Friday, February 20, 2009

PPSMI - Hujah-hujah yang mengelirukan


Menegakkan benang yang basah memang susah, tetapi ada pihak yang terus mencuba semata-mata untuk mengelirukan rakyat sehingga melanggar batasan ketertiban budaya ilmu dan tradisi intelektual.

Kita dikejutkan bila Pengerusi Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) menyatakan bahawa 625,987 murid UPSR 2008 menjawab kertas soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Ini adalah satu lagi kejutan selepas sebuah kesatuan guru menyatakan kononnya semua kesatuan guru menolak program Pengajaran dan Pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kemudiannya disusuli dengan penafian oleh kesatuan-kesatuan guru yang lain.

Kita tidak tahu dari mana datangnya data tersebut kerana jumlah murid yang mendaftar UPSR 2008 hanyalah 518,616. Dari jumlah tersebut, saya dimaklumkan bahawa data Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menunjukkan jumlah calon yang menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya adalah seramai 159,234 (31.1 peratus) orang calon Sains dan 238,153 (46.6 peratus) orang calon Matematik UPSR 2008 menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Jumlah yang menjawab dalam bahasa Melayu sepenuhnya bagi mata pelajaran Sains ialah 243,799 (47.6 peratus) manakala calon yang menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik ialah 233,776 (45.7peratus).

Pada pandangan saya, biarpun peratus yang menjawab di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya kelihatan seperti lebih kecil berbanding dengan jumlah yang menjawab di dalam bahasa Melayuh sepenuhnya, namun jumlahnya tetap besar, iaitu 31.1 peratus bagi sujek Sains dan 46.6 peratus bagi subjek Matematik. Ini menunjukkan anak-anak kita di sekolah semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris kerana berlaku peningkatan berkali-kali ganda berbanding tahun lepas dan tahun sebelumnya.

Pada waktu yang sama, jumlah yang menjawab soalan Sains dan Matematik secara bercampur-campur iaitu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu atau bahasa Cina atau bahasa Tamil adalah seramai 108,842 (21.3 peratus) dan 39,570 (7.7 peratus). Jika dijumlahkan murid yang menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan secara bercampur-campur maka jumlahnya ialah 267,076 ( 52.4 peratus ) bagi Sains dan 277,723 (54.3 peratus) bagi Matematik.
Kenyataan tentang lebih daripada 50 peratus murid di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perlis GAGAL dalam Sains dan Matematik juga tidak tepat. Jumlah yang dilaporkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi pelajar yang mencapai tahap penguasaan minimum (mendapat gred ABC) bagi subjek Sains adalah 83.7 peratus di Kelantan, 65 peratus di Sabah, 81.9 peratus di Perlis dan 74 peratus di Sarawak. Manakala jumlah bagi yang mendapat gred ABC bagi subjek Matematik adalah 82 peratus di Kelantan, 61.6 peratus di Sabah, 76.9 peratus di Perlis dan 73.3 peratus di Sarawak.

Saya kesal kerana ada pihak yang tidak lagi berpegang kepada budaya ilmu dan tradisi intelektual dalam mengemukakan hujah mereka. Mereka sanggup menipu, memanipulasi data dan ada juga yang sanggup menggunakan agama bagi menegakkan hujah.

Misalnya, ada dalam kalangan mereka ini berhujah bahawa “penggunaan bahasa ibunda dalam mengajar subjek Sains dan Matematik adalah sunnah pemerintahan nabi dan rasul dalam pendidikan ke atas umat mereka”. Hujah mereka, “Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul mengikut bangsa dan bahasa dalam kalangan mereka sendiri agar penganutnya dapat memahami ilmu yang disampaikan oleh para nabi. Malahan kufur nikmat jika mengabaikan anugerah Allah ini sebagaimana dinyatakan dalam Quran surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Rum ayat 22.”

Pada pandangan saya, janganlah sampai kita sanggup mempergunakan agama demi menegakkan kepentingan kita. Janganlah kita menggunakan ayat al-Quran jika tidak benar-benar faham asbabul nuzulnya.

Mungkin orang yang berhujah seperti ini tidak menyedari bahawa 24 orang rasul diutus untuk membawa perintah Allah SWT kepada kaumnya sahaja dan dengan itu diterima akal fikiran jika perintah tersebut diturunkan di dalam bahasa kaum tersebut. Berbeza dangan Nabi Muhammad SAW, di mana Allah SWT mengutuskan baginda bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia pelbagai keturunan. Seperti yang kita semua sedia maklum juga, al-Quran, biar pun menjadi pedoman untuk semua bangsa di dunia, tidak diturunkannya dalam pelbagai bahasa, sebaliknya diturunkan di dalam bahasa Arab.


