Thursday, February 23, 2012

[Video] @KhairyKJ - Anwar desak kelonggaran untuk kapal Israel berdagang?


Ketua Pembangkang jangan hipokrit - Khairy

KHAIRY Jamaluddin mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pejabat UMNO Bahagian Parit, semalam. Turut sama, Razali Ibrahim (kiri).

PARIT 21 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tidak bersikap hipokrit dengan berpura-pura seolah-olah beliau tidak mengetahui mengenai wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat antarabangsa di Malaysia dengan di Israel.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan terhadap Akta Kastam yang memberi kelonggaran kepada syarikat di Malaysia berdagang dengan syarikat di Israel diluluskan oleh Kabinet pada 1996 ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Saya hendak dedahkan di sini, kawalan terhadap perdagangan dengan Israel adalah di bawah Akta Kastam di bawah Kementerian Kewangan dan kelonggaran untuk syarikat-syarikat berdagang dengan syarikat lain di Israel dibuat pada 1996 oleh Jemaah Menteri.

"Pada 1996, siapa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan? Tidak lain tidak bukan Datuk Seri Anwar. Jadi, kalau dia kata hari ini kerajaan Malaysia buat perdagangan dengan Israel, dia buat-buat tidak tahu, dia sebenarnya menteri yang membenarkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Bangunan UMNO Bahagian Parit, di sini hari ini.

Turut serta pada sidang akhbar itu ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim; Penolong Setiausaha, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun.

Sambil menegaskan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan politik dengan Israel, Khairy berkata, hubungan dagangan antara dua negara itu hanya antara syarikat antarabangsa dan ia dibuat atas keperluan globalisasi.

Katanya, sebagai contoh syarikat Intel atau pengilang di Malaysia terpaksa mengimport bahan membuat mikrocip atau semikonduktor dari syarikat Intel yang berpangkalan di Israel kerana bahan tersebut tidak boleh diperolehi dari negara lain.

Menurut Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) itu, kebenaran perdagangan itu jauh berbeza daripada sokongan politik seperti kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal (WSJ) yang menyokong segala usaha memastikan keselamatan negara Israel.

"Kalau Israel, negara itu akan memberikan justifikasi mempertahankan keselamatan mereka dengan apa jua cara termasuk pembunuhan rakyat Palestin," ujar beliau.

Khairy juga berkata, Pemuda UMNO menyanggah apa jua alasan yang diberikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu termasuk menyalahkan media arus perdana memutar-belit laporan WSJ berhubung kenyataannya dalam isu Israel.

"Sekarang dia beri penjelasan itu (sokongan) bergantung kepada kebebasan, kemerdekaan dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat, tetapi dalam kenyataan itu dia menyokong segala tindakan untuk mempertahankan Israel. Itu kenyataan umum yang menunjukkan Anwar menyokong Israel," katanya.

Beliau berkata, ekoran isu tersebut, sokongan orang Melayu terhadap pakatan pembangkang semakin luntur dan sebab itu mereka kelam-kabut untuk memberi penjelasan bagi menarik semula sokongan kaum tersebut. -UM



4 comments:

PANTAI JOHOR said...

rupanya kabinet yg luluskan pada tahun 1996... jd semua ahli kabinet waktu itu adalah bersubahat. jd kerajaan BN telah lama mengkianati rakyat palestin..

PANTAI JOHOR said...

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan terhadap Akta Kastam yang memberi kelonggaran kepada syarikat di Malaysia berdagang dengan syarikat di Israel diluluskan oleh Kabinet pada 1996 ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Saya hendak dedahkan di sini, kawalan terhadap perdagangan dengan Israel adalah di bawah Akta Kastam di bawah Kementerian Kewangan dan kelonggaran untuk syarikat-syarikat berdagang dengan syarikat lain di Israel dibuat pada 1996 oleh Jemaah Menteri.

Dato najib perlu membuat pindaan pada akta kastam untuk membuat sekatan kembali. Pasti bole majoriti kerana wakil PAs akan sokong 100%

belang said...

aku rasa kalo buat pindaan akta ni, ko lah org pertama gi beli komputer kat singapore. Ko lah org pertama beli smartphone kat singapore.

Apa ko ingat brg tech dlm gadget tu buat kat belakang umah ko ker?

PANTAI JOHOR said...

kesian kat BELANG... Barang2 tu semua taiwan, thailand, cina, india pun ada... nampak sgt ko suka israel.. nak seribu daya taknak byk alasan plak,.

Popular Posts