Thursday, November 24, 2011

@HishammuddinH2O - Jiwa besar pemimpin UMNO benarkan perubahan dilakukan



Jiwa besar pemimpin dan perwakilan UMNO membolehkan perubahan dilakukan


Q: Memandangkan kemungkinan besar Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah yang terakhir sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13), apakah mesej yang hendak disampaikan kepada setiap ahli perwakilan, lebih-lebih lagi PRU kali ini boleh dianggap yang paling sengit bakal ditempuhi BN dan UMNO?

Hishammuddin: Kita perlu sampaikan mesej kepada setiap perwakilan bahawa UMNO mesti bersatu sekarang ini. Bersatu atau terus lenyap. UMNO adalah faktor penyatuan masyarakat Melayu di negara ini. Bukan sahaja penyatuan dari kalangan ahli UMNO, malah penyatuan kepada seluruh umat Melayu.

Q: Adakah Dato’ Seri menyatakan bahawa UMNO tidak bersatu?

Hishammuddin: UMNO bersatu; tetapi tahap kesatuan dan kesan kepada survival parti banyak bergantung kepada kedudukan parti pada masa tertentu. Kesatuan kali ini, berbanding dengan yang dahulu, bukan sahaja perlu disebut, malah dihayati sepenuhnya kerana lanskap politik hari ini memerlukan UMNO dilihat dan dirasai sebagai bersatu berbanding sebelum ini. Kita perlu perkukuhkan perpaduan di kalangan kita. Sebelum ini, perselisihan dalaman parti mampu kita bendung kerana UMNO ketika itu amat kuat.

Tetapi dalam masa yang begitu mencabar sekarang ini, sedikit konflik dalaman boleh mengancam parti serta menjejaskan peluang UMNO untuk memenangi PRU13. Maka sebab itulah UMNO tiada pilihan selain perlu serta merta tangani budaya perselisihan ini dan berdiri teguh dalam sebuah parti yang benar-benar kukuh.


Q: Adakah Dato’ Seri berpendapat bahawa seluruh ahli UMNO telah bersedia menerima cabaran untuk melakukan perubahan dalaman ini?

Hishammuddin: Sebenarnya kita tidak ada pilihan. UMNO telah melalui pelbagai ujian sebelum ini; daripada tunduk menyerah, sejarah telah menunjukkan bahawa kita mampu keluar dari ujian yg mencabar ini dan menjadi lebih kuat. Tapi kali ini ia bukan sekadar memerlukan lebih daripada kekuatan kerana cabaran ini tidak hanya unik kepada Malaysia, tetapi sedang melanda seluruh dunia dalam pelbagai aspek.

Disebabkan itu Perdana Menteri telah melaksanakan transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan politik. UMNO telah mengharungi pelbagai dugaan dan mampu bertahan sehingga kini. Saya yakin ahli UMNO amat matang dan sedar bahawa perubahan serta pengorbanan mesti dilaksanakan serta merta. Namun kadang kala kita terpaksa mendesak untuk melakukan perubahan dan pengorbanan yang wajar sebelum terlambat.

Q: Apakah yang dimaksudkan dengan perubahan?

Hishammuddin: Berubah bukan semata-mata untuk perubahan, tetapi perlu berubah agar parti kita diterima oleh rakyat. Misalnya dlm PRU13, politik adalah game of numbers atau permainan tentang angka. Disebabkan itu kita perlu meletakkan 'winnable candidates' atau calon yang boleh menang. Dari segi parti, perubahan telah dilakukan lebih awal oleh Presiden parti melalui pindaan perlembagaan dan perubahan-perubahan dalam parti. Kalau dulu kuasa undi hanya di tangan 2,800 orang perwakilan, hari ini jumlah yang boleh mengundi adalah lebih 140,000 ahli. Bukan mudah utk melepaskan kuasa yang ada, tetapi jiwa besar pemimpin dan perwakilan UMNO telah membolehkan ia dilakukan.

Ini menunjukkan bahawa UMNO bukan saja boleh menerima perubahan, tetapi mampu untuk terus melaksanakannya. Perubahan dalam erti kata meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri. Seperti yang pernah disebut YAB Presiden parti, UMNO perlu meletakkan calon yang mampu menang. Ini bermakna akan terdapat muka-muka baru yang bakal diletakkan sebagai calon PRU13 nanti. Calon-calon baru ini amat memerlukan sokongan padu setiap ahli, khususnya daripada kalangan mereka yang telah digugurkan. Mereka ini wajar menunjukkan semangat untuk terus membantu parti walaupun tidak dicalonkan semula. Sebagai ahli UMNO yang setia kepada parti, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti kerana dengan berbuat demikian kita akan turut membantu memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu.

Q:Mengapa amat penting untuk UMNO lakukan perubahan?

Hishammuddin: Geopolitik dunia telahpun berubah. Parti politik di mana saja di dunia pada hari ini dilihat perlu mendapat sokongan daripada kumpulan bukan tradisi. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sokongan tradisi, tetapi kepada golongan muda dan mereka yg berada di atas pagar. Dalam era politik baru, mendampingi rakyat, reaching out dan engage mereka adalah sangat penting.


Q: Apakah yang boleh UMNO tawarkan?

Hishammuddin: UMNO mesti menonjol sebagai sebuah parti yang mampu memenangi hati rakyat dan disenangi majoriti rakyat. UMNO mesti memberikan harapan baru kepada rakyat, khususnya masyarakat Melayu. Kita kini mempunyai pucuk pimpinan baru dengan sebuah pasukan yang baru. Perlu diingatkan PRU13 adalah pilihanraya yang pertama dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Najib. Beliau banyak mendengar dan amat memahami nadi rakyat. Banyak perubahan telah dilakukan mengikut kehendak rakyat.


Q: Apakah harapan Dato’ Seri terhadap perhimpunan kali ini?

Hishammuddin: Harapan saya adalah agar perwakilan sedar bahawa survival parti berada di dalam tangan mereka. Mereka wajar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Presiden dalam menentukan arah tuju perjuangan parti yg telah sama-sama mereka persetujui, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita perlu berhadapan dengan PRU13.

UMNO perlu terus menunjukkan kepimpinan dlm lanskap politik baru ini, bukan saja agar UMNO kekal relevan tetapi juga Barisan Nasional. Semua ini kita lakukan bukan hanya untuk kita sahaja, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran...semoga senjata tidak makan tuan. Apakah perubahan2 seperti ini akan memberikan pertambahan 'sokongan' kepada kerajaan????

Popular Posts