Ikuti penjelasan Ahli Parlimen Sembrong ini kepada Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk A Jalil Hamid, Eksekutif Editor NST (Berita), Yushaimi Yahaya dan Penolong Pengarang Berita NST, Farrah Naz Karim mengenainya.

Menteri Dalam Negeri mahu melakukan sesuatu yang lebih bagi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia dengan meneruskan tindakan melakukan transformasi undang-undang di bawah PTP, walaupun berdepan pelbagai kritikan. 

Tidak terjejas dengan halangan ditimbulkan kumpulan penentang yang secara berterusan memperlekeh inisiatif kerajaan, Hishammuddin berkata: “Kami terhutang dengan rakyat Malaysia”. 

Beliau berkata, perubahan dan pembaharuan dilaksanakan itu hanya dilakukan selepas perbincangan dan rundingan menyeluruh untuk memastikan keseimbangan yang kukuh antara keperluan keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Katanya, walaupun negara terdedah kepada ancaman global dan serantau yang terus berevolusi, termasuk kumpulan pengganas, kerajaan berjaya mengekalkan keamanan dan keselamatan melalui pemantauan dan kewaspadaan dengan menangani segera segala ancaman, termasuk mengamalkan pendekatan fleksibel untuk mengatasi masalah tanpa mengorbankan kebebasan rakyat.

Dengan berkongsi pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ‘zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir’, Hishammuddin berkata, kementerian mengakui kemungkinan jika undang-undang lapuk dan tidak relevan tetap kekal dalam sistem itu, ia boleh memudaratkan kerajaan.

Pertimbangan itu, katanya, menyebabkan kerajaan memansuhkan dan mengkaji semula undang-undang seperti ISA, Perintah Darurat 1966, 1969 dan 1977; Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967. 
Beliau menambah kerajaan sentiasa tegas dan menyegarkan semula undang-undang yang mempunyai kepentingan besar kepada rakyat.

Ketika ini, keutamaan digariskan beliau, jika kerajaan terus mendapat mandat ialah akan membentangkan Akta Keharmonian Negara bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

“Orang boleh bercakap bagaimana hendak mempunyai keseimbangan dalam undang-undang bagi mengurus negara, tetapi kita sudah melakukannya sejak beberapa tahun lalu dan sekarang mereka boleh melihat hasilnya menerusi pengenalan undang-undang baru dan beberapa pindaan yang dianggap relevan pada hari ini.

“Akhirnya, semuanya ini menyentuh antara keseimbangan nasional dan hak asasi. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum semua ini menjadi kenyataan bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas. Dengan mandat baru, perubahan terhadap undang-undang yang lebih seimbang demi kepentingan rakyat dapat dilakukan.

“Pengenalan dan perubahan kepada undang-undang ini juga bertujuan menangani, perkara yang dekat dengan hati rakyat seperti isu hubungan kaum dan isu berkaitan Raja-Raja,” katanya.


Akta Buang Negeri 1959

Akta ini dimansuhkan sejak 31 Disember 2011 kerana ia tidak lagi relevan, lapuk dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Kita berhenti menggunakan akta ini 24 tahun lalu. Ia digunakan secara meluas sekitar 1960-an dan akhir sekali pada 1977.

Undang-undang ini bertujuan menghalau keluar orang asing dari negara ini. Kerajaan percaya, Akta Imigresen 1959/3 mempunyai kekuatan untuk menangani isu yang mana warga asing yang ditahan kerana kesalahan tertentu akan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman.

Kadang-kadang ia memang amat mengagumkan saya disebabkan kepentingan mereka, ada pihak mengaitkan segala-galanya dengan politik dan memainkan sentimen perkauman. Ada segelintir kumpulan ini sering mendakwa kerajaan menggunakan Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad terhadap orang Cina. Biar saya jelaskan di sini yang penguatkuasaan undang-undang ini tidak memilih kaum dan warna kulit. Jika anda perlu tahu, majoriti yang dikenakan tindakan mengikut akta terbabit adalah orang Melayu.


Akta Kediaman Terhad 1933

Undang-undang yang dimansuhkan pada tarikh sama (31 Disember 2011) ini digunakan untuk menghukum penjenayah yang terbabit dalam aktiviti seperti perjudian dan pelacuran. Dalam keadaan yang maju hari ini, kemudahan asas yang baik, sistem pengangkutan awam dan perbandaran yang lancar, yang mana dua pertiga daripada negara ini menjadi bandar besar, kebanyakan kawasan boleh dihubungi.

Perkembangan bidang ICT dan perbandaran berjaya mewujudkan komunikasi pantas melalui telefon pintar, e-mel, Skype dan WiFi. Ini menyebabkan akta berkenaan tidak relevan lagi. Sebenarnya kita tahu mereka yang pernah dihukum masih meneruskan operasi mereka jauh dari tempat asal mereka ditahan. 