Kalaulah mengikut logik golongan ini, jika Allah SWT hendak kita mempelajari al-Quran dalam bahasa ibunda, kenapakah tidak diturunkan al-Quran ini dalam pelbagai bahasa ibunda agar semua umat manusia dapat memahaminya dengan mudah? Kenapa tidak diutus lebih ramai rasul agar dapat membimbing manusia pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa kaum dan suku mereka sendiri? Tidakkah jika mengikut logik pihak ini, Allah SWT zalim kerana menyusahkan anak-anak daripada pelbagai kaum untuk mempelajari al-Quran di dalam bahasa Arab?

Memang tidak logik dan rasional kerana hujah ini hanya untuk menegakkan benang yang basah semata-mata.
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
18 Februari 2009

12 comments:

Anonymous said...

Kami gembira dengan peranan Tun Faisal memberi pencerahan mengenai isu PPSMI dari kacamata Tun dan Hishamuddin.

Meskipun
1. YB Khairy Jamaludin
2. YB Tun Razaleigh
3. YB Fuad Zakarshi
4. YB Khir Toyo

Menentang PPSMI. Menariknya ketika sidang Dewan Rakyat selepas Dato Hishammudin bercakap lebih 20 orang wakil sesama BN dan bukan BN bangkit menentang PPSMI dan soalan-soalan tidak dijawab dan dihadkan.

Saya ikuti cerita PPSMI dari kacamata pengamal polisi di sini.

Saya gembira jika Tun dijemput datang memberi pandangan di rumah Gapena bersama-sama hujah dalam blog ini supaya kami dapat membuat pertimbang yang adil.

Meskipun ada yang berkata 200% Tun tak akan datang, saya dan kawan-kawan yakin Tun bercakap atas dasar kebenaran dan orang yang bercakap atas dasar kebenaran pasti akan muncul di sana....

Saya dan kawan-kawan akan tunggu Tuan di sana.

Pertemuan itu terbuka kepada semua PPSMI dan anti PPSMI. pada tarikh berikut

Rumah Gapena, di Jalan Dewan Bahasa pada 28 Februari 2009, pada pukul 10 pagi.

Insya Allah yang akan hadir

YB Khairy Jamaludin

Anonymous said...

Dalam Momerandum yang diserahkan di Parlimen,

Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebnaykannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris.

Ini angka dicatat dalam memorandum mansuh PPSMI.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Sdr Ibn Qurtubi,

Pertama, tidak ada sesiapa pun yang mengatakan pelaksanaan PPSMI tidak mempunyai masalah. Pelaksanaan sebarang dasar yang baru pasti melalui pelbagai masalah, tetapi itu tidak bermaksud dasar itu tidak berkesan dan perlu dihapuskan. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya, mempunyai pelbagai masalah sehingga hari ini, tetapi tidak bermaksud dasar ini tidak berkesan dan perlu dihapuskan. Dalam kes DEB, kita tidak mengambil pendekatan untuk menghapuskan semangatnya, sebaliknya diperbaharui dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang juga bermasalah sehingga hari ini terutama dari segi meningkatkan ekuiti, pendapatan dan golongan peniaga Melayu. Pelaksanaan RMK9, penuh bermasalah, tetapi bukan bermaksud perancangan RMK9 ada masalah dan tidak berkesan sebaliknya pendekatan pelaksanaannya, dan dalam hal ini kita tidak mengambil pendekatan menguburkannya.

Kedua, saudara silap. Masalah-masalah PPSMI memang ada didedahkan kepada umum, tetapi ada beberapa kajian dan tinjauan yang dibuat menunjukkan trendnya tidak menurun, sebaliknya semakin baik. Dari segi trend pencapaian, yang mengukur pencapaian pelajar menggunakan skor pelajar, trendnya keseluruhan didapati tidak menurun, sebaliknya meningkat. Begitu juga trend ujian diagnostik dan ujian kompetensi bahasa Inggeris guru. Dalam peperiksaan awam pula, dalam pencapaian kebanyakan subjek di peringkat UPSR, PMR dan SPM menunjukkan trend yang lebih baik atau dalam keadaan stabil bila dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, iaitu 6 tahun sebelum pelaksanaan PPSMI. Walaupun bagaimanapun ada satu dua subjek yang pencapaiannya menurun, tetapi masih dalam julat yang tidak membaimbangkan jika mengambil kira pencapaian tahun sebelum PPSMI. It might not a rosy picture, tetapi tidaklah sampai ke tahap yang disebut oleh penipu2 yang menentang PPSMI.

Ketiga, merujuk kepada data UPSR; jika data yang saudara nyatakan betul, apa masalahnya. Saya bukan menentang orang yang bercakap benar. Yang saya rasa menjengkelkan adalah penipu dan manipulator yang cuba mengelirukan dan memperbodohkan masyarakat.

