Gambar hiasan - Siapa akan jadi mangsa?
Kesatuan Guru Setuju Mansuh UPSR Dan PMR Dengan Bersyarat
PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Isnin, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Loke Yim Pheng berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar. Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita Isnin.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas. Katanya ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata. "Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat. "Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya. Beliau berkata beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.
Berita penuh sila baca di sini.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memang gemar memulakan polemik. Jika dulu kita diajak untuk berpolemik tentang cadangan menjadikan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus di peringkat SPM, menghadkan pelajar untuk mengambil hanya 10 subjek untuk peperiksaan SPM, mewajibkan pelajar Sekolah Kebangsaan mengambil subjek Bahasa Cina dan Tamil serta dasar Satu Murid Satu Sukan; kali ini ia adalah mengenai pemansuhan UPSR dan PMR pula.
Terasa seolah-olah kita berada semasa zaman kepimpinan Perdana Menteri yang lepas pula. Begitu banyak pengumuman, tetapi belum tentu ia dapat dilaksanakan kerana tiada groundwork yang mendalam terutama dari segi praktikaliti, keupayaan sumber manusia dan juga implikasi kewangan.
KPM adalah sebuah kementerian yang besar dan sangat penting bagi masa depan generasi muda Malaysia. Ia tidak boleh menjadi medan membuat percubaan idea separuh masak atau ditadbir secara dorongan pengumuman atau `announcement driven'. Dasar-dasar yang hendak dilaksanakan tidak wajar dibuat dalam cebisan-cebisan (in patches) dan piece meal. Walaupun tujuannya adalah untuk melakukan reformasi atau transformasi, ianya perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bukan secara ad-hoc, tergesa-gesa, drastik ataupun melalui revolusi. Perancangan yang teliti, perancangan sumber manusia dan keupayaan kewangan yang mencukupi diperlukan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan agar tidak menjejaskan masa depan anak-anak kita.
Sebagai pemegang berkepentingan (stakeholder), saya bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan UPSR.
Bagi saya, sistem pendidikan kita sudah terlalu membebankan anak-anak di sekolah rendah. Kurikulum di peringkat sekolah rendah sudah menjadi terlalu `overloaded'. Pendekatan pengurusan sekolah dan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sudah menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan yang menyebabkan anak-anak kita tertekan. Peperiksaan awam juga menyebabkan mereka dihukum pada usia yang terlalu muda sekiranya pencapaian mereka kurang cemerlang.
Bagi saya, pendidikan di sekolah rendah sepatutnya menyeronokkan. Guru pula seharusnya diberi seluas-luas ruang untuk mencungkil potensi, minat dan bakat para pelajar. Tempoh enam tahun seharusnya menjadi medan untuk pelajar mengenal minat, bakat dan potensi diri serta mempunyai peluang yang seluas-luasnya untuk menguasai pengetahuan, kebolehan berfikir, pembinaan karekter dan kemahiran. Penekanan terhadap pendekatan P&P perlu beralih daripada terlalu berasaskan kandungan (content based) kepada yang lebih berasaskan kemahiran (skill based) atau daripada yang bersifat ujian pencapaian (achievement test) kepada yang bersifat ujian kebolehan am (general ability test) dan menggalakkan pembinaan keperibadian (character).
Guru sepatutnya mempunyai banyak masa dan ruang untuk menggunakan pelbagai pendekataan dlm P&P, termasuk pembelajaran secara interaktif dan perorangan; bukannya terpaksa mengejar sukatan pelajaran, menghabiskannya dengan segera, kemudian menyaring pelajar yang mempunyai potensi untuk mendapat 5A dalam UPSR serta menempatkan mereka dalam satu kelas (dan pada waktu yang sama mengabaikan kelas yang kurang cemerlang) seterusnya melakukan latih tubi bagi mempersiapkan pelajar-pelajar ini menghadapi UPSR.
