Perasmian Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam Di Nusantara
Posted in Ucapan on Jun 10th, 2011
1. Pertama sekali, marilah bersama-sama merafak segala puji ke hadrat Allah SWT justeru limpah rahmat dan kurnia-Nya jua dapat kita berhimpun pada pagi Jumaat penghulu segala hari ini, untuk berhimpun dalam satu konvensyen yakni majlis ilmu yang sangat bermanfaat.
2. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia (NADI) di atas penganjuran program ini. Sesungguhnya, konvensyen ini adalah penting bagi kita semua untuk memahami wasatiyyah sebagai satu konsep dan pendekatan imperatif dalam Islam, untuk dihayati dan dilaksanakan dalam pelbagai aspek berkaitan kehidupan individu, masyarakat juga negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
3. Sebagai sebuah agama yang sempurna dan syumul, Islam telah mengutarakan beberapa asas bagi menjaga perpaduan dan mewujudkan persefahaman antara agama dan budaya yang berbeza. Antara yang dituntut oleh Islam adalah amalan kesederhanaan di dalam pelbagai aspek kehidupan; daripada kefahaman keagamaan, hinggalah kepada hubungan individu dengan masyarakat sekitarnya, serta aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara dan hubungan antarabangsa.
4. Dalam pada kita meraikan keseimbangan dan penjagaan hak-hak individu lain, bukanlah dengan jalan melupuskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam. Sebaliknya, pada masa yang sama Islam dijunjung dan dimartabatkan serta dibuktikan keunggulannya. Prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam terus diberi perhatian untuk diterapkan di dalam pelbagai aspek kehidupan individu dan masyarakat dalam pembinaan dasar berkaitan pentadbiran negara, tanpa meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka.
5. Ummatan wasatan merupakan umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta berimbal dalam seluruh aspek kehidupan. Berdasarkan kepada konsep ini, kita diseru agar mengimbangi antara tuntutan rohani dan jasmani serta hambatan dunia dan akhirat, kerana keseimbangan dan kesederhanaan ini amat penting dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian hidup, lantas menentukan kejayaan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6. Apabila membicarakan tentang tawarikh Islam di Nusantara, sebetulnya wujud pelbagai pendapat dan perbahasan. Ada banyak teori tentang bagaimana dan bilakah Islam telah sampai ke rantau sebelah sini. Sama ada ia telah datang terus dari jazirah Arab, benua kecil India ataupun dari tanah besar China. Namun, satu hakikat yang diketahui secara hakiki adalah ketibaannya secara aman melalui para pedagang dan mubaligh. Dua sumbangan besar Islam kepada Kepulauan Melayu adalah bahasa bertulis dan pemikiran saintifik.
7. Hasil gabungjalin pegangan kepada Mazhab Syafie, aliran Ahlisunnah Wal Jamaah dan budaya tempatan telah membentuk satu pendekatan yang amat unik kepada penganut Islam rantau ini. Keunikan ini dapat dilihat dari metodologi dakwah digunapakai oleh para wali songo yang mengambilkira persekitaran sosiobudaya dan sosioekonomi kumpulan sasar mereka.
8. Masalah mula timbul apabila pengaruh asing mula menyerap dan menular di celah umat Islam di sini tanpa memahami dan mengambilkira persekitaran tempatan. Ia telah menyebabkan bercambahnya ajaran yang bersifat tidak Islamik di rantau ini yang berasaskan keganasan dan sifat tidak toleran. Membunuh diri misalnya bukan ajaran Islam. Malah, ia adalah haram walau apapun justifikasinya. Sememangnya, kita berasa pelik kenapa atas dasar mengislahkan umat, yang perlu dimusuhi dan diperangi adalah umat Islam itu sendiri. Asas-asas ajaran serta doktrin asing ini perlu diperangi bagi memastikan keharmonian umat Islam di rantau ini terus utuh dan ukhuwwah ummat terus terpelihara.
9. Lembaran sejarah Rasulullah SAW juga telah menyaksikan bahawa dalam setiap aspek samada dakwah, pentadbiran negara, kehakiman, hubungan diplomatik mahupun amalan adat resam dan kebudayaan, Baginda tidak menunjukkan sikap ekstrem. Malah, pendekatan yang diperkenalkan oleh Baginda SAW adalah pendekatan wasatiyyah kerana hanya dengan jalan ini Islam dapat diterima oleh semua bangsa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
10. Terkandung dalam kisah atau cerita Malaysia itu sendiri adalah manifestasi pelaksanaan cara dan falsafah wasatiyyah atau terjemahan hampir ke dalam bahasa Inggerisnya “justly balanced”. Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan 60 peratus warganegaranya menganut agama Islam. Minoriti besar rakyat Malaysia sejumlah 40 peratus yang lain pula menganut pelbagai agama. Hakikatnya, bukan sahaja agama yang dianuti warga Malaysia berbeza malahan bahasa, budaya dan taraf sosioekonomi juga tidak sama.
