Thursday, October 23, 2008

PPSMI - Permintaan Ibu Bapa

Apakah sebenarnya hasrat hati ibu bapa yang anak-anak mereka masih berada di sekolah?

Andaian yang popular adalah ibu bapa di bandar bersetuju dengan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebaliknya ibu bapa di luar bandar mahu ia dihentikan. Satu lagi andaian yang popular adalah ibu bapa yang berketurunan Cina tidak menyokong pelaksanaan PPSMI, kecuali segelintir di bandar.

Bagaimanapun ini hanyalah andaian dan belum ada satu tinjauan pun dibuat untuk mengumpulkan pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 9700 buah sekolah di seluruh negara.

Saya telah dihubungi oleh sebuah NGO, Parent Action Group For Education (PAGE) yang dipelopori oleh wakil dari PIBG dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) untuk memaklumkan pandangan mereka.

Permintaan mereka adalah agar PPSMI diteruskan dan jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendak berpatah balik ke dasar yang asal sekalipun, biarlah PIBG dan sekolah diberi kuasa untuk membuat pilihan.

Alasan mereka – dasar ini masih terlalu baru dilaksanakan, iaitu baru selama enam tahun. Bagi mereka tidak wajar sebarang keputusan dibuat selepas keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan kerana data perbandingan tidak boleh dibuat disebabkan kitaran pengajaran dan pembelajarannya belum lengkap.

Menurut mereka, data perbandingan hanya boleh dibuat apabila kita mendapat keputusan PMR (Penilaian Menengah Rendah) bagi kohort yang mengambil UPSR tahun ini. Barulah kita boleh membandingkan dapatan pencapaian yang adil di antara pelajar yang telah mengikuti PPSMI sejak tahun 1, iaitu selama sembilan tahun dengan yang mengikutinya kurang daripada itu. Maksudnya, perbandingan yang lebih tepat adalah secara membandingkan kohort PMR 2011 dengan kohort PMR 2005 sehingga 2010.

Lagi pula, dapatan kajian-kajian yang dibuat tidak sah dan meragukan kerana banyak guru yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sewaktu mengajar di dalam kelas. Dapatan kajian tentang impak PPSMI terhadap pelajar HANYA SAH jika guru benar-benar mengajar mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris.


Sebenarnya banyak lagi hujah daripada PAGE ini yang menarik. Antaranya sebab-sebab kenapa kita perlu memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar yang tidak dapat menguasai mata pelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, bukan mengambil pendekatan sebaliknya, iaitu mengurangkan lagi masa terhadapnya.

Hujah mereka, senario negara kita berbeza dengan Jepun, Jerman dan Peranchis yang mencapai tahap negara industri puluhan tahun daripada kita. Sedangkan Malaysia mencapai tahap negara industri hanya di sekitar tahun 80-an.

Saya telah bertanya kepada PAGE sejauh mana PPSMI membantu penguasaan dan pencapaian anak-anak mereka dalam mata pelajaran sains dan matematik. Jawapan mereka, bahasa bukan menjadi faktor penentu. Yang utama adalah kebolehan dan kesungguhan guru-guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan.

Pandangan ini mungkin ada kebenarannya kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), kita tahu anak-anak yang bukan berketurunan Cina terpaksa mempelajari mata pelajaran sains, matematik dan banyak lagi, kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Cina (Mandarin). Malah kalau hendak diikutkan, pelajar Cina juga tidak mempelajari semua mata pelajaran ini di dalam bahasa ibunda kerana ada orang Cina yang memaklumkan kepada saya bahawa Mandarin sebenarnya bukan bahasa ibunda orang Cina.

Bagi PAGE mudah sahaja, izinkan mereka meneruskan PPSMI demi kebaikan anak-anak mereka. Menurut mereka, sehingga pertemuan mereka dengan saya, PIBG di lebih dari 70 buah sekolah di dalam Lembah Klang ingin KPM memberi mereka kuasa untuk membuat pilihan.

Sekali pandang hujah-hujah dan permintaan daripada PAGE yang dipelopori oleh wakil dari PIBG dari SKBD nampak menarik. Namun kita tahu di dalam sistem pendidikan berpusat yang kita amalkan, permintaan ini mungkin agak sukar dipenuhi. Bagaimanapun ia tidak mustahil jika ada kesungguhan politik yang menyokongnya.

