Dari segi istilah, `patriotisme’ bermaksud semangat cintakan negara. Bagaimanapun dari segi makna, berdasarkan pemahaman Barat, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis takrifan berbeza.
Mengikut takrifan pertama, seorang patriot ialah seseorang yang menjuarai kepercayaan tentang kebesaran dan kebenaran negaranya, seseorang yang memandang tinggi dan menghargai simbol-simbol yang menjadi kebanggaan negara tersebut, dan seseorang yang melaungkan slogan tentang kesediannya untuk mempertahankan negara dan kerajaan negara tersebut dengan nyawanya. Berdasarkan takrifan ini, "patriotisme" merupakan sebuah sistem kepercayaan, di mana kenyataan-kenyataan (slogan-slogan) dan simbol-simbol menjadi kayu pengukur untuk menentukan patriotisme seseorang.
Mengikut takrifan kedua pula, seorang patriot merupakan seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan negaranya lebih baik. "Lebih baik" boleh mengambil maksud `lebih baik’ dalam pelbagai perkara, seperti: lebih baik dari segi pendidikan, lebih kuat dari segi ketenteraan, lebih aman, lebih makmur, lebih bersih, lebih sihat, lebih berkuasa dan berpengaruh di dalam hubungan antarabangsa, lebih cantik dan indah, lebih bersatu padu, lebih dihormati di luar negara, dan sebagainya. Berdasarkan makna ini, boleh dikatakan `patriot’, boleh mempunyai berbagai-bagai rupa bentuk, dan `patriotisme’ pula boleh meliputi pelbagai jenis aktiviti. Dari sudut takrifan ini, `tindakan’ adalah jauh lebih bermakna dari kenyataan (slogan) atau simbol yang dipegang oleh sesuatu negara.
Kedua-dua takrifan ini mengiktiraf orang yang berbeza sebagai patriot.
Mengikut takrifan pertama; seseorang yang sekadar mengibarkan bendera di beranda dan seseorang yang melaung-laungkan kebesaran negaranya adalah seorang patriot, walaupun mungkin tidak banyak perkara yang telah mereka lakukan untuk menjadikan negara mereka lebih baik – malah, mungkin mereka sendiri turut terlibat melakukan perkara-perkara yang mungkin melemahkan negara mereka dan memalukan negara mereka di mata dunia.
Mengikut takrifan kedua pula, seseorang yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat, terlibat untuk membersihkan tempat perlindungan rakyat, menjadi mentor kepada kanak-kanak kurang upaya, membantu menyelenggarakan sekolah-sekolah, dan berperlakuan secara bertanggung jawab di luar negara merupakan seorang patriot – walaupun, pada ketika dan masa yang sama, mereka tidak mengibarkan bendera atau melaung-laungkan kenyataan yang memuji-muji negara mereka.
Definisi ini boleh menyebabkan orang-orang yang berlainan disifatkan sebagai patriotik, tidak patriotik, atau mungkin anti-patriotik.
Jika mengikut takrifan pertama, seseorang yang tidak mengibarkan bendera negaranya adalah tidak patriotik. Begitu juga, sesiapa yang gagal memperjuangkan dan mempertahankan tentang kebenaran dan kebaikan polisi-polisi kerajaan negaranya, juga dianggap tidak patriotik.
Sebaliknya, mengikut takrifan kedua pula, seseorang yang gagal untuk melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan negaranya adalah tidak patriotik. Begitu juga seseorang yang memalukan negaranya di mata dunia, turut dianggap tidak patriotik walaupun dalam perlakuan mereka itu, mereka mengibarkan bendera negaranya.
Bagaimanapun bagi umat Islam, kedua-duanya takrifan menepati kehendak ajaran Islam, asal saja ianya berasaskan kebenaran dan kebaikan, bukan kepalsuan, bukan kebongkakan dan bukan di atas tujuan untuk memecah belahkan rakyat serta mendatangkan kemusnahan kepada negara.
Jika diperhatikan, sejak kebelakangan ini istilah patriotisme kembali menjadi penting dan cuba disemarakkan semula ke dalam jiwa rakyat rakyat sesebuah negara. Sebelum ini, istilah dan makna `patriotisme’ seolah-olah semakin lenyap akibat kemodenan dan globalisasi. `Patriotisme’ telah cuba dikuburkan dengan usaha menggembar-gemburkan istilah-istilah seperti `dunia tanpa sempadan’, `penduduk perkampungan global’ dan juga `keruntuhan negara bangsa’.
