Petang semalam saya meluangkan masa menghadiri Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Terdapat enam (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan lebih 7,000 aktiviti dengan lebih 2,000 program serta 100 projek dipamerkan ke pengetahuan umum agar rakyat mendapat pendedahan mengenainya dan dilibatkan bagi menjayakannya.
Daripada respon pengunjung dan peserta yang aktif semasa sesi pembentangan makmal, saya berani mentafsirkan bahawa rakyat memang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang NKRA, mahu merungkaikan kesangsian dan persepsi mereka terhadap bidang dan agensi terbabit serta ingin dilibatkan bagi memantau dan menjayakan NKRA ini. Ia adalah satu petunjuk bagus kerana rakyat mengambil inisiatif untuk menjawab perasaan ingin tahu ini melalui penglibatan mereka dan ini boleh menyelamatkan mereka dari dibohongi oleh portal atau blog tertentu.
Jika tidak, mungkin mereka menganggap kenyataan Lim Kit Siang tentang NKRA sebagai betul. Entah macam mana Kit Siang boleh mengatakan ada tujuh (7) NKRA, termasuk 1Malaysia - mungkin kerana dia tidak berapa faham, malas membaca, sengaja tidak mahu faham atau memang hendak menyebarkan pembohongan - sedangkan sejak 27 Julai 2009 Perdana Menteri hanya mengumumkan enam (6) NKRA, iaitu;
1. meluaskan akses terhadap pendidikan boleh mampu dan bekualiti
2. mengurangkan kadar jenayah
3. memerangi rasuah
4. meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah
5. memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
6. menambah baik pengangkutan awam
Dua matlamat GTP adalah, pertama untuk menjadikan kerajaan sebuah entiti yang lebih efektif dan bertanggungjawab. Kedua, untuk melonjakkan kesemua masyarakat Malaysia ke tahap yang lebih maju, bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan tinggi untuk semua sesuai dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara yang serba serbi maju menjelang tahun 2020.
Saya berkesempatan mengikuti pembentangan di dua makmal Makmal pertama adalah Makmal Jenayah dengan NKRA untuk "Mengurangkan jenayah untuk Malaysia yang lebih selamat" dan kedua, Makmal Pendidikan dengan NKRA untuk menyediakan "Pendidikan Berkemampuan (affordable - mungkin lebih jelas dan tepat diterjemah sebagai boleh mampu atau yang termampu) dan Berkualiti Untuk Semua Rakyat".
Syabas saya ucapkan kepada pembentang yang membentangkannya kepada peserta makmal. Saya kira mereka berjaya untuk membentangkannya dengan baik. Dalam Makmal Jenayah misalnya, terdapat lima bidang utama dengan sejumlah strategi. Dalam Makmal Pendidikan, usaha tertumpu kepada empat bidang utama.
Berdasarkan pemerhatian saya, walaupun pembentang dapat membentangkan pelan dan strategi NKRA tersebut dengan baik, namun kelemahan paling utama pembentang dalam makmal Jenayah yang saya hadiri petang semalam adalah dari segi keupayaan mereka menjawab soalan dengan tepat dan meyakinkan.
Dalam Makmal Jenayah misalnya, ada beberapa soalan yang saya anggap tidak berjaya dijawab dengan baik dan memuaskan hati penyoal. Contohnya, soalan tentang aspek pendidikan dan pencegahan sebelum seseorang terjebak menjadi penjenayah; persepsi negatif yang menghantui diri seorang peserta tentang pasukan polis termasuk tata cara mereka mengadakan sekatan jalan yang tidak seragam; soalan yang melibatkan jenayah yang dilakukan oleh warga asing yang sukar dikesan akibat kaedah pengenalan (pasport, cap ibu jari dan biometrik) mereka yang longgar dan soalan saya sendiri tentang bagaimana mereka hendak melaksanakan apa yang dirancang dalam kejiranan yang mempunyai polisi untuk membina rumah tidak berpagar di Putrajaya yang ibarat mengundang jenayah masuk ke halaman dan rumah.
