Saturday, August 20, 2011

Penipuan Azmi Shahrom: Pensyarah malas buat rujukan punca UM rosak?


Membuta tuli dan malas buat homework?


Kenyataan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon jelas menunjukkan Azmi Shahrom tidak buat homework sebelum membuat kenyataan media.

Kenyataan bahawa "dalam tempoh 2009-2010, seramai 122 profesor/ profesor madya dan pensyarah/ ahli akademik telah meletakkan jawatan. Seramai 52 orang staf akademik dari Fakulti Perubatan telah mengambil tindakan sedemikian, 12 orang dari Fakulti Perakaunan, 10 orang dari Fakulti Sains, 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan, dan selebihnya seperti pada Lampiran 7 memorandum," jelas merupakan satu penipuan dan disangkal oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menjelaskan bahawa hanya 76 staf Universiti Malaya (UM) meletakkan jawatan sejak 2009 manakala 53 bersara dan empat meninggal dunia. Menurutnya, ini menjadikan secara keseluruhannya UM hanya 'kehilangan' 123 staf dalam tempoh itu, bukannya 146 meletak jawatan seperti yang dilaporkan.

Kenyataan "dalam tempoh yang sama, pihak pengurusan Naib Canselor telah melantik seramai 480 orang pensyarah baru di mana 80% daripada jumlah itu daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain negara Dunia Ketiga," jelas tersasar dari kenyataan sebenar kerana jumlah staf akademik asing UM hanya pada kadar 15.9 peratus dan menepati saranan yang ditetapkan oleh Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN). Bilangan staf akademik di UM adalah seramai 1,858 orang dan daripada jumlah itu, 295 orang adalah kakitangan akademik luar, bukan 384 orang atau 80% dari 480 orang penyarah baru seperti yang didakwa oleh Azmi. Sebagai tambahan terdapat 466 orang ahli akademik UM yang masih melanjutkan pelajaran di peringkat PHD di luar negara yang akan kembali berkhidmat untuk UM.

Dalam kenyataan Azmi juga nampaknya Azmi tidak tahan dengan transformasi yang ingin dibawa oleh Ghauth. Kenyataannya yang mengeluh "dalam tempoh kepimpinan beliau, Naib Canselor telah memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor dengan lebih memberatkan penerbitan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa), dan kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu." menunjukkan sikap ahli akademik yang lemah dan tidak tahan dengan cabaran transformasi untuk mengangkat martabat UM di peringkat antarabangsa.


Baca kenyataan Ghauth di bawah:

Staf asing UM ikut pelan PSPTN


KUALA LUMPUR 19 Ogos - Jumlah staf akademik asing dalam Universiti Malaya (UM) yang kini pada kadar 15.9 peratus adalah menepati saranan yang ditetapkan oleh Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN).

Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon berkata, menerusi pelan tersebut, UM selaku universiti penyelidikan perlu memiliki sekurang-kurangnya 15 peratus staf akademik asing.

Jelasnya, ketika ini bilangan staf akademik di UM adalah seramai 1,858 orang dan daripada jumlah itu, 295 orang atau 15.9 peratus adalah kakitangan akademik luar.

"Jadi, apa yang dilakukan oleh UM adalah semata-mata memenuhi kehendak PSPTN. Ia sekali gus menyangkal dakwaan bahawa kita (UM) mengutamakan pengambilan staf akademik asing berbanding anak tempatan.

"Berdasarkan universiti ternama seperti Harvard, peratusan staf antarabangsa mereka adalah lebih besar sehingga 50 peratus daripada rakyat mereka sendiri. Namun di UM, staf akademik asing adalah berstatus kontrak.

"Kita mempunyai 466 staf yang kini mengikuti pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) ke luar negara. Bila mereka tamat pengajian nanti, mereka ini sudah pasti akan berkhidmat semula dalam UM.

"Ini belum masuk bilangan seramai 97 orang lagi yang kini mengikuti pengajian PhD di UM menerusi skim Bright Sparks," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut sama dalam sidang akhbar itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. K. Ratnavelu.

Beliau mengulas dakwaan yang mendedahkan seramai 146 staf akademik UM meletak jawatan sejak 2009 kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya sehingga menyebabkan universiti itu berhadapan dengan krisis kemerosotan ilmuwan serta pakar.

Ghauth turut didakwa terpaksa melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain ekoran krisis kemerosotan tersebut.

Mengulas lanjut, Ghauth berkata, jumlah staf yang meletak jawatan bagi 2009 hingga 2011 adalah seramai 76 orang manakala 43 lagi bersara wajib dan empat (meninggal dunia).

Jelasnya, kebanyakan staf yang meletak jawatan adalah dari Fakulti Perubatan dan ia merupakan fenomena biasa memandangkan ramai ahli akademik dari fakulti itu mendapat tawaran bekerja dan gaji lumayan di hospital swasta atau institusi lain.

Ujar beliau, menerusi Pelan Transformasi UM yang sedang dilaksanakan ketika ini, pihaknya mahu melonjakkan kedudukan UM di kedudukan tertinggi serta mampu bersaing dengan universiti ternama di peringkat antarabangsa.

"Saya risau dan sedih kita di Malaysia telah kalah dengan universiti luar termasuk universiti negara jiran seperti Singapura dan Thailand. Jadi, menjadi tugas saya untuk kembalikan UM ke hadapan.

"UM perlu menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi. Untuk itu, setiap staf akademik diminta bersaing dalam menghasilkan penyelidikan sedemikian. Membawa UM di kedudukan terbaik akan menunjukkan dunia bahawa di Malaysia, kita pun ada universiti berkualiti.

"Saya bukan gila ranking tetapi dengan kedudukan terbaik, ia boleh digunakan untuk 'memasarkan' nama UM kepada dunia luar. Soal turun naik (ranking) itu perkara biasa. Untuk itu, kita mahu kedudukan UM sentiasa meningkat," tegasnya.

1 comment:

Anonymous said...

Yang bersara tu, cuba tengok berapa ramai yang "bersara awal". Saya kenal sendiri prof-prof yang bersara awal kerana Ghauth Jasmon. Mereka ini bersara awal dan berkhidmat secara kontrak di tempat lain. Walhal jika tidak kerana VC ini yang ini, mereka akan bersara lambat. Prof2 ini bukan calang calang. Jangan hanya tengok figure yang disogok oleh sebelah pihak sahaja.

Popular Posts