Apabila akta itu dimansuhkan, kita membebaskan seramai 125 individu. Polis kini mempunyai kemampuan dan tahu menyelesaikan kes mereka secara saintifik dan mempunyai kemudahan moden untuk membawa kes ke mahkamah, selari dengan semangat sejagat yang hukuman dilaksanakan jika terbukti salah. Tidak ada undang-undang baru akan menggantikan undang-undang ini kerana Kanun Keseksaan dan undang-undang perjudian sudah mencukupi.



Perintah Darurat 1966, 1969 dan 1977

Undang-undang ini ditarik balik pada 21 Jun tahun lalu. Pada 3 April 2009 apabila Perdana Menteri mengangkat sumpah, seramai 1,025 dikenakan hukuman di bawah undang-undang ini. Apabila pemansuhannya diumumkan pada 15 September 2011, seramai 1,476 masih ditahan. Semua mereka dibebaskan enam bulan sebelum perintah itu ditarik balik. 

Ada maklumat mengatakan mereka yang dibebaskan itu kembali melakukan jenayah dan bertanggungjawab terhadap beberapa jenayah yang dilaporkan. Saya hendak menjelaskan ini, daripada 2,595 yang dibebas (1,476 di bawah perintah tahanan terhad dan 1,119 mengikut kediaman terhad) hanya 219 saja didapati kembali melakukan jenayah.

Sistem yang berlangsung ketika perintah tahanan seperti tahanan mengikuti program pemulihan khas bukan saja untuk menghalang mereka kembali melakukan jenayah, tetapi memastikan mereka dapat bergaul dengan masyarakat selepas dibebaskan.

Malah, kebanyakan yang dibebaskan dipantau dengan rapat oleh ketua polis negeri, daerah dan balai. Hubungan yang berterusan dengan mereka juga dilakukan bagi memastikan mereka tidak kembali melakukan jenayah. Tidak ramai yang tahu mereka yang ditahan di bawah undang-undang pencegahan ini mendapat bantuan kerajaan.

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga mereka dan membantu mereka dalam hal tertentu seperti mendaftar anak ke sekolah. Ini bagi meringankan beban waris, terutama jika mereka yang ditahan itu menjadi sumber utama pendapatan keluarga.

Jarang sekali parti yang memerintah secara sukarela mengurangkan kuasanya. Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) melakukan itu semua bagi memastikan rakyat terus memberi kepercayaan untuk memerintah dengan berkesan dan kita mendengar pendapat kumpulan majoriti. Pemansuhan undang-undang ini menyaksikan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2012 dikuatkuasakan pada 22 Jun 2012.


Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA)


Ini adalah akta baru yang mula berkuat kuasa pada 23 Jun tahun lalu bagi menjadikan RELA lebih relevan bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa. Bertujuan menggalakkan lagi gerakan kesukarelawanan, undang-undang ini untuk mereka yang mahu menyertai kerajaan menjaga keselamatan dan keamanan negara.

RELA dianggotai pelbagai kaum malah ia satu platform untuk menggalakkan perpaduan kaum. Mempunyai 3.3 juta ahli, ia merangkumi semua kaum iaitu 2.8 juta orang Melayu, 350,000 daripada keturunan Cina dan 125,000 keturunan India serta 400,000 lain-lain kaum.

RELA yang menjadi harapan utama kerajaan mampu menggalakkan integrasi dan kesefahaman antara kaum, mempunyai ramai ahli dari parti pembangkang. Bagi kerajaan, perkara yang penting adalah melebihi kepentingan politik.

Kita bertuah di Malaysia, gerakan kesukarelawanan bergerak dalam bentuk institusi dan sukarelawan ini melangkaui bangsa dan agama. Malah, agensi di bawah kementerian turut menjalin kerjasama dalam gerakan sukarela dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang ditugaskan untuk melihat nasib kanak-kanak jalanan, 600,000 Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terbabit dalam program penanaman pokok, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terbabit dalam program ramah mesra di kawasan pedalaman dan RELA berusaha mengumpul RM1 dari setiap satu 3.3 ahlinya untuk mengisi Tabung Gaza.


Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984


Selaras dengan kemajuan dalam teknologi maklumat, perubahan landskap dan keazaman kerajaan untuk bertindak balas secara positif untuk kebebasan bersuara, akta ini dipinda dan mula berkuat kuasa pada 15 Julai 2012. Pembaharuan lesen tahunan juga tiada lagi. Malah, ia membabitkan semakan undang-undang untuk semua keputusan yang dibuat oleh menteri berhubung pembatalan dan penggantungan permit penerbitan. Pembaharuan lesen tahunan juga dimansuhkan, membolehkan penerbit memegang lesen mereka sehingga ia dibatalkan. 