Bagaimanapun apabila saudara menyebut "hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris" adakah saudara bandingkan dengan jumlah yang menjawab dalam BI sebelum ini? Malah jumlah 31% menjawab sepenuhnya dalam BI adalah suatu jumlah yang signifikan, yang perlu diberi perhatian oleh penggubal dasar.

Jika dibandingkan, tentunya hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah, jumlahnya meningkat berkali-kali ganda. Jika diambil pula jumlah pelajar yang berusaha untuk menjawab dalam bahasa Inggeris walaupun bercampur2, tidakkah jumlahnya lebih daripada 31%. Maksudnya, penggubal dasar tidak boleh ambil enteng tentang lebih 50% pelajar yang sedang berusaha menyesuaikan diri.

Dan selepas dianalisis dengan lebih mendalam, saudara akan lihat pula jumlah yang menjawab dalam BI ini bukan terdiri daripada mereka yang berada di dalam bandar sahaja, tetapi juga di luar bandar dan mereka ini telah mendapat skor yang baik.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Saudara tak bernama,

Pertama, saudara silap. Saya memberi pandangan saya dan pandangan saya tidak ada kaitan dengan pandangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kedua, terserah kepada individu seperti YB Khairy Jamaludin, YB Tun Razaleigh, YB Fuad Zakarshi dan YB Khir Toyo untuk membuat sebarang pandangan mereka kerana pastinya mereka ada alasan sendiri jika mereka menentang PPSMI. Begitu jugalah 20 orang wakil BN dan bukan BN yang menentang PPSMI. Saya tiada masalah tentang pandangan mereka ini.

Masalah saya ialah apabila ada pihak yang menipu, memanipulasi dan memperguna agama dalam berhujah. Yang saya sangkal adalah hujah-hujah golongan penipu dan samseng bahasa ini.

Dalam soal mereka yang menentang PPSMI, saya tiada masalah jika si penentang benar-benar faham dan melakukan penyelidikan yang baik tentang dasar ini. Bagaimanapun, ada juga penentang yang asalnya bukan penentang tetapi menjadi penentang apabila dihidangkan dengan penipuan dan `sampah’ dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi saya, kita tidak perlu takut jika ada penentang sebab penentang akan terus wujud biarpun yang dibawa itu kebenaran. Rasulullah SAW juga ditentang. Masalahnya apabila golongan ini menjadi penentang kerana dikaburi fakta-fakta yang salah dan hujah-hujah yang mengelirukan; dan sepanjang berberapa minggu ini saya berjihad untuk membongkar penipuan demi penipuan sang penipu ini.

Ketiga, saya tidak perlu datang ke Rumah Gapena, sebab dalam zaman Sains dan Teknologi ini, ribuan orang yang berada di Rumah Gapena boleh berhujah dengan saya dalam blog ini. Jemputlah mereka beramai-beramai menjengah ke blog saya; asalkan niat mereka mahu mencari kebenaran, apa salahnya. Lagipun GAPENA itu Gabungan Penulis Nasional, tak perlu banyak cakap, cukup sekadar berjuang dengan mata pena kerana pena itu lebih tajam dari mata pedang.

Seperkara lagi saudara yang tak bernama, seperti yang saya sebutkan “Saya menghormati para pejuang bahasa yang berjuang dengan cara bekerja keras memartabat dan memperkasa bahasa Melayu; yang faham tentang pentingnya disemarakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; yang faham bahawa banyak yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa bahasa Melayu bukan setakat bercakap, berslogan dan bersorak semata-mata; yang faham bahawa perjuangan bangsa perlu diutamakan kerana daripada bangsa baru wujudnya bahasa; yang berhujah dengan rasional dan di dalam lingkungan tradisi ilmu; yang kenal yang mana musuh bahasa dan yang mana satu hantu raya yang pandai mengambil kesempatan semata-mata. Kalau yang berhujah secara emosional di luar batasan tradisi ilmu; yang berhujah dengan kasar; yang menipu dan memanipulasi data kajian; yang mengugut dan membentak; yang keliru tentang yang mana lebih utama bahasa atau bangsa; yang bersikap double standard dan berkompromi dengan puak yang mengenalkan papan tanda pelbagai bahasa; yang merendah-rendahkan perjuangan murni memartabat bahasa Melayu menjadi perilaku tidak rasional di jalanan; itu bukan Pejuang Bahasa. Itu mungkin Samseng Bahasa”

Anonymous said...

Sdra Tun,
Pandangan yang baik walau pun saya percaya perlaksanaan PPSMI perlu ada perubahan sesuai dengan perkembangan semasa dan keberkesanan PPSMI tersebut.

Jika tiada halangan 28/2 tersebut saya akan hadir..tq budi

Anonymous said...

