''Ketika di bangku sekolah saya melihat sendiri kekejaman Chin Peng terhadap orang kampung di Junjong, Kulim termasuk bapa saudara saya dibakar hidup-hidup dengan tangan terikat di stereng lorinya. Seluruh anggotanya rentung dan tidak dapat dikenali. Bayangkan hati saya ketika itu," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini.
Menurut Yahya, mereka yang bersetuju Chin Peng dibenarkan pulang adalah orang yang 'buta' mata dan hati serta tidak tahu penderitaan yang dilalui penduduk ketika itu. ''Nama dia pun sepatutnya tidak boleh kita sebut, inikan pula membenarkannya masuk ke negara kita. Adakah patut orang yang membuat kita sengsara dan derita puluhan tahun lamanya, senang-senang kita terima?''Kekejamannya tidak boleh diterima akal, saya pernah berkhidmat di Indonesia, Brunei dan Hong Kong yang ada komunis, namun kekejaman yang dilakukan Chin Peng pada rakyat Tanah Melayu tidak dapat dibayangkan," katanya yang cedera ditembak di telinga dan perut semasa berjuang menentang komunis. Menurut beliau, soal membawa pulang Chin Peng tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab dan hanya akan membuat keluarga veteran perang yang terkorban dan cedera bangkit memberontak.
''Masih terdengar di telinga saya kata-kata Chin Peng kepada pengikutnya bahawa satu hari nanti mereka akan menakluki dunia," katanya.
(Dipetik dari Utusan Malaysia, 30 Mei 2009)
No comments:
Post a Comment