Lagipun selama ini, kita hanya membuat andaian tentang permintaan ibu bapa. Kita tidak tahu hasrat dan kehendak mereka yang sebenarnya. Katakan jika PIBG dan sekolah diberi pilihan untuk menerus atau menghentikan PPSMI, agak-agaknya sekolah yang mana menjadi pilihan ibu bapa?



tunfaisal@yahoo.com


Tutor, Utusan Malaysia
Rabu, 22 Oktober 2008

Monday, October 20, 2008

Pertembungan di Putrajaya



  1. Walaupun saya boleh menulis dengan baik, tetapi ini adalah kali pertama saya menulis tentang senario dan perkembangan politik, khususnya Pergerakan Pemuda UMNO di Putrajaya. Alasan saya mudah, saya berusaha berpegang kepada tata etika pemilihan UMNO. Walaupun tata etika ini agak ketat dan boleh menumpulkan kemahiran berkempen ahli , namun sebagai ahli UMNO, saya berusaha mematuhinya sebaik mungkin.

  2. Tataetika UMNO pada Perkara 5.3 menyebut dengan jelas bahawa ahli dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan di media massa, elektronik atau internet dengan tujuan untuk mempengaruhi dan mendapat undi.

  3. Begitupun, beberapa hari sebelum persidangan pemuda bahagian, terdapat kenyataan (serangan?) media dan berita yang dikeluarkan di Harian Metro, Berita Harian dan Star yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pertandingan ini.

  4. Bagi saya, hujah asasnya adalah mudah; tentulah ada sebab kenapa berlaku pertandingan di antara saya dan Datuk Ahmad Zaki Zahid. Jika lebih banyak perkara yang indah daripada yang kurang indah, sudah tentu tidak ada pertandingan di dalam Putrajaya.

  5. Jika mahu main selamat (play safe) saya tidak perlu bertanding jawatan Ketua Pemuda, sebaliknya cukup untuk menerima tawaran Zaki bagi betanding jawatan Naib Ketua Pemuda. Tetapi kenapa saya memilih untuk bertanding?

  6. Pilihan ini saya buat setelah memikirkan semasak-masaknya - bukan tentang karier politik saya semata-mata, tetapi kerana saya mementingkan masa depan Pemuda UMNO dan UMNO Putrajaya, kehendak ahli-ahli Pemuda UMNO (dibaca bukan sekadar perwakilan) dan masa depan UMNO di dalam negara yang penuh ketidak tentuan akibat dasar-dasar (termasuk dari tingkat empat?) yang kurang menguntungkan UMNO dan orang Melayu.

  7. Ini merupakan PANDANGAN dan PILIHAN PERIBADI saya sebagai seorang ahli UMNO di Putrajaya dan TIDAK ADA SEBARANG KAITAN dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

  8. Secara mudahnya ada tiga kelemahan utama Zaki di dalam mentadbir Pemuda UMNO Putrajaya. Pertama; sikap kurang mesra rakyat. Kedua; ketiadaan hala tuju yang jelas. Ketiga; pendekatan di dalam pentadbiran bahagian dan cawangan.

  9. Sikap kurang mesra rakyat adalah bersifat peribadi, tetapi di dalam senario politik di dalam negara hari ini, ia adalah satu faktor yang amat utama. Saya tidak berminat menjelaskannya dengan lebih lanjut. Mungkin lebih wajar soalan ini ditanya sendiri kepada ahli-ahli UMNO Putrajaya.

  10. Bagi saya kelemahan paling utama yang boleh menjejaskan kekuatan UMNO di Putrajaya adalah ketiadaan hala tuju yang jelas. Hala tuju akan menentukan program yang hendak dilaksanakan. Jika hala tuju tidak jelas, maka tujuan sesuatu program yang dirangka juga tidak jelas. Bila hala tuju tidak jelas, maka keutamaan tidak boleh ditetapkan dengan baik. Akhirnya segala program, termasuk mesyuarat akan dilaksanakan secara ad-hoc dan hilang impaknya.

