Saturday, April 23, 2011

Kecoh tentang emel 1Malaysia?


Kecoh pasal emel 1Malaysia? Memang sikap antiestablisment pembangkang untuk menghalang dan memburuk-burukkan sebarang inisiatif untuk membangunkan negara Malaysia. Matlamatnya mudah, bila tidak ada sebarang pembangunan, mereka akan menuduh kerajaan gagal untuk membawa pembangunan kepada rakyat, disebabkan itu, kerajaan gagal.

Ini berlaku sejak zaman Pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Utara-Selatan lagi, selepas itu KLCC, Putrajaya dan hari ini, apa sahaja akan dipolitikkan sehingga usaha pembangunan terhalang.

Apakah model perniagaan emel 1Malaysia? Secara mudahnya, pertama: ia merupakan inisiatif pihak swasta dalam sebuah model ekonomi baru, iaitu ekonomi yang dijanakan oleh pihak swasta berbanding ekonomi yang dijanakan oleh sektor awam. Kedua: ia berbentuk pilihan atau optional. Jika hendak gunakan Lebuh Raya, bayarlah tol, jika tidak, gunakan jalan lama.

Apa masalah yang menjadi punca kekecohan emel 1malaysia? Komunikasi kepada rakyat. Komunikasi yang tidak jelas dalam era politik baru yang bersifat inklusif dan terbuka, pihak yang membangunkan dan Pemandu mungkin kena jadi lebih bijak berkomunikasi dengan rakyat.

Kenyataan Tricubes Bhd dipetik Bernama seperti di bawah;

_______________________________________________________


Firma teknologi maklumat, Tricubes Bhd berkata pelaburan awal untuk Projek Emel 1Malaysia adalah RM5.3 juta, yang mana pembiayaan awalnya telah didapatkan menerusi dana dalaman dan pinjaman.

Kerana jumlah pelaburan bagi projek lebih 10 tahun itu dianggarkan RM50 juta, ia menjangka untuk melaburkan semula perolehan yang diterima daripada projek itu untuk memastikan kelangsungan.

"Kerajaan tidak membiaya atau menaja jamin projek ini. Ini adalah projek pembiayaan swasta sepenuhnya," kata Tricubes dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ia juga berkata kerajaan hanya bertindak sebagai fasilitator bagi beberapa maklumat tertentu dan proses seperti pengesahan data dari agensi-agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

Alamat emel domain yang didaftar dan diluluskan adalah namaanda@myemail.my, katanya, menekankan bahawa Emel itu akan memberi pilihan kepada pengguna untuk meningkatkan keselamatan emel.

"Tricubes dan Microsoft kini bekerja rapat untuk memastikan integriti dan kerahsiaan pengguna," katanya, apabila ditanya jika kerajaan boleh memantau akaun emel itu.

Tricubes juga berkata perkhidmatan asasnya adalah perkhidmatan emel tanpa bayaran kepada pengguna sementara sumber hasil akan diperolehi dari perkhidmatan tambah nilai yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

Mengenai status GN3, Tricubes menerangkan ia telah banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, yang mengambil masa yang panjang, dan kini sedang menjana pulangan untuk mendapatkan semula pelaburan.

Bagaimanapun, ia berkata syarikat GN3, dibenarkan oleh Bursa Malaysia untuk meneruskan aktiviti perniagannya.

Untuk kekal disenaraikan, syarikat GN3 itu harus menyelaraskan kedudukan kewangannya.

Tricubes telah membuat pencapaian pertamanya dalam pelan pelarasan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, dengan pelantikan penaja, M&A Securities Sdn Bhd pada Januari tahun ini.

Penaja itu dijangka menghantar pelan pelarasan syarikat kepada Bursa Malaysia dan mendapatkan kelulusan sebelum 29 Okt 2011.

- Bernama

No comments:

Popular Posts