11. Kendatipun di Malaysia wujud kepelbagaian yang kompleks, kedudukan Islam telah dimaktubkan secara rasmi di dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri. Ia telah diperkemaskan lagi dengan penubuhan institusi-institusi bagi mentadbir dan melaksanakan undang-undang syariah serta memajukan kepentingan sosial serta ekonomi penganut Islam. Jelasnya, Islam di Malaysia bukan setakat agama ritual namun telah diamalkan sebagai cara hidup yang syumul.
12. Sekalipun Islam telah diberikan kedudukan perundangan dan pentadbiran yang “preeminent” atau yang tertinggi di atas yang lain dek kerana statusnya sebagai agama persekutuan, juga selaku agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia serta menjadi kepercayaan yang telah memainkan peranan penting di sudut sejarahnya dalam pembentukan identiti kehidupan bernegara, agama-agama lain tetap diberi jaminan perlembagaan serta bebas diamalkan secara aman.
13. Di dalam mengurus perhubungan etnik dan agama di Malaysia, kerajaan semenjak merdeka telah memilih untuk dipandu falsafah integrasi berbanding asimilasi. Beza kedua-dua falsafah pemandu ini amat besar. Integrasi bermakna kepelbagaian dihormati, dikekalkan seterusnya diraikan. Ia selaras dengan prinsip ajaran Islam bahawa tidak ada paksaan di dalam beragama dan kepelbagaian adalah asas untuk kenal-mengenali sebagai satu kerahmatan. Berbeza dengan kaedah integrasi, kaedah asimilasi melakurkan perbezaan bagi tujuan mencipta indentiti yang sama. Malaysia menolak kaedah ini bagi membina negara kerana tidak bersesuaian dengan realiti yang ada.
14. Hasil dari mengamalkan pendekatan wasatiyyah ini semenjak berdekad-dekad, Malaysia sebagai sebuah negara Islam demokratik telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Kita juga telah berjaya menyanggah tanggapan stereotaip selama ini tentang kononnya sesebuah negara Islam itu lazimnya tidak demokratik, bersifat autokratik, walau kaya dengan sumber asli namun gagal menguruskannya dengan baik, tiada pula keadilan sosial.
15. Lantaran itu, Alhamdulillah, kita bersyukur dan berterima kasih kepada bapa-bapa pimpinan terdahulu yang telah merentas denai dan menyuluh contoh teladan. Jalan yang telah mereka pilih telah memastikan Malaysia bukan sahaja terus aman damai bahkan maju dan makmur. Pendek kata, ajaran Islam adalah bersifat benar tetapi yang salah apabila umat itu gagal untuk mengikut ajaran Islam yang betul.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
16. Sesungguhnya, kesederhanaan berimbang yang kita dambakan bukanlah kesederhanaan menurut tafsiran pihak luar atau pihak Barat yang terus cuba mencanai umat Islam mengikut tasawwur mereka. Sebaliknya, wasatiyyah dalam permaknaan dan pengertian kita adalah, wasatiyyah yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui rentetan sirah, antaranya semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudhaibiyah serta kesederhanaan berimbang para Khulafa al-Rasyidin serta para sahabat yang kemudian.
17. Selain itu, di arena kebangsaan dan antarabangsa kita telah memperlihatkan bahawa kita bukan setakat beretorik dalam isu ini malah kita telah mengamalkannya secara istiqomah. Di peringkat global, kita berbaik dengan semua negara sama ada negara Islam atau tidak, namun atas dasar prinsip, kita tidak akan sekali-kali lari dari menyatakan apa yang benar. Kita akan terus memperjuangkan isu dan hak asasi rakyat Palestin untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka. Memperjuangkan yang haq dan menegur yang batil.
18. Hasilnya, kita telah membentuk imej sebuah negara Islam berwibawa dan berkemampuan sehingga berupaya menghantar pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi melindungi umat Islam di Bosnia Herzegovina juga mengamankan negara Islam Somalia. Kita juga telah menempatkan anggota misi pengaman di Selatan Lubnan dan menghantar doktor-doktor wanita ke Afghanistan.
19. Makanya, kenapa kita sebagai umat yang bermaruah sanggup membenarkan Islam dipandang remeh dan diperkotak-katik lantaran ketidakmampuan mengurus maslahah umat Islam itu sendiri? Persoalannya di sini, kenapa pihak ketiga yang selalunya bukan negara Islam diberi kepercayaan dan sandaran untuk menjadi wasit rujukan atau pertelingkahan? Kenapakah rasuah, salah tadbir, salah urus dan ketidakcekapan sering menandai pengurusan negara Islam? Sedangkan kita tahu ajaran Islam seperti mana terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya mampu menjadi panduan yang jelas.
20. Jawapannya adalah, kita sewajarnya memperbetulkan ehwal kita dahulu sebelum kita mampu menjadi obor petunjuk kepada umat manusia sebagaimana umat Islam satu ketika dahulu. Kita perlu mengakui hakikat keperluan untuk berintrospeksi, seterusnya mengambil tindakan pembaikan. Ternyata, masalah umat Islam adalah masalah dalaman yang walaupun tampak seolah sukar dikawal urus tetapi jalan penyelesaiannya memang ada dan memang wujud dengan kembali berpegang kepada ajaran Islam sebenar.
