Memorabilia UMB - merekodkan perjalanan UMB dari permulaan sehingga tahun 2012.
Seperti yang dijanjikan, ini adalah siri kedua penerangan untuk mengelakkan salah tanggap masyarakat terhadap Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO.
Maafkan penggunaan tajuk di atas - saja je...
Siapa sebenarnya KETUA PEGARAH / KETUA PENGARAH OPERASI / COO operasi siber Barisan Nasional (BN) PRU13?
Adakah Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO? Adakah Menteri Penerangan atau Menteri Propaganda Datuk Seri Utama Rais Yatim? Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor? Datuk-Datuk Ahli Majlis Tertinggi? Setiausaha Akhbar Perdana Menteri?
Atau adakah dia Presiden Bloghouse? Pengerusi UMB? Salah seorang dari lembaga jemaah pentadbir MyKMU? Pengerusi Nadi Rakyat? Pengerusi Kaukus Blogger-blogger bebas? atau siapa sebenarnya?
Yang pastinya bukan Pengerusi UMB.
Jadi kenapa terdapat arahan serangan kononnya dari pegawai pejabat pemimpin tertinggi tertentu untuk mempertikaikan UMB sedangkan bukan UMB yang mengendalikan operasi ini secara tunggal dan sepenuhnya?
UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka. Misalnya, bila kumpulan blogger tertentu gagal di dalam sesuatu misi, untuk mengelakkan diri dari dipertanggung jawabkan, mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata KAMI BUKAN JENTERA PARTI, APA JENTERA PARTI BUAT? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti.
Trend yang sama juga berlaku selepas PRU13.
Bagi saya, kalau tidak ada pihak yang CUKUP BERANI untuk memikul tanggung jawab kegagalan sesuatu operasi dan jika semuanya hendak dipersalahkan ke atas UMB, TIDAK ADA MASALAH - beri kami penghak upayaan untuk mengetuai keseluruhan operasi.
SENANG - kalau nak jentera parti buat, we are not short of talents to do it lah.
Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB - tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...
Ini tak gentleman.
Hari ini kita tak mahu bercerita tentang siapa yang mengetuai operasi siber PRU13. Cukuplah untuk menyatakan, UMB hanya salah satu kumpulan daripada banyak kumpulan yang membantu operasi BN semasa PRU13. Bagi saya, penyelarasan gerak kerja PRU13 sebenarnya tidak gagal. Tahniah kepada yang terlibat. Ianya jauh lebih baik daripada sebelum ini dan tentunya hasrat kita agar gerak kerja ini terus diperkemaskan lagi bagi menghadapi cabaran PRU14 yang lebih sengit.
Bagi pihak yang hanya jadi alat untuk menyerang UMB, biar saya jelaskan serba sedikit track record blogger dan cybertrooper UMB. Antara mereka adalah blogger seperti Dr Novandri, Pisau, Kedah ke KL, Medan Tempur Kedah, Media Permatang Pauh dan ramai lagi. Belum masanya untuk menyenaraikan siapa blogger dan cybertrooper UMB, termasuk yang terlibat di dalam operasi-operasi khas.
Kebanyakan blogger dan cybertroopers UMB telah melalui pengalaman turun padang dan menjayakan operasi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri berikut -
PRK Manek Urai
PRK Permatang Pasir
PRK Bagan Pinang
PRK Hulu Selangor
PRK Batu Sapi
PRK Galas
PRK Tenang
PRK Merlimau
PRK Kerdau
Pilihanraya Negeri Sarawak
Mereka juga terlibat merangka modul latihan perang siber, mengendalikan dan membantu mengendalikan sejumlah 32 program latihan, termasuk yang dianjurkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan melatih hampir 2,000 orang jentera siber di dalam UMNO sejak tahun 2009. UMB juga pernah diminta untuk memberi taklimat dan pendedahan mengenai perang siber, khususnya pengalaman Malaysia, kepada sejumlah pemimpin parti-parti politik dari negara-negara tertentu.
Selain itu, mereka juga merupakan antara penggerak utama yang membantu kempen dan operasi berikut, Perhimpunan Bersih, Anti-Lynas, Bebas Anwar 901, Pro Aspirasi Mahasiswa, Jelajah Aman Kampus, Meja Bulat PTPTN, Demonstrasi PTPTN, Sambutan UMNO 66, Jelajah Destini Anak Bangsa UiTM, Bee Ant Blues Hari Belia Negara, Demonstrasi #JanjiBersih Ambang Merdeka, Promosi Tweet Merdeka 55 dan 1M4U.
Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan.