Saturday, March 2, 2013

#ManifestoBukanJanji Tun M - turun harga kereta akan jejaskan rakyat, industri



Manifesto Pakatan jejas bisnes kereta terpakai, kata Mahathir

1 Mac 2013


KUALA LUMPUR - Langkah Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kereta kepada RM25,000 sebuah, seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan menjejaskan industri kereta terpakai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, apa yang terkandung dalam manifesto itu adalah satu yang mudah untuk diperkatakan, namun belum tentu ada yang sanggup melaksanakannya.

"Orang yang jual kereta terpakai tidak boleh jual lagi, bila tidak boleh jual kereta terpakai, kereta baru pun tidak boleh dijual juga.

"Orang yang mempunyai kereta, nak jual kepada peniaga kereta terpakai untuk tambah wang nak beli kereta baru. Bila peniaga kereta terpakai dah rugi, dia tutup kedai, tidak boleh hendak beli kereta baru," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan siri ketiga syarahan kepimpinan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas manifesto pakatan pembangkang yang mahu meliberalisasikan industri automotif negara bagi memastikannya berdaya saing dan nilai tambah kepada rakyat.

Pakatan Rakyat percaya industri automotif negara yang benar-benar berdaya saing boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 selain menurunkan cukai eksais secara berperingkat dan memansuhkannya dalam tempoh lima tahun supaya harga kereta lebih berdaya saing.

Dr Mahathir berkata, dengan menjual kereta pada harga serendah RM25,000, negara khususnya di Kuala Lumpur bakal berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang serius.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memerlukan pendapatan hasil daripada duti import dan duti eksais bagi menjana ekonomi, sekali gus menampung jumlah subsidi.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung penurunan cukai import kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Dr Mahathir berkata, ia tidak akan "membunuh" industri automotif tempatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa langkah itu memberi cabaran yang lebih hebat kepada industri tempatan.

"Industri tempatan hendak ada perlindungan, kalau ada. Sebagai penasihat Proton, sudah pasti saya mahu Proton dapat menjual lebih banyak kereta. Pengurangan itu akan menjejaskan jualan Proton," katanya.

Mustapa mengumumkan cukai import kenderaan CBU dari Jepun diturunkan kepada 15 peratus berkuat kuasa tahun ini berikutan hasil perjanjian kerjasama
ekonomi Malaysia-Jepun.

Katanya, mengikut perjanjian itu, cukai import kenderaan CBU yang diimport dari Jepun, akan diturunkan kepada 10 peratus pada 2014, lima peratus pada 2015 dan seterusnya sifar bermula 2016. - Bernama



Mustapa Mohamed


"Sebarang liberalisasi perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi membolehkan industri itu menerima pakai dan menyesuaikannya dengan keadaan berikutan industri berkenaan yang mengaji 300,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung, tidak terjejas teruk." - Mustapa



Mustapa: Harga kereta baru turun sejak tahun lepas

28 Februari 2013
http://www.sinarharian.com.my/nasional/mustapa-harga-kereta-baru-turun-sejak-tahun-lepas-1.135365

PUTRAJAYA - Harga-harga kereta baharu sudah mula turun sebanyak RM2,200 hingga RM17,000 sejak tahun lepas, bergantung kepada modelnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pengurangan harga selanjutnya akan direalisasikan menerusi liberalisasi industri automotif hasil daripada pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Mustapa berkata, duti import kereta dari Jepun dan Australia, yang kini masing-masing sebanyak 15 peratus dan 13.6 peratus, akan diturunkan secara beransur-ansur kepada sifar menjelang 2016.

Menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA), duti import ke atas kereta sudah dimansuhkan mulai 1 Januari, 2010.

Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah, Turki dan Bangladesh untuk memeterai FTA, kata Mustapa pada sidang media di sini, hari ini.

Mustapa berkata, kerajaan berunding dengan syarikat-syarikat kereta supaya mereka secara sukarela mengurangkan harga-harga kereta, dan berkata pengurangan harga kereta juga adalah hasil daripada tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menjadikan industri tersebut lebih cekap dan kompetitif.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang liberalisasi perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi membolehkan industri itu menerima pakai dan menyesuaikannya dengan keadaan berikutan industri berkenaan yang mengaji 300,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung, tidak terjejas teruk.

"Selain itu, pasaran kereta terpakai dan penjualan semula sahaja mempunyai 100,000 pekerja dan perolehan daripada cukai kereta membantu mensubsidi kos bahan api dan kemudahan lain," katanya.

Mustapa berkata, pembukaan industri automotif Malaysia secara berperingkat-peringkat akan menggalakkan pengeluar baharu dan sedia ada untuk mengguna Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi rantau ini, terutama kereta cepat tenaga.

"Ekosistem industri kereta sangat besar dan penting, di banyak negara di dunia, dan oleh itu perhatian perlu diberikan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan merancang mengurangkan duti eksais, Mustapa berkata perbincangan "berjalan lancar" namun menekankan bahawa apa pun keputusannya, ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.- Bernama




No comments:

Popular Posts