Monday, September 5, 2011

@HishammuddinH2O - 1P dari 6P selesai. 640,609 PATI Indonesia berbanding 405,312 Pekerja Sah

Kenyataan Akhbar
YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

"Program 6P dan kaitannya dengan matlamat pemantapan pengurusan warga asing serta agenda menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia"

Putrajaya, 5 September 2011

1. Proses Pendaftaran Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) iaitu komponen pertama dalam Program 6P telah berakhir pada 31 Ogos 2011. Untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat, sukacita saya ingin memberi penekanan bahawa Program Penyelesaian Menyeluruh Terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P merupakan sebuah pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA). Antara elemen penting dan rasional strategik Program 6P adalah seperti berikut:

1.1. Program 6P adalah berbeza dengan program pengampunan atau pemutihan yang dilaksanakan Kerajaan secara berasingan dan tersendiri sebelum ini. Sebaliknya program ini adalah satu mekanisme komprehensif melibatkan enam komponen yang akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

1.2. Program kali ini berbeza kerana ia melibatkan pendaftaran biometrik setiap PATI yang akan mengelakkan berlakunya pemalsuan identiti dan dokumen untuk mereka yang tidak berdaftar secara sah memasuki atau berada di dalam negara. Data biometrik yang didaftarkan akan membantu meningkatkan keupayaan dan keberkesanan proses penguatkuasaan bagi menangani keberadaan PATI di dalam negara.

1.3. Program ini merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan merentasi Kementerian dengan matlamat memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia melalui Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Ia adalah agenda nasional yang digerakkan secara kolektif melibatkan 14 buah Kementerian selain Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta agensi-agensi berkaitan yang lain.

1.4. Program ini juga adalah sebahagian daripada strategi dan pendekatan dalam agenda besar menangani jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia. Mobiliti penduduk dunia khususnya dalam konteks penawaran peluang pekerjaan kepada warga asing dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia. Situasi ini berlaku apabila wujudnya kelemahan dalam pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam proses pengambilan dan penghantaran pekerja asing yang telah membuka ruang kepada manipulasi sindiket yang mengaut keuntungan yang besar.

2. Setelah berakhirnya proses pendaftaran, statistik rasmi yang dibentangkan dalam Mesyuarat Mingguan Bersama Pengarah-Pengarah Imigresen Negeri menunjukkan seramai 2,320,034 pekerja asing dan PATI yang telah membuat pendaftaran. Jumlah ini meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah (tidak termasuk pembantu rumah yang dikecualikan) dan seramai 1,303,126 PATI. Melalui proses pendaftaran ini, kita juga mengambil perhatian terhadap beberapa senario berikut:

2.1. Terdapat beberapa negara yang status keberadaan warganegara mereka di negara ini sebagai PATI lebih tinggi berbanding sebagai Pekerja Sah. Antara negara utama ialah Indonesia iaitu jumlah PATI seramai 640,609 berbanding Pekerja Sah seramai 405,312. Bagi negara Bangladesh pula, jumlah PATI adalah seramai 267,803 berbanding Pekerja Sah seramai 132,897. Keadaan yang berbeza untuk negara Nepal apabila jumlah Pekerja Sah adalah lebih tinggi iaitu seramai 221,617 berbanding PATI seramai 33,437.

2.2. Sungguhpun risikan dan pemantauan mendapati terdapat sejumlah PATI yang boleh dikategorikan sebagai PATI tegar yang tidak keluar mendaftar, tetapi secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan jumlah PATI yang tampil memberikan kerjasama. Kita telah membuka ruang dan peluang yang luas kepada PATI untuk mendaftar yang kemudiannya akan dipertimbangkan penukaran status keberadaan mereka sebagai pekerja asing sah. Ini termasuklah melalui pendaftaran secara percuma di Pejabat-Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seluruh negara dan pengawalan kadar caj perkhidmatan yang cukup minimum sekiranya menggunakan khidmat syarikat pengurus. Sehubungan itu, kita telah memutuskan PATI tegar yang tidak keluar mendaftar akan diuruskan melalui Proses Penguatkuasaan dan Proses Pengusiran apabila tiba masanya kelak.

