Semalam di Taman Po Hing, tiga orang anak muda Sabah dengan berani telah menegaskan bahawa Sabah untuk Orang Sabah atau Sabah for Sabahans adalah slogan lapuk dari seorang yang berfikiran sempit dan terkebelakang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Sdr Azman Ruslan melabelkan akronim Yong Teck Lee atau YTL sebagai Yang Telah Lapuk di atas pemikiran kuno beliau. YTL disifatkan sebagai seorang yang tidak berdiri di bumi yang nyata, sebaliknya masih berkhayal tentang zaman puncak kekuasaannya sebagai Ketua Menteri Sabah.
Ketua Pergerakan pemuda UMNO Batu Sapi, Sdr Firdaus Akbarkhan, menyatakan generasi muda di Sabah sudah melihat ke hadapan, tidak mahu terperangkap dan terpisah akibat sentimen kenegerian. Generasi muda Sabah mahu maju, bukan sendiri, tetapi bersama-sama rakan-rakan seperjuangan di Semenanjung. Firdaus menyebut YTL mungkin tidak sedar sudah ramai anak Sabah yang berjaya sebagai pemimpin di peringkat nasional seperti Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara dan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula menegaskan bahawa sentimen kenegerian sempit Sabah for Sabahan yang dibawa oleh YTL amat merbahaya kerana ia bertujuan untuk memisahkan rakyat Sabah dari kesepakatan 1Malaysia dan mahu memecah belahkan rakyat Malaysia. Rahman menyatakan di Parlimen, Speaker Dewan Rakyat yang perlu dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen adalah Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Beliau memberi beberapa lagi contoh pemimpin di peringkat nasional yang berasal dari Sabah dan anak-anak muda Sabah sudah semakin yakin untuk memainkan peranan di peringkat nasional.
Rahman juga menegaskan bahawa dakwaan YTL bahawa Sabah terpaksa tunduk kepada pemimpin Semenanjung juga tidak benar kerana pemimpin Sabah bukan sahaja mempunyai tempat dalam Kerajaan dan Majlis Tertinggi BN, tetapi juga diberi pengiktirafan dan layanan yang adil.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin (KJ) dalam ucapannya pula, menyatakan bahawa ramai pemimpin Sabah diberi tempat dalam kepimpinan UMNO oleh ahli dan pemimpin UMNO. Ini jelas apabila perwakilan memilih Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebagai Naib Presiden, Dato' Seri Musa Aman sebagai Ahli Majlis Tertinggi yang mempunyai undi kedua terbanyak dan Dato' Rosnah Rashid Shirlin sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.
Katanya, ini berbeza dengan Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak memberi tempat kepada pemimpin dari Sabah. Misalnya, dalam Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Anwar menamakan Ansari sebagai calon bukan kerana ia kehendak pemimpin PKR dan kepentingan rakyat di Batu Sapi, tetapi kerana menjaga kepentingan politiknya dalam pemilihan PKR. Malah dalam pemilihan PKR pun, ahli-ahli PKR tidak memberi tempat kepada pemimpin Sabah dan ini jelas bila kita melihat kepada undi-undi yang diterima oleh calon-calon Naib Presiden PKR.
Kata KJ, beza antara UMNO dengan PKR adalah, UMNO sudah mengotakan apa yang dikata, sedangkan PKR hanya sekadar berjanji.
No comments:
Post a Comment