Thursday, July 18, 2013

@Zahid_Hamidi - Jabatan Peguam Negara tidak faham @PDRMsia dan pelaksana?



Jabatan Peguam Negara sepatutnya menjadi PEMUDAH CARA kepada PENGGUNA TERAKHIR atau PELAKSANA, bukannya berlagak sebagai PENENTU DAN PEMBUAT KEPUTUSAN terhadap apa permintaan Kementerian, Jabatan dan Agensi kerajaan. Jabatan Peguam Negara juga sepatutnya pro-aktif bertindak bagi pihak kerajaan untuk menyaman dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan kumpulan yang memfitnah kerajaan. Selain itu Jabatan Peguam Negara juga perlu membuat persediaan rapi untuk berhadapan dengan kes-kes mahkamah, jangan sampai kerajaan kalah dalam kes-kes yang penting . 

Di kementerian-kementerian pula, terdapat keluhan kerana Penasihat Undang-undang seolah-olah tidak berfungsi dan kurang berkesan dalam menasihatkan Kementerian, Jabatan dan agensi di bawah tanggung jawab mereka. Semuanya perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara menjadikan mereka tidak efektif dan lambat bertindak. 

Dalam pentadbiran kerajaan yang lepas, Jabatan Peguam Negara didapati lesu dalam menangani 3 perkara di atas, tidak termasuk kegagalan untuk melaksanakan komunikasi berkesan sehingga keputusan-keputusan tertentu mahkamah ditafsirkan secara tdak tepat oleh pembangkang. 

Diharapkan Menteri yang bertanggung jawab akan lebih pro-aktif dalam memantau fungsi, peranan, KPI dan keberkesanan Jabatan Peguam Negara.



Zahid gesa Jabatan Peguam Negara fahami masalah polis
KHAMIS, 18 JULAI 2013 

Sebanyak 90 peratus kejadian jenayah berat kebelakangan ini terutama kes bunuh dilakukan bekas tahanan penjara Simpang Renggam yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara memahami permasalahan polis yang disifatkan beliau sebagai 'tidak bergigi' selepas ordinan itu dihapuskan.

Katanya, polis menghormati transformasi undang-undang tetapi Jabatan Peguam Negara juga tidak seharusnya melihat kepada aspek perundangan semata-mata sehingga terlepas pandang kaedah membanteras jenayah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap akta baharu yang bakal menggantikan Ordinan Darurat kelak perlu mempunyai unsur menyamai ordinan itu sekalipun tiada penangkapan pencegahan.

"Lihat aspek bagaimana masyarakat keseluruhan harus dijaga, bagaimana jenayah perlu dibanteras dan bagaimana 'kuman' harus dibuang kerana tidak semua perlakuan jenayah ini ada saksi, tetapi polis dan masyarakat tahu siapa suspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama penagih yang sedang menjalani proses pemulihan serta anak-anak yatim di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kajang malam ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000 kepada rumah perlindungan wanita iaitu Teratak Arfidah selain sumbangan kepada para penagih dan anak-anak yatim.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika mengulas perkembangan akta baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat berkata, beliau tidak menyokong sebarang pembentukan undang-undang yang membenarkan penahanan untuk pencegahan (preventive detention).

Mengenai desakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming supaya beliau meminta maaf kepada Dewan Rakyat berhubung jawapannya mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak perlu.

"Suruh dia baca jawapan saya yang terkandung dalam hansard Dewan Rakyat betul-betul. Kalau dia faham bahasa Melayu, saya tak perlu minta maaf sebaliknya dia yang sepatutnya meminta maaf," katanya.

Menyentuh mengenai AADK pula, beliau berkata, sebuah pusat pemulihan berbayar akan dibangunkan sebagai pelengkap kepada pusat rawatan sedia ada bagi merawat penagih tegar yang masih mempunyai peluang disembuhkan.

"Pusat pemulihan sebegini sudah dibuat pihak swasta tetapi tidak mencukupi. Saya harap masyarakat menyambut baik langkah proaktif ini kerana berkonsep terbuka iaitu kita tidak menahan penagih tetapi mereka sendiri yang datang," katanya.-17/7/2013

No comments:

Popular Posts