"UMNO dilahirkan oleh kesatuan hati bangsa kita di surau-surau, di bawah-bawah rumah, di sawah ladang daripada segenap lapisan rakyat di seluruh pelusuk tanah air. Ia adalah parti seluruh rakyat bukan hanya pada nama, tetapi pada hati, pada jiwa, pada nurani, pada setiap detik dan degup jantung bangsa tercinta."
2. Ikhlas, apabila Tan Sri memulakan ucapan semalam, saya teringat cerita Tan Sri di awal perhimpunan; kisah rayuan cucu belau sendiri supaya UMNO dijaga demi masa depannya. Sama jugalah apabila wakil Johor, Saudari Hasrunizah pagi tadi berkongsi cerita anaknya menyanyi lagu UMNO di kala beliau bergerak menuju Rumah Keramat UMNO. Semua ini membuatkan saya insaf betapa pentingnya perjuangan kita. Semua ini juga membuat saya sedar betapa bermaknanya majlis semalam, ditakdirkan ianya berlangsung di rumah UMNO. Diraikan ketika perhimpunan agung parti. Dihadiri oleh keluarga besar UMNO dari seluruh pelusuk tanah air; Diuruskan bersama oleh para pemimpin, para pendukung dan warga ibu pejabat. Lebih bererti apabila Tan Sri Pengerusi Tetap sendiri sudi mewakili keluarga, memberi ucapan merestui kedua mempelai. Terima kasih Tan Sri: terima kasih tuan-tuan dan puan-puan sama ada di dalam atau di luar dewan.
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,
3. Berbalik kepada perhimpunan ini, seperti tahun-tahun sebelumnya saya diamanahkan sekali lagi untuk mempengerusikan Jawatankuasa Usul. Terus terang saya katakan bahawa persiapan tahun ini merupakan yang paling sukar pernah saya lalui sepanjang mempengerusikannya. Sukar kerana perhimpunan kali ini berlangsung pada saat paling monumental kerana kita berada di ambang Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal menentukan kedudukan dan kelangsungan perjuangan agama, masa depan tanah air dan nasib anak bangsa.
4. Ia jelas, kerana bahang perhimpunan ini turut dirasai oleh seluruh ahli UMNO di setiap lapisan masyarakat dan terbukti apabila sejumlah 521 usul yang datangnya dari akar umbi melalui cawangan dan bahagian seluruh negara. 476 daripada usul-usul ini telah pun dibincang dan dipersetujui; 45 diterima tanpa bahas; dan tidak ada satu usul pun ditolak. Inilah bukti bahawa UMNO mendengar suara akar umbi, inklusif, tertib dan demokratik. Jauh lebih tertib daripada Pas, jauh lebih inklusif daripada DAP dan jauh lebih demokratik daripada PKR.
5. Alhamdulillah, semua jurucakap dapat membahaskan ketiga-tiga usul dengan baik, berjaya menjiwai tuntutan setiapnya dan telah meletakkan keutamaan kepentingan perjuangan parti di atas kemahuan diri. Akhirnya semua usul yang dibentang telah dipersetujui oleh para perwakilan sebulat suara sebagai ketetapan perhimpunan yang amat penting ini. Terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Usul dan tahniah kepada semua jurucakap negeri, jurucakap sayap-sayap, jurucakap kelab UMNO dan seluruh perwakilan sekalian.