Salam kepada semua,

Saya berpandangan bahawa PPSMI menguntungkan anak-anak kita terutamanya yang berada di luar bandar. Ini kerana orang di bandar mempunyai lebih banyak pendedahan kepada maklumat saintifik dalam bahasa Inggeris. Lihat sahaja anak-anak di bandar yang mempunyai akses kepada internet dengan capaian kepada Google Earth, berpeluang untuk membeli pelbagai buku BI yang memupuk minat dalam Sains; dihidangkan pula dengan Astro yang menyediakan pelbagai saluran seperti Discovery, National Geographic; dan mendapat asuhan sejak berusia 2/3 tahun dari Smart Reader atau Kumon. Kesemua ilmu ini dihidangkan kepada anak-anak bandar dalam BI. Jika penguasaan BI anak-anak bandar masih lemah, mereka akan dihantar ke pusak tuisyen. Justeru, anak-anak di luar bandar yang lebih memerlukan PPSMI dari anak-anak di bandar.

Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) ini seperti tidak mahu menerima realiti bahawa BI sudah sebati dengan masyarakat Malaysia. Sebahagian daripada masyarakat kita telah menguasai BI kerana wujudnya sekolah aliran Inggeris pada suatu ketika dahulu termasuklah di luar bandar. Mereka ini tidak kurang jati diri dan kesetiaan kepada bangsa Melayu.

Saya terkilan kerana negara kita disamakan dengan negara yang menggunakan satu bahasa seperti Indonesia, Thailand, Jepun mahupun Korea kerana di negara tersebut, pejuang bahasa mereka menterjemahkan apa jua buku dan maklumat ke bahasa ibundanya dalam tempoh yang sungguh singkat. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia dan punca kelambatan penterjemahan buku perlu dijawab sendiri oleh pejuang bahasa. Janganlah berhujah sekadar ingin menabur retorik semata-masa dengan menuntut semua pihak swasta dan seluruh masyarakat menggunakan BM sahaja dalam kehidupan seharian sedangkan penterjemahan pun tidak mampu dilakukan dengan kadar yang cepat. Perlu diingat bahawa penterjemah-penterjemah ini perlukan ilmu yang mendalam bukan sahaja dalam kedua-dua bahasa BI dan BM tetapi dalam ilmu Saintifik atau Matematik atau Perundangan atau apa jua bidang yang ingin diterjemahkan. Adakah pejuang-pejuang bahasa mampu berbuat demikian dengan sekelip mata sedangkan penterjemahan buku novel kanak-kanak pun mengambil masa yang lama jika dibandingkan dengan Indonesia?

Jika GMP menerima hakikat bahawa negara kita sebati dengan BI, maka mereka akan sedar bahawa anak-anak luar bandar perlu diberi peluang untuk menimba ilmu Sains dan Matematik dalam BI. Sedarlah bahawa peluang kerja lebih terbuka kepada mereka yang menguasai BI. Maka dengan menidakkan peluang anak-anak luar bandar, peluang kerja tersebut hanya akan direbut oleh anak-anak dari bandar. Kasihanilah anak-anak luar bandar yang tidak mendapat peluang untuk mendapat kerja dengan pendapatan yang lumayan.

Anonymous said...

Tun tidak mahu datang, sudah dijangka, bicawara dan lontaran maya, dua perkara berbeda. Encik tak bernama, jangan tunggu yang tidak kunjung. Inilah coraknya hujah blogger seperti ini sekian lama.

Dulu bila pembangkang guna blog disuruh datang diskusi. Hmm Tun sudah jadi bukti jelas kebimbangan mahu berbicara dengan lisan. Buang sahaja nama Tun itu yang sinonim dengan keberanian bicawara lisan.

Kecewa....apa selepas ini tak akan didengar kerana permintaan semudah ini diberi alasan seperti ini.

Sikap UMNO generasi baru agaknya....

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Sdr Wan Kamarudin Johorian,

Seperti yang saya sebut, sdr dan semua yang berada di rumah GAPENA dialu-alukan berdialog dengan saya di sini. Setakat ini hanya satu hujah menentang yang betul2 saya lihat sebagai hujah yang bertunjangkan kebenaran dan tradisi ilmu. Yang lain hanyalah sekadar luahan emosi, penipuan dan `sampah'.

Bagi saya, bahasa Melayu boleh berkembang dengan lebih pesat dan kukuh kedudukannya jika kita semua bekerja keras 10-15 tahun dahulu, merancakkan usaha penerbitan dan penterjemahan, merancakkan industri perbukuan bahasa Melayu, tidak bergaduh sesama sendiri, tidak mewujudkan jurang antara penulis muda dan tua, berebut royalti penjualan buku, tidak kuat merajuk dan melakukan mogok seni yang menjengkelkan.

Kadang kala kita ini terlalu leka berpuisi dan bersorak di sana sini. Kita hidup dalam kegemilangan masa silam, sampai terlupa bekerja untuk hari depan.