Selain itu saya melihat ada beberapa isu yang memerlukan perhatian, pertama, walaupun program dirancang dalam Makmal Jenayah nampaknya amat menarik, namun adakah peruntukan untuk melaksanakan semua program ini telah dimasukkan dalam Bajet 2010? Adalah sukar untuk melaksanakan setiap program ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana peruntukan setiap kementerian telah dikurangkan. Bukan sahaja sejumlah `hardware' diperlukan, malah keperluan guna tenaga yang mencukupi termasuk penglibatan sukarelawan masih memerlukan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam setiap NKRA dapat dicapai.
Kedua, walaupun sasaran jangka pendek, iaitu menjelang 2010 nampak seperti rendah dan mudah dicapai, namun ia merupakan tugas yang agak sukar. Misalnya, sasaran untuk menurunkan kadar jenayah sebanyak 5% menjelang hujung tahun 2010 mungkin dianggap sebagai mampu dicapai, namun ia bukan suatu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi mengambil kira trend menaik (uptrend) kadar jenayah.
Dalam makmal pendidikan pula, saya mempunyai sejumlah isu. Pertamanya, dari segi definisi pendidikan boleh mampu (affordable) dan berkualiti. Bagi saya pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia adalah affordable secara amnya selepas pemansuhan yuran sekolah dan yuran peperiksaan serta dengan segala bantuan pendidikan yang diberikan. Namun bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, ia bergantung kepada bagaimana kita mentafsir maksud kualiti. Adakah kualiti ini berkait dengan infrastruktur, pencapaian pelajar atau pencapaian guru? Sama ada pencapaian pelajar itu hanya berkaitan dengan jumlah A yang diperolehi dalam bidang akademik atau pembangunan sahsiah yang lebih menyeluruh?
Ini penting kerana definisi kualiti ini berkait dengan soalan kedua, iaitu sejauh mana peruntukan yang diperuntukkan berpadanan dan mencukupi bagi menjadikan pendidikan dalam sesebuah institusi menepati maksud berkualiti. Misalnya, jika pendidikan berkualiti di tafsirkan sebagai mempunyai saiz kelas sebesar 25 orang murid di dalam kelas, maka peruntukan yang mencukupi diperlukan untuk membina lebih bilik darjah untuk sekolah-sekolah yang mempunyai saiz kelas seramai 50 orang. Di akhir slaid, dimaklumkan bahawa pengukuran ini dinilai berdasarkan 70% markah pencapaian dalam bidang akademik dan 30% berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Persoalannya, sama ada ini tepat sebagai pengukur kualiti seperti yang diinginkan oleh pengguna, iaitu murid dan ibu bapa mereka?
Kedua, persoalan yang sama dengan yang dilontarkan tentang NKRA mengurangkan jenayah, iaitu sama ada peruntukan yang mencukupi diperuntukkan bagi melaksanakan semua program yang disenaraikan? Misalnya, bagi meningkatkan jumlah guru pemulihan di sekolah, iaitu dari seorang setiap sekolah kepada 15 orang setiap sekolah tentunya memerlukan sejumlah peruntukan yang tinggi. Begitu pun penambahan ini tidak bermakna jika sekolah tidak mempunyai ruang fizikal bagi kelas pemulihan dan keutamaan terhadap aspek pemulihan tidak diberikan oleh pihak sekolah, ia masih tidak memadai.
Ketiga, sama ada semua sumber yang ada disalurkan untuk jabatan yang betul. Jika pendidikan berkualiti ingin dicapai, adakah kita meletakkan peruntukan yang mencukupi dan berpadanan untuk memperkukuh jabatan profesional di kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah? Dan, adakah pendekatan yang betul digunakan, iaitu sama ada kementerian akan lebih menekankan aspek proses berbanding aspek penyelesaikan masalah pendidikan.
