Sebagai seorang bapa dan pembayar cukai, saya melihat penolakan kabinet ini mengundang banyak persoalan. Kenyataan penolakan kabinet ini pula adalah terlalu umum dan wajar diperincikan. Setidak-tidaknya mungkin elok dijelaskan bahagian laporan persidangan meja bulat yang mana yang ditolak oleh kabinet. Adakah kesemua sekali atau hanya sebahagian daripadanya? Saya yakin anggota kabinet tidak mempunyai cukup masa untuk mendengar dan meneliti kesemua laporan meja bulat PPSMI ini seperti para peserta persidangan. Penolakan dengan alasan yang begitu umum boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.
Sehubungan itu saya suka mencadangkan agar setiap kajian yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI didedahkan kepada rakyat dan dimuat turun ke dalam domain awam supaya semua pihak boleh mengkaji serta meneliti setiap kajian tersebut.
Antara laporan yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini adalah Laporan Program Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008-2010, Penguasaan BI dalam kalangan guru, yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada tahun 2008, Kajian Penilaian Pelaksanaan PPSMI oleh Bahagian Perancangan dan Pembangunan Dasar Pendidikan (BPPDP) pada tahun 2006, Dapatan Pemantauan dan Bimbingan Kolaboratif Pelaksanaan Program PPSMI dari tahun 2003 hingga 2008 oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) pada tahun 2008, Ujian Diagnostik (UD) oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, pada tahun 2007 (jika boleh sejak 2006 sehingga 2008), Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah Program PPSMI (Tahun 5, 2007) dan Kajian Trend Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah program sebelum PPSMI (Tahun 5,2006) oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Sains Tambahan (Tingkatan 5) dan Sains, Matematik dan BI (Tahun 5 dan Tingkatan 5) oleh BPK, Analisis Pencapaian Murid berdasarkan UPSR, dan Analisis Keputusan Peperiksaan PMR dan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta laporan Pemantauan JNS 2005 sehingga 2007.
Selain kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysian (KPM), saya juga mengalu-alukan agar kajian oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pihak-pihak lain, termasuk kajian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PEMBINA dimasukkan ke dalam domain yang sama.
Bagaimanapun saya mencadangkan agar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak sekadar meletakkan kesimpulan kajian di domain ini kerana pendekatan ini boleh mendorong kekeliruan dan salah tanggap. Sebaliknya KPM wajar memasukkan juga semua maklumat lain seperti pemilihan sampel dan saiznya, instrumen kajian dan dapatan penuh setiap kajian. Ini penting bagi membolehkan pembaca faham akan kekuatan sesuatu kajian dan bagaimana seseorang penyelidik menyimpulkan dapatan-dapatan kajian mereka.
Saya yakin ketelusan KPM dalam hal ini akan menghilangkan persepsi negatif terhadap penolakan kabinet baru-baru ini.
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
28 Mei 2009
No comments:
Post a Comment