Benarlah nukilan Usman Awang;

"Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi"

Bagi saya, PPSMI hanya sekadar kambing hitam untuk menutup kelemahan masa silam `orang-orang tua' tertentu dalam kalangan orang bahasa dan sastera. Jika PPSMI terbatal sekalipun, mereka ini akan terus hanyut dibuai mimpi.

Anonymous said...

Bagi saya, bahasa Melayu boleh berkembang dengan lebih pesat dan kukuh kedudukannya jika kita semua bekerja keras 10-15 tahun dahulu, merancakkan usaha penerbitan dan penterjemahan, merancakkan industri perbukuan bahasa Melayu, tidak bergaduh sesama sendiri, tidak mewujudkan jurang antara penulis muda dan tua, berebut royalti penjualan buku, tidak kuat merajuk dan melakukan mogok seni yang menjengkelkan.

Tun hakikatnya kerajaan masih ditakuk lama, dalam lima negara maju dunia, penerbitan tempatan dilindungi.

Perkara ini telah ditekankan dalam rancangan di RTM1 tahun 2008, tapi isu ini tak selesai.

Akta buku import diwujudkan bagi melindungi industri buku tempatan. Di mana aliran wang keluar negara akibat import buku dari luar disekat dengan undang-undang mencetak buku dalam negara.

Wang import yang berada dalam negara mereka menjadi dukungan kepada pencetak, penerbit, pengedar buku dalam negara dapat mencetak banyak buku khususnya dalam bahasa ibunda.

Sehingga kini penerbit tempatan sebenarnya tidak ada kedudukan yang jelas apabila mahu dibuat pinjaman kerana istilah penerbitan tidak tergolong dalam senarai pinjaman dukungan kementerian.

Dengan begitu tidak kuatnya sokongan kerajaan PPSMI, Tun kata kerja keras dukung bahasa Melayu. Industri buku Melayu pun tak dipandang oleh mereka sekadar sibuk dengan ayat popular ini, "Mahu galak industri buku tempatan dalam bahasa Melayu" (?)

Err dukung industri. Industri buku teks sekolah, mungkin ya....

Hm isu berebut royalti, nampaknya Tun yang makan gaji kerajaan tak faham isu ini. Kata jelas dalam kejahilan industri.

Apabila tokoh negarawan dan sasterawan Dato Samad Said turun ke jalanraya buat sekian lama, makanya ada sesuatu yang perlu dilihat serius. Sedangkan beliau boleh duduk sahaja kerana legasi beliau dalam sejarah negara sudah tercatat dan diingati. Melainka kita berdua yang mati kekal mati sebagai orang biasa yang tak tercatat di mana-mana lembar sejarah.

Bak kata Pak Samad dalam berita TV3, "Utusan dan Berita Harian bakal jadi akhbar sisipan 10-15 tahun akan datang kerana sikap kita terhadap bahasa Melayu hari ini, nasibnya sama seperti Utusan Melayu, jawi yang menjadi sisipan seminggu sekali."

Kerajaan dalam mempertahankan budaya bangsa dalam jawi pun hidup segan mati tak mahu buat sekian lama, Tun mahu kami harapkan hal yang sama untuk bahasa Melayu dan PPSMI.

Sejarah jawi yang nazak bawah kerajaan BN ini sudah jadi rekod yang tak dinafikan...Bahasa Melayu pun begitu.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Tuan tak bernama,

Sebenarnya ramai golongan muda tertentu yang melihat perilaku orang bahasa sejak sekian lama. Sebahagian besarnya dijemput dalam JK Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan.

Insyaallah golongan muda ini boleh membezakan yang mana yang bercakap banyak; yang mana yang bekerja; yang mana berpolitik, yang mana jujur; yang mana sekadar mahu memasukkan buku dan antologi mereka ke dalam Kementerian Pelajaran, dalam KOMSAS dan sebagainya; yang mana ibarat enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing2; yang mana hanyut berpuisi; yang mana menciplak karya orang lain; yang mana hanya tahu menyalahkan orang lain; yang mana ghalit duduk bersembang di kedai kopi menyalahkan semua orang, dirinya sahaja yang betul; yang mana lambat menerbitkan buku; yang mana lambat menterjemahkan buku; yang mana gila kuasa; yang mana memecah belahkan Dewan Bahasa dan Pustaka; yang mana sibuk mengejar Datuk dan Datuk Seri; yang mana sibuk nak menghukum pesalah bahasa; yang mana menyusah dan menyebabkan pengguna bahasa melayu tidak selesa; yang bercakap dalam gaya tutur yang tidak natural (sesekali nampak pelik; melayu pun bukan indonesia pun bukan); yang seolah2 menjadi imam mazhab bahasa.

Semua perkara yang menjadi keluhan orang bahasa dan industri buku sudah dibincang dalam banyak platform sebelum dan selepas PPSMI; yang bercakap memang ramai; yang bekerja saja kurang. Yang memberi idea memang ramai, yang melaksanakan idea saja yang kurang. PPSMI hanya sekadar alasan untuk menutup dosa silam.