Adalah amat menarik untuk melihat peringkat kedua GTP ini, iaitu peringkat Pembangunan disempurnakan. Lebih menarik adalah untuk melihat peringkat ketiga, iaitu Pemantauan Prestasi dilaksanakan.
Tahniah kepada Perdana Menteri yang bertindak berani untuk memperkenalkan NKRA dan KPI serta bersikap telus (transparent) untuk membentangkannya kepada tatapan umum. Seperti yang saya pernah sebutkan dalam tulisan saya mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebelum ini, salah satu faktor utama yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan sebelum ini adalah akibat kegagalan melaksanakan program dan projek tepat pada waktunya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat merasakan manfaat dari dasar-dasar kerajaan dan secara tidak langsung menyebabkan ekonomi domestik tidak berkembang dan rakyat merasai kesannya.
dalam tulisan sama, saya turut mempersoalkan tentang keberkesanan pelaksanaan kaedah dan program pengukuran prestasi penjawat awam seperti Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), anugerah prestasi cemerlang, Sasaran Kerja Tahunan (SKT), penilaian prestasi tahunan, penarafan bintang (Star Rating) yang diperkenalkan oleh MAMPU, Program Berimpak Tinggi (HIPs) dan pelbagai langkah untuk menjadikan penjawat awam lebih cekap dan efektif sepanjang tempoh 2004 sehingga 2008 kerana saya tidak nampak bagaimana ia menyumbang dari aspek pelaksanaan yang berkesan dalam RMKe-9. Saya berharap NKRA dan KPI tidak mengalami nasib yang sama. Ia hanya pandangan saya yang tidak seberapa (2 cents worth - bernilai 2 sen).
Apa pun, pameran dan makmal-makmal ini amat menarik untuk dihadiri. Semoga sesi petang esok akan menarik kunjungan dan penglibatan lebih ramai rakyat dan pihak berkepentingan. (stake holders - diterjemahkan sebagai pemegang saham dalam buku kecil Program Transformasi Kerajaan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Forum Air Selangor - 14 Fakta DS Ir Mohd Zin Yang Mesti MB Selangor Jawab! 1. Kerajaan Pakatan Selangor mengadakan Forum Air Selango...
-
Polis Bukit Kepong wira sebenar Oleh Shamsul Kamal Amarudin http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PolisBukitKepongwirasebenar/Article 2...
-
Tahniah mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Terima kasih atas jemputan. Terima kasih juga kepada blogger bebas dan TV Selan...
-
Tiga soalan - keadilan media, pembunuhan altatunya, debat PM - Anwar. Terima kasih kepada Fotoblogger Ammray Lensa Assault kerana b...
-
Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbaga...
-
KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA Dan PERSATUAN KELUARGA JAMALULLAIL PERAK Mewakili Waris dan Kerabat D...
-
Kata seorang rakan yang berkunjung ke LCCT baru-baru ini - "Tiada bilik, tiada lounge, tiada sofa, tiada partition pun. Tempatnya terbu...
-
KETUA PENCEROBOH TERBUNUH, 20 MAYAT PENGGANAS DITEMUI http://keris7lok.blogspot.com/2013/03/ktua-penceroboh-terbunuh-20-penggana...
-
Saya dok perhati saja video wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid ni. Pada saya dia ni terlalu obsessed dengan data, sampai cara dia mentaf...
-
NOTA : Angin ada. Bunyi ada. Pohon bergoyang. Entah apa kaitannya tak tau la. Tapi mungkin sebab ada monyet... beli popcorn, hot do...
1 comment:
Untuk NRKA Meluaskan akses terhadap pendidikan boleh mampu dan berkualiti, saya cadangkan kerajaan kurangkan hantar pelajar ke UK yang caj yuran mahal. Kemudian banyakkan hantar pelajar ke Sweden, Germany dan Finland yang beri pendidikan tinggi percuma untuk Ijazah, Master dan PhD.
Post a Comment