21. Mutakhir ini, keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar. Ini berlaku kerana ada pihak yang mahu mempolitikkan agama sama ada di kalangan penganut Islam atau di kalangan bukan Islam. Dalam sebuah negara yang berbilang kaum polemik tentang agama harus diurus dengan berhemah dan cermat. Ini kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak. Sememangnya di dalam sebuah negara yang demokratik setiap individu bebas menyuarakan pendapat asalkan tidak melanggar undang-undang. Menyuarakan pendapat yang diketahui mampu membakar perasaan penganut agama lain akan mengundang kenyataan balas yang provokatif dan bukanlah satu tindakan bertanggungjawab. Dari itu, semua pihak sewajibnya berhati-hati dan mengambil pendekatan yang bijaksana demi kestabilan nasional. Malah, itulah yang dituntut dalam setiap ajaran agama.
22. Pada zaman ini, dimana masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya, tinggal dan berinteraksi sesama mereka di dalam sesebuah negara atau masyarakat antarabangsa, aspek perpaduan, toleransi seterusnya penerimaan total merupakan faktor utama yang menjadi penyokong kepada pembangunan negara dan keamanan dunia. Sekiranya wujud perpaduan, toleransi dan penerimaan total antara kaum dan penganut-penganut agama yang berlainan, maka agenda-agenda pembangunan masyarakat yang direncanakan serta dilaksanakan dengan mudah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak. Sebaliknya, sekiranya wujud kepincangan kesatuan dari aspek perpaduan, toleransi dan penerimaan total tersebut, maka itu akan membawa kepada keadaan huru-hara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
23. Apa yang mustahak, pada hari ini, kita telah mengihyakan Wasatiyyah sebagai “guiding principle” atau prinsip pedoman kepada gagasan 1Malaysia; ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Inilah falsafah dan formula yang akan merealisasikan aspirasi negara dalam mencapai Wawasan 2020.
24. Benarlah, Islam adalah agama rahmat kepada seluruh manusia. Dasar-dasar pemerintahan Islam tidak menolak kepentingan penganut agama lain. Sejarah telah membuktikan bahawa di beberapa wilayah Islam misalnya, masyarakat bukan Islam juga terlibat dalam urusan pentadbiran. Misalnya di Andalusia, terdapat wilayah-wilayah tertentu telah diperintah oleh kaum Yahudi. Masyarakat Kristian dan Yahudi ketika itu telah menerima wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam tanpa sebarang tekanan dan paksaan.
25. Aspek pengagihan kekayaan dan keadilan sosial juga merupakan faktor penting di dalam mewujudkan kestabilan dalam kalangan masyarakat, dan kestabilan ekonomi sesebuah negara. Aspek ini telah diberi penekanan oleh kerajaan agar kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama kepada semua kaum yang ada di negara ini. Pendek kata, dalam setiap usaha pembangunan dan kemajuan negara, kita telah lama menjurus kepada konsep negara berkebajikan.
26. Jika disoroti sejarah pemerintahan Islam pada zaman Khalifah-khalifah al-Rashidin, masyarakat bukan Islam diberikan layanan yang baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara. Berlaku satu peristiwa apabila Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a bertemu seorang tua keturunan Yahudi sedang meminta sedekah. Beliau sangat bersimpati dengan keadaan orang Yahudi itu dan bertanya akan hal yang menyebabkan demikian. Orang Yahudi itu menjelaskan keadaannya yang uzur menyebabkan beliau tidak berkemampuan untuk bekerja.
27. Setelah mendengar jawapan itu, Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. terus membawa orang Yahudi itu ke rumahnya dan kemudian menghantarnya ke Baitulmal. Di sana ‘Umar al-Khattab r.a. memerintahkan supaya diberi bantuan kepada warga tua Yahudi tersebut. ‘Umar al-Khattab r.a. berkata yang bermaksud: “Tidak ada keadilan sekiranya kita pungut jizyah daripada mereka ketika mereka masih muda dan meninggalkan mereka apabila mereka tua”. Demikianlah betapa indahnya diperlihatkan dalam cerita sahabat akan pendekatan perhubungan antara Islam dan bukan Islam atas prinsip wasatiyyah dengan semangat ehsan manusiawi yang tinggi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
28.Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa pendekatan Wasatiyyah di Malaysia amat perlu di titikberatkan, ia bukanlah satu pilihan bahkan satu imperatif untuk memacu kita mencari hasanah di dunia dan hasanah di akhirat dalam konteks mencapai al-Falah.
29. Kesimpulannya, saya berharap agar konvensyen yang akan berlangsung selama dua hari ini, dimanfaatkan oleh kita semua, bagi mendalami konsep wasatiyyah dan sama-sama memikirkan jalan terbaik untuk melaksanakannya dalam segala aspek berkaitan kehidupan individual dan masyarakat.
30. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarahkatuh dan terima kasih.
No comments:
Post a Comment