Saturday, September 24, 2011

Hudud - Cara Nik Aziz melacurkan agama



‘Nyanyian’ lama Nik Aziz bergema semula
Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Aziz Nik Mat kembali bercakap soal pelaksanaan hukum hudud, percayalah ia hanyalah kenyataan politik menjelang pilihan raya.

Malah lebih daripada itu, Mursyidul Am Pas tersebut akan dilihat hendak mengalih perhatian rakyat terhadap isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Sebenarnya, kalau Pas benar-benar ikhlas hendak melaksanakan hukum hudud sudah pasti parti itu akan bermati-matian mempertahankan perjuangan negara Islam yang dipeloporinya.

Tetapi semua itu terkulai layu dalam muktamar tahunan parti tersebut baru-baru ini, apabila Pas menyatakan ingin memperjuangkan negara berkebajikan dan ia disusuli dengan pelancaran manifesto mengenainya minggu lalu.

Oleh itu, kita perlu bertanya kepada Nik Abdul Aziz, apakah pelaksanaan hukum hudud ini sudah mendapat restu Pas pusat atau ia sebagai ‘gula-gula’ Pas Kelantan untuk menghadapi pilihan raya?

Nik Abdul Aziz amat memahami rakyat Kelantan kini semakin menyedari kemampuan Pas selepas 21 tahun mereka memerintah, kalau mengikut kepada ‘cuaca politik’ sekarang, pemerintahan Pas akan berakhir di negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.

Apatah lagi, Nik Abdul Aziz dan Pas Kelantan melihat semakin ramai orang Melayu di negeri itu yang sebelum ini begitu percaya bahawa Pas akan melaksanakan hukum hudud dan mempertahankan perjuangan Islam mendapati penantian mereka hanya sia-sia.

Pas Kelantan amat memahami situasi ini apatah lagi dari semasa ke semasa banyak kemelut berlaku melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru Nik Abdul Aziz kembali mendendangkan lagu ‘hukum hudud’ dalam usaha untuk menarik perhatian pengundi-pengundi Kelantan.

Dan seperti diduga ‘nyanyian sumbang’ berkenaan mendapat tentangan daripada DAP yang boleh dianggap ‘pengkritik tetap’ terhadap ‘sandiwara’ Pas dalam soal hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Berdasarkan hakikat itu, tidak payahlah kita terpengaruh dengan polemik baru antara Pas dan DAP dalam isu hukum hudud ini, sebaliknya tidak harus melupakan dua isu berkaitan kedua-dua parti berkenaan yang berlaku sekarang.

Pas sedang berusaha mencuci imej berikutan isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu manakala DAP pula berhadapan dengan isu menggantikan Jalur Gemilang yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M.Manoharan.

Isu hudud hanyalah ‘peluru-peluru’ terakhir yang terpaksa digunakan bagi mengalihkan isu-isu berkenaan, namun pujian perlu diberikan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sentiasa konsisten menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud.

Ertinya dari segi sikap konsisten dalam pendirian politik, Karpal Singh dan DAP jauh lebih baik daripada Pas yang bersedia mengubah pendiriannya semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Jika Pas benar-benar mahu memperjuangkan hukum hudud, Pas sudah pasti tidak akan berganjak daripada perjuangan negara Islam tetapi apa kata Nik Abdul Aziz pada 25 Jun 1999?

Antara lain beliau berkata, “Pas Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa...”.

Itu kata Nik Abdul Aziz sendiri tetapi kenapa baru sekarang Menteri Besar Kelantan itu hendak bercakap soal hukum hudud? Bukankah dari satu segi ia sudah ‘nampak menyusahkan’ kerjasama dengan DAP?

Sebenarnya perjuangan untuk melaksanakan hukum berkenaan sudah lama tidak ada dalam diari politik Pas, malahan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas mengeluarkan manifesto bertemakan, ‘‘Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih’ Menuju Negara Berkebajikan.’’

Kalau Pas Kelantan benar-benar ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh apabila diberi peluang untuk memerintah Kelantan bagi penggal kelima pada pilihan raya umum lalu.

Tetapi Pas tidak berbuat demikian sebaliknya tumpuan utama parti itu termasuk di Kelantan ialah membantu pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Malahan sepanjang keterujaan ke Putrajaya berkenaan tidak ada satu pun konvensyen , seminar atau muktamar dianjurkan oleh Pas bagi menunjukkan keseriusan mereka untuk melaksanakan hukum hudud.

Maknanya, jelaslah apa yang diperkatakan oleh Nik Abdul Aziz hanyalah mainan politik Pas Kelantan sahaja dalam usaha mengekalkan kuasa pemerintahan di negeri itu.

Bagi Pas pusat pula, walaupun mereka mengetahui bahawa tindakan Nik Abdul Aziz hanya akan mencetuskan polemik dengan DAP tetapi mereka pastinya akan mendiamkan diri.

Ia kerana sekurang-kurangnya tindakan Nik Abdul Aziz itu boleh meredakan ketegangan akibat isu yang dicetuskan oleh Mohamad Sabu.

Kalau benar Pas bersama-sama Nik Abdul Aziz mahu memperjuangkan hukum hudud dan negara Islam sudah pasti Pas tidak akan bersedia bekerjasama dengan DAP sejak awal lagi.

Pas sudah tahu pendirian konsisten DAP dalam soal berkenaan tetapi Pas bersedia bekerjasama dan seterusnya menggadaikan segala-galanya kerana Pas tidak mahu ketinggalan ‘kapal kekuasaan’ yang sedang diusahakan oleh pakatan pembangkang.

Jika Pas menganggap bahawa polemik dengan DAP bukanlah usaha untuk mengalih isu, maka Nik Abdul Aziz sebagai tokoh yang paling dihormati dalam Pas perlu membuat kenyataan untuk mendesak Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

Tindakan itu bukannya aneh kerana pada tahun 1990, Pas yang terlalu ingin berkuasa bersedia bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat (S46) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tetapi enggan bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif.

Jika tindakan ini tidak dilakukan, maka anggaplah sahaja apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz hanyalah sekadar sandiwara politik menjelang pilihan raya semata-mata dan ia akan sunyi kembali apabila pilihan raya berakhir.


No comments:

Popular Posts