis. Pada tahun 2006, lebih banyak lagi jenama dan perisian papan putih interaktif ini dirintis. Lebih banyak sekolah lagi dilibatkan.

Peliknya, sebelum program rintis ini sempurna, difahamkan KPM telah membeli sejumlah apparatus papan putih interaktif untuk sejumlah sekolah luar bandar. Ada yang beranggapan pembelian ini tidak dibuat atas penilaian yang strategik dan tanpa strategi yang betul, pembelian satu atau dua unit untuk sebuah sekolah tidak mungkin berupaya mengubah budaya serta pendekatan P&P guru di dalam sekolah tersebut.

Lebih menghairankan, pembelian papan putih interaktif untuk sekolah-sekolah ini dibuat pada ketika 88 buah Sekolah Bestari masih belum dilengkapkan dengan sebarang papan putih interaktif, melainkan kelas yang terlibat dengan projek rintis sahaja.

Apa pun, dari maklum balas yang diterima, ramai guru di sekolah yang terlibat dalam projek rintis, termasuk yang dipinjamkan papan putih interaktif semasa Persidangan Sekolah Bestari Antarabangsa 2007 berminat untuk menggunakannya secara berterusan kerana mereka telah melihat manfaatnya di dalam kelas.

Saya dimaklumkan sekolah-sekolah di UK telah diperkenalkan dengan papan putih ini seawal tahun 1996 lagi. Malangnya di negara kita, walaupun ada usaha untuk melengkapkan sejumlah sekolah yang bersedia dengan papan putih interaktif dan dikhabarkan terdapat RM 10 juta diperuntukkan dalam RMKe-9 untuk tujuan ini, namun selepas lima tahun ia diperkenalkan di Malaysia, pelaksanaannya di sekolah-sekolah yang telah bersedia dari segi IT, terutama sekolah-sekolah yang bertaraf bestari, masih tidak dapat direalisasikan.

Kelewatan penjawat awam dalam bahagian tertentu di KPM berresponsif dengan perubahan adalah punca Malaysia ketinggalan dalam usaha mentransformasi P&P di dalam kelas dan sistem pendidikan berbanding negara-negara lain di dunia.

versi yang disunting "Papan Putih Interaktif meransang transformasi P&P" disiarkan dalam
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 24 Jun 2009

3 comments:

Cheguman said...

Nampaknya saya masih ketinggalan.

Adakah papan putih interaktif ini merujuk pada skrin yang dipancarkan LCD atau memang ia benar-benar interaktif?

Saya dapati alat-alat ICT yang diagihkan ke sekolah-sekolah untuk pembelajaran Matematik & Science (dan lain-lain, agaknya) tidak dibuat dengan betul. Penggunaannya yang tidak praktikal menjadikannya satu projek yang membazir.

Bagi saya, pihak yang bertanggung jawab telah tidak menyediakan cadangan yang baik semasa mencadangkannya kepada kerajaan.

Sebenarnya, ia cuma memerlukan sedikit kreativiti dengan membuang beberapa karenah birokrasi tertentu.

Bercakap tentang karenah birokrasi, saya rasa KPM perlu menyemak semula beberapa peraturan dan carakerja yang telah ketinggalan zaman.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

ia memang interaktif; by right jika digunakan sepenuhnya bukan sahaja guru yg bercakap dalam kelas, tp ia melibatkan interaksi sepenuhnya dgn pelajar. tapi kunci utamanya masih guru; sebab itu, kita tak boleh beri pilihan kpd guru jika kita nak ubah budaya dan pendekatan mengajar.

Di RMC, guru yg baru masuk tiada pilihan. semua kelas ada interaktive whiteboard (IWB). mahu tak mahu, mereka perlu ikuti orientasi dipkt awal agar tahu bagaimana nak manfaatkan sepenuhnya.

apabila KPM beli satu di sekolah, guru cenderung utk tidak berubah.

kadang2 bukan penjelasan tak diberikan kpd pegawai di KPM, tetapi kdg2 degil atau tdk mahu berfikir di luar kotak.

Misalnya - tidak ada keperluan utk beli peti besi keselamatan utk ppsmi; tapi dibeli juga, akhirnya ia membazir sdgkan duit utk beli peti besi ini boleh dimanfaatkan utk perkara yg lebih berkaitan dgn ppsmi.

alat ICT apa yg tidak diagihkan dgn betul di sekolah? penggunaan alat apakah yg dirasakan tdk praktikal? Mungkin kita boleh berbincang utk lihat di mana kecuaiannya.

Norameen said...

Setuju sangat dengan pendapat hamba...beli 1-2 macam mana nak ubah kan..kene lengkapkan satu sekolah...baru guru takder option lain...yang penting bagi guru sekarang adalah mempelbagaikan cara mengajar supaya murid/pelajar tidak bosan...

Popular Posts