Secara jujur, kalau semua kita bekerja keras, kedudukan bahasa Melayu sudah tentu bukan sahaja kukuh dalam kalangan orang Melayu, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Ya, itulah dakwaannya `kerajaan masih ditakuk lama'. Yang salah itu kerajaan, yang betul itu mungkin orang bahasa yang tua2. Mereka memang sentiasa betul dan tak pernah salah. Walaupun sebenarnya yang kita pikul hari ini adalah dosa silam mereka.

Anonymous said...

Bagiku, pemimpin generasi baru seperti sebaya Tun yang mencipta dosa baru mungkin.

Jika Dato Sasterawan Negara sebaya umur Tun menggerakkan Asas 50 demi bahasa ibunda sebagai kerja kerasnya bersama teman-temannya. Itulah perjuangan yang mesti diteruskan oleh generasi baru.

Dosa yang dibawa adalah mengkhianati orang-orang lama pada sudut pandang saya.

Bukankah,

Tun Hussein Onn, Tan Sri Kamarul Arifin, Tun Daim Zainuddin adalah antara 15 peguam Melayu yang menandatangani memorandum menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) yang masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu.

Kemudian PPSMI berundur ke belakang membelakangi usaha mereka. Siapa yang mencipta dosa baru. Anak atau datuknya?

Tinjauan TV7 pada tahun 2007 dalam tempoh setengah jam ruangan beritanya juga menunjukkan hampir 70% tidak bersetuju dengan PPSMI.

Beberapa persatuan sains dan matematik yang jelas menentang PPSMI seperti Persatauan Sains Matematik Malaysia, Persatuan Fizik Keadaan Pepejal Malaysia, dan Akademi Sains Islam Malaysia tidak pun diundang dalam menentukan halatuju PPSMI ketika sidang meja bulat ke-3

Kajian empirik yang dilakukan oleh kumpulan Prof. Ishak Haron di UPSI (pakar pendidikan matematik), kumpulan Dr. Nurhashimah di UKM (pakar bahasa) dan Kumpulan Prof. Juriah (ahli pendidikan) di UKM (pakar pendidikan), Prof. Ratnawati & Prof Ismail (pakar pendidikan UIA), dan kumpulan PEMBINA (yang keahliannya termasuklah mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Timbalan Pengarah jawatan itu serta mantan Guru Besar dan 50 orang ahli akademik dari 7 buah universiti; difahami penyelidikannya diminta/ditaja oleh Jabatan Perdana Menteri!)

Setiap satunya menunjukkan kegagalan PPSMI daripada mencapai hasratnya yang murni (meningkatkan kefahaman pelajar dalam sains dan matematik dan meningkatkan kefasihan pelajar berbahasa Inggeris).

Lebih ganjil dikatakan tidak akademik dan tidak ada suara rasmi dan barisan profesor yang menyebut hal itu melainkan laporan dari mulut Tun sahaja.

Jika ia benar tidak akademik, akhbar kerajaan sebagai suara rasmi perlu memberitahu rakyat bahawa kajian yang ditaja dan diminta oleh Jabatan Perdana Menteri ini tidak sah sampling, metodologinya.

Kenapa Tun seorang sahaja yang bercakap seorang diri tentang hal ini sedang kementerian berdiam diri dengan kenyataan serius ini.

Siapakah para profesor bijak pandai yang menafikannya dan membuktikan ia tidak akademik.

Semuanya kabur.

Petikan Berita Harian Khamis lalu cukup penting.

Pemahaman makna, konsep dan falsafah di sebalik Sains dan Matematik lebih penting

KEPENTINGAN memahami makna, konsep dan falsafah Sains serta Matematik, perlu dititikberatkan terlebih dulu sebelum proses pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran terbabit beroleh kejayaan ditekankan pada Syarahan Memartabatkan Sains dan Matematik Melalui Acuan Bahasa.

Syarahan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut mengingatkan pendidik dan pengajar kedua-dua subjek berkenaan agar berusaha memahami konsep, prinsip dan falsafahnya serta hubungannya dengan bahasa sebagai pengantara sebelum mengajar


Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata sains ialah bidang yang memerlukan kebolehan untuk menganalisis fenomena alam tanpa mengira bahasa apa pun yang digunakan, tetapi kebolehan berkenaan akan menjadi lebih mudah sekiranya menggunakan bahasa ibunda.

“Apa yang kita mahu pelajar memahami fenomena alam dan bukan bahasa Inggerisnya sehingga menumpulkan kefahaman mereka. Sains tidak memerlukan bahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya bahasa yang membolehkan manusia memahami tabii alam,” katanya pada syarahan terbabit di Bangi, baru-baru ini.