  11. Sebagai contoh, pertandingan futsal diadakan bertujuan untuk menarik golongan muda mendekati UMNO. Selepas pertandingan, tentulah gerak kerja utama adalah untuk memastikan golongan muda ini menyertai UMNO dan menjadi pengundi (jika cukup umur). Anak-anak muda ini, kemudiannya wajar diberi pendedahan yang secukupnya agar semangat dan kefahaman mereka terhadap perjuangan UMNO dapat ditingkatkan. Seterusnya mereka wajar diberikan kemahiran yang secukupnya agar mereka dapat menyebarkan agenda UMNO di dalam masyarakat. Paling penting, mereka juga wajar diberikan latihan dan kemahiran bagi menghadapi pembangkang semasa pilihan raya umum. Mereka mesti mampu melaksanakan gerak kerja yang berkesan semasa pilihan raya kerana tiada gunanya memegang jawatan di dalam UMNO jika parti kalah.

  12. Bagaimanapun bila hala tuju tidak jelas, setiap tahun golongan muda ini akan bermain futsal dan mengisi borang keahlian berulang kali (sebab syarat penyertaan utama adalah mereka mesti merupakan ahli UMNO dan mereka ini susah sekali untuk diterima menjadi ahli) tetapi ke mana mereka hendak dibawa selepas itu tidak begitu jelas. Lambat laun, kita mungkin mempunyai ahli yang ramai, tetapi kualitinya semakin kurang, ibarat banyaknya buih di lautan.

  13. Hala tuju yang tidak jelas juga akan menyebabkan kita tidak mempersiapkan pasukan yang kuat untuk berdepan dengan pembangkang di dalam pilihan raya umum.

  14. Banyak lagi yang saya boleh perjelaskan berkaitan hala tuju ini. Mungkin di kesempatan lain saya akan cuba menghuraikannya dengan lebih mendalam.

  15. Dari segi pendekatan pula, boleh dikatakan pendekatan yang digunakan tidak membolehkan Pemuda UMNO Putrajaya diuruskan dengan cekap serta tidak membantu memupuk semangat kesepunyaan dan perpaduan.

  16. Saya pernah menasihatkan Zaki agar tidak mentadbir 23 buah cawangan di Putrajaya dengan 4 orang pegawainya. Pendekatan ini mengundang kemarahan ramai ketua pemuda cawangan dan menyebabkan program yang dibuat tidak dibantu sepenuhnya oleh mereka. Ini adalah salah satu daripada punca utama masalah yang sentiasa berlaku di antara penyokong Khairun dengan penyokong Zaki.

  17. Saya sudah mula menasihatkan Zaki tentang kelemahan-kelemahan beliau ini sejak bulan Jun tahun lepas tetapi saya tidak dapat melihat banyak perubahan.

  18. Bagaimanapun, alhamdulillah selepas saya memutuskan untuk menentang beliau, setidak-tidaknya ramai dapat melihat Zaki yang berubah; Zaki yang boleh menjawab panggilan telefon dan SMS; yang boleh berada lebih lama di dalam kejiranan Putrajaya; yang boleh melepak di kedai kopi bersama-sama ahli-ahli Pemuda dan yang lebih pemurah dalam memberikan bantuan dan sumbangan.

  19. Alhamdulillah, disebabkan pertandingan ini nampaknya agenda perpaduan yang gagal dilaksanakan sepanjang tempoh 4 tahun yang lalu juga sudah mula terlaksana. Kumpulan Zaki dan Khairun rupanya boleh bersatu padu!!!

Wednesday, October 8, 2008

PPSMI - Apa kata guru dan murid

Persidangan meja bulat Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketiga telah berlangsung pada 19 September lalu. Buat pertama kali guru dan murid diberi seluas-luas platform untuk mengemukakan pandangan mereka tentang PPSMI. Turut mengemukakan pandangan dalam persidangan kali ini adalah pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) serta program Matrikulasi.

Bagi mendapatkan pandangan yang mewakili sebanyak mungkin kelompok, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memilih sekolah-sekolah berdasarkan lokasi, iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman; berdasarkan aliran, iaitu aliran kebangsaan, jenis kebangsaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; serta berdasarkan kelompok, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT). Selain Metrikulasi dan IPG, KPM turut menjemput sekolah yang menawarkan tingkatan enam.

Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 12 pasangan daripada kalangan guru dan pelajar telah membentangkan pandangan mereka dengan penuh kejujuran tanpa perasaan takut.

Boleh dikatakan reaksi yang dikumpul adalah agak seimbang dan bercampur-campur. Terdapat keadaan di mana kedua-dua guru dan murid dari sekolah yang sama bersetuju tentang PPSMI. Ada juga yang menolak. Apa yang menarik, terdapat juga sekolah di mana guru dan murid memberi pandangan yang berbeza, iaitu murid bersetuju dengan PPSMI, tetapi gurunya tidak.

Boleh dikatakan secara amnya, murid dan guru di sekolah di bandar, sekolah mubaligh dan SBP tidak mempunyai masalah dengan PPSMI. Boleh dikatakan juga, murid dan guru di sekolah kebangsaan, baik di bandar mahupun pedalaman ingin PPSMI diteruskan, walaupun mengakui ia tidak mudah diikuti. Bagi mereka, lebih banyak sokongan dan bimbingan diperlukan bagi memastikan matlamat PPSMI dapat direalisasikan.

Sebaliknya, murid dan guru di sekolah jenis kebangsaan nampaknya tidak bersetuju dengan PPSMI. Murid yang mewakili SJKC mengatakan jika boleh beliau tidak mahu mengikuti PPSMI sebab terlalu banyak yang perlu dipelajari, termasuk subjek bahasa Melayu dan bahasa Cina. Begitu pun, walaupun menolak PPSMI, murid tersebut dilihatmempunyai kefasihan berbahasa Inggeris yang jauh lebih baik daripada rakan-rakan sebanyanya dalam persidangan ini. Bagi murid SJKT pula, latar belakang keluarga yang miskin menyukarkan lagi mereka mengikuti PPSMI, termasuk tidak mampu mengikuti kelas tambahan bahasa Inggeris.

Bagi SBP, didapati guru dan murid tidak melihat PPSMI sebagai satu masalah sama sekali. Sebaliknya di SMT, guru berpandangan, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu adalah lebih sesuai, terutamanya bagi murid yang mengambil aliran vokasional.

Di peringkat yang lebih tinggi, iaitu di tingkatan enam, guru dan murid merasakan PPSMI terlalu sukar diikuti dan mahu ia diajardalam bahasa Melayu. Bagaimanapun di IPG dan Matrikulasi, biarpun berasa kekok dan sukar di peringkat awal, guru dan pelajar dapat menyesuaikan diri serta berpandangan bahawa PPSMI membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dan membolehkan mereka merujuk maklumat-maklumat berkaitan sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris dengan lebih mudah.

Sememangnya pandangan golongan yang terlibat secara langsung dengan PPSMI ini amat menarik. Bagi saya ada dua perkara yang paling menarik perhatian saya.

Pertama, iaitu reaksi tiga murid sekolah rendah aliran berbeza apabila ditanya oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Rozali Ismail tentang apakah pandangan mereka jika PPSMI dihentikan serta-merta dan mereka perlu mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Ketiga-tiganya menjawab – KELIRU.

Kedua, pandangan guru pakar matematik dari SK Jabi yang meminta pilihan diberi kepada sekolah untuk menentukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Beliau mencadangkan agar peluang diberi kepada murid cemerlang untuk meneruskan P&P di dalam bahasa Inggeris, manakala bagi kelas yang lemah, murid diajar di dalam bahasa Melayu.

Mampukah kerajaan memberi pilihan ini kepada sekolah? Sekolah di bandar, kelas yang cemerlang, SBP, IPG dan Matrikulasi meneruskan PPSMI, manakala sekolah di luar bandar, sekolah jenis kebangsaan, kelas yang lemah, SMT dan tingkatan enam melaksanakan P&P dalam bahasa Melayu. Apa agaknya pula reaksi pelobi sekolah jenis kebangsaan dan pejuang bahasa?


Tutor (Utusan Malaysia)

Popular Posts