Monday, November 14, 2011

@HishammuddinH2O - 2.7 juta RELA, 6,500 kawal keselamatan sasaran penting setiap hari


Kenyataan Akhbar
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Berhubung Pemantauan Aktiviti Penyeludupan Minyak Diesel dan Minyak Petrol RON 95 Bersubsidi


Rentetan kejayaan dalam program kerjasama rintis antara Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Negeri Kelantan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menguatkuasakan undang-undang ketirisan subsidi minyak pada 1 Jun lalu, maka pada hari ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KPDNKK telah bersetuju untuk memperkukuhkan usaha ini dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pemantauan aktiviti penyeludupan minyak diesel dan minyak petrol RON 95 bersubsidi.

Melalui MoU ini, KDN bersetuju untuk membantu pihak KPDNKK dengan menugaskan anggota-anggota RELA untuk membuat pemantauan sekali gus mencegah ketirisan dan penyeludupan minyak bersubsidi di stesen-stesen minyak yang telah dikenal pasti di seluruh negara khususnya di kawasan-kawasan berhampiran sempadan negara.

Hasil kejayaan kerjasama rintis di Kelantan, maka pada 1 November lalu, penugasan anggota RELA di stesen-stesen minyak ini telah diperluaskan ke negeri Perlis melibatkan 4 buah stesen minyak dan 16 anggota setiap hari, di Kedah melibatkan 11 stesen dan 44 anggota dan di Perak melibatkan 2 stesen dan 8 anggota. Keseluruhannya sebanyak 45 stesen minyak dan 290 anggota bertugas setiap hari.

Inisiatif ini dirancang untuk diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada bulan depan. Usaha yang diambil ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan subsidi yang diberi ke atas minyak diesel dan minyak petrol RON95 tidak disalahgunakan untuk manfaat rakyat asing atau pihak tertentu demi mengaut keuntungan.

Pada program kerjasama rintis antara RELA Kelantan dan KPDNKK 1 Jun lalu, seramai 222 anggota RELA telah ditugaskan setiap hari untuk membantu Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK untuk menguatkuasakan undang-undang ketirisan minyak subsidi di sempadan Malaysia/Thailand khususnya di Rantau Panjang, Pasir Mas, Jeli, Kota Bharu, Tumpat dan Tanah Merah.

Melalui langkah ini, maka terbukti bahawa peranan RELA amat penting dalam proses pembangunan negara dan fungsinya wajar dimanfaat dan dipelbagaikan agar sesuai dengan situasi dan tuntutan semasa. Dalam era globalisasi, peranan RELA bukan hanya terhad kepada konsep kemasyarakatan semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan secara lebih kreatif untuk manfaat yang lebih besar kepada negara.

Dengan keanggotaan seramai 2,739,676 orang di seluruh negara (239,244 anggota di Kelantan), hari ini RELA telah memainkan peranan yang cukup besar kepada proses pembangunan bangsa dan negara. Kini, seramai 6,567 anggota RELA telah ditugaskan bersilih-ganti dalam mengawal keselamatan di seluruh negara termasuk membantu menjayakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah yang diletakkan di bawah tanggungjawab KDN; mengawal pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depot Tahanan Imigresen; mengawal Pusat Perlindungan Anti Pemerdagangan Orang (MAPO); Pusat-Pusat Sasaran Penting seperti CIQS dan STOLPORT di Sabah dan Sarawak; serta membantu Jabatan Imigresen Malaysia dalam melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan PATI (Program 6P).

No comments:

Popular Posts