2.3. Syarikat-syarikat Pengurus telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam membantu proses pendaftaran. Statistik mencatatkan daripada jumlah 1,141,578 PATI yang mendaftar di Semenanjung Malaysia yang melaksanakan dua pilihan iaitu Pendaftaran di JIM atau melalui Syarikat Pengurus, seramai 888,471 atau seramai 78 peratus PATI berdaftar melalui Syarikat Pengurus berbanding pendaftaran PATI melalui JIM seramai 253,107. Kerajaan akan terus mengiktiraf peranan syarikat-syarikat dalam aspek pengurusan pekerja asing di Malaysia. Namun begitu, melalui Program 6P ini juga pemantauan akan dibuat terhadap operasi setiap syarikat untuk mengenal pasti senarai syarikat yang benar-benar melaksanakan perniagaan dan mempunyai komitmen tinggi dalam membantu Kerajaan memantapkan pengurusan pekerja asing di dalam negara dan senarai syarikat yang hanya ingin terlibat untuk mendapatkan keuntungan maksimum dalam masa singkat. Rekod operasi dan prestasi syarikat akan diguna pakai kelak dalam proses pembersihan/pemutihan syarikat-syarikat berkaitan pengurusan pekerja asing/tenaga kerja.

2.4. Mengambil kira keunikan masalah dan program regularisasi yang telah dilaksanakan di Sabah pada tahun 2008 dan 2009, pendekatan yang berbeza dilaksanakan bagi negeri berkenaan. Kerajaan hanya akan melaksanakan Program 5P di Sabah iaitu tanpa proses pemutihan. Sepanjang proses pendaftaran PATI di Sabah yang berlangsung pada 18 Julai hingga 10 Ogos 2011, seramai 161,548 PATI telah didaftarkan. Bagi PATI yang ingin bekerja secara sah di Sabah, mereka tetap perlu untuk keluar kembali ke negara asal sebelum dipertimbangkan semula untuk bekerja secara sah. Ini bersesuaian dengan pendekatan "flushing out" untuk memastikan semua PATI di Sabah keluar meninggalkan negeri berkenaan sebelum masuk semula melalui proses yang sah. Kerajaan akan memberikan fokus kepada masalah PATI di Sabah dengan mengguna pakai strategi dan pendekatan yang agak berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

3. Komponen selanjutnya/kedua dalam Program 6P iaitu Proses Pemutihan akan hanya dimulakan setelah tarikh ditetapkan oleh Mesyuarat JKKPA-PATI yang akan diadakan dalam masa terdekat dan akan dipengerusikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi JKKPA-PATI. Pemutihan adalah suatu proses untuk memberi ruang kepada PATI untuk dijadikan sebagai pekerja asing yang sah dengan majikan-majikan yang berdaftar.

4. Selain daripada menentukan tarikh pelaksanaan Proses Pemutihan, Mesyuarat JKKPA-PATI juga akan membuat penetapan dasar berhubung beberapa perkara penting untuk pelaksanaannya seperti definisi kadar keperluan sesuatu syarikat, jenis pekerjaaan dan majikan yang dibenarkan mengguna pakai pekerja asing, kesesuaian negara asal pekerja asing untuk di ambil bekerja di sesuatu sub sektor dan lain-lain. Secara ringkasnya, keputusan dasar yang diperlukan untuk pelaksanaan Proses Pemutihan ini adalah sama ada pertimbangan akan dibuat mengguna pakai dasar dan kriteria semasa/sedia ada penggajian pekerja asing ataupun sama ada Kerajaan akan memperkenalkan dasar dan kriteria khas yang hanya dikhususkan untuk Program 6P. Pertimbangan dasar ini akan ditentukan oleh semua kementerian yang bertanggungjawab bagi setiap sub sektor selain mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan (stakeholders).




Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Popular Posts