Tan Sri Pengerusi Tetap,
6. Sepanjang tiga hari kita mendengar intipati ucapan para pembahas, saya berpendapat terdapat empat penekanan utama untuk kita bawa pulang dan terjemahkan sebagai panduan dan tindakan ahli-ahli UMNO di kawasan masing-masing:
I. Pertama, Prinsip dan Matlamat Perjuangan
II. Kedua, Pemimpin dan Kepimpinan
III. Ketiga, Prestasi dan Pencapaian, dan
IV. Keempat, Kepincangan dan Ancaman Bahaya Parti Lawan
Tan Sri Pengerusi Tetap,
7. Pertama: Prinsip dan Matlamat Perjuangan – Sesungguhnya UMNO dilahirkan oleh kesatuan hati bangsa kita di surau-surau, di bawah-bawah rumah, di sawah ladang daripada segenap lapisan rakyat di seluruh pelusuk tanah air. Ia adalah parti seluruh rakyat bukan hanya pada nama, tetapi pada hati, pada jiwa, pada nurani, pada setiap detik dan degup jantung bangsa tercinta. Kita istiqamah dalam menatang perjuangan; UMNO konsisten pertahankan tiang-tiang seri negara. Prinsip dan Matlamat Perjuangan kita tetap sama. Bezanya pada hari ini, lanskap baru politik menuntut transformasi dalam pendekatan kita. Cara kita berfikir; Cara kita bertindak serta cara kita berkomunikasi. Kita perlu lebih inklusif, bukan sahaja di kalangan orang-orang UMNO dan Barisan Nasional, tetapi menjangkau seluruh rakyat khususnya generasi muda. Kita perlu berbicara dalam bahasa yang mereka fahami, samada secara fizikal dan juga di alam siber. Ini sedang kita lakukan dan akan terus kita sampaikan kepada rakyat.
8. Kedua : Pemimpin dan Kepimpinan. Selain ahli, pemimpin dan kepimpinan adalah elemen penting untuk pertubuhan. Kita bersyukur peralihan kuasa dalam parti ini telah berlangsung dengan tertib dan sempurna sejak dahulu lagi, tiada pergeseran dan berlaku dalam suasana kekeluargaan. Akhirnya prinsip dan matlamat perjuangan bersambung demi anak watan. Setiap kepimpinan UMNO mempunyai legasi yang tersendiri di era masing-masing. Hari ini sejarah itu diteruskan oleh YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. YAB Presiden kita hari ini juga mempunyai gaya dan pendekatan beliau yang tersendiri. Tidak ada golongan yang dipinggir dan disisih - peneroka, cikgu, pegawai kerajaan, nelayan, petani, pemandu teksi, penjaja kecil, mahasiswa, penganggur, ibu tunggal; semuanya dilibatkan. Inilah keterangkuman. Inilah inclusivity yang perlu kita lakukan secara berterusan jika kita mahu memastikan UMNO terus relevan. Kita harap parti komponen juga dapat melakukan perkara yang sama dalam menjayakannya. Jika kita dapat lakukan semua ini secara berterusan saya yakin dan percaya, kita akan berjaya menutup ruang bagi pembangkang untuk terus meracuni rakyat.
9. Ketiga : Prestasi dan Pencapaian. Sepanjang 66 tahun penubuhan UMNO dan sejak 55 tahun kemerdekaan negara, agenda pembelaan rakyat dan program pembangunan negara sentiasa diutamakan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Hasilnya bukan sahaja dapat didengar, dapat dilihat tetapi dapat turut dirasai dan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya. Malah kejayaan ini tidak terhenti di situ saja. Malaysia telah menjadi contoh teladan dalam pelbagai bidang sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Namun begitu, kita masih belum berpuas hati dan ini diakui secara jujur dan ikhlas oleh YAB Presiden bahawasanya Kerajaan Barisan Nasional tidak sempurna dan hakikatnya memang tidak ada mana-mana Kerajaan di dunia ini pun yang sempurna. Inilah sifat pemimpin yang telah dikupas dengan terperinci dan begitu jelas oleh Ustaz Fathul Bari, Wakil Perlis pagi tadi, yang sebenarnya ada pada Presiden kita.
10. Kita bermuhasabah, kita akui kelemahan diri dan kita memohon maaf atas kekurangan yang ada. Kita tidak menunding jari menyalahkan orang lain. Kita tidak angkuh dan kita juga tidak taksub sehingga gagal membezakan kebaikan dan keburukan, kebenaran dan kebatilan. Apatah lagi, kita tidak sanggup mendoakan kehancuran orang lain semata-mata dirasuk untuk mengecapi tampuk kekuasaan. Inilah yang membezakan kita dengan yang lainnya. Inilah UMNO, parti keramat orang-orang Melayu. Parti yang tidak pernah lari dari tanggungjawab. Kita akan terus menangani permasalahan rakyat demi kesejahteraan bersama.