Khalayak diberitahu tokoh sains dan matematik tempatan, Dr Shaharir Mohamad Zain menakrifkan sains sebagai analisis fenomena alam atau tabii bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Saudara tak bernama,

Hasrat Tun M sebenarnya sangat baik kerana dia memikirkan masa depan bangsanya, lebih-lebih lagi apabila dalam kalangan orang bahasa ramai yang banyak bercakap dari bekerja. Itu yang bahasa Melayu semakin hilang tempat dalam hati kebanyakan rakyat Malaysia.
Golongan seperti saya memang bekerja untuk memperkasakan kedudukan bahasa Melayu, tapi seperti yang saya sebutkan masalahnya golongan muda ini boleh membezakan yang mana yang bercakap banyak; yang mana yang bekerja; yang mana berpolitik, yang mana jujur; yang mana sekadar mahu memasukkan buku dan antologi mereka ke dalam Kementerian Pelajaran, dalam KOMSAS dan sebagainya; yang mana ibarat enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing2; yang mana hanyut berpuisi; yang mana menciplak karya orang lain; yang mana hanya tahu menyalahkan orang lain; yang mana ghalit duduk bersembang di kedai kopi menyalahkan semua orang, dirinya sahaja yang betul; yang mana lambat menerbitkan buku; yang mana lambat menterjemahkan buku; yang mana gila kuasa; yang mana memecah belahkan Dewan Bahasa dan Pustaka; yang mana sibuk mengejar Datuk dan Datuk Seri; yang mana sibuk nak menghukum pesalah bahasa; yang mana menyusah dan menyebabkan pengguna bahasa melayu tidak selesa; yang bercakap dalam gaya tutur yang tidak natural (sesekali nampak pelik; melayu pun bukan indonesia pun bukan); yang seolah2 menjadi imam mazhab bahasa.

Dosa orang-orang lama tertentu kepada bahasa terlalu banyak pada sudut pandang saya. Dan ini menjengkelkan golongan muda seperti saya. Saya rasa tak perlulah menyebut nama seorang dmi seorang. Deskripsinya ada, saudara carilah siapa mereka. Entah2 saudara sendiri salah seorang daripada mereka. PPSMI hanya jadi sasaran mudah orang bahasa yang malas berusaha dan yang suka menyalahkan pihak lain melainkan diri sendiri. Nilailah sendiri kerja spanjang tempoh 15 tahun kebelakangan ini; bagi saya tidak nampak kesungguhan orang-orang tua bahasa ini. Mungkin bekerja untuk bahasa tak mampu, hanya mampu menjadi samseng bahasa di jalanan sebab kerjanya mudah, menjerit dan beslogan, membawa sepanduk dan dan bercakap. Kalau menjerit dan berslogan sahajalah yang kita ada untuk memperjuangkan bahasa, maka usaha memartabat bahasa hanya akan tinggal pada slogan dan jeritan sahaja. Kerja lah kuat sikit.

“Tinjauan TV7 pada tahun 2007 dalam tempoh setengah jam ruangan beritanya juga menunjukkan hampir 70% tidak bersetuju dengan PPSMI”. – seperti yang saya katakan terserah kepada sesiapa sahaja untuk membuat sebarang pandangan mereka kerana pastinya mereka ada alasan sendiri jika mereka menentang PPSMI.

Masalah saya ialah apabila ada pihak yang menipu, memanipulasi dan memperguna agama dalam berhujah. Yang saya sangkal adalah hujah-hujah golongan penipu dan samseng bahasa ini.

Dalam soal mereka yang menentang PPSMI, saya tiada masalah jika si penentang benar-benar faham dan melakukan penyelidikan yang baik tentang dasar ini. Bagaimanapun, ada juga penentang yang asalnya bukan penentang tetapi menjadi penentang apabila dihidangkan dengan penipuan dan `sampah’ dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi saya, kita tidak perlu takut jika ada penentang sebab penentang akan terus wujud biarpun yang dibawa itu kebenaran. Rasulullah SAW juga ditentang. Masalahnya apabila golongan ini menjadi penentang kerana dikaburi fakta-fakta yang salah dan hujah-hujah yang mengelirukan; dan sepanjang berberapa minggu ini saya berjihad untuk membongkar penipuan demi penipuan sang penipu ini.