Walaupun tujuan pemansuhan UPSR ini nampak baik, namun terdapat beberapa pra-syarat yang perlu dipenuhi oleh KPM sebelum terburu-buru memansuhkannya. Antara pra-syarat yang perlu dipenuhi adalah:
Pertama, reformasi kurikulum dan penyampaian kurikulum. Kurikulum seharusnya dijadikan berasaskan standard (standard based) berbanding berasaskan hasil pembelajaran (outcome based). Kedua, ia perlu dilaksanakan bergandingan dengan reformasi dalam pentaksiran. Ada khabar angin menyatakan bahawa kurikulum berasaskan standard hendak dilaksanakan tahun hadapan. Namun sebelum ia dilaksanakan, dicadangkan agar KPM memaklumkan dapatan pelaksanaan program rintisnya pada tahun 2008 kepada pihak berkepentingan terlebih dahulu agar kebaikan dan kekurangannya dapat dinilai. KPM juga perlu mendapatkan input dari Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) tentang projek rintis ini agar dapat dipastikan bahawa elemen pentaksiran program rintis ini menepati piawaian dan keperluan pentaksiran.
Ketiga, reformasi kurikulum dan pentaksiran ini hanya dapat dilaksanakan dengan baik jika guru-guru dilatih untuk melaksanakannya.
Keempat, bagi memastikan tidak berlaku penipuan, pencapaian purata nasional perlu ditentukan dan ada kemungkinan sistem pentaksiran berbantukan komputer diperlukan. Semasa melawat sekolah-sekolah di New Zealand pada tahun 2007, saya ada dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran New Zealand menghadapi masalah penipuan oleh pihak sekolah dalam hal pentaksiran ini. Walaupun hanya mempunyai sekitar 2500 buah sekolah, namun lokasi sekolah dan sifat sistem pendidikan New Zealand yang tidak berpusat sedikit sebanyak menyukarkan pelaksanaan sistem pentaksiran yang tepat dan bebas penipuan.
Saya melihat sekiranya pemansuhan UPSR hendak dimansuhkan setiap prasyarat ini perlu dipenuhi terlebih dahulu. Bagi melaksanakan ini ia memerlukan masa dan peruntukan kewangan yang mencukupi, terutama bagi melatih semula guru-guru. Malangnya, dalam keadaan ekonomi sekarang, saya percaya pelaksanaannya akan berlaku secara tidak sempurna dan ini akan mendatangkan risiko kepada pelajar.
Bertentangan dengan pendapat Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Mohd Sabri Mohd Arshad, saya tidak bersetuju bahawa pemansuhan ini akan mengurangkan beban tugas guru. Sebaliknya saya berpendapat ia akan menambah beban guru kerana tugas menaksir penguasaan pelajar bagi menepati standard yang ditetapkan memerlukan lebih banyak masa berbanding melaksanakan ujian/pepertiksaan.
Mungkin tugas ini tidak terlalu membebankan jika saiz kelas adalah sebanyak 25 orang, tetapi bagaimana pula jika saiz kelas adalah sehingga 40 ke 50 orang? Bagaimana pula jika jumlah guru yang ditempatkan di sekolah tersebut tidak mencukupi, mengambil cuti bersalin atau umrah dan tidak berkemahiran, bukan saja untuk mentaksir tetapi mengenal pasti murid bermasalah pembelajaran dan sebagainya? Perlu diingat, masalah beban tugas guru dan norma guru yang berulang kali diperkatakan masih belum dapat diselesaikan oleh KPM lagi.
Adakah polemik ini juga akan berakhir tanpa tindakan konkrit seperti polemik-polemik yang lain sebelum ini? Apakah yang terjadi kepada pengumuman untuk mengurangkan subjek peperiksaan SPM kepada 10 dan Bahasa Inggeris hendak dijadikan subjek wajib lulus di peringkat SPM?
Jika tiada sebarang tindakan konkrit, sebagai pemegang berkepentingan, saya suka mencadangkan agar Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan Pengarah Bahagian Perancangan serta Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) melakukan kajian yang mendalam dan teliti terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang polemik baru.
1 comment:
"SIRI SELAMATKAN RAKYAT SELANGOR"
Ceramah isu pasir dan DSAI
23.07.2010 jam 8.30 malam
di Dewan Tabika Kemas,
Jalan Gelama 17/24
Seksyen 24, Shah Alam
Post a Comment