Tan Sri Pengerusi Tetap,
11. Penekanan Keempat : Kepincangan dan Ancaman Bahaya Parti Lawan. Terlalu banyak kepincangan dalam parti lawan jika mahu dinyatakan satu persatu. Banyak itu jugalah ancaman bahaya yang akan timbul sekiranya mereka mendapat kuasa. Sepanjang perbahasan, para juru cakap acap kali mengupas perkara ini. Pakatan mereka songsang, ideologi mereka caca marba, pemimpin mereka sesumpah politik, pemimpin mereka sanggup mengkhianati agama, khianati bangsa, khianati negara. Pilihan Raya bukan medan uji kaji. Bukan perkara cuba-cuba. Apatah lagi bagi pujuk rayu untuk diberi peluang. Ayuh sampaikan mesej ini kepada seluruh rakyat; jangan lupa mereka telah diberi peluang mentedbir di beberapa negeri; mereka diberi peluang untuk menunjuk prestasi, tetapi mereka gagal. Mereka diberi peluang untuk menunaikan janji, tapi mereka mungkiri. Mereka tipu rakyat. Mereka Penipu. Kita tanya orang Penang apa jadi di Pulau Pinang? Kg Buah Pala, tipu atau tidak? Selangor? Elaun ibu tunggal, tipu atau tidak? Kelantan? Air bersih dan lebuhraya, tipu atau tidak? Kedah? Dari mula sampai akhir semuanya, tipu.
12. Sebab itulah kita tidak boleh cuba-cuba. Seperti yang Ustaz Afendi, Wakil Kelantan katakan, ini bukan untuk suka-suka, untuk seronok-seronok. Sebab itulah kita tidak boleh pertaruhkan masa depan kita, perjudikan masa depan cucu Tan Sri Pengerusi Tetap, anak Ketua Puteri Pontian; masa depan anakanda saya, Alyssa; dan impian seluruh anak cucu cicit kita untuk melihat masa depan mereka yang lebih sempurna.
13. Jangan kita lupa ikatan sumpah taat setia yang kita lafazkan tahun lepas. Jangan kita khianati harapan rakyat dan perjuangan murni ini. Ingatlah, “tidak ada sebaik-baik janji melainkan kepada diri sendiri dan kepada Allah swt. Kerana tiada yang lebih sayu dari melihat bangsa sendiri menjadi hamba. Tiada yang lebih pilu dari melihat anak bangsa melarat dan menderita.”
14. Alhamdulillah, kita sepakat hari ini. Berazam dan berjanji untuk bersama-sama YAB Presiden dan seluruh kepimpinan untuk kita patahkan fitnah dan penipuan pembangkang dengan yakin dan berani. Kita berjanji untuk bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan agama; kita berjanji untuk membina masa depan yang lebih sejahtera dan memakmur negara demi anak cucu cicit kita. Inilah komitmen kita kepada rakyat. Inilah janji kita!
15. YAB Presiden, tidak kira bila pilihan raya akan diadakan, kita akan gerakkan jentera dan mematuhi arahan. Kepada rakan-rakan di kerusi yang menjadi impian pembangkang, jangan gusar, jangan gentar untuk menghadapi musuh politik kita. Tuan-tuan dan puan-puan tidak keseorangan. Kita semua akan bersama dalam susah senang. Tingkatkan azam, kita gempur kubu-kubu mereka, leburkan impian mereka untuk selama-lamanya.
15. Saya berdoa semoga Allah S.W.T merahmati dan memberkati segala usaha kita, agar doa kita dimakbulkan untuk terus mengemudi negara selepas pilihan raya nanti. Bersatulah sekalian anak bangsa. Bersatulah seperti belum pernah kita bersatu sebelum ini. Usah khuatir, usah gulana, usah termenung, usah termangu, barakan jiwa, maralah dengan satu ikatan, satu perasaan, Putrajaya kita pertahankan!
No comments:
Post a Comment