Melalui istilah-istilah ini, pendokong-pendokongnya cuba menggambarkan bahawa pada zaman akan datang, dengan runtuhnya sempadan negara dan globalnya kependudukan dunia, maka tidak akan ada lagi patriot dan semangat patriotisme yang dibawanya. Ketika itu, yang penting bukan kesetiaan kepada sesebuah negara, tapi keuntungan yang boleh dieksploitasi dari sesebuah negara semata-mata.
Mengapakah secara tiba-tiba patriotisme menjadi begitu penting?
Insiden serangan pengganas terhadap Pusat Dagangan Dunia New York dan Pentagon pada 11 September 2001, mencatat sejarah sebagai tarikh di mana retorik `patriotisme’ dimainkan semula secara besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) dan media-media yang menyokongnya.
Akibat peristiwa September 11, Presiden George W Bush, menggesa rakyat Amerika Syarikat (AS) untuk bersatu-padu dan bersama-sama menyokong pentadbirannya memerangi keganasan demi keselamatan rakyat AS dan demi mengembalikan maruah negara. Semangat ini telah dipupuk, disemarak dan digarap dari hari ke sehari melalui propaganda yang disalurkan melalui media-media gergasi seperti CNN dan Fox News.
Dengan mempergunakan `patriotisme’, AS telah berjaya mendapatkan sokongan ahli-ahli kongres dan rakyat AS untuk meluluskan lebih USD 350 billion bagi meningkatkan lagi pertahanan dan kempen Perang Menentang Keganasan. Melaluinya juga, Patriot Act 2001, sebuah akta yang lebih zalim dan lebih bersikap diskriminasi dari Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA telah diluluskan. Tidak lama selepas itu, Pentadbiran Bush telah berjaya mendapat mandat dari kongres bagi melancarkan apa yang disebut sebagai `pre-emptive war’ ke atas Afghanistan dan Iraq, biarpun tanpa sebarang alasan yang kukuh.
Tegasnya, sama ada salah atau betul, setiap rakyat AS perlu menyokongnya. Bagi yang tidak menyokong, mereka ini, digambarkan oleh Pentadbiran Bush sebagai tidak bersikap patriotik.
Bagi sebuah negara Bangsa Eropah seperti AS, retorik patriotisme penting bagi meneruskan hegemoni dan penguasaannya ke atas dunia, baik dari segi politik mahupun dari segi ekonomi. Segala macam tipu helah dihalalkan dan digunakan bagi meyakinkan rakyatnya bahawa tindakan melancarkan perang ke atas Afghanistan dan menceroboh Iraq merupakan tindakan untuk menghapuskan keganasan dan juga demi menjamin keselamatan rakyat AS dan warga dunia.
Tentunya bagi kita di Malaysia, terutamanya yang beragama Islam, maksud `patriotisme’ yang menghalalkan segala cara, termasuklah pembunuhan orang awam dan pencerobohan ke atas negara berdaulat bagi mencapai sesuatu matlamat politik, tidak dapat diterima sama sekali. Bagi kita di sini, definisi `patriotisme’ adalah lebih murni dan hanya relevan dengan maksud untuk membawa sebanyak mungkin kebaikan kepada rakyat dan negara ini.
Logiknya, rasa cinta terhadap negara seharusnya menjadikan kita rakyat yang mempunyai kesetiaan politik terhadap negara. Semasa Pencerobohan Terhadap Iraq, kita dapat lihat, bagaimana rakyat Iraq menari-nari keseronokan apabila Saddam Hussein digulingkan. Ada yang sampai menghadiahkan bunga kepada tentera AS dan ada pula yang mencium, bukan tangan kanan, tetapi tangan kiri tentera AS.
Seolah-olah mereka lupa yang negara mereka sebenarnya baru sahaja diceroboh oleh tentera luar, dan hasil minyak mereka telah dirampas, bukan untuk memakmurkan mereka, sebaliknya memakmurkan negara yang menceroboh mereka.
Sikap tidak setia mereka menjadikan perpaduan di dalam negara retak. Tanpa perpaduan, akhirnya negara menjadi lemah dan Iraq tidak dapat bertahan lama kerana rakyatnya tidak mempunyai semangat patriotisme yang kuat untuk berjuang menentang pencerobohan tentera asing.
Negara kita juga pernah mengalami peristiwa yang hampir serupa di dalam tahun 1998.
Akibat pemecatan seorang pemimpin kanan kerajaan, sebuah gerakan politik telah menggunakan mahasiswa untuk menjatuhkan kerajaan. Fitnah dan penipuan telah dilemparkan. Kononnya krisis ekonomi yang timbul merupakan akibat dari kerajaan yang korup dan yang mengamalkan kroni kapitalisme.