“Beberapa persatuan sains dan matematik yang jelas menentang PPSMI seperti Persatauan Sains Matematik Malaysia, Persatuan Fizik Keadaan Pepejal Malaysia, dan Akademi Sains Islam Malaysia tidak pun diundang dalam menentukan halatuju PPSMI ketika sidang meja bulat ke-3” – Persidangan Meja Bulat 3 adalah untuk KPM mendengar pandangan guru dan murid, bukan untuk NGO. Dalam persidangan Meja Bulat 2, KPM sudah menjemput sebilangan besar pihak yang menghantar apa sahaja pandangan, baik yang menyokong mahupun menentang. Pandangan mereka sudah direkodkan. Persidangan Meja Bulat bukan untuk mencari resolusi atau mengira jumlah persatuan yang menentang (rasanya kita pun tau, banyak persatuan ini bukan ada kekuatan sebaliknya dianggotai oleh orang yang sama, mungkin sebab itu kerja tidak berjalan, sebab jawatan yang dipegang terlalu banyak, persatuan yang dianggotai juga terlalu banyak, tapi hasilnya tak tahu lah, sebab mukanya, muka itu juga).

Kajian empirik yang dilakukan oleh kumpulan Prof. Ishak Haron di UPSI (pakar pendidikan matematik), kumpulan Dr. Nurhashimah di UKM (pakar bahasa) dan Kumpulan Prof. Juriah (ahli pendidikan) di UKM (pakar pendidikan), Prof. Ratnawati & Prof Ismail (pakar pendidikan UIA), dan kumpulan PEMBINA (yang keahliannya termasuklah mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Timbalan Pengarah jawatan itu serta mantan Guru Besar dan 50 orang ahli akademik dari 7 buah universiti; difahami penyelidikannya diminta/ditaja oleh Jabatan Perdana Menteri!) – Rasanya KPM cukup bijak untuk melihat satu-satu kajian bukan dari aspek kesimpulan sahaja, tetapi segi 1. sampel dan saiz sampel 2. instrumen 3. kesimpulan yang dibuat. Kesimpulan yang dibuat dipengaruhi oleh persepsi mereka sebelum kajian dibuat dan sebab itu ada di antara penyelidik ini yang disanggah hebat dalam Persidangan Meja Bulat Pertama.
“Setiap satunya menunjukkan kegagalan PPSMI daripada mencapai hasratnya yang murni (meningkatkan kefahaman pelajar dalam sains dan matematik dan meningkatkan kefasihan pelajar berbahasa Inggeris).” - beberapa kajian dan tinjauan yang dibuat menunjukkan trendnya tidak menurun, sebaliknya semakin baik. Dari segi trend pencapaian, yang mengukur pencapaian pelajar menggunakan skor pelajar, trendnya keseluruhan didapati tidak menurun, sebaliknya meningkat. Begitu juga trend ujian diagnostik dan ujian kompetensi bahasa Inggeris guru. Dalam peperiksaan awam pula, dalam pencapaian kebanyakan subjek di peringkat UPSR, PMR dan SPM menunjukkan trend yang lebih baik atau dalam keadaan stabil bila dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, iaitu 6 tahun sebelum pelaksanaan PPSMI. Walaupun bagaimanapun ada satu dua subjek yang pencapaiannya menurun, tetapi masih dalam julat yang tidak membaimbangkan jika mengambil kira pencapaian tahun sebelum PPSMI. It might not a rosy picture, tetapi tidaklah sampai ke tahap yang disebut oleh penipu2 yang menentang PPSMI.

“Lebih ganjil dikatakan tidak akademik dan tidak ada suara rasmi dan barisan profesor yang menyebut hal itu melainkan laporan dari mulut Tun sahaja”. – Profesor ni hanya jawatan di Institusi Pengajian Tinggi yang mungkin tak memberi makna jika dalam kajian yang kononnya ilmiah, tetapi instrumen dan kesimpulannya bias. Tunggu sahajalah nanti.

“Kenapa Tun seorang sahaja yang bercakap seorang diri tentang hal ini sedang kementerian berdiam diri dengan kenyataan serius ini.” – Tidak ada salahnya jika saya melihat banyak hujah yang tidak betul, penipuan serta manipulasi. Ada orang lain juga bercakap, tetapi mungkin saya dalam kalangan yang paling berani menetang Samseng Bahasa. Tentang KPM, kenalah saudara tanya KPM sendiri sebab saya bukan mewakili KPM. Tapi seperti yang saya kata, tunggu sahajalah nanti.

Salah satu hujah GMP yang bagi saya tidak tepat dilaporkan dalam Buletin Utama TV3 pada 12/2/09 berbunyi begini –“23 out of 26 European Countries (actually 27) use the mother tongue in education. However 50% of its population masters English. Malaysia should learn from them.” Soalnya, GMP bercakap bukan mengikut trend dunia. Ini adalah trend di EU. The EU’s language policy promotes multilingualism and aims for a situation in which every EU citizen can speak at least two foreign languages in addition to their mother tongue. This follows the call by EU leaders at the March 2002 Barcelona European Council that every child in the EU should be taught at least two foreign languages from an early age. Content Language Integrated Learning (CLIL) refers to any dual-focused educational context in which an additional language, thus not usually the first language of the learners involved, is used as a medium in the teaching and learning of non-language content.

Popular Posts