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa tiada kebebasan mutlak dalam semua perkara. Penerbit boleh kehilangan lesen mereka jika didapati sengaja memainkan sentimen perkauman dan agama, misalnya, dan sudah tentu mereka masih berpeluang mencabar keputusan itu di mahkamah.


Akta Perhimpunan Aman 2012 ganti Seksyen 27 Akta Polis, 1967


Akta ini berkongsi matlamat Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman. Mengambil contoh undang-undang perhimpunan aman yang sama di Australia, New Zealand dan Britain, akta ini berkuat kuasa pada 23 April tahun lalu. 

Meskipun ia menekankan hak individu untuk berkumpul, berarak dan mengadakan perjumpaan, ia juga melindungi hak-hak sivil dan hak-hak minoriti kerana ia datang dengan syarat yang mesti dipenuhi sebelum perhimpunan, perarakan dan mesyuarat yang dianjurkan. Ia adil, menghormati hak asasi manusia dan memerlukan penganjur acara itu secara rasmi memaklumkan kepada pihak berkuasa hasrat untuk mengadakan acara itu, 10 hari sebelumnya. Satu perbezaan yang jelas di sini ialah penganjur mempunyai ruang untuk merayu kepada Menteri Dalam Negeri. 

Pihak polis juga tidak mempunyai kuasa untuk menolak permohonan oleh penganjur jika mereka memenuhi semua keperluan dan syarat. Perhimpunan KL112 pada Januari lalu adalah bukti bahawa akta ini sangat berkesan. Ia berbeza dengan perhimpunan sebelum itu, BERSIH 1.0 dan BERSIH 2.0 yang diadakan sebelum undang-undang ini wujud. Perhimpunan itu menimbulkan suasana huru-hara dengan ramai yang cedera, serta menjejaskan ketenteraman orang lain, selain kerugian yang besar. Banyak kerosakan berlaku dan menjejaskan perniagaan di kawasan sekitarnya, malah ada polis yang cedera, berdarah di kepala kerana diserang. 

Ya, mereka mahukan kebebasan tetapi mereka tidak mahu patuh dengan peraturan untuk menganjurkannya. Kita tidak pernah ketepikan permintaan untuk kebebasan ini. Perubahan dalam undang-undang ini dilakukan secara berterusan dan bagi BN ia adalah tanggungjawab yang perlu pembabitan sepenuhnya. Anda mengambil satu langkah ke hadapan dan boleh mengambil dua langkah ke belakang, tetapi kita mesti terus melangkah ke hadapan. Ia adalah tugas kerajaan yang bertanggungjawab dan BN bertanggungjawab.


Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012


Undang-undang ini digubal untuk memudahkan banduan Malaysia yang berada di penjara asing dibawa pulang dan menghabiskan hukuman mereka di penjara tempatan yang lebih kondusif. Undang-undang kemanusiaan ini akan membolehkan banduan Malaysia di luar negara menjalani program pemulihan di penjara dalam negara supaya dapat berasimilasi dalam masyarakat apabila mereka dibebaskan nanti. 

Proses penukaran banduan ini hanya boleh dilakukan dengan negara yang sudah memeterai perjanjian dengan kita. Selain itu, banduan itu sendiri mesti memenuhi beberapa syarat utama, termasuk mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan baki tempoh tahanan. 

Sehingga kini, tujuh negara – Thailand, Filipina, Iran, Arab Saudi, Vietnam, Pakistan dan Venezuela sudah bersetuju untuk melaksanakan kaedah ini. Kini ada 2,622 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di 59 negara. Sejumlah 1,758 banduan asing dari 18 negara kini dalam penjara di Malaysia layak di bawah undang-undang untuk dihantar balik ke negara asal mereka. Secara tidak langsung, ini membantu mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara. Perjanjian ini juga berfungsi untuk meningkatkan hubungan dua hala dan membuka pintu untuk kerjasama yang lebih baik dalam sektor ekonomi atau menangani jenayah itu sendiri.

Dalam bahagian kedua temuramah eksklusif ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyentuh dengan lebih mendalam mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), atau lebih dikenali sebagai SOSMA bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Dalam temu bual yang disiarkan semalam, Hishammuddin menjelaskan dengan terperinci kenapa kerajaan mengkaji semula atau memansuhkan beberapa undang-undang utama, seperti ISA, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Pengisytiharan Darurat 1966, 1969 dan 1977, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967. Beliau juga menyentuh mengenai Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2012, Akta Perhimpunan Haram 2012, selain Akta Pemindahan Banduan Antarabangsa 2012 dan berkongsi semangat serta penjelasannya mengenai undang-undang baru ini.