Bagaimanapun apa yang tidak disedari oleh mahasiswa ketika itu, alasan korupsi dan kronisme bukan penyebab utama krisis ekonomi. Serangan spekulator matawang dan penarikan modal asing secara besar-besaran merupakan faktor utama kekusutan ekonomi ketika itu. Keterbukaan sistem kewangan dan globalisasi tanpa kawalan telah menyebabkan kegawatan ketika itu. Negara-negara tertentu dan rakyat mereka telah dimiskinkan.
Banyak perniagaan terpaksa ditutup dan dijual pada harga yang murah. Murah, kerana - pertamanya akibat penurunan nilai mata wang oleh spekulator matawang, keduanya disebabkan alasan kelemahan kedudukan kewangan dan kegawatan ekonomi.
Negara ketika itu sedang berada di ambang penjajahan ekonomi, bagaimanapun mahasiswa yang terlibat di dalam demonstrasi tersebut telah gagal untuk memahaminya.
Patriotikkah golongan mahasiswa ini?
Pada saat kerajaan sedang memfokuskan usaha untuk menghalang penjajahan ekonomi oleh kuasa ekonomi asing, demonstrasi dan rusuhan yang disertai oleh mahasiswa telah memburukkan lagi keadaan. Demonstrasi jalanan dan rusuhan ini menjadi bahan berita kepada pihak media asing untuk terus memberi gambaran buruk tentang kestabilan politik dan ekonomi negara. Kerajaan yang sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah ekonomi, terpaksa pula mengalihkan tumpuan untuk menghalang perbuatan merusuh bagi mengelakkan keyakinan terhadap kestabilan negara dari terus merudum.
Peristiwa rakyat Iraq mencium tangan tentera AS sebenarnya bukan sesuatu yang pelik jika kita mengingat-ingat kembali peristiwa tahun 1998.
Kita pernah menjadi saksi, melihat puak yang kononnya `reformis’ melonjak dan melompat-lompat gembira apabila wakil AS, Madeline Albright sudi bertemu untuk mendengar rintihan mereka. Lompatan mereka semakin tinggi apabila Naib Presiden AS, Al Gore menghina Perdana Menteri dan Malaysia dengan menyokong golongan reformis jalanan, walaupun cara itu terang-terang tidak demokratik.
Baru-baru ini seorang pemimpin pembangkang wanita, telah meneruskan tradisi keturunannya. Sebagai 'anak bapak', beliau telah memburuk-burukkan Malaysia di negara jiran. Apakah yang hendak dicapai dengan memburuk-burukkan Malaysia di luar negara? Mahu meminta campur tangan asing untuk menyelesaikan masalah negara? Bukankah sebagai Ahli Parlimen pembangkang, beliau mempunyai ruang untuk melakukannya di dalam Parlimen dan di dalam negara?
Orang yang memburuk-burukkan ahli keluarganya di luar, sebenarnya bukan akan mendapat simpati, sebaliknya nama keluarga menjadi buruk dan orang lain juga akan memandang serong kepadanya dan mengeji peribadi buruknya. Bukan bantuan yang datang, sebaliknya mungkin maruah keluarga diperlekehkan atau ada pihak yang akan mengambil kesempatan.
Pokoknya, pemimpin pembangkang ini, walaupun cantik rupa wajahnya, buruk perkerti, beliau bukan sahaja tiada semangat patriotik malah khianat terhadap negaranya!
Bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia, kita tidak memerlukan patriotisme untuk menjajah dan menceroboh negara lain. Kita memerlukan semangat patriotik agar rakyat dapat menumpukan perhatian bagi membina sebuah negara maju yang masyarakatnya bebas dari segala keburukan serta kepincangan negara maju yang sedia ada.
Sebagai sebuah sebuah negara kecil juga, kita memerlukan rakyat yang patriotik kerana kita sebenarnya amat terdedah risiko penjajahan semula secara politik dan ekonomi. Semangat patriotisme amat penting bagi memastikan terdapatnya sebuah kerajaan yang kuat, yang mendapat mandat keseluruhan rakyatnya bagi menghadapi segala tipu helah, ugutan dan tekanan dari negara-negara luar.
Tegasnya, dalam menghadapi ancaman globalisasi dan order baru dunia, semangat patriotisme amat penting bukan sahaja untuk mengisi kemerdekaan negara sesuai dengan wawasan yang dibina, malah begitu diperlukan bagi memastikan kemerdekaan negara dapat terus dipertahankan selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment